Semalam(Khamis), sewaktu abah baca akhbar The Borneo Post, abah jadi sedih menatap satu berita. Berita tentang seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang membunuh diri dengan menggantung dirinya sendiri.
Kata ibu kepada Donny John Duin, "Dia sentiasa memberitahu saya yang dia mahu menyelamatkan saya...dia beritahu saya sewaktu dia masih hidup. Saya tidak pernah terfikir yang dia akan betul-betul membuatnya."
Kenapa Donny sanggup gantung dirinya sendiri? Kerana dia percaya jika dia mati, jantungnya dapat diberikan kepada ibunya yang menghidap talassaemia dan lemah jantung.
Dia pernah mencuba untuk membunuh diri sebelum ini, tetapi gagal. Alasannya waktu itu, dia ingin mengurangkan beban ibunya yang miskin. Dengan kematian dia, dia harap ibunya tidak perlu lagi menanggung dirinya. Ayah Donni ada dipenjara.
Abah tak nak lihat isu ini kepada betul atau tidak Donny bunuh diri. Abah juga tidak mahu pandang dari sudut dosa, kerana Donny adalah bukan Islam. Kalau dia Islam sekalipun, abah tidak mahu membicarakan bab dosa perbuatan itu.
Abah cuma nak pandang dari sudut kenapa dia boleh buat begitu. Abah tidak tahu apa alasan sebenar dia buat begitu, tapi abah rasa, satu sebabnya, Donny buat begitu kerana dia sayangkan ibunya. Kekecewaanlah yang selalunya jadi sebab kenapa orang bunuh diri. Tapi untuk anak semuda ini, abah terkilan. Kalau betul kerana kasihkan ibu, amat malang sekali bagi dia. Kalau betul dia percaya yang kalau dia mati, jantungnya boleh diberi kepada ibunya itupun, itu lebih malang lagi. Hanya kerana kasih, dan kepercayaan yang silap, dia gantung diri.
Apa yg boleh kita pelajari dari berita Donny ini? Belajarlah untuk merapati anak-anak. Sematkan ilmu agama sebaiknya dalam jiwa mereka. Hormatilah perasaan mereka. Hargailah diri mereka. Didik mereka menjadi sabar. Asuh mereka supaya cekal. Ajar mereka supaya mencintai Allah, keluarga, diri sendiri, dan orang-orang disekitar mereka.
Perkara sebegini boleh terjadi dalam keluarga kita, nauzubillah. Jangan kata ia mustahil.
Berusahalah yang terbaik dalam membesarkan anak-anak. Berdoalah dengan Allah supaya diri mereka akan senantiasa dilindungi. Abah ada anak, anda pun ada anak, atau mungkin akan ada anak. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa pada Allah. Moga generasi anak-anak kita adalah generasi yang teguh imannya, tinggi akhlaknya, cemerlang pekertinya, baik budinya serta terpuji amalannya. Anak-anak yang bukan sekadar membahagiakan kita didunia, tapi anak-anak yang mampu membantu kita dialam barzakh dan akhirat kelak, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment