Tuesday, November 29, 2005

Cerita tentang petua kekalkan persahabatan...


Abah hari ni rasa macam tak ada kerja, walaupun sebenarnya ada. Dan bila rasa tak ada kerja ni, inilah selalunya masa untuk baca akhbar. Abah bukalah Berita Harian Online, tertarik dengan satu artikel berkaitan Sahabat.

Abah tak nak la copy and paste semua yg wartawan tu tulis, nanti ada yang bosan lak baca. Kan Zamdee? :-)

Abah cuma nak petik sikit petua yang diberikan, bagaimana untuk kekalkan persahabatan.

Kata dia:

# Berikan masa untuk sesebuah persahabatan ‘tumbuh’

“Ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mewujudkan persahabatan yang akrab. Satu daripada sebab mengapa ia mengambil masa sehingga tiga tahun adalah kerana dalam tempoh berkenaan, mereka (sahabat) akan melalui beberapa konfl ik yang dapat menentukan persahabatan itu dapat bertahan atau tidak”. Petikan buku Friendshifts, tulisan Jan Yager

# Komunikasi asas persahabatan

Berbicara adalah komponen utama dalam persahabatan. Bila seorang teman menceritakan idea atau perasaannya, beliau mengharapkan rakan yang mendengar itu memberikan maklum balas. Jika hanya beliau saja yang banyak bercakap, beliau akan merasakan seolah-olah rakan yang mendengar itu tidak berminat dengan apa yang disampaikan.

# Ya, memang sukar untuk meluangkan masa

Lebih-lebih lagi bila kita begitu sibuk menguruskan kehidupan sendiri. Tapi anda sebenarnya tidak memerlukan masa berjam-jam untuk memastikan hubungan persahabatan terus bertahan.

Pastikan ia berterusan dengan:

# Hantar e-mel. Maklumkan atau tanya khabar teman anda melalui e-mel.

# Hubungi mereka sekurang-kurangnya sekali seminggu. Perbualan telefon tidak semestinya lama.

# Sekali-sekala, hantarkan kad atau e-kad kepada mereka. Tidak semestinya menunggu waktu tertentu saja.

# Kirimkan gambar. Sekeping gambar menyampaikan 1,001 cerita.

# Makan bersama sekurang-kurang sekali dalam sebulan. Lebih kerap lebih bagus.


Kebetulan malam semalam abah ada call sorang sahabat. Lama tak dengar berita, lama juga la berborak. Alhamdulillah, katanya, dia rasa seronok sangat abah call dia. Dan dalam berborak dan bercerita tentang kisah masing2, sempat juga dia pesan, kata dia, "biarlah persahabatan kita ni akan kekal hingga ke akhirat". Abah tak pasti apa yg patut abah balas, yang terkeluar cuma "InsyaAllah". Dan abah harap dia faham, apa maknanya InsyaAllah itu pada diri dia dan juga diri abah...

Cerita tentang Kaparinyo...

Tak ada apa yang nak direpekkan hari ni. Abah cuma nak letakkan lirik lagu yang pernah jadi kegemaran abah satu ketika dulu. Masa abah kemaskan koleksi CD abah hari Sabtu itu hari, terjumpa CD album Cindai. Abah dengar la semula. Dah banyak lagu yang abah lupa liriknya, kecuali Cindai. Tapi hari ni abah nak letak lirik Kaparinyo(abah pun tak tahu apa maksudnya), tapi abah suka dengan kata2 dalam liriknya, sangat cantik gaya bahasanya.

KAPARINYO

Orang berinai berhitam kuku
Mandi dijirus si air mawar
Jikalau sampai hasrat hatiku
Racun ku minum jadi penawar

Belum tersurat dalam hikayat
Ayam keluar mencari musang
Belum tersirat di dalam adat
Bunga keluar mencari kumbang

Semenjak lembah bertambah dalam
Nampaknya gunung tinggi bertuah
Semenjak sejarah hawa dan adam
Alam berkembang berubah-ubah

Hasrat nak beli dulang bertepi
Barulah moleh untuk hidangan
Hajat nak cari yang sama sehati
Barulah molek makan sepinggan

Sungguhlah harum si bunga tanjung
Hati nak petik si bunga mawar
Rindu dan dendam tidak tertanggung
Budi setitik jadi penawar

Sungguh melati senang dipetik
Harumnya mashyur seluruh alam
Sungguhpun budi hanya setitik
Langit dan bumi ada di dalam

Hebat juga Siti Nurhaliza ya! Kalau tak percaya, jenguklah Wikipedia.

Monday, November 28, 2005

Cerita tentang makan2...

Semalam abah buat makan2 sikit, org kata open house, tapi abah kata open door je. :-) Alhamdulillah, semuanya berjalan dgn baik. Cuma kesian Ummi la, penat dia. Dah la ummi yg masak semuanya, abah cuma tukang rasa dan komen je. Standard la kan!

Abah risau juga awalnya, sebab ummi masak banyak juga, tapi ramai kawan2 yg sms bagitahu tak dapat datang. Tapi alhamdulillah, ramai juga yang sempat bertandang, dan makanan pun takde yg terbuang.

Abah nak ucap terima kasih pada kawan2 yg sudi datang, Jay + family, Iznora + family, Syahril + family, Adlan + family, Karim + anak, Farish + Na, Brader Jem + famili, Nieda, Zaza + family, Mr Beh + Doris, dan yg lain2 juga. Minta maaflah, rumah abah kecik, terpaksa bersesak2 semalam. Untuk geng2 semua, InsyaAllah nanti kita buat lagi makan2 ni. Seronok dapat jumpa kalian semua yang dah lama tak jumpa. Anak2 pun semua dah besar2.

Pada kawan2 yg tak dapat datang, tak apa, abah faham. Anda mungkin ada perkara yang tak boleh nak elakkan. InsyaAllah, kalau tahun depan abah sekeluarga panjang umur dan murah rezeki, akan abah jemput lagi sekali.

Baru kejap ni abah dapat emel dari rakan abah di Melbourne, dia dah dapat new baby boy. Tahniah, dan Alhamdulillah bro Rafiq, moga akan jadi anak yang soleh.

Saturday, November 26, 2005

Cerita tentang anak ayam...

Malam semalam, abah, ummi dan Mu'izz ke 1-Utama. Samapi elok2 je waktu Maghrib. Kebetulan abah puasa enam(hehe, tak abis2 lagi), abah berbuka kat Arena. Duduk sebelah ngan meja Dian P.Ramlee dan anak2 dia. Tak perasan pun, bila Ummi suruh tengok, baru abah perasan depa. Anak Dian comel2.

Sementara Ummi beli barang rumah, abah gi solat dan ambik tiket wayang yg abah dah tempah. Waktu abah nak withdraw duit untuk beli tiket, terberatur belakang Sharifah Amani Sepet dan maknya. Cantik juga dia, kecik molek je. Hehehe.

9.20pm, kami masuk tengok wayang. Memandangkan ini pertama kali, abah risau juga, takut Muizz buat ragam. Alhamdulillah, dia seronok betul tengok Chicken Little. Bukan dia sajalah, abah pun sama naik. Muizz gelak je sepanjang cerita tu. Abah pun sama. Cuma Ummi je macam tak tahu nak bagi reaksi apa, agaknya sebab ini bukan cerita yg Ummi suka. Abah, tak payah cerita la, semua cerita kartun dan animasi wayang dah jadi satu kewajipan untuk abah tengok.

Bagus juga cerita tu, menarik, banyak adegan lucu, tapi masih ada pengajaran yg cuba disampaikan. Abah bagi 3.5 bintang untuk Chicken Little. Nampak gayanya, abah kena cari DVD cerita ni la nanti, sebab Muizz asyik dok sebut nak tengok lagi cerita ni. :-)

Abah ni sambil2 tolong ummi masak untuk makan2 esok pun sempat lagi update blog.

Friday, November 25, 2005

Cerita tentang lelaki...

Pagi ni abah terbaca satu emel menarik berkaitan "Banyak Untungnya Kalau Faham Lelaki".

Terasa juga nak ngulas sikit apa yang penulis tu kata.

Kata dia: Jika suami anda menyendiri dan menjauhkan diri, ketahuilah dia dalam keadaan tertekan. Boleh jadi ada tekanan di tempat kerjanya, boleh jadi oleh kereta yang dimilikinya, atau boleh jadi beberapa kerenah anda yang menjadi menyebabnya. Meskipun begitu, usahlah risau, ia sekejap saja. Emosi pada orang lelaki umpama getah, sekejap saja telah kembali ke bentuk asal walaupun tadinya terhenyak pipih.

Kata abah: Abah memang setuju dengan penulis ni. Emosi lelaki secara biasanya cuma sekejap. Bila dia dah ok, dia akan balik ke gelagat asalnya. Kalau anda isteri, berilah masa untuk dia layan diri dia sendiri. Jangan ambil hati dengan emosi yg macam itu. InsyaAllah, kalau anda buat macam biasa, suami pun akan back to normal dalam masa yang singkat sahaja.

Kata dia: Apabila lelaki suka menyendiri dan berdiam diri, biasanya disebabkan imejnya yang tergugat. Biarkan sahaja untuk tempoh-tempoh tertentu. Usah ‘gatal-gatal’ sangat memujuk. Kadang-kadang lelaki hanya perlukan ‘tempoh bertenang’ sebelum mengambil langkah seterusnya. Anda kelam-kabut, maka itu anda mudah marah, cemburu dan merajuk apabila berdepan dalam situasi begini. Ohhh, itu silap. Usah risau sangat kalau lelaki anda cuba berjauhan dari anda dalam keadaan-keadaan demikian sebab semula jadinya lelaki terasa selesa berjauhan dengan keluarga.

Kata abah: Abah setuju juga dengan pendapat ini. Andai lelaki bertanya untuk bantuan anda, itu maknanya dia mahu dibantu. Jika tidak, biarkan saja. Berikan sedikit tempoh untuk dia bertenang. Jangan marah, merajuk dsbnya. Ini cuma menyebabkan lelaki akan lebih menyendiri.

Kata dia: Mengapa lelaki begitu? Itulah bukti kekuasaan ALLAH. DIA menjadikan perbezaan yang ketara antara lelaki dengan wanita, agar apabila disatukan, terjalinlah satu bentuk kekuatan lantaran saling sempurna menyempurnakan – lengkap melengkapi. Semua kekurangan isteri akan dipenuhi oleh suami dan semua kekurangan suami akan dipenuhi pula oleh isteri. Lihat perbezaan sebagai sebab untuk sempurna menyempurnakan bukan jurang kedegilan untuk tidak mahu memahami.

Kata abah: Sangat setuju. Allah sudah menciptakan alam dan penghuninya dengan sangat cantik dan sempurna.

Kata dia: Jika berlaku pertengkaran selalunya dia akan melawan habis-habisan dan anda pula mengalah dan pura-pura setuju demi perhubungan. Usah terasa teruk sangat dengan keadaan ini, lelaki memang begitu, sentiasa mahu menang dan mahu sentiasa dilihat menang walaupun hatinya mengakui kesilapannya dan mahu berubah mengikut apa yang anda perkatakan. Walaupun anda tahu anda benar dan anda tidak pernah berbuat salah, akhirilah semua pertengkaran dan perselisihan dengan anda yang meminta maaf. Anda mahukan dia yang meminta maaf? Usah harap. Lelaki memang berat untuk meminta maaf terutama daripada pasangannya. Ikut kajian, wanita lebih mudah meminta maaf dalam keadaan apa jua dan atas hal apa jua, maka gunakan kelebihan ini untuk lebih mudah meminta maaf walaupun tidak bersalah.

