Friday, August 12, 2005

Cerita tentang manusia...

Semalam abah balik awal, sebab company bagi pelepasan awal sebab jerebu. Tengok pada jerebu, abah fikir, ini baru sikit ujian kesusahan yang Allah bagi, itupun abah dah rasa macam tak tahan. Moga2 Allah lindungi kita semua dengan mengurangkan kesan jerebu.

Hari ni abah dapat satu emel dari sahabat abah. Abah rasa lelok juga kalau anda semua dapat baca. Dan emel ni pun kawan abah tadi dapat dari somewhere, bukan dia tulis sendiri. Baca, fikir, renungkan apa yang boleh kita buat...


Assalamualaikum warahmatullah...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan rasulNya.
Selawat berserta salam buat Nabi Junjungan Muhammad SAW yang mempunyai keperibadian mulia & diutuskan sebagai ikutan. Juga buat sekalian muslimin & orang2 yang beramal soleh...

Bismillahir Rahmanir Raheem...

Rambut sama hitam tapi hati lain2. Saya fikir kita dah terlalu biasa dengan peribahasa ini. Daripada sekolah rendah lagi kita sudah didengarkan kepadanya. Malah, kalau saya tidak silap, ada lagu yang pernah popular menggunakan lirik ini. Benarkah begitu? Bukankah asalnya manusia itu satu? Setiap dari kita asalnya dari Nabi Adam ra dan pasangannya iaitu Hawa. Satu keturunan bukankah sepatutnya satu sifat?

Hakikatnya begitulah. Sifat manusia berbeza2 mengikut persekitaran, kedudukan, pendidikan dan sebagainya. Ada yang kita temui sebagai orang yang pemurah, baik hati, lemah lembut dan tak kurang juga yang bongkak, bengis & keras. Begitulah kuasa Allah yang Maha Mencipta. Allah sengaja menciptakan kepelbagaian sifat ini supaya manusia itu dapat mengenal, menyelidik dan mengambil pelajaran dari sesama manusia.

Ada orang yang dikurniakan dengan kecantikan rupa paras. Maka berasa sombonglah dia kepada mereka yang huduh rupanya. Juga dia akan berasa iri hati kepada orang yang lebih cantik darinya atau yang lebih sering dipuji. Pernahkah anda terjumpa situasi begini? Saya yakin pernah. Kita sendiri. Kadangkala melihat orang yang selekeh, nak hampir pun kita rasa lain. Pernah rakan saya kononnya hilang selera makan bila seorang pengemis lalu di sebelahnya.

Ada juga orang yang dikurniakan dengan kemewahan. Maka jadilah dia orang yang bongkak. Memandang rendah kepada mereka yang miskin manakala kepada mereka yang lebih kaya darinya, dia akan berasa iri dan sentiasa ingin menompokkan harta lebih dari orang tersebut. Naiklah harga petrol sampai RM3 seliter pun. Dia mampu. Dia takkan hairan. Orang miskin susah, itu dia taknak ambil peduli.

Manakala ada pula manusia yang tidak punyai apa2 dalam hidupnya. Tidak cantik dan tidak pula berharta. Maka jadilah dia orang yang rendah diri. Dalam kes yang lebih parah, dia mungkin menjadi orang yang cuba menyalahkan nasib atau taqdir akan apa yang terjadi atas dirinya. Hingga terbit dari hatinya dialah manusia paling malang. Hidupnya memang telah ditaqdirkan walang. Hiduplah dia tanpa matlamat & tanpa perlu berjuang.

Ketiga2 jenis manusia ini mampu kita ketemui hampir setiap hari. Merekalah contoh manusia yang hidup tanpa iman dan taqwa. Hidup mereka diisi dengan perkara2 duniawi. Bagi mereka kejayaan sebenar adalah mencapai apa yang mereka impikan. Katakan impian untuk memiliki harta yang tak terhabis hingga 7 keturunan. Atau mungkin impian untuk memiliki wanita tercantik di dunia. Atau apa saja.

Sedang manusia yang hidup dengan iman dan taqwa memiliki hampir segala2nya. Katakan seorang yang memiliki rupa paras yang menawan tapi disertai pula dengan iman yang sejati. Rupa parasnya tidak mungkin membawa kesan apa2 kepada dirinya. Kerana dia sedari cantiknya wajah hanya seketika. Tatkala tua datang menjelma, kedut dan uban serata kepala, tiada apa lagi yang boleh dibangga.

Manusia seperti ini yakin, eloknya rupa paras kita adalah pada ketika kita dibangkitkan menghadap Allah Yang Maha Esa. Pada hari yang dijanjikan itu nanti, orang2 yang beramal soleh akan dibangkitkan dengan wajah yang berseri2. Malah dahi2 mereka akan bersinar sebagai tanda mereka orang yang sujud di malam hari mencari keredhaan Allah. Alangkah berungtungnya jika kita tergolong dalam golongan itu...

Manakala manusia yang dikurniakan dengan kekayaan yang disertai dengan iman kepada Allah, nescaya kekayaan itu takkan menjadi kudis buatnya. Malah hartanya akan menjadi alat untuk dia menghampirkan diri kepada Tuhan yang Maha Kaya. Tidak akan dicemburuinya limpahan harta dari orang yang lain kerana dia tahu segala apa yang ada di muka bumi ini milik Allah semata2. Tidakkan kekal sebagaimana kekalnya syurga dan neraka.

Inilah manusia yang beruntung. Di hadapan Allah kelak, mereka boleh berbangga dengan harta yang mereka belanjakan ke jalan Allah. Tangan dan kakinya berebut2 untuk menjadi saksi akan kemurahan hatinya. Dan ketika itulah mereka benar2 menjadi kaya. Harta mereka pada ketika itu adalah amalan2 soleh yang telah mereka lalukan didunia ini. Berbahagialah mereka dengan keredhaan Ilahi.

Dan sekiranya seorang itu dilahirkan tanpa apa2 di dunia, hanya sekeping hati yang tebal imannya, sesungguhnya merekalah manusia yang paling sempurna. Bukan sahaja di dunia bahkan juga nanti di sana. Hidup di dunia mereka cukup lapang. Tanpa perlu memikirkan tentang harta. Tanpa perlu membilang kedutan menjelang tua. Apa yang mereka tahu hanya memanjatkan syukur ke hadrat Allah atas apa saja yang mereka miliki.

Inilah sifat yang Baginda Nabi saw anjurkan. Baginda sendiri amat2 mencintai orang2 miskin malah berdoa untuk hidup & mati bersama orang yang miskin. Walaupun Baginda merupakan kepala negara, tapi Baginda lebih gembira hidup tanpa harta. Malah Baginda pernah menyatakan bahawa orang2 miskin, yang meredhai apa yang mereka perolehi, akan memasuki syurga lebih awal dari orang kaya dengan perbezaan 500 tahun dunia.

Tatkala di timbangan, mereka tak perlu di tanya dari mana datangnya harta mereka. Mereka tak perlu gusar untuk ditanya kemana harta mereka dibelanjakan. Itulah kelebihan orang yang redha kepada pemberian Ilahi. Akan tetapi, begitu sukarnya untuk menjadi manusia yang redha. Cuba sekali gaji kita masuk kurang atau terlewat. Allah... Keluh kesah berbakul2.
Pening kepala memikirkan bagaimana duit boleh dipusingkan.

Tak bolehkah kita (terutama saya sendiri) redha dengan apa yang kita terima? Bukankah itu hanya sebahagian dari ujian Allah? Mengapa begitu sukar untuk kita terima apa yang telah Allah rancangkan untuk kita? Mengapa? Mengapa kualiti iman kita tidak setaraf para sahabat dan para tabien? Mengapa kita begitu seronok mengira wang gaji kita dan membilang harta yang kita ada sehingga lalai kita punyai rumah yang satu lagi.

Pernah seorang sahabat, yang dalam rumahnya hanya ada tikar alas tidur, ditanya mengapakah dia tidak memiliki sebarang harta dalam rumahnya. Tenang sahabat tersebut menjawab "Aku simpannya untuk rumahku yang lagi satu." Tahu di mana rumahnya itu? Di negeri syurga. Yang Allah ciptakan untuk mereka yang Dia kasihi dan yang mengasihiNya. Mampukah kita mencapai taraf tersebut?

Sedang kita sibuk berkejar ke ISetan atau Giant atau Parkson setiap kali perkataan 'MEGA SALES' terpampang di dada akhbar. Sedang kita berasa bangga melihat orang memunggah plasma tv keluar dari lori yang tertulis di tepinya 'Courts Mammoth'. Sedang kita dengan megahnya menghulurkan kad kredit Visa / MasterCard ketika makan malam di restoran 5 Bintang. Ya, mungkin kita merasa hampir semua nikmat dunia tapi tidakkah kita bimbang tiada lagi nikmat syurga bagi kita? Wana'uzubillahi minzalik...

Manusia memang berbeza. Warna kulit, warna rambut bahkan mungkin warna hati. Tapi sesungguhnya kita semua di sisi Allah adalah sama. Hanya amal soleh dan taqwa yang membezakan kita. Jangan ada antara kita yang cuba membezakan manusia mengikut harta dan rupa. Belum tahu orang yang mulia di dunia ini mulia di sana nanti. Mungkin si miskin yang kita benci berkedudukan yang jauh lebih tinggi nanti. Allah lebih mengerti...

Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah akibat kebodohan saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah,

Wassalamualaikum warahmatullah

No comments: