Sunday, October 16, 2005

Cerita tentang kita dan anak-anak...

Sebelum ke surau malam semalam, abah sempat tonton sedikit Edisi Siasat NTV7, kisahnya tentang maksiat di bulan puasa. Kisah tentang zina dan pelacuran yang berjalan macam biasa di bulan Ramadhan. Izlan, si perantara rancangan itu ada juga bertanya, salah ibubapakah ini? Jawapan abah, ya.

Abah bukan menyalahkan ibubapa 100%, tetapi abah rasa ibubapa yang paling banyak menyumbang kepada salahlaku anak-anak hari ini.Ini kerana ibubapalah orang yang paling dekat dengan anak-anak. Jika anda ibubapa yang sudah ada anak, anda mungkin kata "Zaman saya kecik-kecik dulu, ada juga budak2 nakal, tapi tak la seteruk sekarang". Anda memang betul. Kita sudah tidak boleh mendidik anak-anak kita sama macam mak ayah kita didik kita dulu. Zaman dulu takde Internet dan cybercafe. Zaman dulu takde apek jual VCD lucah tepi jalan. Zaman dulu, RTM takde sangat nak tunjuk artis terlalak-lalak sampai lupa dunia hampir setiap malam di TV. Tapi zaman anak-anak kita hari ni semuanya ada. Dan kerana semuanya ada inilah, abah rasa, kita sebagai ibubapa perlu mengkaji semula cara kita mendidik anak-anak.

Abah ambil beberapa contoh yang anda semua boleh fikirkan betul atau tidak. Kalau tidak betul, alhamdulillah. Kalau betul, sama-samalah kita berubah kearah yang lebih baik. Bukan untuk siapapun, tapi untuk diri kita dan anak-anak generasi kita yang akan datang.

Cuba nilaikan apa yang abah tulis dibawah ini:

1. Kita nak anak-anak mendirikan solat, tapi kita, solat 5 waktu pun kadang-kadang cukup, kadang-kadang tidak.

2. Kita hantar anak mengaji Quran(Alhamdulillah), tapi anak-anak kita tak pernah dengarpun ayah atau mak mereka, mengalunkan kalimah-kalimah Allah itu didalam rumah.

3. Anak belajar kat sekolah tentang aurat, tapi mak dan ayahnya kadang-kadang selamba saja buka aurat masa pergi jalan-jalan atau shopping.

4. Kita marah anak kita tengok cerita 18SX, tapi kita sendiri yang tertojol-tojol biji mata tengok adegan lucah VCD yang kita beli atau kita download dari Internet.

5. Kita nak anak-anak kita berjaya dalam peperiksaannya, tapi kita tidak pernah pun bangun malam, buat solat hajat memohon pada Allah moga anak kita cemerlang. Bila anak-anak tanya, kita kata "Ayah dan mak sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak semua". Betul ke kita mendoakan? Atau itu sekadar mainan bibir untuk menyedapkan hati anak-anak.

6. Kita suruh anak-anak belajar dengan rajin, tapi anak-anak susah nak tengok ayahnya bukak buku dan baca.

7. Anak-anak diberitahu oleh cikgu sekolah dan iklan2 TV, merokok itu membahayakan kesihatan, tapi dirumah, anak-anak tengok ayah selamba saja mengepul2kan asap rokok depan anak.

Banyak lagilah contoh yang abah boleh senaraikan. Kita pakat fikir la sama-sama sempena Ramadhan yang mulia ini. Kenapa nak fikir sekarang? Sebab dibulan Ramadhan ini, hati kita lebih lembut. Fikirlah, kita dah hidup berapa lama didunia ini? Dah berapa Ramadhan kita lalui? Berapa Lalilatul Qadar yang kita dah kejar? Anak-anak dah berapa? Solehkah anak-anak itu? Tanyalah, dan kita carilah jawapannya seikhlas hati. Tak perlu mereka-reka jawapan, sebab jawapannya untuk diri kita juga.

