Wednesday, August 03, 2005

Cerita tentang poligami, dan hak...

Abah baca blog Am semalam, dan abah tertarik dengan topik yang Am utarakan tentang berkahwin lebih dari satu.

Poligami??? Hmmm, satu isu yang takkan ada kata sepakatnya selagi kita ingin bahaskan. Sebab masing-masing ada pendapat dan pandangannya.


Ada yang beri pendapat berdasarkan pengalaman, ada yang beri pendapat berdasarkan pengamatan, ada juga yang berdasarkan pada logik akal, tak kurang yang sekadar mengandaikan. Tak kisah la apa kesimpulannya, seperti kata Am, terpulang pada individu. Islam sudah halalkan benda itu, cuma atas kita manusia samada ingin melakukannya atau tidak.

Dan bercakap tentang manusia bergelar lelaki yang memilih untuk berpoligami, abah rasa masing-masing ada sebab yang tertentu, walaupun pada abah (setakat pengamatan abah yang masih berhingus lagi ni), kebanyakan orang kita memilih untuk berpoligami atas alasan pasangan sudah tidak mampu untuk memenuhi hak dirinya.

Anda semua pasti faham, bila sudah berumahtangga, setiap orang ada haknya yang perlu dipenuhi oleh pasangan. Dan amat penting untuk suami dan isteri memberi dan menerima hak masing-masing. Hak untuk mendapat tempat berteduh, hak untuk dapat mengisi perut, hak untuk dikasihi, hak untuk mengasihi, hak untuk menyalurkan nafsu syahwat, dan pelbagai hak lagi yang kalau disenaraikan, pasti akan berjela-jela panjangnya senarai itu.

Cuma masalahnya, kita manusia yang lemah sentiasa ini, akan sentiasa lebih pada nak menuntut hak berbanding pada nak menunaikannya. Dan bila keseimbangan antara menuntut dan menunaikan itu tidak ada, itu yang bermulanya episod mencari jalan keluar bagi memastikan hak itu dipenuhi. Dan untuk kaum Adam seperti abah, salah satu penyelesaian, ialah dengan mencari pasangan yang baru.

Kalau anda kaum hawa, mesti akan bertanya, Wajar ke jalan itu yang dipilih? Dan akan pastikah jalan itu jalan yang sebetulnya penyelesaian kepada masalah?

Abah tak berani nak komen soal wajar atau tidak, kerana pada abah, keputusan sebegini perlu disepakati oleh kedua-dua suami dan isteri. Andai betul isteri tidak mampu menunaikan hak suami, dan suami pula jenis sentiasa menunaikan hak isteri, maka berbincanglah andai poligami jalan penyelesaiannya. Tetapi sekiranya isteri tidak mampu menunaikan hak suami, dan suami pula sering tidak memenuhi hak isteri[seperti yang abah sentiasa lihat], abah rasa, si suami kena fikir banyak kali sebelum menyuarakan hasrat hati untuk berpoligami pada isteri.

Apapun, pada yang telah berpoligami, hiduplah seperti yang telah diajar agama. InsyaAllah, rumah-rumah tangga anda akan bahagia dunia akhirat.

Abah pun terfikir juga andai satu hari nanti, abah ada ditempat yang sama, apa agaknya akan abah buat. Sebab abah tak boleh nak menolak soal jodoh yang sudah Allah tentukan. Kalau Allah dah kata abah akan bertemu jodoh lebih dari sekali, abah kena terima. Tapi setakat hari ini, setakat pemikiran, pengamatan dan pengalaman abah, abah berdoa moga2 abah tetap dengan ummi hingga akhir hayat abah. Dan kalau betul lah abah 'ditakdirkan' berkahwin lagi, abah doakan moga ia akan memberi kebahagiaan kepada semua yang terlibat, dunia dan akhirat.

2 comments:

Anonymous said...

Poligami.... mudah disebut. Tapi untuk melaksanakannya, hanya yg tabah dan cekal yg betul mampu melayarinya. Bagi PB, kekadang itu, tidak boleh salahkan pada suami semata-mata. Isteri juga harus menilai diri dan mencari kesilapan yang telah siisteri lakukan. Kiranya kesilapan itu boleh diperbaiki, maka cubalah. Tapi kalau jodoh sudah kuat, maka, isteri , terimalah seadanya dan cubalah untuk berkongsi, walaupun ianya pahit sepahit hempedu.

Anonymous said...

Seperti Abah_Muizz, Am sendiri tidak menolak jika takdir telah menetapkan Am khawin lebih dari satu, cuma itu bukanlah yang Am idamkan

Cuma bagi Am biarlah ada alasan yang kukuh untuk berpoligami, bukan hanya kerana nafsu semata-mata atau untuk mencari jalan keluar, kerana poligami itu bukan jalan keluar tapi satu tangungjawab.

Am bukan benci poligami, ia satu benda yang halal cuma, benci org berpologami tapi tak bertangungjawab pada keluarga dan anak2