Friday, September 21, 2007

Cerita tentang peringatan, dan jiwa...

Petang semalam, seluruh rakyat bersedih, atas berita pengesahan bahawa mayat kanak-kanak perempuan yang dijumpai di PJ baru-baru ini adalah Nurin Jazlin, yang telah hilang dari rumahnya hampir sebulan lepas. Izinkan abah mengepek sedikit berkenaan apa yang berlaku ini.

Ibubapa Nurin sehingga berita pagi tadi, masih yakin bahawa mayat itu bukan anak mereka. Dan abah tidak mahu komen itu. Abah faham, sebagai ibubapa, sukar menerima kenyataan bahawa anak kesayangan meninggal dalam keadaan itu. Cuma dari satu segi, jika benarlah itu Nurin, mereka kena redha akan pemergiannya, walau sesulit mana pun rasa hati. Itu janji Allah, setiap yang hidup pasti akan mati. Dalam bulan ramadhan ini pun sebenarnya, kita sangat-sangat digalakkan supaya bersabar. Dan satu contoh sabar ialah dengan menerima kenyataan dan redha jika kehilangan orang tersayang. Kena yakin dgn janji Allah, dan kena terima bahawa setiap yang didatangkan pada kita, adalah milik Allah. Secara dasarnya, anak atau siapa saja itu, adalah milik kita, tapi hakikinya, dia milik Allah.

Sama seperti kejadian gempa diBengkulu baru-baru ini. Ia menuntut banyak kesabaran pada mereka yang mengalaminya. Redha dengan ujian Allah pada mereka. Dan dalam masa yang sama, mengkaji semula kenapa mereka diuji sebegitu. Kita yang diMalaysia ini pun. Kena turut sama-sama berfikir. Kenapa Allah gegarkan Bengkulu? Abah yakin itu adalah tanda peringatan Allah pada manusia, kita semua. Dan Allah uji sekejap saja, hanya dalam beberapa minit. Bayangkan kalau Allah uji dengan gegaran sehingga 1 jam?

Walaupun kejadian diBengkulu, namun diMalaysia tercinta ini pun, ramai yang bertempiaran lari turun dari bangunan2. Lihat saja dalam akhbar, ibu2 turun sambil menggendong anak turun dari rumah bertingkat mereka, kerana merasa gegaran tersebut. Kenapa lari? Kerana takut dengan gegaran. Gegaran itu apa? Itu peringatan Allah, atau mungkin hukuman. Dan kenapa sekadar lari kerana takutkan peringatan Allah - sedangkan dalam masa yang sama, kita ingkar banyak perkara.

Kata Ustaz Halim Din waktu tazkirah malam tadi - gempa bumi, tsunami, banjir - itu semua peringatan Allah pada manusia. Dan bukan sekadar perlu diterima akan peringatan itu, tapi perlu digunakan untuk muhasabah diri, dan perbetulkan apa yang difikirkan tidak betul. Semoga kita semua, didalam bulan ramadhan ini, akan dapat muhasabah diri kita sendiri, dan perbetulkan apa yang perlu kita perbetulkan. Bulan ini bulan kerahmatan, bulan keampunan.

Berbalik pada kes Nurin tadi, semua orang marah kepada si penjenayah itu. Sanggup memperlakukan perbuatan sekejam itu pada anak yang baru nak mengenal hidup dan kehidupan. Tapi dalam marah itupun, kita wajib berjaga-jaga, kerana bukan seorang manusia spt itu dalam masyarakat kita skrg ini. Abah yakin ramai yang semacam itu. Kerana apa? Menurut Ustaz Wan Akashah dalam MHI pagi tadi, itu adalah kerana manusia sekarang ini ramai yang sakit jiwanya, dan rosak akhlaknya. Bukan sedikit kita ini yang sakit jiwanya. Dan bila jiwa dah terlalu kotor, terlalu sakit, akan terjadilah perbuatan kejam semacam itu, yang pada abah, binatang pun tidak akan berbuat semacam itu.

Dan kenapa jiwa kita kotor? Kerana kemungkaran dan maksiat yang kita perbuat. Samada sedar atau tidak. Jika mengikut logik akal, apa saja jenis kekotoran perlu dibersihkan. Sama macam baju dan kereta kotor, kita akan basuh, akan bersihkan. Kalau abah tanya anda semua la kan, berapa kerap kita basuh baju, basuh pinggan, dan basuh kereta? Abah yakin kerap juga. Tapi berapa kerap pula kita membasuh jiwa? Wallahua'lam. Kita dan Allah saja yang mengetahuinya.

Susah bila kita tidak nampak kekotoran jiwa, kerana ia tidak sepertimana kita nampak kereta kita kotor. Dan bimbang sekiranya kekotoran jiwa itu tidak dibersihkan, lama2 ia jadi makin kotor, hingga kita sudah tidak nampak lagi dimana kesucian jiwa itu.

Bagaimana nak membersihkan jiwa? Dengan beribadat kepada Allah, dengan memohon ampun pada Allah, dengan berzikir pada Allah, dengan membaca ayat-ayat Allah, dll.

Apa yang abah tulis hari ini sebenarnya adalah rangkuman dari apa yang abah dengar dari tazkirah2 malam tadi dan pagi ini, ditambah sesedap rasa oleh abah sendiri. Bukan sekadar peringatan untuk anda, tapi yang lebih penting, untuk abah sendiri.

Sama-samalah kita merebut keampunan Allah dibulan Ramadhan ini. Semoga Allah mengampunkan dosa kita, menyucikan jiwa kita. Menjadikan kita hamba yang baik. Dan untuk kanak-kanak malang itu, semoga rahmat dan kasih sayang Allah akan tetap bersamanya. Salam takziah dari abah buat ibubapa dan keluarga kanak2 yang jadi mangsa itu(samada Nurin atau orang lain).

P/S: Semalam baru abah tahu satu benda baru: Waktu yang paling baik untuk kita memohon pada Allah ialah waktu bersahur.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)**

**Terima kasih Arsaili.

4 comments:

Anonymous said...

Sayu.
Al-Fatihah buat arwah.

For more info:
http://nurinjazlin.blogspot.com

arsaili said...

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

Jamal Abd Rahman said...

abah..sayu jer baca entry ni, bagus, siap ada tazkirah lg..anyhow, alfatihah buat arwah nurin..

Wan Syahida said...

Banyak tazkirah yang baik untuk diperingati.. terima kasih Abah... bagus artikel ni. :)

Berkenaan waktu2 mustajab utk berdoa, di antara waktu yg paling mustajab adalah ketika berbuka puasa. Ini berdasarkan hadis:

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash Radhiyallahu 'anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.

"Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak". (Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da'watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17).

Antara lainnya:

1) Di sepertiga akhir malam
2) Setiap selepas solat fardhu
3) Ketika saat perang berkecamuk
4) Sesaat ketika hari Jumaat
5) Antara azan dan iqamah
6) Doa ketika sujud dalam solat
7) Ketika sedang hujan
8) Ketika saat ajal tiba
9) Ketika lailatul qadar
10) Doa ketika hari arafah

Moga kita sama-sama manfaatkannya. :)