Sunday, October 16, 2005

Cerita tentang anak-anak kita lagi...

Abah memetik artikel dari Berita Harian. Anda bacalah, dan fikirlah sebaiknya. Ini baru sekadar beberapa kes daripada ribuan kes yang berlaku, samada kita sedar atau tidak. Hari ni ia berlaku pada anak orang lain, pastikan esok lusa, ia tidak berlaku pada anak kita.

'Kami tak minta jadi begini'


“KAMI yakin pintu taubat masih terbuka. Kami berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk seperti berzina, hisap dadah, menjadi perempuan simpanan dan mengandung di luar nikah. Kami harap bulan mulia Ramadan dan pusat pemulihan akhlak ini akan menjadi saksi janji kami untuk kembali ke jalan lurus dan benar.”

Demikian pengakuan tiga wanita - Siti Athirah, 20, Azilah, 20 dan Nordiana, 23 tahun. Mereka (semuanya bukan nama sebenar) adalah sebahagian 25 penghuni rumah Raudhatus Sakinah di Shah Alam, Selangor.

Temubual dengan sebilangan penghuni mengenai peristiwa yang membawa mereka ke situ begitu menyebakkan dada. Ada juga kisah yang sukar dipercayai, bagai menonton filem yang merakam kehidupan sebenar di luar layar.

Tetapi rata-rata mereka datang dari keluarga porak peranda dan ada pula yang dipelihara oleh keluarga angkat. Kebanyakan penghuni diserahkan oleh keluarga kerana kegagalan mengawal dan mendidik.

Bayangkan betapa gagalnya ibu bapa mendidik anak apabila ada antara penghuni yang sudah berusia 20 tahun tetapi tidak tahu mengerjakan solat malah tidak pernah berpuasa. Ada juga yang benci pada suara azan dan alunan ayat suci al-Quran hingga sanggup menutup TV.

Warden Raudhatus Sakinah, Hamisah Jaafar berkata kebanyakan penghuni di situ datang atas kehendak ibu bapa yang tidak lagi berupaya mengawal mereka tetapi ada sebilangan yang datang dengan rela hati manakala ada juga yang dirujuk oleh penjara. Berikut adalah sebahagian rentetan hidup beberapa penghuni untuk renungan bersama.

Kisah 1: Diperkosa 13 mat rempit

“Saya tersedar dari koma selepas seminggu dan ketika itu hari Jumaat dan azan berkumandang. Saya buka tangan kanan, rupanya yang saya genggam itu al-Quran. Saya menangis dan bersaksi kawan-kawan saya kembali ke jalan Allah,” - SITI ATHIRAH, 20 TAHUN

SITI Athirah tidak pernah tahu usianya kerana dia tiada sijil kelahiran. Dia dibela keluarga angkat yang tidak menukarkan surat akuan sumpah kepada sijil kelahiran. Kerana itu dia tidak pernah bersekolah walaupun teringin untuk belajar.

Ketika berusia 12 tahun, Athirah membuat kad pengenalan atas kesedaran sendiri tetapi dia tidak pasti dengan usianya. Ibu angkatnya meletakkan dia sebagai anak ketiga dari lima beradik, dua abang dan dua adik lelaki. Tetapi kata Athirah, dia yakin usianya dan dua adik tidak jauh beza dan mungkin juga sebaya.

Kisah sedih Athirah bermula apabila menjadi ‘habuan’ abang sulung dan dua adik. Kekerapan dikerjakan membuatkan Athirah hamil. Tetapi, ibu angkat tidak percaya perbuatan itu dilakukan anak lelakinya dan kandungan Athirah gugur disepak si abang sulung.

Dari situ dia meninggalkan keluarga, tinggal dengan kawan-kawan. Mula belajar merokok, menagih dadah, minum arak dan mengikut mat rempit. Malah Athirah pernah dibela sugar daddy. Katanya dia mampu mendapat RM6,000 sebulan, sebuah kondo dan dua pengawal peribadi atas ‘khidmat’ yang diberikan.

Tetapi Athirah berjaya lari dari sugar daddy hasil bantuan rakan-rakan kongsi gelap. Dengan geng kongsi gelap, dia bertindak menjadi pengedar dadah malah hingga ke tahap menjual senjata api.

Percintaan dengan jejaka bukan Melayu dalam kongsi gelap menyebabkan Athirah hanyut dan meninggalkan Islam.

Kejadian di’perkosa’ 13 mat rempit, di’kerja’kan abang sulung dan dua adik menyebabkan dia benci dengan lelaki Melayu dan agama Islam. Dia lebih tersesat dengan pengaruh baru malah tidak lupa ke gereja setiap minggu. Setiap kali rasa berdosa, dia akan memohon ampun dan hatinya senang setiap kali paderi memberi keampunan.

Tetapi kepercayaan pada agama baru mula dipertikaikan oleh ketuanya, yang dipanggil Abang dalam kongsi gelap. Kata Abang, walaupun dia tidak warak tetapi dia mahu mati dalam Islam. Satu kejadian aneh menimpa Athirah ketika dia menggenggam buku kecil pemberian Abang di telapak tangannya waktu sesi pengampunan dengan paderi berlaku. Dia pengsan dan koma seminggu. Tangan kanannya tergenggam erat dan tidak boleh dibuka.

“Saya tersedar dari koma selepas seminggu dan ketika itu hari Jumaat dan azan berkumandang. Saya buka tangan kanan, rupanya yang saya genggam itu al-Quran. Saya menangis dan bersaksi kawan-kawan saya kembali ke jalan Allah,” katanya.

Tetapi dia masih terumbang-ambing. Jiwanya kosong. Dia tidak pernah berpuasa dan tidak pernah solat. Waktu kebanyakan warga kota pulang ke kampung berhari raya, dia mengambil kesempatan memecah rumah dan menyamun.

“Tapi Allah Maha Kaya, digerakkan hati saya untuk berjumpa si tuan rumah dan akhirnya saya disumbat ke penjara Kajang,” katanya.

Pertama kali dia berpuasa di Penjara Kajang dan pertama kali juga dia berhari raya dan mendengar laungan azan di situ, setiap patah laungan azan itu kata Athirah bagai belati dan menusuk masuk dalam hatinya.

Menyedari dia masih kurang dari segi agama, Athirah meminta pihak penjara menempatkannya di pusat kebajikan wanita kerana katanya dia belum kuat berhadapan cabaran dunia di luar penjara. Penjara Kajang kemudiannya menghantarnya ke Raudhatus Sakinah.

“Saya bersyukur saya masih diberi hidayah oleh-Nya untuk kembali mencari kebenaran. Tahun ini pertama kali saya akan berpuasa dan berhari raya di Raudhatus Sakinah, pengalaman yang tidak boleh saya cari dengan wang ringgit. Saya bersyukur Allah masih memanjangkan usia dan bertaubat pada setiap kesalahan yang saya lakukan,”katanya menahan sebak.

Kisah 2: Hamil kerana dirogol sepupu

BERASAL dari Kelantan Azilah, 20, datang ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang. Tetapi dia baru berada dalam semester pertama waktu dia dirogol sepupunya dan disahkan hamil pula.

Azilah sangat buntu. Untuk menutup malu, keluarga memintanya tinggal di Raudhatus Sakinah. Ketika itu kandungannya sudah berusia lapan bulan.

“Ramadan pertama di sini waktu saya sedang hamil tahun lalu. Hati saya sangat sedih kerana jika sebelum ini berpuasa dan berhari raya dengan keluarga tetapi tahun lepas saya berpuasa seorang diri dengan perut memboyot,” katanya.

Setiap malam, Azilah menangis dan bertanya diri sendiri mengapa dia terlalu bodoh untuk membiarkan dia diperkosa dan menghancurkan harapan ibu bapa. Waktu temubual sesekali Azilah menahan air mata.

“Saya tahu setiap manusia buat silap. Itu kata kebanyakan orang juga tapi mereka tidak tahu betapa sengsaranya mereka yang dihantui kesilapan itu,” katanya.

Selepas selamat melahirkan, bayinya diserahkan kepada keluarga angkat kerana dia tidak berupaya untuk menjaganya apatah lagi keluarga Azilah tidak mahu menerima bayi itu. Bayi lelaki yang sihat itu diserahkan pada keluarga angkat.

“Berat hati saya melepaskan dia pergi tapi itulah yang terbaik. Dengan usianya dan keadaan ibunya ini, saya tahu keluarga angkat itulah yang terbaik, ’ katanya.

Walau sudah hampir setahun berlalu, luka di hati Azilah tidak sembuh lagi. Kedatangan Ramadan dan Syawal menyentuh hatinya kerana tahun lalu dia berpuasa dan berhari raya dengan perut yang memboyot tapi tahun ini, dia sudah bersalin tetapi bayinya tiada di sisi.

“Bayangkan kak, saya ada anak tapi anak itu jauh, saya boleh pegang dan belai tetapi bukan setiap saat. Kalau ada keluarga angkatnya membawa dia jenguk saya, adalah. Tapi percaya tak, sampai sekarang saya tak tahu namanya apa, saya tak tergamak nak tanya,”katanya sambil menahan tangis.

Azilah yang bakal meninggalkan Raudhatus Sakinah selepas syawal nanti bernekad untuk menjalani kehidupan baru.

“Saya mahu sambung pengajian yang tertangguh dan mahu jadi peguam yang bagus. Tapi jauh di sudut hati saya, kalau boleh masih juga saya ingin anak yang saya kandung sembilan bulan dulu walaupun mungkin mustahil,”katanya.

Kisah 3: Hanyut dengan janji manis

NORDIANA, 23, antara contoh gadis yang hanyut dengan janji manis lelaki. Percintaan dengan teman lelaki yang berusia lima tahun tua daripadanya itu sudah berlarut hampir empat tahun.

“Kami berjanji untuk berkahwin dan mungkin kerana itu kami rela untuk bersama,” ceritanya tanpa berselindung.

Tapi awan cantik yang ditunggu tidak datang. Kata Nordiana, ibu teman lelakinya tidak merestui hubungan mereka dan tidak mahu mereka berkahwin.

Keadaan menjadi gawat apabila Nordiana disahkan hamil manakala si lelaki kononnya dikurung oleh ibunya dengan alasan tidak mahu dia berjumpa dengan Nordiana. Kandungan yang memboyot menyebabkan keluarga Nordiana menempatkan dia di Raudhatus Sakinah ketika kandungan sudah berusia lapan bulan.

Nasibnya baik kerana tidak seperti Azilah yang terpaksa menyerah bayi pada pasangan yang tidak dikenali, kakak Nordiana yang sudah lama berkahwin tapi tiada anak sedia membela si bayi.

Nordiana juga bernasib baik kerana keluarga masih sedia mengunjunginya saban minggu. Malah katanya Ramadan dan Syawal yang disambut tahun lalu di Raudhatus Sakinah tidak banyak berbeza dengan di rumah.

Keluarganya juga berkunjung selepas solat hari raya. Nordiana yang akan dibebaskan selepas Syawal nanti sudah tidak sabar-sabar mahu menjalani kehidupan baru.

“Saya hendak cari kerja dan duduk jauh dari sini. Saya pulangkan pada kakak sama ada nak beritahu pada bayi saya, sama ada saya ini emak kandungnya atau tidak,” katanya.

Apabila ditanya adakah dia masih ingat pada teman lelakinya. Nordiana mengangguk, malah katanya dia sangat yakin, lelaki itu masih mencintainya dan dia disekat ibunya yang tidak merestui hubungan mereka.