Didiklah anak-anak kita sebaiknya. Budak-budak ini dilahirkan putih bersih dan suci. Hati mereka sangat tulus. Kalau ada salah silap pada diri mereka, kita renung la semula apa yang kita dah buat pada mereka. Anak-anak yang nakal ini pun kalau ditanya betul-betul, abah rasa mereka sebenarnya nak ibu bapa yang kasih dan sayang dan didik mereka sebaiknya. Baik dalam erti kata ikut apa yang Islam dah tentukan.

Didiklah mereka dengan penuh hemah, dan dalam masa yang sama kita didik diri kita juga. Abah rasa tidak ada alasan untuk kita beri pada Allah saat kita menghadapNya diakhirat nanti. Allah kurniakan kita rezeki, masa, kudrat. Tapi bagaimana kita menggunakannya?

Tak gerunkah kita lihat anak-anak remaja Islam sekarang yang sudah pandai bercouple, sudah pandai melakukan seks, sudah biasa dengan rokok, sudah pandai utk tidak solat, sudah pandai menipu, sudah pandai memukul orang, sudah pandai mencuri, sudah pandai menayang pusat dan lurah punggung, sudah pandai tidak puasa dan sebagainya. Kepandaian macam inikah yang kita hendak?

Didiklah anak dengan tanggungjawab mereka sebagai Islam, dan kita kenalah tunjukkan teladan yang baik. Kita suruh mereka solat, dan kita sendiri mestilah tak pernah terlepas solat menghadap Allah. Kita suruh mereka mengaji, kita sendiri kena sentiasa mengalunkan kalimah Allah itu, kita suruh mereka tutup aurat, kita sendiri sentiasa menutupnya. Tak salah kita sama2 berjemaah, dan berdoa kuat2 dihadapan anak-anak. Doa supaya anak-anak itu diberi rahmat, diberi kejayaan, dan sebagainya. Biar anak-anak itu dengar yang ayahnya berdoa kepada Allah untuk diri mereka.

Kalau la anda tahu betapa anak-anak kita itu sangat mudah untuk dididik sebaiknya, anda mesti akan terkejut. Fikirlah, dan perbaikilah apa-apa yang patut. Jadilah ibu bapa yang terbaik. Bukan terbaik dlam ertikata utk dibandingkan dengan ibubapa lain, tapi terbaik dalam ertikata, terbaik untuk anak-anak kita. Itulah zuriat kita, yang insyaAllah akan melahirkan keturunan kita satu hari nanti. Cemerlang usaha kita, cemerlang la hasilnya nanti InsyaAllah.

Semalam juga abah sempat tengok Majalah 3. Sedih rasa hati tengok umat Islam di Ayudhya dan Ethiopia. Betapa umat Islam di tempat-tempat itu terpaksa hidup penuh kedaifan. Tapi kita, yang diberi Allah kemewahan hidup, kadang2 seolah tidak bersyukur atas pemberian Allah itu.

Cukuplah repekan abah hari ni. Kang merepek banyak-banyak, anda malas pulak nak baca. Hmmm, sedap pulak bau Asam Pedas yg ummi tengah dok masak kat dapur tu. Nampak gayanya, makan terubuk asam pedas la abah malam ni. Alhamdulillah.

2 comments:

zamdee said...

sgt setuju!! saya ader kenalan yg mcm nie, luaran mmg nampak ok tp dalaman hancur teruk..

sehinggakan mencari kasih sayang dgn jalan yg salah, hanya berlandaskan nafsu.. ini semua akibat drpd kelakuan yg serupa oleh ibu bapa mereka sendiri..

dinasihati tp diri ini dimarahi, malah terus terusan bergaul dgn golongan seperti itu.. tak faham sungguh!

kalo ibu bapa itu baik dunia & akhirat, anak buat hal jugak.. mmg anak yg problem dan mungkin juga dugaan Allah s.w.t.

Abah Mui'zz said...

Dee, itu yg abah takut sebab abah tgk ramai kat luar yg macam itu. Anak dah 3, tapi diri masih tak tahu nak solat, sebab mak ayah tak pernah ajar solat.

Abah fikir, ibubapa kena cuba sebaiknya utk didik anak. Tapi kalau anak itu tak menjadi seperti apa yg kita didik, kita terimalah itu sbg Ujian Allah untuk kita, dan ujian utk anak kita sekali. Yang itu kena usaha lain la pulak.