Thursday, October 13, 2005

Cerita tentang motivasi diri...

Abah diminta menyumbangkan satu artikel untuk diterbitkan disebuah penerbitan untuk pelajar ditempat abah bekerja. Haha, abah tak pernah menulis artikel sebegini, tapi abah cuba jugalah, sebab nampak editor tu macam berharap je.

Hasilnya, inilah artikel tersebut. Belum diterbitkan lagi pun, tapi saja abah letak disini untuk rakan2 blog abah baca. Kalau boleh diambil sesuatu dari situ, alhamdulillah. Kalau ada yang tak kena, tolong betulkan abah.


Motivasi diri: Bagaimana hendak dikekalkan atau dipertingkatkan?

Seringkali kita terdengar atau terbaca tentang keluhan pelajar tentang sukarnya untuk membina dan mengekalkan motivasi diri. Jika mengikut kajian pun, isu motivasi ini memang antara cabaran yang perlu dihadapi oleh ramai pelajar, terutamanya pelajar yang mengikuti pengajian universiti seperti anda semua.

Bagaimana anda boleh membina motivasi diri disaat anda rasa seolah-olah anda sudah tidak mampu untuk meneruskannya? Untuk menyiapkan tugasan pun terasa macam perlu mengalih seketul batu yang besar, apatah lagi untuk menduduki peperiksaan.

Disini saya sertakan sedikit sedikit panduan yang anda boleh cuba amalkan.

1. Tentukan matlamat anda.
Satu perkara penting dalam membina motivasi diri ialah untuk mempunyai matlamat yang jelas. Matlamat yang jelas akan membuka jalan untuk ke destinasi yang perlu anda tuju. Motivasi diperlukan bagi mendorong anda melangkah menuju destinasi itu. Jika anda tidak ada atau tidak tahu apa matlamat anda sekarang ini, cuba bertanya diri anda seikhlasnya, apa yang anda ingin capai dengan mengikuti pengajian di sini. Matlamat ini perlu ada yang berjangka panjang seperti “Saya mahu memperolehi Ijazah Sarjana Muda IT dengan Kepujian Kelas Pertama dalam masa 4 tahun dari sekarang” atau yang berjangka pendek seperti “Saya perlu mengulangkaji 2 jam sehari untuk menghadapi peperiksaan dihujung semester nanti”. Tetapi, tidak kiralah matlamat itu berjangka pendek atau panjang, anda mesti ada matlamat supaya anda lebih bermotivasi untuk mencapai matlamat anda tersebut.

2. Jadualkan pembelajaran dan tugasan lain.
Kebanyakan daripada anda adalah pelajar dan dalam masa yang sama, pekerja. Anda ada dua tanggungjawab yang perlu dipikul, selain daripada tanggungjawab untuk keluarga(bagi mereka yang telah berkeluarga). Senang ke untuk memikul ketiga-tiga tanggungjawab ini serentak? Susah. Sebab itu saya ‘tabik’ pada anda kerana anda sanggup memikul ketiga-tiga tanggungjawab pada detik anda mula mendaftar sebagai pelajar.

Memandangkan anda ada tiga tanggungjawab besar, dan semestinya setiap tanggungjawab memerlukan anda melaksanakan sesuatu aktiviti, maka adalah sangat penting untuk anda menjadualkan aktiviti-aktiviti anda dengan betul. Anda perlu tentukan masa yang sesuai untuk melakukan setiap aktiviti itu samada aktiviti belajar, aktiviti kerja pejabat atau aktiviti bersama keluarga. Bila anda sudah menentukan masa yang sesuai, anda perlulah melaksanakan aktiviti itu pada masa yang anda telah tentukan tadi.

Sekiranya anda ada beberapa perkara yang penting yang perlu dilaksanakan serentak, cuba tentukan ‘priority’ setiap tugas, dan laksanakan setiap satunya dengan baik dan teratur. Penjadualan dan perlaksanaan aktiviti yang baik mampu membina motivasi diri anda dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut.


3. Dapatkan bantuan orang lain.
Setakat pengamatan dan pengalaman saya dengan anda semua, saya fikir tidak ada istilah ‘lone ranger’ untuk pelajar universiti. Anda tidak boleh melakukan semuanya seorang diri. Mungkin ada yang berkata “Saya boleh belajar seorang diri”. Anda betul kalau berkata demikian, tetapi sekiranya anda mendapatkan bantuan orang lain, saya fikir, anda akan boleh belajar dengan lebih cemerlang.

Mendapatkan bantuan disini bukan sekadar mendapatkan bantuan rakan-rakan sekelas, tetapi juga mendapatkan bantuan orang-orang terdekat dengan anda, seperti ahli keluarga dan rakan sepejabat. Bantuan yang bagaimana? Anda boleh mendapatkan kerjasama mereka supaya tidak mengganggu anda dimasa anda perlu belajar. Bantuan dari segi sokongan moral dan spiritual dari pasangan dan anak-anak juga penting.

Rakan-rakan sekelas anda juga mampu memberi bantuan sekiranya diminta. Mintalah bantuan samada dalam bentuk belajar berkumpulan, atau bertanyakan apa-apa yang anda kurang faham. Anda juga mestilah sanggup memberi bantuan pada rakan sekiranya mereka meminta bantuan anda.

4. Berikan ganjaran untuk diri.
Setiap bulan ketika anda menerima gaji, apakah antara perkara yang pertama terlintas difikiran anda? Jelaskan bil? Bayar pinjaman rumah dan kereta? Bayar hutang kad kredit? Belikan sesuatu untuk diri anda? Saya fikir, idea untuk belikan sesuatu buat diri anda itu mungkin agenda yang terakhir, itupun kalau duit gaji masih berbaki.

Bagaimana kalau saya sarankan anda mengubah sedikit tradisi? Perkara pertama yang anda lakukan bila terima gaji ialah dengan memperuntukkan duit gaji tersebut untuk diri anda dahulu, samada untuk membeli sesuatu yang anda inginkan, atau untuk simpanan anda, atau apa saja, asalkan ianya untuk diri anda. Kenapa saya sarankan sedemikian? Kerana saya ingin anda cuba memberikan ganjaran pada diri sendiri. Anda bekerja dan berusaha selama sebulan untuk merasa nikmat diberi gaji, dan tidak salah kalau duit hasil penat lelah anda itu diperuntukkan sedikit untuk anda sendiri.

Sama juga dalam kes belajar. Sekiranya anda berjaya melaksanakan sesuatu, seperti berjaya menyiapkan tugasan dengan jayanya, atau mendapat gred yang baik dalam peperiksaan, anda sepatutnya memberikan paling tidak sedikit ganjaran untuk diri sendiri. Cubalah anda buat, dan anda pasti boleh rasakan yang motivasi anda akan meningkat untuk lebih maju kehadapan, untuk lebih berusaha dengan gigih.

5. Berfikiran positif.
Sesetengah orang berkata, “Anda adalah apa yang anda fikir”. Pada saya sendiri, kata-kata itu ada benarnya. Sekiranya anda berfikiran positif, positiflah apa saja yang anda lakukan.Begitu juga sebaliknya. Anda juga mesti pernah berjumpa manusia yang pada anda, dia itu agaknya tidak pernah ada masalah, kerana anda lihat dia sebagai manusia yang sentiasa ceria dan bertenaga. Benarkah dia bersikap begitu kerana dia tiada masalah? Saya fikir, didunia ini tidak ada seorang manusia pun yang bebas dari dihinggapi masalah, sehingga masalah itu boleh mengganggu tahap motivasi kita untuk melakukan sesuatu. Tetapi, sekiranya kita melihat masalah itu sebagai satu cabaran, dan anda melihat cabaran itu sebagai sesuatu yang positif, anda pasti akan boleh menghadapi cabaran tersebut. Yang sering menjadi masalah ialah kita selalu melihat masalah itu dari sudut yang negatif. Sebab itu sering terkeluar ayat-ayat seperti “Saya dah tak tahu nak buat apa, fikiran ni macam dah buntu ingatkan masalah ini. Saya seperti tak ada semangat untuk buat kerja”. Cuba anda ubah sedikit pemikiran negatif kepada yang positif. Bila anda melihat itu dari sudut positif, anda pasti akan mendapat cara untuk menghadapi apa juga cabaran yang bakal mencabar anda.

Saya petik kata-kata dari Zig Ziglar, yang bunyinya agak lucu, tapi ada makna disebalik kelucuan itu.

"People often say that motivation doesn't last. Well, neither does bathing
-- that's why we recommend it daily."

Ceriakan diri anda selalu, dan kekalkan motivasi diri.

2 comments:

Anonymous said...

artikel yang menarik abahmuizz, byk ilmu jika diikut dengan sepenuh hati.

byk juga memberi kesedaran pada Am

Abah Mui'zz said...

Mekasih Am. Hehe, abah cuba-cuba belajar menulis. Hehehe, nanti kalau dah terer, nak gak menulis novel cinta cam Alaf 21 tu. hehehe.