Kalau anda pun ada masalah macam abah, kenapa ya kita jadi macam itu?? Bila kearah berbuat kebaikan, susah sangat, hingga perlu memaksa diri. Sedangkan bila ingin berbuat sesuatu yang mungkar, senang sungguh. Kadang tak perlu rancang apa-apa pun, ada peluang, buat terus benda itu.
Liatnya hati kita rasanya untuk berkorban kejalan Allah. Nak solat pada masanya, malas. Nak mengaji setiap hari pun, malas. Nak cakap elok-elok dengan orang lain pun, selalu terkasar juga. Nak berfikir positif tentang peristiwa dan orang lain pun, seringkali keluar juga yang negatif.
Oklah, tak nak merepek lebih lanjut, anda bacalah sedikit excerpt dari tulisan itu yang abah petik.
Artikel: Hati kotor hanya boleh diubat, dibersih dengan iman
Tanda takwa atau takut kepada Allah itu dapat dilihat dalam enam perkara;
Pertama, seseorang itu menjaga lidahnya daripada melakukan fitnah, mencela, mencaci, mengumpat dan sebagainya;
Kedua, seseorang itu menjaga hati agar bersih daripada sifat hasad yang memakan kebaikan sebagaimana api yang memakan kayu;
Ketiga, memelihara mata daripada melihat perkara haram yang boleh menggelapkan hati. Sebab itu janganlah melihat perkara terlarang demi untuk mendidik hati;
Keempat, menjaga perut agar tidak diisi dengan makanan yang haram, kerana malaikat akan melaknat selagi makanan yang haram berada di dalam tubuh kita.
Kelima, menjaga kedua-dua tangan supaya tidak digunakan untuk melakukan pekerjaan haram. Begitu juga kedua-dua kaki dipelihara supaya sentiasa melangkah untuk taat kepada Allah;
Keenam, ketaatan dapat dilihat apabila seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan Allah serta takut kepada sifat riak dan munafik.







