Saturday, April 28, 2007

Cerita tentang tipu dan jaga hati...

Hari tu dalam satu post abah bertajuk Cerita tentang cinta nan mekar, abah ada letak satu tips untuk menjadikan perhubungan kita dan pasangan akan senantiasa mekar. Tip tersebut, kalau anda ingat, ialah Berani untuk berbohong.

Dan hari ni abah nak mengepek sikit tentang isu berbohong ni. Bukan berbohong apa, bohong untuk menjaga hati. Kata abah, berbohonglah demi untuk menjaga hati dan perasaan pasangan. Contohnya kalau isteri tanya dia masak sedap ke tidak, kita katalah sedap, walaupun hakikatnya tidaklah sedap mana.

Tetapi dalam satu emel yang abah baca pada group SIM kegemaran abah, ada yang kata "tidak ada istilah bohong sunat" dan tidak wujud istilah "bohong yang perlu". Kenyataan sebegitu buat abah terfikir juga, kerana abah sangat tahu bahawa berbohong itu berdosa. Dan abah seperti anda semua juga, tidak ingin berbuat dosa pada Allah, nauzubillah, tidak mahu.

Tetapi pemikiran abah masih juga tetap tidak tenteram bila memikirkan "tiada bohong yg perlu". Abah tak maksudkan bohong yang teruk, yang abah fikirkan ialah bohong untuk menjaga hati orang, dan seterusnya menjaga perhubungan kita.

Abah ambil beberapa contoh yang abah rasa berbohong itu perlu, demi menjaga hati dan perhubungan kita dengan orang lain.

1. Kawan baik jemput makan dirumahnya. Selepas makan, tiba-tiba isteri kawan tadi tanya, "Camna masakan I?". Apa nak jawab? Adakah: "Emm, sedap" - sebab kita nak menjaga hati kawan dan isterinya, atau "Mmm, oklah, taklah sedap sangat" - sebab kita nak pegang pada prinsip "Tak baik berbohong."

2. Isteri beli sepasang baju tanpa pengetahuan kita. Bila balik rumah isteri tanya, "Cantik tak baju yang saya beli ni bang?". Apa nak kata bila mata kita kata baju tu tak cantik? Adakah: "Cantik." - sebab nak jaga perasaan isteri, atau "Tak cantiklah baju tu, merah sangat" - sebab kita pegang pada prinsip, berterus-terang itulah yang terbaik.

3. Kita balik dari kerja, anak yang baru reti melukis itu datang dan kata "Abah, cantik tak abang lukis kereta ni?". Dan bila kita tengok, hati kata, "Abenda yg dia lukis tu? Takde rupa kereta pun". Apa yang anda akan cakap pada anak, adakah: "Eh, eh, cantiklah anak abah ni lukis kereta." Ataupun kita kata, "Apa yang sayang lukis tu? Takde rupa kereta pun abah tengok".

4. Kita berjanji dengan kawan nak pergi kenduri kahwin dia nanti. Tetapi bila balik dan cakap pada isteri, dia kata tak nak pergi dengan alasan dia nak ajak kita pergi shopping pada hari tersebut. Apa kita nak cakap pada kawan? Adakah kita cerita yang betul sebab kenapa kita tak dapat pergi kenduri dia, atau kita cari alasan yang boleh diterima kawan tadi supaya dia tidak kecil hati?

5. Kita tengah baca suratkhabar tentang kes buang bayi. Kita kata kat suami, "Ini semua sebab kes mengandung sebelum kahwin la ni". Dan suami tiba2 berseloroh, "Yang, awak dulu sebelum kahwin, pernah ke terlanjur dengan orang lain?". Dan kebetulan pulak memang kita pernah terlanjur, tapi suami tak tahu. Adakah kita akan kata, "Ish abang ni, merepek je la." - sebab tak nak berlaku kekeruhan, ataupun kita mengaku , "Ya bang, saya memang pernah terlanjur sebelum kahwin dengan abang" - sebab kita tak nak membohongi suami.

Itulah antara situasi-situasi yang jika abah berdepan dengannya, abah akan memilih untuk berbohong. Bukan berbohong sebab abah nak mengelentong atau menipu orang, tidak. Tapi abah berbohong sebab abah nak jaga hati dan perasaan orang lain. Abah tak nak kawan abah kecik hati sebab kata masakan isteri dia tidak sedap, dan juga sebab tak pergi kenduri kawin dia hanya kerana nak pergi shopping. Abah tak nak anak abah yg baru seronok mengenal dunia melukis terbantut minatnya hanya kerana abah terlalu tulus dalam menyatakan kebenaran. Abah juga tak nak isteri abah buang baju dibelinya - yang padanya sangat cantik, semata2 kerana abah nak bersikap jujur dengan isteri.

Abah tak tahu anda bagaimana. Tapi abah akan memilih untuk berbohong. Dan kalau betul berdosa, moga Allah ampunkan dosa abah.

Bercakap tentang menjaga hati orang lain ni, abah sering juga berada dalam keadaan serba salah. Terutamanya bila terpaksa menjaga hati ramai orang dalam satu masa. Anda pun abah rasa mesti pernah berhadapan dengan situasi macam itu. Pernah berdepan dengan kes macam ini - Mak telefon suruh kita balik kampung, sedangkan kita dah janji nak bawa isteri balik ke kampung mertua. Hehe, apa nak buat? Kita tahu mak berharap kepulangan kita sekeluarga. Begitu juga ibu mertua yang sememangnya kita dah janji akan balik. Kalau boleh kedua2 hati mereka nak dijaga, tapi tidak boleh. Ada hati yang akan terluka, tapi itu sudah tak boleh nak elak. Cuma kena berhati-hati sajalah dalam menyatakan apa yang sepatutnya.

Macam sehari dua ni, abah cukup rasa resah. Kisahnya macam ini, abah ada tangkap 2,3 orang pelajar yang bawa masuk 'toyol' sewaktu peperiksaan. Dan memang sudah prosedurnya abah sebagai Ketua Pengawas perlu membuat laporan jika berlaku insiden macam itu. Pelajar2 itu selepas sesi peperiksaan datang berjumpa abah, merayu2 minta dimaafkan, dan tidak dilaporkan kepihak atasan. Serba salah dibuatnya, kena pulak merayu hingga bergenang air mata. Bukan abah tak kesian, abah sangat kesian. Abah jenis yang cepat kesian dengan orang. Kena pulak mereka itu semua berpangkat abang2 dan kakak2 dengan abah. Tapi abah terpaksa pegang pada prinsip abah. Dan abah sangat yakin mereka pasti kecewa dengan jawapan abah. Harap-harap mereka faham, dalam kes sebegini, abah tidak boleh sekadar menjaga hati mereka dengan tidak berlaku adil pada diri dan prinsip abah sendiri, dan juga pada janji abah pada majikan.

Selamat berhujung minggu untuk anda. Esok abah akan balik ke Sungai Buloh. Yabedabeduuuuuu. Tak sabarnya rasa nak berjumpa dua permata hati abah itu.

2 comments:

Anonymous said...

salam abah.

Saya bukan pakar dalam hal ehwal agama. Namun gitu, kalau tak silap saya .. Nabi Muhammad SAW sendiri menjaga hati tuan rumah apabila baginda memuji masakan yang kurang sedap.

selamat bermesra dan memanjakan dua permata hati tu .. haha

pB said...

wah tegas nyer...