Kata abah: Hehe, abah macam inilah, tiap kali ber'bincang' dengan ummi, abah akan selalu nak menang, walaupun abah tahu abah salah. Inilah agaknya yang orang kata ego lelaki itu tinggi. Akhirnya, ummilah yang selalu mengalah. Tak adilkan? memang tak adil, tapi susah abah nak ubah yang ini. Abah cuba juga. Mudah2an sifat tidak baik lelaki ini akan berjaya abah ubah. Walaupun ummi tak salah tapi dia mengalah, abah rasa bahagia sungguh. Bukan sebab abah rasa abah menang, tapi abah rasa, ummi sangat sayangkan abah.

Kata dia: Satu lagi yang anda patut tahu tentang lelaki ialah mereka memang suka memberi arahan bagaikan ketua yang mempunyai kuasa. Usah dilawan, tapi layanlah hati sendiri dengan berleter hingga anda sendiri berasa puas. Tapi awas, jangan sampai berleter di hadapannya, itu boleh memburukkan keadaan. Kata orang, wanita sinonim dengan leteran. Kalau tak pandai berleter bukan wanita namanya. Ya, teruskan saja berleter, hamburkan semua yang menekan kepala.

Kata abah: Yang ini abah tak pasti, sebab dalam hubungan abah dan ummi, abah yang lebih banyak berleter. Ummi lebih banyak diamkan diri, walaupun sesekali ummi berleter juga,especially bila abah suka sepahkan barang dalam rumah, ataupun abah tak tolong ummi buat kerja rumah. Hehe. Tak apa ummi, leterlah, abah tak ambik hati, sebab jarang sekali abah nak dengar ummi berleter. Kalau anda wanita yg suka berleter, kurangkanlah sikit tabiat berleter, terutamanya depan suami. Lelaki MEMANG tak suka orang kuat berleter. Tapi kalau lelaki berleter tak apa, tak salah. :-). Ada ke lelaki berleter? Ke abah je yang abnormal.

Haha, jumpa lagi minggu depan. Malam nanti abah nak bawak Muizz dan Ummi tengok Chicken Little kat TGV 1 Utama. First time nak bawak Muizz tengok wayang. Harap2 dia tak meragam la nanti.

"Accept the things to which fate binds you and love the people with whom fate brings you together but do so with all your heart "
~ Marcus Aurelius

Wednesday, November 23, 2005

Cerita tentang kawan...

Abah jenguk blog Am, PB dan Anim kejap ni. Banyak cerita betul. Itulah kalau cuma sesekali je sempat lawat blog kekawan. Jangan marah ya, abah kadang tak sempat nak lawat selalu blog kawan2.

Tertarik dengan cerita Am tentang kawan. Kawan..hmmm, pada abah bercerita tentang kawan ni samalah macam cerita tentang jodoh, tak akan habis. Dah hampir 30 lebih tahun hidup ni, abah rasa dah bermacam jenis kawan yang abah jumpa. Ada kawan yang cuma setakat kawan, ada yang bertukar jadi teman, dan ada yang sehingga kini sudah menjadi sahabat abah, sahabat dunia akhirat..

Nak berkawan tak susahpun, tersilap telefon, tersilap YM, tersilap emel pun tiba2 boleh jadi kawan. Kadang terjumpa dan berborak kat stesen minyak pun boleh jadi kawan. Belum campur lagi dengan yang memang sepejabat dengan kita. Hampir semua oranglah boleh jadi kawan. Alhamdulillah, kalau hidup kita masih dikelilingi manusia yg kita kenal, kita masih ada kawan la maksudnya tu.

Cumanya, abah fikir, kita sebagai manusia ni, perlukan kawan yang lebih dari seorang kawan. Kawan yang boleh berkongsi rasa dan pandangan, kawan yang 'menyokong yang tak membawa rebah', dan kawan yang 'menentang yang tak tersungkur'. Sudah fitrah kejadian manusia agaknya yang memerlukan kepada kawan atau sahabat dalam hidup. Cumanya, tak semua orang bertuah badan dapat memiliki kawan yang sangat baik dalam hidup.

Abah pernah terbaca artikel tentang adab-adab berkawan, tapi abah dah lupa sgt apa isinya. Cuma yang abah masih ingat, kita dalam berkawan, pertamanya kena ikhlas dalam berkawan. Kena banyak bertolak ansur, kena banyak membantu. Dan persahabatan itu kenalah berlandaskan agama Allah. InsyaAllah, akan aman hidup mereka yang berkawan macam itu.

Dan bercerita tentang kawan ni, teringat abah pada kawan2 lama yang kini entah dimana. Kalau dulu rapat bagaikan saudara, sekarang, abah sendiri pun tak tahu apa kisah masing2. Salah abah juga mungkin, terlalu sibuk dengan kisah hidup sendiri hingga terlupa nak memastikan tali persahabatan tetap erat. Tanpa abah sedar, banyak tali persahabatan abah yang dah putus, dan ada yang hampir putus. Putus bukan kerana digunting, tapi putus kerana abah biarkan ia berhujan berpanas. Moga2 Allah tautkan semula tali persahabatan kami, insyaAllah.