Teringat abah semasa abah diMatrikulasi dahulu, ada seorang pelajar ditangkap khalwat bersama tunangnya disebuah hotel. Bila diberitahu kepada ibubapa pelajar perempuan itu, kata mereka "Biasalah tu dia tidur dengan tunang dia." Bila disoal pelajar perempuan itu, katanya "Tak apa, kami dah mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak mengandung. Saya suruh dia guna kondom".

Kes yang kedua, seorang anak perempuan bertanyakan ibunya tentang keinginannya mengenakan tudung. Kata si ibu, "Tak payah, ko muda lagi. Nanti dah tua kang, boleh la pakai tudung".

Kes yg terbaru, abah pernah baca tentang anak seorang ahli seni yang gambar mesranya dengan teman lelakinya tersebar di Internet. Bila baca komen dari ibunya di akhbar, abah terkejut juga. Si ibu bertudung(walaupun kurang sempurna) kata, tak salah perbuatan anaknya, kerana itu sekadar menunjukkan kemesraan dan kasih sayang kepada kawan.

Abah tak tahu nak cakap apa tentang kes2 itu, tapi abah berdoa moga mereka semua itu diberikan hidayah oleh Allah. Abah sedih sebenarnya bila tahu ada ibubapa yang berfikiran macam itu.

Dan untuk kita yang mungkin belum berdepan dengan keadaan macam itu, berusahalah. Kita tentu tak nak 'seterbuka' ibubapa dalam kes-kes diatas. Sebab kalau kita berfikiran yang sama, abah yakin, kalau kita panjang umur, cucu perempuan kita yang darjah 3 akan pandai membawa bekalan kondom ke sekolah. Cucu lelaki kita yang darjah 5 pun mungkin sudah tahu membeli dan meminum minuman keras depan kita. Nauzubillah hi min zalik. Moga2 kita dijauhkan dari keadaan sebegitu.

6 comments:

Anonymous said...

banyak yg saya dapat drpd cerita2 abahmuizz. teruskan menulis ya.

Abah Mui'zz said...

InsyaAllah. Abah sebenarnya manusia lemah. Abah perlukan kata-kata perangsang macam ini untuk abah terus menulis. Abah mungkin syok sendiri menulis, tapi bila ada komen dan dorongan dari anda semua, at least abah tahu, abah on the right track. terima kasih crimsonskye.

zamdee said...

erm, gitu ler kita nie sbg manusia kalo tak nak ikut panduan yg tuhan dah beri dlm memilih pasangan idup nie..

mcm kat paper ari nie http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Nasional/20051018003345/Article/

saya pun akui, pernah juga tidak ikut panduan yg telah diberikan.. alhamdullilah, saya dpt petunjuk sebelum segala2 nyer terlambat.. erm..

Abah Mui'zz said...

Dee, Islam ini sangat cantik dan sangat sempurna. Cakupannya meliputi segala apa yang ada dilangit dan bumi. Bukan setakat panduan mendidik anak, malah proses untuk mendapat anak itu juga diberi panduan yg lengkap. Even dalam mencari bakal ayah atau ibu pada anak itupun sudah ada panduannya. Cuma, manusia kadang lebih banyak nak menggunakan kepandaian akal semata-mata dalam menentukan dan melakukan banyak perkara.

Syukur alhamdulillah, Dee tergolong dalam mereka yg diberi hidayah Allah.

Anonymous said...

sedih sgtt ...
adik saya adalah salah seorg penghuni raudhatus sakinah.bln dpn dh nk deliver...

ntah dimana silapnyer. :(

Abah Mui'zz said...

Anonymus, abah tumpang simpati dengan apa yang anda hadapi.

Kita semua diuji Allah, dengan ujian berbeza. Yang penting, bukan sekadar mencari silap, tetapi membetulkan apa yang telah tersilap. Jika tidak boleh dibetulkan, kita ambil iktibar saja, dan berjaga-jaga moga kesilapan sama tidak berulang.

Namun abah yakin, Allah menguji kerana ingin kita sedari kesilapan, dan belajar dari ujian.

Apapun, moga kasih sayang dan rahmat Allah akan sentiasa dengan anda dan keluarga, insyaAllah.