Showing posts with label tv. Show all posts
Showing posts with label tv. Show all posts

Tuesday, November 11, 2008

Cerita tentang hero...

Hari ini, 11 November 2008, genaplah 7 tahun masihi usia anak sulung abah. Dah besar dah anak abah tu. Pagi tadi waktu dia kenakan baju sekolah, dia boleh tanya abah, "Abah, hari ni berapa haribulan?". Abah kata, "11 November". Dia kata lagi, "Hari ni hari apa?". Dan belum sempat abah jawab, Ummi terlebih dahulu jawab, "Hari ni harijadi Ahmad. Happy birthday." Muizz apa lagi, meleret la tersenyum. Abah yakin Muizz tidak sebetulnya memahami apa maksud harijadi. Dia juga belum boleh menghayati apa ertinya umur sudah masuk 7 tahun.

Dan abah tidak berharap sangat dia akan fahami itu, sebab abah dahulu pun, tidak pernah kenal akan erti ulangtahun kelahiran sewaktu abah seusia dia. Apatah lagi untuk faham apa maknanya pada diri abah. Abah akan biarkan Muizz dan Azim faham sendiri satu hari nanti apa maksudnya ulangtahun kelahiran itu. Tapi dalam itupun abah tetap pesan pada dia, "Abang dah genap umur 7 tahun ni, kena lebih behave. Jangan lasak dan nakal sangat. Kena dengar cakap abah dan ummi, nenek, cikgu, ustazah. Abang juga kena lebih fokus bila buat sesuatu". Dan Muizz, angguk sajalah. Abah harap dia akan semat pesanan abah dalam minda dia, dan seterusnya, amalkan.

Pagi ini juga abah ke sekolah KAFA dia untuk tandatangani kad kemajuan. Prestasi dia agak menurun untuk peperiksaan akhir baru2 ini, tapi masih boleh abah terima. Abah cuma nak dengar komen dari Ustazahnya saja tentang diri dia. Kata Ustazah Aishah, "Muizz ni sekarang ni lain sikit. Dia suka sangat berkawan, dan bila dia dalam kelompok kawan2 dia, dia tak berapa nak dengar cakap kita. Dalam kelas pun suka main2. Tapi alhamdulillah, pelajarannya baik." Walaupun purata markah keseluruhan cuma 85%, tapi bukan itu yg abah risau. Komen ustazahnya yang buat abah perlu fikirkan sesuatu. InsyaAllah untuk tahun 2009, abah akan cuba didik dia kaedah yang betul dalam berkawan. Sebab abah ada nampak ciri2 yang dia jenis suka mengikut perbuatan dan kata2 kawan.

Semoga hero abah ini akan jadi anak yang baik, anak yang soleh, dan anak yang luhur pekertinya sehinggalah dia dewasa, insyaAllah. Dan si hero kecik sorang lagi itupun, abah doakan yang sama. Sekarang ini dia sangat lasak. Sejak boleh merangkak, hampir seluruh pelusuk rumah itu dia nak teroka. Dan kami terpaksa beri lebih tumpuan pada hero kecik itu, supaya tidak terjadi apa2 yang tidak diingini pada dia.

Bercakap tentang hero, hari Khamis lepas, siri kegemaran abah, Heroes telah dimulakan dengan 2 episod musim ke3. Abah seperti biasalah kan, akan menunggu penuh minat untuk menonton sinambungannya dari musim lepas. Untuk musim ke3 ini, abah rasa ceritanya agak over sedikit berbanding sebelumnya, dan agak lebih memeningkan. Apapun, ini baru 2 episod, harap2 episod seterusnya akan lebih baik, dan menarik plot ceritanya. Dan abah akan tetap suka dengan Hiro Nakamura. Suka sebab dia bawakan watak seorang hero yang sangat luhur hatinya. Hero yang dahulukan orang lain berbanding dirinya. Abah juga minat dengan kuasa yang dia ada, yang waktu kecil2 dulu, abanh selalu angankan yang abah punya kuasa sebegitu. Kuasa apa? Anda tontonlah Heroes, dan anda akan tahu apa kuasa yang abah angankan itu.

Jumpa lagi insyaAllah.

Thursday, May 15, 2008

Cerita tentang Saerah II...

Petang ni agak malas sikit nak buat kerja. Hahaha, gaji nak, kerja malas, camna ni abah. Ekekeke. Takpe, abah bawak balik kerja ni kerumah lah, abah siapkan malam nanti. Sebab nak kena siapkan juga sebelum 20 Mei ini.

Tengahari tadi makan nasi ayam Mancongkam. Selalu dengar orang sebut2, dan tadi baru berkesempatan gi sana. Dan pada abah, nasi ayam misai Bukit Jambul, jauh lebih sedap.

Apapun, ni saja nak kongsi dgn anda klip video episod akhir cerita Kerana Cintaku Saerah. Abah ter'miss' episod ini waktu TV3 ulangtayang cerita ni baru2 ini.





Cerita tentang Saerah I

Thursday, October 11, 2007

Cerita tentang Saerah...

Sekejap tadi, abah tonton satu cerita yang sangat jarang abah berpeluang tonton, walaupun abah tahu akan kewujudannya. Kebetulan pulak tadi adalah epidsod terakhir "Kerana Cintaku Saerah". Pada abah, ceritanya biasa saja. Sebuah cerita melayu tentang anak yang berbuat silap pada maknya, seorang suami yang juga buat kesilapan pada keluarga, seorang lelaki lain yang tidak sesempurna kita - yang faham makna tanggungjawab, dan paling terkesan dihati abah, seorang gadis 'istimewa', yang sesunguhnya memahami apa itu makna cinta dan kasih sayang.

Bukan jalan cerita yang buat abah tertarik dengan karya arahan Shahrul Ezad itu, tapi watak2 yang ada didalamnya. Dan tadi, sewaktu tonton episod akhir itu, abah jadi kasihan pada watak Saerah, yang menjadi mangsa kepada perlakuan diri sendiri, dan juga abah kasihan pada Hawa, seorang ibu yang terpaksa menanti anaknya selama 12 tahun, hanya kerana anak itu sibuk dengan mengejar cita2. Saerah bernasib baik kerana sempat bertemu ibu dihujung nafas sang ibu, dan Hawa juga abah pasti, terubat kerinduannya seketika sebelum nyawa diambil. Sekurang2nya dia puas, anak yg 12 tahun dirindui akhirnya datang disaat2 dia sangat kepingin panggilan mak itu disebut anak kandung sendiri.

Dan melihat watak Nomi lakonan Norkhiriah, abah tabik dengan dia dalam melakonkan watak itu. Itulah watak yang paling mengesankan dihati abah. Nomi, yang punya cinta tulus pada seorang lelaki bernama Jibek. Cinta yang kalau abah tafsirkan, bukan bersandarkan apa-apa. Cuma satu cinta tulus yang lahir dari hati seorang perempuan pada seorang lelaki. Cinta luhur yang sangat sukar untuk ditemui sekarang ini. Airmata Nomi juga mengundang simpati abah pada dia. Dalam ketidaksempurnaan, Nomi masih punya rasa, punya hati - antara kurniaan Allah yang terbesar untuk manusia. Gadis yang sedar keadaan diri itu, demi kasih dalam hatinya, dia tunggu. Tunggu sekiranya janji yang diberi pada dia akan dipenuhi Jibek. Dan alhamdulillah, saat yang ditunggu itu, akhirnya hadir juga untuk dia.