Dan tadi ada kawan tanya juga, salah ke kalau 2 lelaki yang bersahabat, berpeluk bila berjumpa dan berpisah. Hmmm, susah juga nak jawab, sebab abah bukan jenis lelaki yg amalkan konsep berpeluk sbg tanda persahabatan. Seingat abah, abah berpeluk2an dengan orang lain masa kami dimajlis perpisahan kampung angkat di Baling, waktu abah di UUM dulu. Mula2 tu abah macam biasa, tapi bila pandang saja wajah ayah2, abang2 dan adik2 angkat dikampung tu, tak sedar yang abah dan mereka dah berpelukan dan masing2 cuba menahan airmata dari mengalir walaupun gagal. Kena pulak masa tu, ada seorang abang angkat laungkan azan. Allah sajalah tahu apa perasaan abah masa itu. Dan alhamdulillah, waktu abah ke Baling tempohari, abah masih juga dialu2kan sepertimana mereka alu2kan abah waktu mula2 abah berkunjung ke kampung mereka. Balik kepada isu peluk, abah rasa kalau pelukan itu mampu rapatkan kemesraan antara dua sahabat kerana Allah, buatlah. Abah sendiri pun sekarang ini sedang cuba ajar Muizz jadikan peluk abah dan ummi itu sebagai satu cara menunjukkan kasih sayang. Alhamdulillah, kalau abah lupa peluk dia dalam sehari, akan dia ingatkan abah.

Pada kawan2 lama yang baca blog abah, kita simpul semula andai tali persahabatan telah putus, kita utuhkanlah tali itu andainya ia masih tersimpul, dan buat kawan2 baru, moga tali itu akan makin erat terjalin dan kekal teguh selama hayat dikandung badan...

"A wise man remembers his friends at all times; a fool, only when he has need of them."
Turkish Proverb

"A true friend knows your weaknesses but shows you your strengths; feels your fears but fortifies your faith; sees your anxieties but frees your spirit; recognizes your disabilities but emphasizes your possibilities."
William Arthur Ward

Tuesday, November 22, 2005

Cerita tentang anak...

Hari Senin semalam abah saja ambik cuti, sebab rasa macam malas nak masuk ofis. Dan sebab abah dah cuti, kena jaga Muizz la juga. Risau abah semalam, Muizz muntah 2 kali, habis keluar semua makanan dan susu yg dia makan. Tapi sebab he is as energetic as always, abah tak la takut sangat. Pagi ni, waktu abah hantar dia ke rumah Nenek, dia nampak monyok semacam je. Naik risau abah, tadi pengasuh call Ummi, cakap Muizz masih monyok, baring saja, tak aktif macam selalu. Abah cakap ngan Ummi malam ni kami bawa dia ke klinik. Takut dia sakit apa2.

Pagi tadi terima satu emel tentang bagaimana anak2 sekarang bila balik kampung duduk hotel, dan tak duduk rumah mak ayah. Bukan cerita pelik pun pada abah, sebab abah pernah berhadapan dengan rakan2 yang bersikap macam itu. Abah bukan nak kata perbuatan itu salah, tapi pada abah, kurang proper.

Kalau ada alasan yg kukuh untuk duduk hotel bila balik kampung, boleh la diterima, tapi kalau sekadar rumah mak ayah sempit, takde Astro, tak selesa, etc, abah rasa itu dah keterlaluan. Mak ayah mana pun akan kecil hati kalau anak-anak buat macam itu. Imagine rumah yg didalammnya anak2 membesar, tapi bila mereka dah dewasa, rumah itu dikatakan sempit, tak selesa dsbnya. Kalau abah pun, abah akan jauh hati dgn tindakan anak2 macam itu.

Bukannya balik untuk sebulan, sekadar 3-4 hari. Apa salahnya sesekali balik kampung, dan duduk dalam rumah mak ayah. Sesak pun sesak la, bukan lama pun. Hati orang tua itu jauh lebih penting dari rasa keselesaan kita.

Abah ada kenalan yg tiap kali balik kerumah mertua, akan duduk dihotel. Alasannya: tidak suka dengan ibu mertua. Ada juga yang tak nak tinggal rumah mertua bila balik kampung sebab krisis lain. Tapi hati orang tua agaknya, sekecil hati macamanapun, tetap tak akan ditunjuk atau diluahkan. Sebab itu anak2 fikir, "Alah, mak ayah tak kisah kalau kita duduk hotel". Pada mak ayah, sesekali tu abah rasa elok juga tunjuk dan bagitahu yang kita kecik hati dengan sikap anak2. Biar mereka tahu. Dirumah itulah dulu mereka makan, dirumah itulah dulu mereka tidur, bermain, belajar, dan segalanya. Takkan dah kawin dan ada anak sendiri ni, rumah itu dah jadi satu benda yang 'alien' pada dia.

Moga kita anak2 ni tak akan buat macam itu kat mak ayah, andai mereka masih hidup. Umur mereka tak panjang pun, tak salah kalau kita berkorban harta dan budi, untuk menyenangkan mereka selama mereka ada ni. Itulah orang tua yang besarkan dan didik kita.

Cukuplah abah menegepek tentang ini. Semalam Ummi tanya abah, kot2 abah nak buat makan2 jemput kawan2. Abah kata kalau Ummi larat masak, boleh la buat. Tak tahulah tu, apa keputusan Ummi. Kalau jadi nanti kang, akan abah emelkan pada kawan2. Manalah tahu ada yg tergerak hati nak jenguk rumah kecik abah.

Monday, November 21, 2005

Cerita tentang manusia...

Semalam habis kerja dalam pukul 3, abah dan ummi bertolak balik ke KL. Sebelum bertolak balik, kami singgah lunch di Danga Bay. Tempat menarik, tapi makanan kurang umphhhh. Ummi beli banyak otak2 Mr.Noh untuk bekalan masa dalam perjalanan. Dalam perjalanan balik, kami singgah ke Muar sekejap, jenguk anak buah yg sedang dalam exam SPM. Singgah untuk memberi sokongan moral, dan bekalkan sikit kuih raya. Untuk Yong, pokjak dan cik yah doakan moga Yong akan dapat straight A1s seperti yang Yong cita-citakan, InsyaAllah. Kami sampai rumah pun dalam pukul 11 malam.

Dua tiga malam lepas, abah berkesempatan menonton VCD Konsert Siti Nurhaliza di London. Maaf la Siti, abah beli yang cetak rompak saja. Tak berbaloi abah rasa utk beli yg ori, sebab abah cuma nak tengok sekali saja. Excellent performance. Walaupun ada sesetengah lagu berjaya di'Hetty Koes Endang'kan, namun secara umumnya, menarik juga persembahan Siti. Cindai, Ya Maulai, Purnama Merindu...antara yang tetap menarik pada abah. Hehe, jangan tak percaya, abah dulu pernah terjerat dengan Siti masa muda2 dulu. Sanggup beli segala apa majalah yang cover depannnya ada muka Siti. Hahaha, walaupun dah lama tinggal perbuatan bodoh macam itu, tapi sesekali teringat, kelakar pulak.

Abah juga terbaca dua tiga hari lepas berita tentang Siti yang ingin menyaman Kesatuan Pekerja MAS sebanyak 1 juta. Saman malu kerana pihak union MAS pernah keluarkan kenyataan yang kononnya membuatkan Siti terasa, apabila isu MAS taja penerbangan artis dijadikan alasan kenapa MAS rugi besar. Abah fikir kalau Siti teruskan juga menyaman Kesatuan Pekerja yang kesemua ahlinya adalah mereka yang berpendapatan rendah, Siti akan berjaya beri tanggapan pada orang-orang Union itu bahawa harga 'malu' Siti Nurhaliza terlalu mahal: 1 juta. Dan andainya itulah harga 'malu' Siti, abah rasa ramai jutawan2 diluar sana yang sanggup beli 'malu' Siti, kerana 1 juta itu cuma satu nilai yang kecil pada mereka.

Abah harap Siti fikirkan semula tindakan dia. Bukan abah kata tak patut, tapi Siti kena fikir juga siapa yang nak disamannya. Bukan ke orang2 itu yang menaikkan dia sampai jadi macam hari ini. Dan kalau tak fikirkan faktor itu sekalipun, abah harap Siti fikirlah, siapa orang2 itu. Dengan pendapatan yg kecil, dan kos hidup yang tinggi, kena pulak nak bayar saman siti 1 juta tu. Kesian la kat depa. Siti tak apa lah, dah jutawan.

Abah ni tulis macam ini, macam la Siti baca. Hehe.

Semalam masa di Danga Bay ada cerita lucu. Ummi pergi beli air kelapa muda. Bila ummi cuba tanya pada peniaga tu gerai mana ada jual laksa johor, orang tu boleh kata "I can't speak Malay, can u speak English". Ummi pun tanya la lagi sekali, "Is there any stall here selling Johor Laksa?". Tahu apa dia jawab?? "No, no, here is Johor Bharu, not Johor Laksa". hahaha, tergelak besar abah bila ummi ceritakan kat abah insiden tu. Macam-macam manusia ni...

Friday, November 18, 2005

Cerita tentang kaya...

Semalam jadual abah padat sikit. Pagi ada perhimpunan staff. Habis saja perhimpunan, ada taklimat. Lepas taklimat, ada majlis rumah terbuka yg syarikat buat. Habis makan, ada discussion sikit dgn kawan2 research yg kami tgh finalize. Petang tu Ummi ngan Muizz datang ofis abah, sebab petang tu Ummi ajak abah ke Sogo. Balik dari Sogo pun dah pukul 10..hmmm, penat juga. Hari ni abah cuti, sebab pengasuh Muizz cuti lagi. Pagi tadi pergi jumpa Anim sekejap ambil SIM card no telefon abah yang baru...:-), dan lepas tu,ke EPF sekejap,uruskan pengeluaran untuk re-finance rumah abah di Kajang tu.

Hari ni terasa nak bercerita sikit tentang kekayaan. Bukan apa, semalam masa makan dijamuan rumah terbuka tu, abah berborak dgn sala seorang senior staff yang bercerita tentang hidup dia. Abah boleh kata dia orang senang la, sebab rumah dia pun bersebelahan rumah Azman Hashim(AMBG), Mustafa Kamal(Emkay), anak Sultan Kedah, etc. Tapi ok la sebab dia kaya dan tak sombong. Tak kisah la kan,sebab dah rezekinya tertulis macam itu. Cuma abah terpanggil nak mengulas sikit bab kaya-raya ni.

Siapa tak nak kaya kan? Tak ramai yang angkat tangan kalau ditanya soalan itu. Kaya apa? Dah tentu bila sebut kaya, org akan senantiasa rujuk pada kaya harta.Ada rumah mewah,kereta mahal,tanah berekar2, duit simpanan berjuta2, etc. Abah pun nak kaya. Hehe.

Susah ke nak kaya? Pada abah, nak kaya harta, tak susah. Tak susah dalam erti kata, ada banyak cara kita boleh jadi kaya,cuma kena rajin berusaha untuk capai kekayaan tersebut. Tapi ramai dari kita ni cuma berangan je nak kaya,usahanya tak pun. Kan?Abah bukan kata orang lain, abah merujuk pada diri abah sendiri. Tiap kali nampak orang pandu Wish atau BMW, abah berangan je yang itu kereta abah. Tiap kali nampak banglo mewah, abah berangan juga itu rumah abah.

Seronok juga berangan macam itu,tapi kalau angan2 itu jadi kenyataan ,lagi seronok. Cumanya, kalau Allah dah kata abah takkan sekaya itu, abah terima. Kalau la dengan kaya abah jadi manusia lupa diri,lupa akhirat, abah redha kalau rezeki abah cuma setakat cukup untuk hidup. Tapi kalau dengan kaya, abah akan jadi manusia yang lebih dekat pada Allah, abah mohon moga Allah murahkan rezeki.

Abah suka tengok manusia kaya macam Pengerusi Yayasan Al-Bukhary tu. Abah kalau boleh, dan kalau ada rezeki nak jugak la jadi macam itu. Abah pun berharap selalu agar manusia2 Islam yg kaya ni takkan lupakan manusia lain. Kekayaan yg mereka ada harap2nya bukanlah dilaburkan ke bersuka-ria dan pembaziran, tapi dilaburkan dengan membantu mana2 manusia lain yg memerlukan bantuan.

Seronok dengar cerita2 spt ada hamba Allah derma RM100K pada Bersamamu TV3. Alhamdulillah. Bukan la abah kata depa kena cakap yg depa derma, macam yg ramai org selalu buat. Cukuplah setakat diletakkan berita dalam akhbar ke atau TV ke tentang derma yang diberi, tanpa merujuk kepada penderma. Sekurang2nya kita yang tak berapa kaya ni pun akan terasa nak derma juga.

Oklah untuk kali ni. Abah nak tidurkan Muizz sekejap. Dia belum tidur lagi hari ni. Tadi tengahari abah tinggalkan dia rumah jiran sebab abah nak pergi Jumaat. Dari masa abah tinggalkan dia, hinggalah abah ambil dia semula, dia tak berhenti2 menangis. Alasannya, abah dah janji nak bawak dia ke masjid semalam. Kesian anak abah.

Wednesday, November 16, 2005

Cerita tentang kerja...

Dah lama abah tak post kat blog ni. Sibuk sikit kebelakangan ni, biasa la hujung2 tahun. Hari ni abah MC, rasa tak sihat. Kebetulan pulak pengasuh Muizz tak sihat juga, so abah kena jaga Muizz sekali la hari ni, Ummi dah dua hari dah cuti jaga Muizz.

Isnin dan Selasa, abah terpaksa ke Marriott sebab abah dan geng research abah kena habiskan juga laporan kajian yang perlu kami hantar dalam minggu ini juga. Penat juga rasanya, sebab hari Isnin kami habis dalam pukul 7 malam, campur dengan traffic jem, abah sampai rumah pun dah hampir nak Isyak. Sampai rumah, abah solat dan lepas solat terus abah tidur. Tak tahu kenapa, tapi abah rasa macam tak sihat. Badan rasa sakit-sakit. Agaknya sebab malam Ahad hari tu abah pergi berurut dgn Wak Jo kot. Selalu kalau lama tak berurut, abah mesti sakit2 badan sehari selepas urut. Tapi takpela, janji lepas urut, badan rasa lega sikit.

Kesian Ummi malam Isnin tu. Abah tahu Ummi nak ajak abah ke pasar malam, tapi sebab abah tidur, Ummi pergi sorang-sorang. Sorry Ummi, bukan abah tak nak temankan, tapi abah penat sangat.

Marriott KL ok juga in terms of facility, cumanya, makannan biasa-biasa saja, dan tandasnya tak user-friendly untuk Muslim.

Hari selasa pun abah balik lambat juga.

Esok lusa kena masuk ofis, dan ada senarai meeting yg terpaksa abah hadiri...Hujung minggu nanti perlu ke JB lagi. Abah bawak Ummi dan Muizz sekali la gayanya. Walaupun abah pergi sebab kerja, tapi Ummi dan Muizz boleh la berehat dan jalan2 sikit2 kat bandaraya JB tu.

Balik dri JB minggu depan abah nak bercuti la sehari dua.

Friday, November 11, 2005

Cerita tentang ego...

Semalam sempat jenguk blog Anim sekejap. Hmmm..abah ni susah betul nak cari masa jenguk blog kawan2. Jangan kecik hati ya, abah singgah juga blog kawan2, cuma kadang tak sempat nak beri komen. :-)

Anim semalam menulis tentang ego manusia. Menarik juga ceritanya. Ego, rasanya semua orang tahu apakebendenya ego tu. Sesenang itu menyebut, sesenang itu juga nak bersikap sepertinya. Abah tak kata orang lain la, abah kata kat diri abah sendiri. Bukan sekali abah rasa abah bersikap ego pada manusia lain, banyak kali. Samada tanpa sedar atau memang disengajakan.

Tak salah pun nak ego sesekali, pada abah la. Tapi kena tengok masa dan keadaan la juga. Jangan tunjuk ego salah tempat dan masa, atau selalu tunjukkan ego kat orang, nanti lama-lama, orang akan naik menyampah dengan kita.

Dan ego ni banyak jenis egonya. Satu yg paling kerap: susah nak mengalah. Dalam hati, punya la nak telefon si dia, tapi sebab ego punya pasal, berat jari tu nak angkat phone dan call. Dalam hati asyik dok kata "Asyik aku je yang call dia, dia tak pulak call aku". Kalau yang sorang lagi jenis tak ego tak apa, kena jenis yang ego juga? "Ah, lantak lah dia nak call ke tidak". Apa yang jadi? Masing2 tak call masing2, dan masing2 akan buat sangkaan yang bukan-bukan. Kan?

Kadang-kadang merajuk ni pun ada juga kaitan dengan ego. Bila bergaduh atau selisih faham, susah sangat nak minta maaf atau mengaku salah. Bukan tak terfikir pun kita salah, tapi sebab ego dalam diri tu kuat, so ambil keputusan untuk berdiam diri dan menunggu pihak yg satu lagi ambil langkah untuk berdamai. Abah pun kadang2 macam itu. Tahu salah diri sendiri, tapi sebab ego tu kuat sangat. Hehe, kan Ummi?

Benda2 macam pertahankan atau tunjuk ego ni pada abah la, hanyalah satu tindakan bodoh yang kita suka buat. Semata-mata untuk penuhi tuntutan hati dan nafsu kita, kita jadi ego pada orang lain. Kita buat salah, kita tak mahu admit, kalau orang buat salah, lagilah kita berang. Only if kita jarang mengikut ego diri, abah rasa hubungan kita dengan orang mesti akan jadi lebih menarik dan bermakna.

Ramai orang kata ego ni milik lelaki, betul ke?

Tutup cerita bab ego.

Hari ni, 11 November 2005, genaplah 4 tahun usia Ahmad Mu'izz Hakim. Happy Birthday Abang! Pagi-pagi lagi bangun tidur mintak abah bawakan kek yang Ummi belikan untuk abang malam semalam, ke rumah nenek. Malam semalam juga Ummi buat 2 biji kek, sempena birthday abang. Dan pagi tadi Ummi goreng mee banyak. Kata Ummi, nak bawak ke ofisnya, nak jamu kawan2 makan. Sebahagian bawa ke rumah pengasuh untuk dimakan oleh kawan2 Muizz.

Abang...abang...untungnya jadi anak abah dan Ummi. Abah dulu, tak pernah kenal makna harijadi. Dah tua sikit ni barulah belajar nak celebrate harijadi sikit2.

Thursday, November 10, 2005

Cerita tentang Mu'izz...


Banyak betul kerja kat ofis, inilah selalu berlaku bila bercuti panjang. Tapi takpelah, memang abah enjoy pun cuti, dan tak sentuh langsung kerja masa abah cuti raya hari tu. So, sebagai habuannya,balik cuti ni kena bereskan lah semua kerja2 ni.

Semalam bawak Muizz ke klinik sebab dia kurang sihat sikit. On the way ke klinik, abah singgah Restoran Jejantas Sg. Buloh. Ummi ajak makan sate. Sedap juga sate kajang ni, dah lama tak makan sate ni. Abis la jugak 10 cucuk, agaknya la.

On the way balik dari klinik, Muizz buat lawak lagi. Sedang Ummi dan abah dok bercerita, tiba-tiba je dia bersuara. Kata Muizz, "Abah ngan Ummi ni banyak cakap la. Boleh diam sikit tak, pening kepala Ahmad ni". Hehehe, abang...abang...dah pandai sound abah ngan Ummi ya!

Nanti dah besar tak tahulah abah, agaknya banyak benda yang abah buat akan dikomen.

Terlanjur cerita tentang Muizz ni, abah letakkan satu lagi gambar buah hati pengarang jantung abah, yang abah suka tengok. Gambar ni abah snap masa Muizz tengah berlagak bawak kereta abah. Hehehe, kalau anda tak suka pun tak apalah. :-)

Wednesday, November 09, 2005

Cerita tentang semalam...

Lama bercuti raya, hari ni dah masuk kerja semula. Ada 3 keping kad raya dari kawan2 atas meja abah. Lewat pun tak apalah, janji mereka ingat abah. Lagipun orang kata raya sebulan. :-)

Kerja, seperti biasa la, banyak. Tapi dalam banyak kerja pun, sempat jugalah abah merepek sekejap kat blog ni hari ni.

Abah bertolak balik ke KL dari Terengganu pukul 11 pagi semalam. Tak pasti la berapa kali berhenti, tapi perjalanan kali ni memang banyak kali abah berhenti. Memang santai habis la perjalanan kali ni. Sempat singgah rumah sahabat abah di Sanggang. Dah lama tak jumpa, dan setelah banyak kali menolak jemputan kerumah dia, akhirnya abah sampai juga. Ingat nak pergi sekejap je, tapi bila dah disuruh makan, haha, lama sikit la jadinya. Sampai KL pun dah hampir pukul 8 malam.

Ntah apa la agaknya yang abah fikirkan, bila balik rumah, baru sedar yang baju2 abah dan Ummi tertinggal dirumah abah kat kampung. Ini la first time abah tertinggal baju dikampung, baju raya lak tu. Hmmm, nampaknya tak boleh berbaju raya la abah sementara ni. Tak apalah, nanti kalau ada masa luang, abah ajak Ummi balik kampung ambik baju yang tertinggal tu.

Muizz pulak sebab dah lama agaknya bercuti, siap menangis-nangis tak nak bagi abah dan ummi pergi kerja. Dia marah bila nampak abah pakai baju kerja. Agaknya nak ajak abah beraya lagi la tu kot. Nantilah abang, hujung minggu nanti, abah bawak abang pergi beraya rumah kawan2 abah, insyaAllah.

Friday, November 04, 2005

Cerita tentang Qada dan Qadar...

Hari Raya ke-2 ni abah tak kemana-mana. Sepupu-sepupu Ummi datang. Seronok juga ramai yang bertandang ni. Dan dalam ramai-ramai yang datang, abah dapat satu pengajaran dan kisah dari salah seorang sepupu ummi. Sepupu ummi ini berkahwin tanpa restu keluarga mertuanya. Dia tidak diterima mertua dari seawal kahwin hinggalah sekarang. Anak-anak dia pun dah besar panjang. Dan satu kisah lagi, lebih kurang sama juga. Alhamdulillah, abah tengok mereka bahagia juga, anak2 semuanya menjadi, kebanyakannya lepasan Maahad Muhammadi. Itulah abah fikir, restu ibu ayah ni memang penting, tapi kena tengok juga kenapa mereka tidak restu. Kalau setakat tidak restu kerana tidak suka menantu yang sememangnya baik, abah rasa kes restu ibu bapa ni boleh diketepikan.

Bukan nak kata tak penting, tapi abah perhatikan dan dengar cerita, ada ibubapa yang memilih menantu mengalahkan anak-anak nak memilih pasangan hidup mereka. Mungkin niat mereka baik, tapi kalau anak itu sudah berkahwin, restuilah, maafkanlah mereka. Itu anak, itu menantu mereka. Kenapa sampai tak mengaku menantu.

Orang selalu kata, kita ni kalau dah kawin, kena anggap mertua sebagai ibu bapa kandung kita. Dan abah fikir pun, mak ayah ni kena la amalkan benda yang sama. Bila anak kita dah kawin, anggaplah menantu itu sebagai anak kita juga. Jangan dibezakan anak dan menantu, menantu dan menantu lain. Menantu itu juga ada rasa hati. Walaupun tarafnya cuma anak, mereka berhak untuk rasa diterima dan dihormati. InsyaAllah dari mereka itu nanti, akan lahir zuriat penyambung keturunan kita. Cucu kita, cicit kita. Janganlah dibezakan mereka atau tidak diaku mereka itu menantu kita, cucu kita.

Abah nanti kalau dipanjangkan umur untuk lihat Muizz berumahtangga, abah fikir, untuk setakat kewarasan abah hari ini, abah akan berikan kepercayaan untuk Muizz memilih siapa pasangan hidupnya. Abah akan beri pendapat mana yang perlu. Siapa yang dipilih, itulah menantu abah, itulah anak abah. Kalau abah yakin dengan Allah, Rasul, Hari Kiamat, Kitab dan Malaikat...kenapa abah tak boleh yakin dengan Qada dan Qadar Allah? Ramai antara kita yang kata percaya dengan 6 rukun iman itu, tapi bila tiba bab jodoh anak-anak atau bab rezeki, macam senang saja kepercayaan kita pada Qada dan Qadar Allah tergugat. Kita tak nak terima itu jodoh anak-anak, sebab itu kita haramkan menantu jejak kaki kerumah kita. Kita tak mengaku cucu-cucu kita semata-mata kerana ia lahir hasil perkahwinan anak yg kita tak restui.

Abah rasa anda yg baca blog abah ni mesti berfikiran terbuka. Moga saat-saat kita dah tua nanti, kita takkan buat sesuatu yang melukakan hati anak2 cucu2. Kita takkan buat perkara2 yang menggugat iman kita pada Allah. Ini peringatan untuk abah juga.

Bercakap tentang Muizz tadi, teringat abah dua kisah menarik(pada abah la). Kisah pertama, sewaktu abah memandu balik kekampung tempohari, abah melalui satu stesen minyak yang dah ditinggalkan, dah buruk sangat pun. Muizz nampak tiang logonya patah dan tumbang, dan dia terus berkata kat Ummi. "Ummi, tengok tu, siapa la patahkan tiang tu, ya Allah, ya Allah Tuhan". Haha, abah tak pernah dia sebut nama Allah dengan nada seserius itu. Abah tak boleh tahan gelihati, tergelak juga abah dalam kereta.

Kisah kedua, baru sekejap tadi. Kata buahati abah tu, "Abah, boleh tak abah buatkan Ahmad satu benda?", Abah tanya la, "Buat apa?". Kata dia lagi, "Abah buat guna sudu, dan masukkan dalam botol". Dia siap buat demonstrasi lagi. Abah fikirkan juga sekejap, tapi bila Ummi kata anak abah nak main teka teki, barulah abah faham. Hehe, abah ingatkan apalah bendanya, rupanya dia nak suruh abah buatkan dia susu. Abang..abang...dah pandai main teka teki ngan abah la pulak sekarang ni.

Seronok tengok Muizz main air pantai petang tadi.

Thursday, November 03, 2005

Cerita hari raya...

Hari ni Hari Raya! Jadual abah bermula seawal subuh, hehe, bukan tugas apa pun. Tapi bangun awal la, sebab seronok nak beraya. Rasa syahdu lak bertakbir raya subuh hari tadi.

Lepas solat sunat Aidilfitri, abah, ummi dan Muizz kekubur arwah ayah Ummi, yang abah sendiri tak berkesempatan untuk kenal secara peribadi. Arwah abah meninggal masa Ummi di UUM lagi. Tak apalah, walaupun abah tak sempat kenal abah, tapi abah rasa bila abah kenal Ummi, dan adik beradik ipar abah, abah secara tak langsung rasa abah kenal serba sedikit bagaimana karekter arwah abah. Dan dengan apa fikiran abah tentang arwah abah, terkilan juga rasa hati sebab tak berkesempatan untuk kenal arwah abah.

Balik dari kubur abah tak kemana2, sebab adik beradik ipar dan saudara mara bertandang. Dah petang tu baru abah sempat kerumah Mak Su, dan bawak Muizz dan Manja(anak sedara abah) ke Pantai Irama. Sakan main air depa berdua, macam tak pernah jumpa pantai. Abah dan Ummi pun tumpang seronok tengok depa main air pantai.

Malam tak banyak aktiviti, cuma dok berborak ngan biras abah yg kebetulan datang bertandang.

Inipun abah dah rasa mengantuk, tapi sempat jugalah menceceh sekejap, kebetulan abah online untuk baca mesej2 penting.

Kita jumpa lagi.