Saturday, April 28, 2007

Cerita tentang tipu dan jaga hati...

Hari tu dalam satu post abah bertajuk Cerita tentang cinta nan mekar, abah ada letak satu tips untuk menjadikan perhubungan kita dan pasangan akan senantiasa mekar. Tip tersebut, kalau anda ingat, ialah Berani untuk berbohong.

Dan hari ni abah nak mengepek sikit tentang isu berbohong ni. Bukan berbohong apa, bohong untuk menjaga hati. Kata abah, berbohonglah demi untuk menjaga hati dan perasaan pasangan. Contohnya kalau isteri tanya dia masak sedap ke tidak, kita katalah sedap, walaupun hakikatnya tidaklah sedap mana.

Tetapi dalam satu emel yang abah baca pada group SIM kegemaran abah, ada yang kata "tidak ada istilah bohong sunat" dan tidak wujud istilah "bohong yang perlu". Kenyataan sebegitu buat abah terfikir juga, kerana abah sangat tahu bahawa berbohong itu berdosa. Dan abah seperti anda semua juga, tidak ingin berbuat dosa pada Allah, nauzubillah, tidak mahu.

Tetapi pemikiran abah masih juga tetap tidak tenteram bila memikirkan "tiada bohong yg perlu". Abah tak maksudkan bohong yang teruk, yang abah fikirkan ialah bohong untuk menjaga hati orang, dan seterusnya menjaga perhubungan kita.

Abah ambil beberapa contoh yang abah rasa berbohong itu perlu, demi menjaga hati dan perhubungan kita dengan orang lain.

1. Kawan baik jemput makan dirumahnya. Selepas makan, tiba-tiba isteri kawan tadi tanya, "Camna masakan I?". Apa nak jawab? Adakah: "Emm, sedap" - sebab kita nak menjaga hati kawan dan isterinya, atau "Mmm, oklah, taklah sedap sangat" - sebab kita nak pegang pada prinsip "Tak baik berbohong."

2. Isteri beli sepasang baju tanpa pengetahuan kita. Bila balik rumah isteri tanya, "Cantik tak baju yang saya beli ni bang?". Apa nak kata bila mata kita kata baju tu tak cantik? Adakah: "Cantik." - sebab nak jaga perasaan isteri, atau "Tak cantiklah baju tu, merah sangat" - sebab kita pegang pada prinsip, berterus-terang itulah yang terbaik.

3. Kita balik dari kerja, anak yang baru reti melukis itu datang dan kata "Abah, cantik tak abang lukis kereta ni?". Dan bila kita tengok, hati kata, "Abenda yg dia lukis tu? Takde rupa kereta pun". Apa yang anda akan cakap pada anak, adakah: "Eh, eh, cantiklah anak abah ni lukis kereta." Ataupun kita kata, "Apa yang sayang lukis tu? Takde rupa kereta pun abah tengok".

4. Kita berjanji dengan kawan nak pergi kenduri kahwin dia nanti. Tetapi bila balik dan cakap pada isteri, dia kata tak nak pergi dengan alasan dia nak ajak kita pergi shopping pada hari tersebut. Apa kita nak cakap pada kawan? Adakah kita cerita yang betul sebab kenapa kita tak dapat pergi kenduri dia, atau kita cari alasan yang boleh diterima kawan tadi supaya dia tidak kecil hati?

5. Kita tengah baca suratkhabar tentang kes buang bayi. Kita kata kat suami, "Ini semua sebab kes mengandung sebelum kahwin la ni". Dan suami tiba2 berseloroh, "Yang, awak dulu sebelum kahwin, pernah ke terlanjur dengan orang lain?". Dan kebetulan pulak memang kita pernah terlanjur, tapi suami tak tahu. Adakah kita akan kata, "Ish abang ni, merepek je la." - sebab tak nak berlaku kekeruhan, ataupun kita mengaku , "Ya bang, saya memang pernah terlanjur sebelum kahwin dengan abang" - sebab kita tak nak membohongi suami.

Itulah antara situasi-situasi yang jika abah berdepan dengannya, abah akan memilih untuk berbohong. Bukan berbohong sebab abah nak mengelentong atau menipu orang, tidak. Tapi abah berbohong sebab abah nak jaga hati dan perasaan orang lain. Abah tak nak kawan abah kecik hati sebab kata masakan isteri dia tidak sedap, dan juga sebab tak pergi kenduri kawin dia hanya kerana nak pergi shopping. Abah tak nak anak abah yg baru seronok mengenal dunia melukis terbantut minatnya hanya kerana abah terlalu tulus dalam menyatakan kebenaran. Abah juga tak nak isteri abah buang baju dibelinya - yang padanya sangat cantik, semata2 kerana abah nak bersikap jujur dengan isteri.

Abah tak tahu anda bagaimana. Tapi abah akan memilih untuk berbohong. Dan kalau betul berdosa, moga Allah ampunkan dosa abah.

Bercakap tentang menjaga hati orang lain ni, abah sering juga berada dalam keadaan serba salah. Terutamanya bila terpaksa menjaga hati ramai orang dalam satu masa. Anda pun abah rasa mesti pernah berhadapan dengan situasi macam itu. Pernah berdepan dengan kes macam ini - Mak telefon suruh kita balik kampung, sedangkan kita dah janji nak bawa isteri balik ke kampung mertua. Hehe, apa nak buat? Kita tahu mak berharap kepulangan kita sekeluarga. Begitu juga ibu mertua yang sememangnya kita dah janji akan balik. Kalau boleh kedua2 hati mereka nak dijaga, tapi tidak boleh. Ada hati yang akan terluka, tapi itu sudah tak boleh nak elak. Cuma kena berhati-hati sajalah dalam menyatakan apa yang sepatutnya.

Macam sehari dua ni, abah cukup rasa resah. Kisahnya macam ini, abah ada tangkap 2,3 orang pelajar yang bawa masuk 'toyol' sewaktu peperiksaan. Dan memang sudah prosedurnya abah sebagai Ketua Pengawas perlu membuat laporan jika berlaku insiden macam itu. Pelajar2 itu selepas sesi peperiksaan datang berjumpa abah, merayu2 minta dimaafkan, dan tidak dilaporkan kepihak atasan. Serba salah dibuatnya, kena pulak merayu hingga bergenang air mata. Bukan abah tak kesian, abah sangat kesian. Abah jenis yang cepat kesian dengan orang. Kena pulak mereka itu semua berpangkat abang2 dan kakak2 dengan abah. Tapi abah terpaksa pegang pada prinsip abah. Dan abah sangat yakin mereka pasti kecewa dengan jawapan abah. Harap-harap mereka faham, dalam kes sebegini, abah tidak boleh sekadar menjaga hati mereka dengan tidak berlaku adil pada diri dan prinsip abah sendiri, dan juga pada janji abah pada majikan.

Selamat berhujung minggu untuk anda. Esok abah akan balik ke Sungai Buloh. Yabedabeduuuuuu. Tak sabarnya rasa nak berjumpa dua permata hati abah itu.

Thursday, April 26, 2007

Cerita tentang filem...

Semalam abah menonton dua filem. Haha, dua filem dalam satu malam. Filem pertama, Hotel Rwanda, abah muatturun dari Internet, dan filem kedua, Tornado, abah tonton dipawagam.

Abah sebenarnya dah lama nak tengok Hotel Rwanda, sejak abah tahu kewujudan cerita ini. Tapi sebab kerja dan terlupa, kebelakangan ni saja abah teringat untuk muatturun cerita tu. Dan sememangnya, abah tidak kecewa dengan cerita ini. Kisah benar yang berlaku saat kegentingan perang saudara di Rwanda antara puak Hutu dan Tutsi. Hampir sejuta manusia terkorban sepanjang 3 bulan persengketaan itu. Dan dalam cerita itu, banyak yang dipaparkan. Abah tak bercerita sangat tentang kisahnya, abah cuma nak komen dari segi apa yg abah nampak dari filem itu.

Terlalu banyak rasa dalam cerita itu, benci, dendam, kasih sayang, perikemanusiaan, iri hati, kekejaman, kehinaan, keegoan - semuanya ditunjukkan dalam cerita hampir 2 jam itu. Betapa hinanya satu bangsa pada bangsa yang lain seperti disatu babak,

COLONEL OLIVER: We think you are dirt, less than dirt, worthless.

PAUL: I don't understand.


COLONEL OLIVER: You're fucking black! You're not even a nigger, you're African! They're not staying to stop this thing. They're gonna fly right out of here with their people.


Kata2 itu digambarkan kepada nilai orang2 kulit hitam Rwanda kepada negara2 kuasa besar seperti US. Hina sungguh bunyinya, tapi itulah hakikat yang kita semua tahu.

Dan betapa filem itu mampu buat abah bergenang airmata banyak kali. Abah tidak boleh bayangkan andai abah berada diKigali pada ketika itu. Betapa yang lemah ketakutan, betapa yang berkuasa begitu rakus membunuh. Paul, seorang individu yang kelihatan agak 'selfish' seperti mana kita hari ini, bertukar menjadi seorang yang sangat membantu, walaupun pada banyak ketika, terpaksa merasuah orang2 tertentu, hanya atas alasan menyelamatkan ratusan manusia lain dari dibunuh. Abah tidak terkilan kalau rasuah dilakukan atas sebab kritikal sebegitu, tidak seperti yang berlaku ditanah tumpah kita ini - rasuah hanya untuk membesarkan perut sendiri sahaja.

Apapun, kalau ada masa, carilah dan tontonlah Hotel Rwanda ini. Pelajarilah erti kemanusiaan dalam cerita itu.

Filem Tornado pulak, hehe, sangat mengecewakan. Kalau anda belum tonton, dan rasa nak tonton, abah kata - lupakan saja niat anda. Tunggu sajalah VCD cetak rompak keluar kalau nak tengok, dan tak rugi pun kalau tak tengok.

Selamat bercuti untuk anda semua, sempena hari pertabalan YDP Agung yang baru. Abah sebagai anak terengganu jati, tumpang gembira juga atas pertabalan Sultan Mizan menjadi Agung. Moga akan terus menyumbang kepada kebaikan rakyat dan negara.

Dan bagi penduduk Sandakan, hari ini adalah hari mereka berduyun-duyun keluar mencari air. Dari bapa, ibu hinggalah anak2 kecil, membawa botol kosong bagi mencari air. Bekalan air sering terganggu dibandar kelahiran KM Sabah ini. Sangat menyedihkan sekali abah tengok. Seolah-olah abah berada dinegara miskin. Bukan menghina, tapi itu yg abah nampak. Pakat mandi ramai2 tepi jalan dengan air dari bukit, dan masing2 mencari sumber air untuk kegunaan harian. Teringat waktu air takde dikampus dulu, hingga menyumbang pada kematian seorang rakan matrikulasi abah.

Hingga jumpa lagi, insyaAllah.

Tuesday, April 24, 2007

Cerita tentang bertengkar...

Hari tu abah ada janji nak kongsikan dengan anda artikel yg abah baca berkaitan bagaimana nak bertengkar dengan pasangan kan. Maaf, hari ni baru sempat nak mengepek sikit.

Sapa la yang tak pernah bertengkar dengan pasangan kan? Nama lagi dua manusia yang berbeza. Hatta bila dah kahwin pun, kita masih dua manusia berbeza. Tidak kiralah betapa kita ni nampak secocok atau sesesuai manapun sebagai pasangan, akan ada perbezaannya. Dan oleh kerana perbezaan inilah, ditambah pula dengan faktor lain seperti emosi, maka akan pasti ada ketikanya kita akan bertengkar. Takkan ada rumahtangga yang aman damai seratus peratus. Ada ketikanya kita akan bermasam muka, marah, bertengkar dan sebagainya.

Kata pakar kaunseling rumahtangga, bertengkar antara pasangan adalah baik sebenarnya. Kerana dengan bertengkar, kita meluahkan perasaan kita kepada pasangan. Ia baik juga kerana dengan bertengkar la, pasangan akan lebih mengenali diri kita dengan lebih baik. Pasangan yang tidak bertengkar tidak bermakna mereka berpuashati dengan pasangan mereka. Tidak bertekak tak bermaksud setuju semuanya dgn apa yang berlaku. Mereka cuma pendamkan apa saja ketidakpuasan hati. Bagus dari satu segi, tapi tidak bagus juga dari segi yang lain.

Dengan pendamkan ketidakpuasan hati, pasangan kita mungkin tidak kecil hati atau marah. Tetapi untuk diri kita, perasaan marah yang tidak keluar itu pasti akan membuatkan kita mencari jalan alternatif menyalurkan perasaan ini keluar. Itu yg orang kata, marahkan suami, anak-anak jadi mangsa. Justeru itu, bertengkarlah, sebagai satu terapi untuk menyembuhkan luka dihati tatkala itu.

Tapi yang paling penting, kena bertengkar dengan cara yang betul. Bukan bertengkar yang makin memudaratkan keadaan. Jika anda bertengkar atau ingin bertengkar dengan pasangan, ingat ini:-

1) Bertengkar perkara yang pokok. Jangan perkara2 lain atau yang telah lepas diungkit dan ditengkarkan.

2) Jangan sekali-kali kaitkan pertengkaran dengan ibu bapa atau ahli keluarga pasangan. Ini kerana masalah anda tidak ada kaitan dengan mereka. Jika anda buat juga, pasti akan buatkan pasangan anda jadi benci pada anda. Jika ya ada kaitan dengan mereka, salurkan marah itu dengan cara yg baik. Ingat, anda kenal pasangan cuma beberapa tahun, pasangan anda kenal ibubapa dan ahli keluarganya dah bertahun2.

3) Jangan memanggil nama atau ber'aku' 'ngko' ketika bertengkar. Ini akan membuatkan rasa hormat pasangan pada anda akan berkurangan.

4) Jika perlu meninggi suara, lakukan. Asal saja jangan melampaui batas.

5) Ketika bertengkar, jangan melarikan diri, merajuk atau mendiamkan diri.

6) Setelah selesai keluarkan apa yg perlu diluahkan, dan masing2 sudah boleh terima dengan apa yang ditengkarkan, berdamailah. Peluklah pasangan anda untuk menyatakan bahawa anda sudah berdamai.

Itu cuma saranan dari artikel itulah. Apa yang elok, anda ambil. Dan ubahsuai la ikut keadaan semasa. Anda lebih mengenali pasangan anda. Ada sesetengah saranan tidak sesuai untuk sesetengah situasi. Yang penting, guna akal, guna budi. InsyaAllah, moga pertengkaran kita dan pasangan akan lebih membuatkan kasih sayang kita akan semakin kuat dan kukuh, yang pastinya akan membentuk anak2 yang pengasih dan penyayang, dan anak2 yang kuat emosi positifnya.

Jumpa lagi dalam epekan yang lain.

Hehe, ada 4 hari lagi abah berada di Sandakan ini. Tak sabar dah nak balik Sungai Buloh.

Sunday, April 22, 2007

Cerita tentang cinta nan mekar...

Sambil-sambil jaga exam pagi ni, abah sempat juga membelek-belek satu majalah yang abah pinjam dari rakan pejabat disini. Banyak artikel menarik dalam majalah tersebut, dan abah akan cuba kongsikan dengan anda, tapi dalam pemahaman dan ayat abah sendiri la kan.

Artikel pertama berkisar tentang bagaimana keadaan hubungan anda dan pasangan, terutamanya pasangan suami isteri. Ada beberapa perkara yang dibangkitkan untuk kita sama2 menilai akan kedudukan hubungan kita, serta dari situ, jika kita rasa aa yang tidak lengkap dalam hubungan kita, bolehlah diambil idea yang diberi itu sebagai satu kaedah untuk kita bangkitkan dan kekalkan rasa cinta kita pada pasangan. Untuk yg sudah berumahtangga, abah rasa anda pun tahu, yang rasa cinta itu ada masanya mekar, ada masanya layu. Sebab itu kena berusaha senantiasa untuk memastikan ia sentiasa mekar.

Antara beberapa perkara yang perlu kita semak:-
1) Keinginan kita untuk berbicara dengan pasangan sering ada.
Pasangan yg bahagia selalunya akan sering ada keinginan untuk bercakap2. Walaupun kadangkala, tidak ada topik khusus untuk dibualkan, tetapi dalam minda memang akan sering ada rasa nak berbual2. Tetapi ada ketikanya, kita akan terasa untuk duduk diam sorang diri, terutamanya waktu kita marah. Tak apalah macam itu, lelaki memang akan ada ketikanya nak bersendiri, tak mahu diganggu. Tapi kalau dah sepanjang masa tak nak diganggu isteri, tak betul la macam tu.

2) Kita selalu ingin berada bersama dengan pasangan.
Walau dimana kita berada, pasti akan ada ransangan untuk kita senantiasa berada bersama pasangan. Haha, yang ini terkena pada abah. Sebab abah jenis kalau ummi tak ikut, abah rela tak pergi ketempat yang abah nak pergi - kecuali dah terpaksa. Abah lebih selesa berada bersama-sama dengan Ummi, terutamanya jika diluar rumah.

3) Ungkapan kata-kata manis pada pasangan sering kita ucapkan.
Yang ini rasanya wajib buat pasangan manapun. Siapa yang tak suka kalau orang lain bercakap dengan kata-kata yang baik dan manis dengan diri dia. Cakap lembut, berhemah, mesra. Tapi kalau tgh nak marah tu kan, susah juga nak maniskan kata2 dan lembutkan suara. Sesekali takpe, jangan selalu.

4) Senantiasa memberi salam.
Ucapan salam itu mampu melahirkan kecintaan tanpa nafsu, kerana dengan memberi salam, kita telah membuatkan si isteri rasa si suami senantiasa mendoakan kesejahteraannya.

5) Sentiasa bertanya khabar.
Terutamanya jika berjauhan. Memang sangat perlu. Kadang kita tahupun isteri sihat, tapi tak salah tanya juga. Mungkin nampak remeh, tapi kalau dibuat, silap2 hari-hari isteri masak sedap-sedap untuk kita. Kan Mi? Hehe.

6) Saling mengucapkan terima kasih.
Kedua-dua kita ada peranan dan tugas harian untuk keluarga. Dan kerana tugas yang ada dan dilaksanakan itu, rajin2lah ucapkan terima kasih. Terima kasih pada isteri kerana memasak, kerana melayan kehendak kita, kerana jaga anak-anak dengan baik, dan paling penting, terima kasih kerana dia menyanyangi dan mengasihi diri kita sepenuh hati dia.

7) Bergurau senda sentiasa.
Abah kadang2 jeles tengok ada pasangan berumur yang selalu bergurau senda sesama mereka. Bahagis sungguh nampak pasangan yg macam itu. Hehe, abah pun nak kena tiru jugalah. Sekarang ni dah boleh la bergurau melawak ngan Mi skit2. Walaupun Mi sesekali terkeluar "Abang bodoh!", tapi abah tak kisah, sebab abah tahu mi suka dengan gurau lawak abah itu. Betul tak mi?

8) Beri sanjungan dan pujian ikhlas.
siapa yang tak suka dipuji. Baik suami, baik isteri, baik anak-anak, semuanya suka jika disanjung dan dipuji. Tapi dalam memuji, berpada-padalah. Jangan puji yang tidak realistik. Pujilah walau sedikit, tetapi kerap, walaupun atas perkara yang kecil. Isteri pakai baju cantik, isteri masak sedap, isteri kemaskan rumah, isteri basuh dan gosok baju kita. Itu semua ruang untuk kita beri pujian, walaupun mereka tidak mengharapkannya. Memang la depa tak harap pujian, tapi kalau dipuji, kembang semangkuk jugalah agaknya.

