Abah baru saja bercakap dalam telefon dengan buah hati abah di Sungai Buloh sana. Ceria saja suaranya. Alhamdulillah. Walaupun abah tak dapat tengok, tapi abah yakin Muizz sihat dan ceria, seperti dia yang selalunya. Asyik dia dok bercerita tentang ayam masak kicap kesukaannya. Abang..abang. Saat abah kesunyian dibilik hotel ini, suara ceria abang buat rindu abah terubat. Begitu juga dengan Ummi, abah boleh dengar suara ummi yang kesedihan, hehe, kesedihan sebab tengok cerita Qabil Kusyri Qabil Igam. Aduiiii. Sabar mi, cerita je tu, hanya lakonan semata-mata.
Maaf la mukadimah hari ni, bercerita tentang insan2 kesayangan abah dulu. Abah nak mengepek benda lain sebenarnya.
Tadi waktu tengahari, abah ke masjid berhampiran tempat kerja abah untuk solat jumaat. Abah tertarik dengan khutbah tengahari tadi, dan abah nak kongsi sikit dengan anda semua, rakan2 yang tak pernah jemu baca epekan abah ini.
Khutbah tadi intipatinya ringan sahaja, tapi mampu buat abah sedar sedikit. Khutbah tentang kerja. Kerja yang kita buat sehari2. Baik kerja rasmi atau kerja-kerja tidak rasmi. Kerja yang setiap satunya adalah satu ibadah, asal saja ianya kerja yang diredhai Allah.
Bukan tidak pernah dengar tentang ungkapan 'kerja itu satu ibadah', tapi abah seringkali lupa akan kebenaran hakikat itu. Abah bekerja saban hari hanya atas sekadar buat kerja. Kalau ditanya pun, jawapannya akan hanya berlegar sekitar kerja itu sumber pendapatan, sumber rezeki untuk terus hidup. Abah lupa yang kerja itu ibadah.
Anda mungkin tidak lupa macam abah, alhamdulillah.Tapi kalau anda lupa macam abah juga, sama-samalah kita sentiasa peringatkan diri kita akan kerja itu satu ibadah kita pada Allah.
Tapi bukan sekadar ingat sajalah. Bila dah ingat tu, kena la amalkan yang sebaiknya. Maksud abah, bila bekerja tu, kerjalah dengan sebaiknya. kerja dengan rajin, dengan jujur, dengan ikhlas. Bukan sekadar kerja untuk RMxxxx sebulan, bukan kerja untuk dipuji bos atau rakan2, bukan bekerja untuk merasa gah dengan kerja, bukan juga kerja sekadar kerja semata.
Menurut khatib tadi juga, bekerja seperti juga ibadah lain, akan senantiasa ada dugaan dan ujian. Dimarah bos, gaji tak naik, 'claim' kena potong, bonus sikit, 'appraisal' tak seperti yg kita harap, konflik dengan rakan sekerja, etc. Tapi jangan sekali-kali dugaan itu kita terima dengan cara yang negatif. Dugaan itu semua sebenarnya memerlukan kita melihat semula akan kerja yang kita buat. Ikhlaskah kita buat, jujurkah kita buat, sempurnakah kerjanya - semua itu perlu dilihat semula. Jika perlu diperbetulkan, perbetulkanlah.
Abah tak nak mengepek panjang-panjang. Abah nak kita sama-sama fikir, dan sama-sama muhasabah diri. Sekian lama kita bekerja, betulkah kerja yg kita buat selama ini ibadah? Atau ada kemungkinankah ibadah kerja itu telah kita cemari dengan perkara-perkara salah. Abah fikir, kalau setiap satu dari kita senantiasa niatkan kerja kita buat itu sebagai satu ibadah, dan mengingati bahawa Allah senantiasa melihat apa yang kita lakukan - sudah pasti kita akan buat yang terbaik. Akan kita elakkan unsur-unsur dosa berlaku sewaktu kita bekerja. Pasti takkan ada kes tipu 'claim', tipu waktu bekerja, rasuah, membuang masa hingga kerja tak siap, guna kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi, etc.
P/S: Terlanjur cakap pasal kerja sebagai ibadah ini, teringat abah sewaktu ke Pejabat JPN di Kota Damansara minggu lepas. Abah kesana untuk buat MyKad sebab MyKad abah 'hilang'. Bagus sungguh layanan dari kakitangan JPN disana. Dengan wajah manis, dan tuturkata yang baik buat abah bangga dengan mereka itu. Semoga Allah memberikan mereka ganjaran yang sebaiknya, insyaAllah.
602, Hotel Sandakan
13 April 07 @ 8.05pm
No comments:
Post a Comment