Penghujung cerita agak memuaskan. Dan andai mereka yang menonton dapat mempelajari sesuatu yang baik dari situ, abah rasa Shahrul mesti sudah cukup berpuas hati. Kisah2 di TV, pada abah, bukan sekadar untuk menghiburkan, tapi untuk mengajar sesuatu pada orang yang melihatnya. Dan alhamdulillah, disebalik banyak cerita melayu yang "kosong patinya", abah masih berpeluang menonton cerita2 seperti KCS ini, yang mampu menghantar mesej pada penonton.

Dan satu perkara lagi yang buat KCS ini menarik hati abah, adalah kerana Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain. Dengan lagu tema cerita itu, abah berhenti disini seketika, sebelum epekan akan datang diteruskan. Dengan harapan yang masih tetap sama dihati abah - semoga ada epekan abah yang boleh dijadikan panduan dan kesedaran, insyaAllah.


Muatturun dan lirik disini.

Wednesday, June 06, 2007

Cerita tentang hero...

Hari ni takde nak mengepek apa, walaupun dah beberapa hari tak mengepek. Ada bendanya, tapi malas. Hahaha, susah tul bila sindrom malas ni mula merebak dalam diri.

Selama beberapa hari lepas, abah luangkan banyak masa menghabiskan 23 episod Heroes. Memang best. Puashati betul tengok cerita tu. Abah tak tengok sangat diTV sebab kalau diTV, abah kena ikut jadual dia. Untuk Heroes ni, abah pinjam dari seorang sahabat abah. Thanks Jay.

Kalau anda peminat cerita2 bersiri macam Supernatural, Heroes pun anda kena tengok. Hahaha, tak sabar nak tunggu Volume 2.

P/S: Sejak bila lak 'gila' dgn drama TV nih?

Thursday, February 08, 2007

Cerita tentang sinetron...

Kebelakangan ni, abah memilih untuk gunakan perkhidmatan komuter untuk pergi dan balik kerja. Walaupun tidak berapa bagus sangat, tapi terpaksalah, memandangkan trafik dari Sungai Buloh ke tempat kerja abah skrg ini agak sendat sedikit. Kalau dulu, abah cuma ambil masa 20-30 minit saja memandu ke tempat kerja, sekarang, hampir 45 minit - 1 jam masa perjalanannya. Jadi, untuk tidak buah abah tension dalam kereta, abah ambik komuter. Walaupun padat dengan penumpang, dan masa perkhidmatan yang kadang tepat kadang tidak, itu saja pilihan yang abah ada.

Tadi sewaktu sampai dekat gate utama untuk ketempat kerja, abah jumpa seorang pakcik guard yang baru. Sebelum sempat abah senyum pakcik itu dah ucapkan selamat pagi dan bagi salam. Dan yang paling best, kata pakcik tu, "Selamat berjaya hari ni!". Hmmm. Jarang orang boleh kata benda2 macam itu pada orang yang pertama kali jumpa, tapi pakcik ini tidak. Dan abah cuma boleh membalas dengan, "InsyaAllah pakcik". Alangkah bagus kalau kita semua jenis macam itu. Jenis yang suka bagi semangat pada orang lain, semangat untuk terus berusaha, semangat untuk maju kehadapan. Dan sebut tentang beri kata-kata semangat ni, teringat satu dialog dalam cerita Silence di tv8 skrg ini. Pertanyaan hati seorang gadis bisu bernama Shenshen, "Mengapa manusia yang boleh berkata-kata, sukar untuk meluahkan kata-kata yang indah pada orang lain?".

Dan cerita tentang cerita Silence ni, teringat juga pada dialog antara abah dan Mi sewaktu abah menonton sinetron Mutiara Hati. Kata Mi, "Ada ke bah orang sejahat itu diIndonesia, yang sanggup buat apa saja utk dapat duit?". Mi merujuk pada watak-atak jahat dalam sinetron tersebut. Pada abah, mungkin ada, mungkin tidak. Tapi abah memandang sinetron seperti Mutiara Hati itu dari sudut yang agak berbeza. Abah tidak kisah sangat dengan jalan ceritanya, tapi abah tertarik kerana sinetron seperti ini, dan beberapa yang lain lagi, adalah kisah yang memaparkan bagaimana ALLAH itu pusat segala perkara. Abah syukur kerana ada watak2 dalam cerita itu yang kata-kata mereka berkisar pada Allah dan agamaNya. Jadilah apa saja dugaan dan ujian, ALLAH yang disebut. Pujian2 pada Allah tidak pernah lekang dari cerita semacam ini. Dalam sinetron sebeginilah abah boleh dengar dengan kerap "Alhamdulillah", "MasyaAllah", "Subhanallah", "Astaghfirullah", bukan astaga, dan beberapa pujian lain.

Abah tak jumpa lagi cerita dinegara kita ini yang ada penghayatan Islam semacam itu. Kalau adapun jarang. Kita berbangga dengan cerita2 seperti Dunia Baru, Puteri, Astana Idaman, Dalam hati ada cinta, dan beberapa kisah lagi, yang pada abah, drama2 yang menjengkelkan. Tidak ada apa yang positif sangat yang dipaparkan, jauh sekali untuk membawa penonton kepada membesarkan Yang Maha Esa, iaitu Allah s.w.t. Drama Malaysia lebih pada keseronokan hidup remaja, ke'masyuk'an cinta, dendam, porak peranda keluarga dsbnya. Bukan tak boleh, boleh, tapi apa salahnya kalau masukkan e
lemen2 yang boleh buat penonton merasa bahawa dalam apa perkarapun, ALLAH saja pusatnya.

Itu sajalah kot epekan untuk hari ini, hingga jumpa lagi esok, insyaAllah. Moga kita semua akan terus berada dijalan Allah.

P/S: Abah cuba mencari makna sinetron, tapi tidak jumpa. Yang abah jumpapun, katanya:
Sinetron, stands for Sinema Elektronik (Electronic Cinema), is Soap-Opera like, TV series, which usually tells fiction stories, ranging from fictious tale, until family relationship (in any forms of it).

Monday, January 22, 2007

Cerita tentang CINTA...

Cinta...
Cinta itu apa?
Ada orang tahu,
ada orang yang tak tahu,
ada yang buat-buat tak tahu,
lagi parah, tak tahu tapi buat-buat tahu.

Cinta itu sering buat kita
tercari-cari
tertanya-tanya
termimpi-mimpi
tertunggu-tunggu
terbayang-bayang...

Cinta itu bahagia
cinta itu juga derita

Cinta itu mengasyikkan
Cinta itu juga menyiksakan

Cinta itu perjuangan
Cinta itu juga pengorbanan

Cinta itu memiliki
Cinta itu juga melepaskan pergi

Cinta itu menerima
Cinta itu juga memberi

Cinta itu madu
Cinta itu jugalah racun

Cinta itu suka
Cinta itu jugalah benci

Cinta itu rindu
Cinta itu jugalah dendam

Cinta itu pengertian
Cinta itu jugalah salahtafsiran

Cinta itu ketawa
Cinta itu jugalah airmata

Cinta itu kebenaran
Cinta itu jugalah kepalsuan

Cinta itu syurga
Cinta itu jugalah neraka

Tidak kira apa pengertiannya
Cinta itu kemestian
Kerana itu doa dipohon
Dipohon moga diketemukan
Dipohon moga tidak kehilangan
Dan apapun ia dihati kita
Moga-moga cinta itu
Cinta yang diredhai olehNya.

Haha, apa yang pepagi Isnin ni dah merepek tentang cinta ni. Entah, abah pun tak tahu. Kat atas tu pun abah tak tahu nak panggil apa, sajak bukan, puisi pun tak, sementelah lagi seloka atau syair gurindam.

Bukan apa pun, petang semalam, lepas abah balik kerja, dan selepas menikmati mee kari dan lamb chop yang ummi masak, abah melepak la sekejap, sambil-sambil tengok cerita Cinta. Tak sekejap juga pun, boleh tahan lama juga melayan cerita jiwang itu.

So, apa komen abah? Cerita tu menarik pada abah, menarik kerana jalan ceritanya, menarik kerana lakonannya, menarik kerana sinematografinya (cewah, sejak bila lak pandai menilai bab2 sinematografi nih!). Tapi yang paling abah puji, jalan ceritanyalah. Ringkas, tapi digarap dengan cukup cantik. Banyak pengertian cinta yang diberi oleh cerita tu, dan sebahagian besarnya dah abah repekkan dalam kata-kata diatas tu.

Malam semalam juga sempat menonton AJL21 dan Tanah Kubur di Astro Ria. Sayangnya masa tayangan sama, jadi, abah main tukar-tukar saluran sajalah, sekejap AJL sekejap TK. AJL21 tak banyak kejutan jugalah. Bukan kejutan dari segi sapa menang, sapa kalah, tidak. Tapi kejutan dari segi persembahan dan tayangan percuma yang diadakan.

Artis2 wanita masih juga sibuk menayang dada masing2, yang sesetengahnya menampakkan lurah didada pun. Nak kata tak perasan, tak mungkin la kan, sebab baju tu dah dicuba berkali-kali. Artis lelaki pun sama juga. Dengan fesyen yang orang utan pun segan nak pakai, ditambah lagi dengan ucapan2 yang tidak membangun minda, kata hati abah, habis punah ranah semuanya. Ada juga yang menyanyi sambil selak kain tayang peha. Belum lagi dicampur dengan goyang gerudi artis Indonesia. Dan dalam AJL21 jugalah, Zahid mengalunkan kalimah suci Allah. Dalam itu jugalah satu ayat dari satu surah dibacakan pada penonton, Yasin dan Too Phat juga begitu asyik mengalunkan Alhamdulillah. Apa maknanya? Apa kesannya? Anda fikirkan dan nilaikan sendirilah.

Pada yang tahu menilai dan memilih apa yg baik dan apa yg tidak, alhamdulillah. Tapi pada jutaan lagi yang kurang bijak menilai dan memilih, harap2 mereka tidak terikut2 lagak-lagak yang bisa meruntuhkan itu.

Oklah, takleh nak merepek lagi, sambung lain kali, insyaAllah.

Friday, January 19, 2007

Cerita tentang sekolah...

Rabu malam hari tu, abah kebetulan menonton TV, dan pada masa tu TV3 sedang udarakan rancangan Sebalik Malam, dengan hos Juragan dan Puteri yang abah pun tak pasti kenapa perlu dipanggil juragan dan puteri. Tak kisahlah yang itu, sebab abah tertarik dengan kisah yang dibicarakan saja. Kisahnya tentang asrama. Dan ada 3 perkara yang dikaitkan dengan asrama iaitu gejala buli, histeria dan kelakuan sumbang.

Walaupun abah cuma duduk asrama waktu dah masuk matrikulasi, tapi dari cerita kawan2 abah, apa yang dipaparkan dalam Sebalik Malam itu memang betul. Memang jadi satu kebiasaan kes-kes buli berlaku disekolah. Dimatrikulasi tempat abah belajar dulupun ada kes-kes buli, cuma tidak la teruk sangat. Alhamdulillah, setakat abah di asrama, Allah pelihara abah dari mengalami keadaan dibuli.

Kes kena paksa basuh baju senior, kena pukul dengan senior, kena lecture berjam2 dengan senior, dan yang paling teruk, kes buli yang melibatkan perlakuan seksual. Tak ada satupun kes buli itu baik hasilnya. Semuanya buruk. Kalau ada yang baik pun, bila ada orang yang pernah kena buli, tidak akan lakukan perkara yg sama pada orang lain, sebab dia tahu apa rasanya bila dibuli. Tapi susah nak jumpa yg itu, yang selalu kita jumpa, kebanyakan yang membuli itu sebabnya adalah kerana dia pernah kena buli. Bermula mungkin untuk balas dendam sebab dia pernah kena, hinggalah pada, perbuatan buli itu datangkan satu rasa keseronokan pada dia. Ada kes sehingga meninggal pun ada. Nauzubillah.

Siapa yang tukang bulinya? Anak-anak dan adik2 kita. Siapa yang kena buli? Anak-anak dan adik2 kita juga. Kita tahu ke depa tu membuli dan dibuli? Ada yang tahu dan ada yang tak tahu, dan ada juga yang "ah, malaslah nak ambik tahu". Kalau kita tahu, alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita ambil berat tentang persekolahan dan kehidupan anak dan adik kita diasrama. Kalau kita tak tahu, abah sarankan rajin2 lah kita ambik tahu. Bak satu pengakuan dalam Sebalik Malam itu, "Saya selalu kena buli diasrama, tapi dengan keluarga, saya berpura2 yang kehidupan saya diasrama sangat baik dan saya gembira, sedangkan saya rasa macam sampah bila saya berada diasrama". Anak atau adik tak cerita bukan bermaksud tak ada masalah, cuma mungkin dia segan nak bercerita. Yalah, siapalah nak balik rumah cerita kat ayah atau ibu, yang dia kena liwat disekolah. Jarang sangat yang berani. Itu kalau dia yang kena, kalau dia yang mengenakan orang, jauh sekali la kan nak bercerita kat family.

Kenapa abah mengepek ttg ni pulak hari ni ya? Sebabnya satu saja: abah nak kita semua yang ada anak dan adik disekolah berasrama supaya lebih mengambil tahu akan keadaan depa disekolah dan asrama. Kalaulah kita tahu dia dibuli, ambil lah langkah2 yang patut, dan kalau kita tahu dia pembuli, ambil jugalah langkah2 yang patut. Jangan harapkan pada pihak sekolah dan warden asrama juga.

Kenapa penting untuk diambil tahu? Sebab apa yang terjadi hari ini, akan menghantui mereka juga sampai mereka dewasa. Ambil satu kes sajalah: kes liwat disekolah. Lazimnya berlaku disekolah berasrama lelaki. Kalau anda kebetulan kenal dengan orang yg pernah diliwat disekolah, cubalah tanya, samada dia dah lupakan peristiwa itu atau belum. Abah yakin 90% daripada mereka masih tetap ingat. Malahan ada yang trauma pun. Dan ramai juga dari mangsa-mangsa itu akhirnya bertukar menjadi orang yang sukakan hubungan sesama jenis. Kerana apa? Seks. Siapalah yang akan kata seks itu tidak menyeronokkan. Semua orang akan kata ia best. Maaf cakap.

Kali pertama diliwat disekolah, mungkin dia akan rasa sangat sedih, marah, geram, kecewa dan sebagainya. Tapi kalaulah peristiwa itu berulang kali berlaku, abah fikir, perasaan kecewa, marah, geram, sedih semua itu akan bertukar jadi satu keseronokan. Dan hasilnya, bermula dengan dipaksa, mereka akhirnya akan secara sukarela memperlakukan perkara yang sama. Paling malang, ia akan terbawa-bawa walaupun dah berbelas tahun tinggalkan alam persekolahan. Hatta dah kahwin pun masih belum boleh tinggalkan perkara itu.

Memang la orang akan kata, "Ler, dah besar, dah reti berpikir, buat apa nak buat benda tu lagi. Tak yah la buat". Cakap cam biasalah kan, memang senang. Tapi pada yang mengalaminya, abah tak rasa sesenang itu mereka boleh selesaikan masalah dalam diri mereka itu. Sebab itulah kita selalu baca dalam suratkhabar daripada mangsa-mangsa rogol yang menceritakan takutnya mereka bila bakal suami tahu yg mereka pernah dirogol. Sebab benda itu bawa trauma pada depa. Akan teringat2 sampai bila2. Cuma bezanya kes rogol ni, depa takkan rogol orang lain pulak sebab nak balas dendam.

Cukuplah dulu, meleret la pulak.

Ingatan abah untuk anda, dan diri abah juga. Kalau kita ada anak2 dan adik2 diasrama, ambil tahu la sikit apa yg berlaku, dan buatlah apa saja supaya kes2 yang kita tak ingini takkan terjadi. Yang penting didik mereka sebaiknya. Pihak sekolah pun, kena lebih rajin memantau dan mengambil tindakan. Skrg bukan zaman tutup mata dan telinga saja hanya semata2 sebab kes2 sebegitu tidak penting berbanding pencapaian akademik.

Oklah, abah ada meeting kejap lagi. Jumpa lagi minggu depan, insyaAllah.

Selamat berehat dihujung minggu nanti. Sebelum terlupa, Selamat Menyambut Tahun Baru 1428 Hijrah. Abah doakan moga tahun hijrah yang baru ini, kita semua akan lebih berjaya mendekatkan diri pada Allah, lebih tawadhuk dan lebih istiqamah dalam apa jua yang kita buat, moga Allah kan sentiasa memberkati hidup kita, moga juga kebahagiaan yang kita sering idamkan itu akan dihamparkan Allah pada diri kita, insyaAllah.


Send this eCard !

Wednesday, November 01, 2006

Cerita tentang beberapa cerita...

Cerita tentang raya

Alhamdulillah, eidulfitri dahpun kita sambut dengan sedikit meriahnya, dan dengan penuh kesyukuran pada Allah. Abah tak tahulah orang lain, tapi untuk abah, syawal tahun ini agak menarik jugalah, walaupun abah rasa banyak hati yang akan terasa. Bukan terasa apa, terasa sebab abah dan famili tak sempat nak bertandang kerumah tuanpunya-tuanpunya hati tersebut. Jangankan rumah kawan2, rumah saudara mara pun tak terhabis abah ziarah. Begitulah saban tahun, ada saja yang tak sempat. Tetapi dalam tidak sempatpun, pasti akan ada rumah yang jadi kewajipan abah ziarah, yang memang tak pernah miss lagi setakat ni.

Abah balik kampung pada hari Deepavali, sampai Paka dah petang pun, tapi sempat juga berbuka puasa ngan keluarga. Kesian mak terpaksa masak extra dalam waktu yg singkat, sebabnya, abah memang tak inform yg abah nak balik hari tu. Dan sebab tak inform tu la agaknya, duit raya yang abah dah tukar, tertinggal kat rumah. Aduihhh, kena la cari duit raya lain.

Raya ke-3 kami ke kampung Ummi pulak di Kelantan. Menziarah pun seadanya saja, sebab ramai saudara mara yang dah mula balik bandar semula. Ramai yg tak sempat jumpa.

Hari Isnin baru ni, bertolak semula ke bandar Sungai Buloh, sebab dah kena masuk kerja. :-(

Cerita tentang Muizz

Abah rasa orang yg paling gembira balik beraya dikampung, tak lain dan tak bukan, Ahmad Muizz kesayangan abah. Malam pertama di Paka, dia ajak balik KL, sebabnya rumah tok mak takde aircon, dia kepanasan. Aduihhh.

Tapi bila dah start jumpa sepupu-sepupunya, terus tak nak balik KL. Ajak ke Kelantan pun tak mahu. Dah pandai pergi rumah sepupu2 dia tanpa abah dan ummi bersama.

2 hari di Paka, slang cakap dia pun dah bertukar. Abis campur aduk slang biasa dia ngan loghat Trg. Geli hati la pulak kami dengar dia bercakap ngan geng-geng sepupu dia. Dan bila diKelantan, pun kes yang sama. Habis dicampur aduk loghat Kelantan, Trg, dan juga loghat KL dia. Mana dia belajar pun abah tak tahu, tapi yang pasti, banyak perkataan dia Terengganukan atau Kelantankan. Ahmad...ahmad.

Nak ajak balik ke Kelantan, puas dipujuk. Siap kena tipu nak bawak gi jalan2 lagi. Itupun sepanjang jalan tanya, "Kita nak gi mana ni? Ahmad tak nak pegi Kelantan. Ahmad nak balik umah Tok Mak". Aduihhh anak. Sampai kelantan, dia bagi syarat, "Kita tidur satu malam je kat sini tau, esok kita balik Terengganu, ok?". Abah ok kan je lah. Nak buat camna.

Duit raya? Alhamdulillah, ada la rezeki dia sikit. Yang paling best, setiap paket duit raya, dia tak bukak langsung, dapat je dari orang, terus dia pass pada abah atau ummi. Nasib baik la abah ni baik(ececececece), kalau tak, abis dah duit raya Muizz abah guna buat isi petrol kereta.

Masa nak drive ke Sungai Buloh, abah tipu dia lagi, abah kata, kita nak balik Trg. Dia pun ok lah, sebab memang dia nak balik umah Tok Mak. Bila sampai Machang, dia tanya abah, "Abah, Ahmad rasa ini jalan nak balik KL je". Hahaha, Ummi dah sengih, abah pun tak tahu nak cakap apa. Nasib baik dia tak sambung ayat dia lagi.

Cerita tentang isu semasa.

Malas nak komen tentang isu Datuk Zakaria tu. Satu pelajaran penting, kalau anda orang berpangkat dan berkuasa, buat la salah macam manapun, kesannya cuma sikit saja. Anda masih boleh berkuasa dan bermewah2.

Tentang Tun Mahathir, abah rasa dia ni memang ada agenda tersembunyi. Tak tahulah agenda apa, tapi dari kesungguhan, dia tuntut perkara2 yang bukan utk kepentingan rakyat sangat pun, tapi lebih pada kepentingan sesetengah pihak saja - AP, Projek Mega. Abah memang jenis tak respect sangat pada dia kan, jadi tak tahu nak komen apa. Cuma kesian la kat Pak Lah. Kat Tun pun kesian juga, sebab nampak cam makin tak betul je dia.

Cerita tentang TV

Abah tengok banyak juga rancangan TV sempena raya hari tu, tapi satupun abah tak tengok. Yang abah tengok dalam 90% cerita pun, masa malam raya, sambil2 temankan ummi masak. Cerita Takbir Suci ke kalau tak silap abah. Hehe, dah la syahdu dengar orang takbir raya, kena pulak tengok kisah sedih macam itu, hehe, memang bergenang jugalah kelopak mata.

Dan abah tertarik lak dengan promo satu cerita wayang yang akan ditayangkan hujung bulan nanti. Kalau tak silap, CINTA nama tajuknya. Abah ni jenis liat sikit nak tengok cerita melayu. Jarang sgt abah berkenan dengan filem melayu, tapi promo CINTA tu macam tahu je yang abah akan tertarik. Teringat dialog Rahim Razali, "Isteri itu bukan hakmilik, tapi anugerah...". Nanti abah nak ajak Ummi pergi tonton la ceita tu kat wayang. Harap2 filem tu tak mengecewakan macam filem2 melayu yang sebelum2 ini lah.



Oklah, takat sini dulu, insyaAllah, lain hari sembang lagi.

Thursday, October 19, 2006

Cerita tentang iklan...

Semalam Ummi tanya abah, "Abang dah tengok iklan raya PETRONAS?". Abah kata abah dah tengok. Ummi tanya lagi, "Abang tak rasa apa-apa ke?". Abah kata "Tak." Dan abah malaslah nak tulis apa komen Ummi seterusnya.

Tapi bukan itu yang abah nak sentuh. Abah nak sentuh tentang kisah dalam iklan tu. Kalau anda belum tengok lagi, boleh tengok kat sini:



Iklan tu bagus. Tapi bagus kalau kita lihat betul2. Lihat dari semua segi. Bukan sekadar lihat dan rasa sedih. Abah yakin ramai yang rasa sedih. Mahu tak sedih, tengokkan nasib seorang ayah tua. Tapi bukan mesej kesedihan yang cuba disampaikan pada kita, lebih dari itu.

Abah tahu itu antara kisah yang memang realitinya berlaku. KIta takleh kata itu cuma rekaan syarikat iklan. Realitinya sekarang memang macam itu, cuma kisahnya mungkin sikit berbeza, tapi patinya tetap sama. Cerita tentang keadaan diri kita bila dah tua. Tentang anak-anak kita bila kita dah tua.

Memang semua orang tak mahu lalui hidup tua semacam itu, tapi kita tak boleh jamin kita tak akan jadi macam itu. Kalau Allah nak duga, mungkin diujinya kita macam itu.

Kalau anda dah tua, tak boleh nak betulkan banyak benda lagi la kan. Tapi kalau anda muda lagi, dan anak2 masih boleh dibentuk lagi, abah rasa ambillah pengajaran dari iklan itu. Jangan ditonton sekadar iklan raya saja.

Fikirkan sikit diluar dari iklan itu. Letakkan diri kita sebagai ayah tua itu. Letakkan diri kita sebagai anak perempuannya. Letakkan diri kita sebagai menantu lelakinya. Letakkan diri kita sebagai dua anak kecil itu. Letakkan, dan fikirkan.

Abah yakin banyak yang boleh dipelajari dari iklan beberapa minit itu. Dan satu perkara penting yang abah pelajari dari situ - Bila dah tua, jangan lupa pakai lampin. Hehehe, lawak saja!

Bukan iklan Petronas itu saja yang boleh ditonton dan dipelajari sesuatu, abah rasa cerita Seputeh Qaseh Ramadhan kat TV3 tu pun banyak mesej yang ingin disampaikan pada kita. Mesej yang betapa dalam masyarakat kita, banyak sangat kepincangannya. Dan semoga dengan watak-watak dan kisah yang dipaparkan, kita boleh fikirkan sesuatu dan usahakan sesuatu agar drama hidup kita satu ketika nanti, bukan drama pincang seperti yang ditayangkan itu, insyaAllah.

Kalau anda boleh memikirkan sesuatu dan pelajari sesuatu, alhamdulillah. Moga kita sama-sama akan jadi hamba Allah yang lebih baik dalam kehidupan seharian kita, insyaAllah.

Jumpa lagi lepas raya, insyaAllah.

Friday, July 14, 2006

Cerita tentang Pah Bedah...

Hari ni takde apa nak mengepek, cuma nak melalut sikit tentang cerita drama pukul 7.30 petang kat TV3. Cerita orang gaji lagi. Pada sesiapa yang pernah ikuti cerita Orang gaji dulu, inilah sambungannya. Dan Pah Bedah, seperti biasala, tidak pernah gagal untuk buat abah ketawa. Mahu nya tak ketawa, setiap patah kata dan perbuatan dia memang boleh buat abah tersengih sepanjang cerita. Sejak dari siri 1 lagi hinggalah sekarang, Elly Suriaty memang bagus betul bawak watak Pah Bedah.

Hari tu masa tengok dengan Ummi, abah ada gak cakap ngan Ummi, "Kalau la kita boleh dapat orang gaji macam Pah Bedah, memang happening habis la rumah tu". Maksud abah bukan la happening apa, tapi mesti abah akan ketawa je hari2 kat rumah tu tengok gelagat si Pah Bedah. Tapi itu cuma angan2 sajalah sebab abah rasa, tak ada orang gaji macam Pah Bedah tu skrg nih. Mana ada dah orang tempatan nak kerja jadi pembantu rumah.

Yang sanggup nak jadi pembantu rumah cuma orang Indon dan orang Peleping(mak abah panggil orang Filipina). Orang2 kita tak nak kerja macam itu, tak standard agaknya. Ataupun mungkin sebab rasa tak bebas. Ya lah, duduk rumah orang, akan mesti terasa tak bebas juga. Dan kalau jenis orang yang jaga agamanya, mungkin kekok sikit, ya lah, kena tuan rumah yang bukan muhrim, susah juga.

Itu je la dulu untuk hari ni. Dan mungkin kalau takleh dapat internet di Kuching, abah akan diam untuk 2 minggu lebih ni. Esok abah akan ke Kuching. Ada kerja sikit. Balik dari Kuching kang, insyaAllah abah akan ke Sungai Petani lak. Hehe, tak sabar nak ke SP, sebab nak gi melawat keluarga angkat abah kat Baling. Kurang2 boleh gak merasa buah2an yang tengah bermusim sekarang nih.

Doakan abah selamat pergi dan kembali.

Sebelum abah lupa, semalam masa tolong Ummi kemas rumah, terjumpa majalah masa abah belajar dulu. Dan abah tertarik dengan satu tulisan dalam majalah tu yang bercerita tentang "A Father's Instruction for Life". Arahan yang pertama berbunyi, " Compliment three people each day." Arahan2 yang seterusnya akan abah update dalam post2 selepas ini.

Friday, June 30, 2006

Cerita tentang kisah di media...

Hari ni tak banyak yang abah nak mengepek, cuma nak komen tentang cerita2 dalam akhbar kebelakangan ni.

Kisah pertama tentang Dr. Mahathir yang kebelakangan ini agak lantang juga mengomen tentang kerajaan sekarang. Dan abah perhatikan, ramai juga yang menyokong apa yang dikomen. Tak tahulah menyokong sebab ikhlas menyokong, atau sekadar menangguk diair keruh, atau memang sokong tapi tak tahu apa-apa. Orang kata ya dia kata ya, orang kata tak dia kata tak.

Pada abah la secara peribadi, perbuatan Dr. M yg dapat liputan meluas media, pasti akan menjejaskan imej kerajaan Malaysia sekarang dimata negara lain. Memang la kita tidak seteruk Timor Leste, tapi kalau dia berterusan bising macam itu, susah la. Cakap sekali sudah la, tak perlu nak beria-ia menegakkan pandangannya. Abah setuju dengan pandangan Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa Dr.M berbuat begitu atas sebab kepentingan peribadinya. Bukan sebab kepentingan rakyat atau Malaysia. Kalau betul Dr. M ikhlas buat untuk kebaikan rakyat, dia tidak akan bising yang melampau, komen itu dan ini. Zaman dia pun banyak benda yang orang komen, tapi tak pulak dibesar2kan. Teringatkan zaman Anwar Ibrahim dipecat hari tu pun dah buat abah tak berkenan dengan sikap Dr. M yang satu nih, apatah lagi bila dok dengar cerita2 tentang Proton dan GLC2 lain. Kebanyakan ceritanya memang menyakitkan hati.

Ok, tutup bab Dr. M.

Kisah kedua tentang Siti Nurhaliza(Siti lagi). Hehe, maaflah, abah nak komen juga tentang Siti. Heboh satu Malaya cerita tentang Siti Nurhaliza nak kahwin, baik akhbar, tv, radio, majalah2 murahan, semualah. Dan Siti pulak cuma berdiam diri saja. Hehe. Abah pelik la. Apa sangat la kisah Siti nak kahwin tu? Siapa sangat la Siti tu, sampai hal dia nak kawin pun mesti kecoh satu Malaya? Biarlah dia nak kahwin dengan sapa, dan bila. Itu hak dia. Dia pun manusia juga. Sampai masa dia kahwin, semua orang akan tahulah nanti. Tak payah nak kecoh2 sebab nak lariskan jualan akhbar atau majalah. Itu semua cerita sampah yang tak perlu nak ditulis panjang2 dalam akhbar atau diulas dalam berita TV. Itu baru Siti berdiam diri, bayangkan kalau Siti bagi komen dan beritahu sesuatu, abah takkan rasa reporter ni akan diam saja, confirm akan heboh lagi dengan pelbagai persoalan lain. Sekadar nak lalaikan bangsa Malaysia yang memang dah lali dan lalok sikit skrg nih dengan kisah2 picisan macam itu.

Dan semalam tertengok cerita Dunia Baru (ke apa ntah) kat TV3. Aduhaiiiii, kenapalah cerita macam itu ditayangkan kat TV. Kisah tentang budak universiti, tapi sepanjang abah tengok semalam, balik2 cerita cinta sesama pelajar, ko minat aku, aku suka dia. Belum cerita tentang pakaian pelajar yang mengalahkan penari kelab malam agaknya. Memang la orang akan kata itu realiti kehidupan sekarang, tapi kenapa nak ditonjolkan dalam TV sampai tahap macam itu. Megah sangat ke kita dengan budak2 melayu yang melakonkan watak pelajar universiti, yang pada abah, tak layak masuk universiti pun. Percakapan, rupa, agenda mereka seolah2 macam hidup ni sekadar hari ini dan esok saja.

Tapi itulah kan, dah penonton suka cerita2 macam itu, TV nak buat macamana. Tayang cerita2 serius kang, orang tak tengok. So, baik tayang cerita yang orang suka tengok, walaupun cerita tu memang 'insulting' minda orang-orang yang menonton, cuma mereka tak sedar.

Hehehe, oklah, banyak lak berleter pagi Jumaat nih. Abah pun banyak kerja nak disiapkan. Nanti kalau ada masa, abah berleter lagi dalam diari Internet abah ni.

Monday, October 24, 2005

Cerita tentang lakonan...

Abah tak tahu apa kena dgn trafik pagi ni, abah ambil masa 45 minit untuk drive dari Tol Duta ke pejabat abah, yg selalunya cuma ambil masa 10 minit. Intro pagi ni tak begitu menggembirakan, harap2nya, endingnya petang nanti menggembirakan abah sikit.

Malam semalam abah sempat tonton drama Quran Buruk di Astro. Dah lama abah nak tengok sebenarnya, tapi selalu miss. Abah tak tahu nak komen apa, tapi itulah realiti masyarakat kita abah rasa. Sangat sedih melihat apa yang berlaku. Kita seolah2 sudah tidak takut lagi untuk melakukan dosa. Isteri berhubungan sulit dgn suami orang, anak jantan mengandungkan anak dara orang, anak betina sendiri dimengandungkan jantan lain. Maaf la abah guna kata2 kasar macam ini. Sebab pada abah lelaki dan jantan, perempuan dan betina sangat jauh beza maknanya.

Abah tidak tersentuh sgt menonton cerita tu semalam, berbeza dengan Pondok Buruk, yang pernah buat abah bergenang air mata, masa lihat Rosyam peluk kaki Fauziah Nawi mohon ampun dimalam raya. Haha, maaf la. Abah memang sensitif kalau cerita2 yg melibatkan anak-anak dan mak ayah.

Bercerita tentang pelakon dan lakonan ni, abah salute juga dengan sesetengah pelakon yg pada abah, lakonan mereka sangat berkesan. Tapi Ummi komen juga semalam watak yg Wan Maimunah bawa. Kata Ummi, muka dah menunjukkan sikap tidak baiknya, tak perlu nak ditambah dengan adegan berkemban sepanjang masa.

Dan semalam juga ummi cerita tentang satu talk show berunsur agama, dimana karyawan dan pelakon dijemput. Salah seorang pelakon yg sudah jadi muallaf(alhamdulillah) memberitahu, dia terpaksa berhenti berlakon semata2 kerana berlakon membuatkan dia tidak boleh menepati waktu solat. Dan bila soalan diajukan pada Azean Irdawaty, kata Azean, awal2 dulu solat la. Tapi bila dah lama, director dan krew2 lain pandang semacam je, tak solat on time la, terpaksa la qadha solat. Azean beri satu jawapan yang ikhlas pada abah, tapi agak mengecewakan. Itulah realitinya pelakon2 dan penyanyi2 yang kita dok minat sangat itu.

Bila berlakon, terpaksa qadha solat, semata2 tak nak kecilkan hati jurumekap yang terpaksa touch-up makeup sebab makeup hilang bila berwudhuk. Samalah dengan penyanyi yang agaknya qadha solat juga atau mungkin tak solat langsung, semata2 sebab rambut dah set cantik2 untuk show malam itu.

Abah doakan moga Allah bukakan pintu hari manusia2 ini untuk bertaubat. Sesunggunya pintu taubat itu sentiasa luas terbuka untuk mereka yg ingin memohon keampunan Allah. Ingatan itu untuk diri abah juga.

Hari Sabtu tu abah happy sikit, Ummi ajak abah pergi Sogo untuk beli baju raya abah. And guess what, abah beli baju macam nak raya sebulan. Ummi pilihkan abah 5 helai baju-t, dan 3 helai jeans. Sekali fikir macam membazir la pulak, tapi sebab abah cuma beli baju sekali dalam setahun, ok je la kot.

Semalam abah pergi baiki kereta. Rabaklah juga 600 sebab tukar absorber, bateri, brake pad. Ini semua gara2 nak berjalan jauh untuk balik kampung nanti. Tak apalah, duit boleh cari, keselamatan abah sekeluarga lebih abah utamakan.

Thursday, July 21, 2005

Cerita tentang Akademi Fantasia

Abah tertarik dengan satu surat pembaca di laman web harakahdaily. Penulis memberi komennya tentang fenomena baru di malaysia iaitu AF3. Sebelum abah komen, biarlah anda semua baca dulu apa yang beliau tulis.

Mawi dan Akademi Fantasia: Fenomena baru?
Wednesday, July 20 @ 12:41:19 MYT
Oleh MELINTANG SESAYAP

MAKA suasana menjadi tenang seketika. Jalan raya agak lengang. Anak-anak kecil tidak berkeliaran. Semua telah pun pulang ke rumah. Tiada kelas mengaji muqaddam hari ini. Ustazah memang tidak mengadakan kelas.

Anak-anak muda yang sering bersantai, lepak dan bersidai tepi tangga, tepi tembok dan tepi kaki jalan sudah pun kembali ke rumah sejak awal lagi. Tiada usik mengusik, tiada 'dating' dan tiada ke hulu ke hilir dengan motosikal. Tiada jalan-jalan malam.

Kenduri pada malam ini telah ditunda keesokan malam dan ada kenduri yang telah diawalkan. Ada yang tidak jadi pulang ke kampung atau ada yang melewatkan perjalanan jauh.

Anak yang kecil, bayi telah ditidurkan awal dan makan malam telah pun disantap seisi keluarga selepas solat maghrib. Ada yang telah membatalkan ziarah ke rumah saudara dan kalau ada tetamu yang ingin datang diminta melawat pada lain masa. Yang pasti bukan malam ini. Kuliah kurang orang. Ceramah lengang. Aktiviti semua mati malam ini.

Semua ini kerana inigin memberi laluan kepada siaran langsung konsert Akademi Fantasia. Yang tiada rangkaian ini, masing-masing telah awal lagi menempah. Dua bulan yang lalu. Yang tidak mampu menempah rangkaian ini sanggup pula bersusah payah menumpang tonton rumah kaum kerabat yang ada.

Yang telah dipotong rangkaian ini kerana sudah lama tidak membayar, telah berusaha mengumpul wang semula untuk membolehkan rangkaian disambung kembali. Yang belum menambah nilai kad prabayar telefon bimbit telah berkelam-kabut ke kedai berdekatan.

Sebutlah dan isytiharkanlah siapa yang tidak tahu tentang AF3 dan Mawi.

Sekalian alam kenal dan arif benar. Yang tua muda, kecil besar, miskin kaya, sakit sihat, kerajaan swasta, menteri atau orang gaji semua mengenali.

Begitulah suatu arus dan fenomena (meminjam tajuk akhbar) yang melanda. Tidak terelak lagi ledakan gelombang ini.

Yang mengulas pula datang dari segenap lapisan. Semua ingin menjadi juri tak bertauliah. Dari pensyarah menara gading (professor kangkung?) sehinggalah ke pesawah di tepi tebing.

Penghuni institusi pengajian tinggi hinggalah pekerja kuli yang hanya mengaji jawi. Daripada yang berada di awan biru sehinggalah yang berada di bawah tanah kubur menggali lubang baru. Hebat memperkatakannya.

Tahniah Akademi Fantasia kerana menjadi pemangkin dan pencetus suasana yang telah lama suram kerana pelbagai perkara. Terima kasih kerana telah membawa rakyat Malaysia lari seketika daripada realiti dan hakikat yang ditempuhi. Sekalung tahniah juga kerana telah menemui seorang insan yang didambakan sejak sekian lama oleh rakyat. Idola ramai dan teladan semua.

Mawi suatu nama keramat yang meniti dari bibir ke bibir dan menjadi buah mulut orang. Dari Datuk Keramat ke Tumpat sehingga ke Kudat semua tahu tentang perkara ini. Rakyat terutama remaja telah lama menantikan seorang lambang atau tokoh yang boleh dijadikan contoh.

Telah lama kekosongan ini berlaku. Gersang. Kering. Kini panduan hidup rakyat telah kembali pulih. Kiblat telah dibetulkan semula. Mawilah pengubah segalanya.

Hampir tiada kedengaran cacat cela dan sopeknya makhluk ini. Kiranya ada sekali pun, pasti ramai yang membela dan mempertahankannya. Penuh dengan pujian dan kekaguman yang menggunung.

Apa yang dibuat, dituturkan dan didiamkan menjadi ikutan ramai dan terasa seolah-olah seperti hadis pula. Rakyat khasnya remaja serta khususnya Melayu Islam memang ingin seorang yang 'beragama' membawa hala tuju matlamat hidup mereka.

Tetapi rakyat kebanyakan menantikan kemunculannya dari alam hiburan. Rakyat tidak mengharapkan kewujudannya dari alam atau bidang lain seumpama bidang ekonomi, politik, pendidikan kerana telah jelak dan telah muak dengan masalah yang timbul dan kecewa dengan insan atau pemimpin yang muncul untuk menjadi idola. Semua penuh bermasalah dan janji kosong.

Kini hati rakyat terubat dengan manusia yang 'dilahirkan' dan 'dibesarkan' daripada alam hiburan. Seorang yang ada nilai agama terpacul dengan gaya yang tersendiri.

Syabas. Bagus. Tahniah. Hebat. Cemerlang. Terbilang. Gemilang. Extravanganza. Penuh aura. Karisma. Ada 'x-factor'. Pakej yang lengkap! Ada mesej dakwah!
Tiada siapa menafikan kehadiran dan kehebatannya.

Sehingga terdengar dicuping telinga. Seorang pendidik menasihati anak muridnya "jadilah seperti Mawi. Mengaji boleh, menyanyi pun boleh. Ini yang kita hendak. Contohilah dia." Laksana seperti Anwar masuk Umno, kini Mawi masuk Astro. Berdakwah dari dalam...

Begitulah komentar yang dikumpulkan serta dikoleksikan secara berguni dan bergantang-gantang.
Akan tetapi...

Sedih betapa tipisnya iman kita.
Izinkan dibariskan kilasan pandangan tak seberapa untuk tatapan semua

Pandangan Pertama (1)
Dahulu Mawi; Seorang qari yang pernah melunakkan bacaan al-Quran. Antara petikan surah yang pernah dibaca dan dilalui sepanjang hidupnya: "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman; hendaklah mereka menahan (merendahkan) pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat" (Surah An-Nur ayat 30).

Dan mengakhiri surah-surah yang dibaca sambil duduk bersila penuh tertib dan adabnya.

Kini Mawi Qari yang sama memerdukan dan menyaringkan nyanyian Antara petikan lagu dendangannya: "siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati tiada memikat...Aduhaiiiiiiiii...lemah lembut gayanya..." (lagu penyanyi lama)

Dan mengakhiri lagunya sambil menari lantas memandang tepat ke arah wanita yang berdiri di sisinya.

Pandangan Kedua (2)
Dahulu Mawi seorang bilal yang pernah melaung azan sambil berdiri tegak Antara terjemahannya membawa erti "...menuju kejayaan"

Kini Mawi Bilal yang sama menyanyi lagu tema rancangan sambil menari rancak Antara alunannya berbunyi "...menuju puncak".

Pandangan Ketiga (3)
Memetik kata Mawi " ....dia mesti bertudung..."

Dengan petikan itu maka; 1.Tudung Mawi diberi nama dan laku diniagakan 2. Seorang peserta bukan Islam memakai tudung secara bergurau lantas mengejar Mawi 3. Seorang juri wanita Islam yang tidak bertudung tidak semena-mena memakai tudung berbentuk selendang di kepala seraya berkata "saya kalau nak komen Mawi mesti pakai tudung..."

Lantas disambut gelak hilai, sorakan, teriakan dan jeritan penonton menyambung gurauan dan perbuatan main-main ke atas tudung ini.

Main-main dengan hukum Allah.

Pandangan Keempat (4)
Fanatik, penyokong dan penonton Islam Mawi akan mempertahankan Mawi habis-habisan apabila dimaki tetapi apabila Nabi dan agama Islam sendiri dicaci, di mana kalian 'bersembunyi' selama ini?

Pandangan Akhir
Apa pendirian PAS dan Harakah tentang fenomena ini?
Saya tinggal kilasan ini untuk direnungi dan dihadami bersama.
Saya pernah dinasihati oleh rakan-rakan agar tidak melawan arus. Sambung mereka Arus 'TsuMawi' ini boleh menyebabkan kau 'mati'!!!

Akhirnya jawab saya "biarlah saya 'mati' dan mati kerana Ilahi." – lanh

Pada abah, ada benarnya pandangan penulis tentang apa yang ditulisnya, terutamanya bab-bab yang seolah-olah mempersendakan soal pemakaian tudung, hanya kerana Mawi suka gadis bertudung. Abah tidak persoalkan kehadiran Mawi dalam AF3 ni, sebab abah fikir, anak muda seperti Mawi mungkin tertarik jiwanya pada benda-benda macam AF ini, kalau tidak Mawi takkan pergi audition.

Kalau nak diulas tentang AF3 itu sendiri, rasanya isu Mawi bukan satu isu, kerana ada atau tidak Mawi dalam AF, sambutan peminat tetap sama. SMS yang masuk ke Astro melimpah ruah juga. Dan abah rasa, jika nak menilai AF3, nilailah AF3 setakat AF, bukan dengan mengambil kira plajar-pelajar didalammnya, sebab pada abah, siapa saja yg jadi pelajar AF, AF tetap AF, yang pasti akan sentiasa menarik perhatian ramai penonton.

Monday, July 18, 2005

Cerita tentang masa, dan kesempatan...

Dua hari bercuti, abah tak ke mana-mana sebab ummi dah reserve weekend hari tu untuk kemas rumah. Kesian ummi, penat kemas rumah. Abah tolong mana-mana yg patut je la, sebab abah tak kreatif nak menghias rumah ni.

Semalam abah tonton Tru Calling, seperti biasal a kan, cerita kegemaran sekarang ni. Abah tak mahu la cerita tentang jalan ceritanya, cuma nak menulis sikit tentang apa yang abah belajar dari cerita semalam. Sebab abah rasa kita semua hampir sama saja pemikirannya, maksud abah dari segi memikirkan yang kita "sentiasa ada masa". Kita tahan diri kita dari melakukan sesuatu yang kita nak buat atas alasan "masih banyak masa untuk kita buat". Tapi bila ditengah jalan, maut datang menjemput, masa itulah baru terbukti yang kita sebenarnya "tidak cukup masa".

Datuk Jins pernah kata "Esok masih ada", tapi abah nak kata "Pastikah masih ada esok untuk kita?". Abah fikir, sementara kita ada masa ini, buatlah apa yang baik yang kita nak buat. Cakaplah pada insan-insan kesayangan kita, bahawa kita sayang pada mereka. Berbuat baiklah pada manusia, kalau itu yang kita ingin buat. Jangan ditangguh, sebab kita tak tahu masih adakah lagi esok untuk kita berbuat kebaikan.

Macam cerita semalam, dia mati tanpa sempat menyatakan yang dia cintakan wanita dipejabatnya. Dan wanita itupun dalam kesamaran samada simati itu tahu atau tidak yang dia sangat menyintainya. Masing2 tidak meluahkan perasaan atas alasan tadilah "masa masih banyak".
Simati itu juga tidak sempat berbaik dengan anak lelakinya,mungkin juga dengan alasan "masih banyak masa untuk berbaik nanti".

Tuesday, June 21, 2005

Cerita tentang Bersamamu

Wajah

Berbumbungkan angkasa kelabu
Lantainya bumi retak seribu
Setiap langkah perjalananmu
Beronak berliku

Betapa berat mata memandang
Berat bahu menggalas bebanan
Belum sempat menitis ke pipi
Tangisan kering sendiri

Berkali tersungkur
Pandanganmu kabur
Namun azam meneruskan hidup
Tak pernah luntur

Engkaulah perwira
Di medan derita
Merentasi ranjau kehidupan
Dengan harapan

Luahan rasa derita jiwa
Pada wajah tiada rahsia
Menunggu malang berganti tuah
Usah kau berputus asa
Kaulah wira

Semalam abah tonton rancangan Bersamamu TV3, tersentuh juga hati lihat kepayahan hidup manusia lain. Terasa bersyukur dengan nikmat yang Allah beri, walaupun kadang-kadang terleka dengan nikmat itu.

Abah sebenarnya kagum dengan dua anak lelaki Puan Serinang Subi, betapa anak itu pada abah, anak yang cukup baik. Untung beliau ada anak2 sebegitu. Ibu bapa lain juga, termasuklah abah sendiri, perlu bersyukur kalau dapat anak2 yang baik. Kalau ditakdirkan dapat anak yang pada pandangan ibubapa ini 'kurang baik', bersyukur jugalah, sekurang2nya kita ada anak. Tapi kena juga berusaha bimbing dan didik anak itu, moga dia juga akan jadi anak yang baik.

Abah kadang takut juga bila umur makin meningkat, sifat diri akan berubah. Macam abah lihat sesetengah orang tua. Bila umur dah semakin meningkat, makin banyak kerenah yang melukakan hati anak-anak sendiri dibuat. Abah bukan bermaksud kerenah akibat kekangan fizikal akibat umur tua, yang abah maksudkan ialah sikap-sikap seperti marahkan anak depan orang(walaupun anak itu dah pun ada anak sendiri), suka bangkitkan kisah2 lalu yang kadang2 melukakan hati anak, banding-bandingkan anak2. Anak itu bagus, anak ini tidak, etc.

Kalau anaknya baik, alhamdulillah, akan ditelan saja rasa kecil hati, sebab itu ibu, itu ayah yang banyak berjasa. Tapi malang kalau terkena pada anak yang tidak boleh menerima keadaan sebegitu. Bukan salah sesiapapun sebenarnya, cuma masing-masing pada abah kena banyak ada rasa tolak ansur, terutamanya si anak.

Moga-moga Allah jauhkan diri abah, dan anda semua dari sikap sebegitu, andainya umur kita dipanjangkan Allah.