9) Memanjakan pasangan.
Inipun antara yang boleh menambahkan rasa sayang pasangan juga kalau dibuat. Bukan manjakan apapun, tapi kalau isteri selalu memasak utk kita, apa kata sesekali ajak dia pergi makan kat luar, tempat yg best sikit. Atau tak pun, panggil isteri dengan nama manja yang dia suka. Ataupun kalau isteri penat buat kerja rumah, tawarkan diri untuk urut isteri ke. Hehe, abah cakap je ni, abah pun liat juga sebenarnya nak buat macam itu.

10) Berani berbohong demi menjaga perasaan pasangan.
Ini bukan bohong apalah, tapi berbohong yang tidak memudaratkan. Tak salah kata isteri masak sedap, walaupun tak berapa sedap sebenarnya. Begitu juga jika ada benda yang isteri tidak sepatutnya tahu, tak salah berbohong. Sebab kalau terlalu telus dan tulus yang akan melukai hati isteri, simpanlah dalam diri sendiri, atau berbohonglah seadanya.

Itu sajalah dulu hari ni. Nanti abah kongsi artikel berkaitan bagaimana untuk bertengkar dengan pasangan. Hehe, bagus juga artikel tu. InsyaAllah, esok abah kongsi dengan anda.

Friday, April 20, 2007

Cerita tentang periksa...

Dua hari lepas, sewaktu abah mengawasi peperiksaan, abah berdepan dengan sekumpulan pelajar yang suka 'berkomunikasi' sesama mereka. Sepanjang abah mengawasi peperiksaan, inilah pertama kali abah berjumpa dengan sekumpulan pelajar yg macam itu. Selalunya antara 2 orang sahaja berkomunikasi, ini tidak. Ada dalam 7 orang yang berbuat macam itu.

Nak tak nak, terpaksalah abah berdiri depan mereka semua itu, bagi mengelakkan mereka 'berkomunikasi". Alhamdulillah, berkesan juga kaedah yang abah buat tu.

Ada seorang pelajar siap tulis besar2 atas kertas, dan mengangkat tinggi2 supaya kawan sebelah boleh baca. Abah ada dibelakang dia masa tu, tapi abah cuma tengok je apa dia buat. Tahu dia tulis apa? Dia tulis "Soalan no. 2 tu aku ikut logik saja". Hehe. Nasib baik dia tulis macam itu, kalau dia tulis jawapan, tak pasal2 abah kena rampas kertas tu. Aduihhhh.

Yang abah kesalkan adalah kerana mereka ini semuanya cikgu-cikgu sekolah. Abah sangat yakin yang disekolah, merekalah orang yang mengajar budak2 sekolah supaya tidak meniru sewaktu peperiksaan. Tetapi bila mereka sendiri yang menduduki peperiksaan, mereka pulak yang 'cakap tak serupa bikin'. Agak memalukan sebenarnya abah nak menerima hakikat macam itu.

Bercakap ttg berkomunikasi dan meniru sewaktu peperiksaan ni, abah rasa ianya satu perkara yang biasa dimana-mana pun. Cuma tahap saja yang berbeza. Ada yang bawa masuk nota dalam dewan exam, ada yang main pass kertas jawapan, ada yang menjeling2 jawapan kawan, etc. Abah pun tak tahu sebenarnya kenapa jadi macam itu. Sebab kalau ditangkap meniru, macam2 alasan yang kurang logik yang diterima. Tak cukup masa belajarlah, sehari sebelum exam demamlah, dan macam2 lagi. Aduihhhh, apalah nak jadi.

Tapi kan, abah dulu waktu SPM pun pernah buat macam itu. Siap pass-pass kertas jawapan lagi tu. Tapi abah pass sebab kesiankan kawan2 yang dah dok jeling2 pandang2 kat abah ala-ala Tan Sri S.M. Salim jeling Datuk(ke Dato' ?)Siti Nurhaliza. Dan abah berkongsi kertas jawapan pun sebab abah yakin dengan jawapan abah. Tapi itu pun untuk kertas Pengetahuan Agama Islam sajalah. Kertas lain abah tak berani sebab abah tak yakin dgn jawapan abah. Lucu juga bila diingatkan gelagat kami meniru sewaktu SPM dulu. Tapi syukur pada Allah, ketua pengawas waktu itu tidak terlalu 'strict' walaupun abah tahu dia nampak kami passing kertas jawapan. Hehe. Agaknya kalau tertangkap waktu dulu, abah pun mungkin takkan dapat jejakkan kaki ke universiti.

Oklah dulu setakat ni, abah nak kena jaga peperiksaan sesi petang pulak sekejap lagi, harap2 kali ni, takdelah lagi yang meniru2.

Selamat berhujung minggu untuk anda semua.

Monday, April 16, 2007

Cerita tentang kerja...

Abah baru saja bercakap dalam telefon dengan buah hati abah di Sungai Buloh sana. Ceria saja suaranya. Alhamdulillah. Walaupun abah tak dapat tengok, tapi abah yakin Muizz sihat dan ceria, seperti dia yang selalunya. Asyik dia dok bercerita tentang ayam masak kicap kesukaannya. Abang..abang. Saat abah kesunyian dibilik hotel ini, suara ceria abang buat rindu abah terubat. Begitu juga dengan Ummi, abah boleh dengar suara ummi yang kesedihan, hehe, kesedihan sebab tengok cerita Qabil Kusyri Qabil Igam. Aduiiii. Sabar mi, cerita je tu, hanya lakonan semata-mata.

Maaf la mukadimah hari ni, bercerita tentang insan2 kesayangan abah dulu. Abah nak mengepek benda lain sebenarnya.

Tadi waktu tengahari, abah ke masjid berhampiran tempat kerja abah untuk solat jumaat. Abah tertarik dengan khutbah tengahari tadi, dan abah nak kongsi sikit dengan anda semua, rakan2 yang tak pernah jemu baca epekan abah ini.

Khutbah tadi intipatinya ringan sahaja, tapi mampu buat abah sedar sedikit. Khutbah tentang kerja. Kerja yang kita buat sehari2. Baik kerja rasmi atau kerja-kerja tidak rasmi. Kerja yang setiap satunya adalah satu ibadah, asal saja ianya kerja yang diredhai Allah.

Bukan tidak pernah dengar tentang ungkapan 'kerja itu satu ibadah', tapi abah seringkali lupa akan kebenaran hakikat itu. Abah bekerja saban hari hanya atas sekadar buat kerja. Kalau ditanya pun, jawapannya akan hanya berlegar sekitar kerja itu sumber pendapatan, sumber rezeki untuk terus hidup. Abah lupa yang kerja itu ibadah.

Anda mungkin tidak lupa macam abah, alhamdulillah.Tapi kalau anda lupa macam abah juga, sama-samalah kita sentiasa peringatkan diri kita akan kerja itu satu ibadah kita pada Allah.

Tapi bukan sekadar ingat sajalah. Bila dah ingat tu, kena la amalkan yang sebaiknya. Maksud abah, bila bekerja tu, kerjalah dengan sebaiknya. kerja dengan rajin, dengan jujur, dengan ikhlas. Bukan sekadar kerja untuk RMxxxx sebulan, bukan kerja untuk dipuji bos atau rakan2, bukan bekerja untuk merasa gah dengan kerja, bukan juga kerja sekadar kerja semata.

Menurut khatib tadi juga, bekerja seperti juga ibadah lain, akan senantiasa ada dugaan dan ujian. Dimarah bos, gaji tak naik, 'claim' kena potong, bonus sikit, 'appraisal' tak seperti yg kita harap, konflik dengan rakan sekerja, etc. Tapi jangan sekali-kali dugaan itu kita terima dengan cara yang negatif. Dugaan itu semua sebenarnya memerlukan kita melihat semula akan kerja yang kita buat. Ikhlaskah kita buat, jujurkah kita buat, sempurnakah kerjanya - semua itu perlu dilihat semula. Jika perlu diperbetulkan, perbetulkanlah.

Abah tak nak mengepek panjang-panjang. Abah nak kita sama-sama fikir, dan sama-sama muhasabah diri. Sekian lama kita bekerja, betulkah kerja yg kita buat selama ini ibadah? Atau ada kemungkinankah ibadah kerja itu telah kita cemari dengan perkara-perkara salah. Abah fikir, kalau setiap satu dari kita senantiasa niatkan kerja kita buat itu sebagai satu ibadah, dan mengingati bahawa Allah senantiasa melihat apa yang kita lakukan - sudah pasti kita akan buat yang terbaik. Akan kita elakkan unsur-unsur dosa berlaku sewaktu kita bekerja. Pasti takkan ada kes tipu 'claim', tipu waktu bekerja, rasuah, membuang masa hingga kerja tak siap, guna kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi, etc.

P/S: Terlanjur cakap pasal kerja sebagai ibadah ini, teringat abah sewaktu ke Pejabat JPN di Kota Damansara minggu lepas. Abah kesana untuk buat MyKad sebab MyKad abah 'hilang'. Bagus sungguh layanan dari kakitangan JPN disana. Dengan wajah manis, dan tuturkata yang baik buat abah bangga dengan mereka itu. Semoga Allah memberikan mereka ganjaran yang sebaiknya, insyaAllah.

602, Hotel Sandakan
13 April 07 @ 8.05pm

Saturday, April 14, 2007

Cerita tentang nyawa...

Semalam(Khamis), sewaktu abah baca akhbar The Borneo Post, abah jadi sedih menatap satu berita. Berita tentang seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang membunuh diri dengan menggantung dirinya sendiri.

Kata ibu kepada Donny John Duin, "Dia sentiasa memberitahu saya yang dia mahu menyelamatkan saya...dia beritahu saya sewaktu dia masih hidup. Saya tidak pernah terfikir yang dia akan betul-betul membuatnya."

Kenapa Donny sanggup gantung dirinya sendiri? Kerana dia percaya jika dia mati, jantungnya dapat diberikan kepada ibunya yang menghidap talassaemia dan lemah jantung.

Dia pernah mencuba untuk membunuh diri sebelum ini, tetapi gagal. Alasannya waktu itu, dia ingin mengurangkan beban ibunya yang miskin. Dengan kematian dia, dia harap ibunya tidak perlu lagi menanggung dirinya. Ayah Donni ada dipenjara.

Abah tak nak lihat isu ini kepada betul atau tidak Donny bunuh diri. Abah juga tidak mahu pandang dari sudut dosa, kerana Donny adalah bukan Islam. Kalau dia Islam sekalipun, abah tidak mahu membicarakan bab dosa perbuatan itu.

Abah cuma nak pandang dari sudut kenapa dia boleh buat begitu. Abah tidak tahu apa alasan sebenar dia buat begitu, tapi abah rasa, satu sebabnya, Donny buat begitu kerana dia sayangkan ibunya. Kekecewaanlah yang selalunya jadi sebab kenapa orang bunuh diri. Tapi untuk anak semuda ini, abah terkilan. Kalau betul kerana kasihkan ibu, amat malang sekali bagi dia. Kalau betul dia percaya yang kalau dia mati, jantungnya boleh diberi kepada ibunya itupun, itu lebih malang lagi. Hanya kerana kasih, dan kepercayaan yang silap, dia gantung diri.

Apa yg boleh kita pelajari dari berita Donny ini? Belajarlah untuk merapati anak-anak. Sematkan ilmu agama sebaiknya dalam jiwa mereka. Hormatilah perasaan mereka. Hargailah diri mereka. Didik mereka menjadi sabar. Asuh mereka supaya cekal. Ajar mereka supaya mencintai Allah, keluarga, diri sendiri, dan orang-orang disekitar mereka.

Perkara sebegini boleh terjadi dalam keluarga kita, nauzubillah. Jangan kata ia mustahil.

Berusahalah yang terbaik dalam membesarkan anak-anak. Berdoalah dengan Allah supaya diri mereka akan senantiasa dilindungi. Abah ada anak, anda pun ada anak, atau mungkin akan ada anak. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa pada Allah. Moga generasi anak-anak kita adalah generasi yang teguh imannya, tinggi akhlaknya, cemerlang pekertinya, baik budinya serta terpuji amalannya. Anak-anak yang bukan sekadar membahagiakan kita didunia, tapi anak-anak yang mampu membantu kita dialam barzakh dan akhirat kelak, insyaAllah.

Wednesday, April 11, 2007

Cerita tentang diri, pada ketika ini...

Dah banyak hari abah nak mengepek disini, tapi masa seringkali tidak beri abah keizinan untuk mengepek (alasan lapuk). Abah berada di Negeri dibawah bayu sejak hari sabtu yang lalu. Akan terus berada didaerah Sandakan ini sehingga penghujung April.

Datang ke Sandakan untuk kali yang entah keempat ini, tidak banyak yang mengujakan abah. Namun begitu, ada angin perubahan yang abah rasakan pada kedatangan abah kali ini. Perubahan dari segi pembangunan. Ya, Sandakan memang telah banyak membangun berbanding kali pertama abah kenali ia 2005 yang lalu. Pasar basah yang makin tersusun dan bersih dan kehadiran 'gergasi' runcit disini, abah rasa gembira utk pihak orang Sandakan.

Abah tidak kemana-mana lagi setakat hari ini, kerana hampir saban hari bekerja, balik hotel pun dah lewat petang (kat sini pukul 6.30 pun dah gelap). Duduk dibilik sajalah abah tiap2 malam, sambil menonton TV dan menyiapkan kerja2 yang masih belum sempurna, serta menelefon dua orang buah hati kesayangan abah di SB, yang sangat-sangat abah rindui kala ini. Ececece, jiwang sokmo abah ni!

Oklah, tidak ada apa2 isi pun nak diepek petang ini, sekadar nak memaklumkan akan koordinat abah waktu ini yang mungkin akan kurang berblog. Malam nanti, insyaAllah, abah nak ke pawagam bersama Irman, nak tonton "Jangan Pandang Belakang", yang mana abah baca banyak 'review' positif tentangnya. Harap-harap dalam cerita tu takde la hantu yang kata, "Apa pandang-pandang belakang, tak puashati ke?". Hehe.

Wednesday, April 04, 2007

Cerita tentang gambar...

Apa yang terlintas difikiran anda bila lihat gambar diatas ini? Kemungkinan besar, "Cantiknya gambar".

Apapun yang terlintas, abah fikir banyaknya berkisar tentang 'rupa' gambar tersebut. Anda salah? Tidak. Tapi itulah manusia. Persepsi kita mungkin sama, mungkin berbeza.

Ada orang melihat gambar, sekadar gambar. Ada yang mengagumi, ada yang tidak rasa apa-apa. Ada yang fokus pada langit, ada yang fokus pada awan, tak kurang yang tertarik pada pokok, dan kebanyakan kita, melihat secara keseluruhannya. Ada yang kata cantik, ada yang kata tidak. Normal sebenarnya, kerana manusia dan pemikirannya pelbagai, satu lagi keunikan ciptaan Allah ini.

Berbalik pada gambar diatas tadi, andaikan anda bukan mata yang memandang, tapi andalah pokok itu. Apa yang ada difikiran anda bila anda gambarkan diri anda pokok itu?

Hehe, apa yg abah merepek ni? Takde apa pun, sekadar teringatkan seorang adik yang tidak berapa lama dulu mengadu bahawa dia seperti pokok didalam gambar itu - bersendiri dan kesunyian. Abah cuba juga letakkan diri abah sebagai pokok itu, tapi abah gagal, kerana pada ketika dan saat ini, abah bukan pokok itu. Alhamdulillah, syukur pada Allah, tuhan pencipta alam.

Tuesday, April 03, 2007

Cerita tentang tudung dan seksi...

Semalam abah tak masuk kerja, demam. Muizz pun demam. Semalam kerja abah keluar masuk klinik sajalah. Pagi abah ke klinik, lepas tu, abah berkejar ke Kelana Jaya untuk bawak Muizz ke klinik doktor kesukaan dia. Nak buat macamana, Muizz cuma sesuai dengan Dr. Cheng dan ubat2annya saja. Dah banyak klinik abah cuba, kat Dr. Cheng juga yang dia sesuai. Alhamdulillah, hari ni abah dah sihat sikit, cuma Muizz je masih demam lagi.

Abah nak bercerita tentang satu emel yang abah terima di grup SIM abah. Emel tu bertajuk - Wanita bertudung lebih seksi. Hehe. Mungkin untuk orang bertudung, pelik dengar tajuk macam itu, tapi untuk orang lelaki macam abah, tajuk itu ada betulnya. Betul bukan sebab orang bertudung itu seksi, tapi betul sebab, dia bertudung, tapi bahagian lain masih tetap terdedah, dan itulah yang dimaksudkan dengan seksi.

Bertudung litup, tapi masih pakai baju kebaya ketat yang menampakkan susuk badan, tak seksi ke? Pakai tudung, tapi kainnya masih setakat bawah sikit je pada lutut. Ataupun, bertudung, tapi leher yang putih itu masih juga tertayang kemulusannya(macam yang Ogy selalu pakai). Itulah maksud abah dengan bertudung tapi lebih seksi dari yang tak bertudung. Pernah jumpa orang yang bertudung, tapi rambut berceracak keluar dari tudung. Kes yg itu pada abah tak seksi la kan, seksa. Maaf cakap!

Awat buleh jadi lagu tu? Sebabnya mudah sahaja. Kerana wanita-wanita ini cuma mahu bertudung, tapi tidak mahu menutup aurat. Ada yang sudah tahu, ada juga yang tidak tahu. Yang abah kesian, adalah yang tidak tahu. Ramai lagi wanita yang abah fikir, mereka rasa bertudung itu sudah memadai untuk menutup aurat seperti yang Islam kehendaki. Mereka tidak tahu pun yang menutup aurat itu sebenarnya lebih dari sekadar menutup rambut.

Untuk yang tahu akan apa makna tutup aurat, abah kesian juga. Kesian sebab, dah tahu, tapi tak nak buat. Kerana apa, kerana nafsu lebih kuat dari tuntutan Islam. Bukan orang lainpun, abah pun sama. Kita manusia, memang selalu lebihkan nafsu diri dari memenuhi tuntutan agama. Orang dok azan, kita tetap tak nak berganjak dari depan TV, hanya kerana sayang dengan cerita yang tengah best ditayang. Siapa la tu ek, abah la tu! Ya Allah, lemahnya iman abah.

Oklah tak nak merepek lagi tentang aurat wanita. Cuma abah fikir, kalau muslimah kita semua bertudung dan menutup aurat, itu adalah lebih baik. Bertudung itu memang dituntut, tapi yang lebih dituntut ialah mentutup aurat dengan sempurna. Kalau rasa tak tahu, dan nak tahu, apa maksud menutup aurat dengan sempurna, baca Menutup aurat bukan diskriminasi wanita. Dan kalau nak baca penulisan yg lebih baik kupasannya, baca Nilai Tudung Wanita.

Abah ni mengepek bab aurat, terlupa la pulak, lelaki pun kena tutup aurat juga. Walaupun tidak sesukar wanita menutup aurat, tapi masih ramai juga yang memandang remeh akan keperluan itu. Itu setakat yang abah lihat di mana-mana tempat abah pergi. Sekarang ini pun macam dah jadi satu trend orang lelaki memakai seluar pendek paras lutut. Kalau dulu, nampak macam lekeh, tapi sekarang ni, dah jadi satu fesyen kegemaran pulak nampaknya.

Oklah dulu, abah nak kena siapkan banyak kerja. Kita jumpa lagi nanti, insyaAllah.