Friday, September 14, 2007

Cerita tentang maya...

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, abah ada menerima sambutan salam perkenalan dari beberapa kawan - yang kesemuanya adalah kawan maya. Dan alhamdulillah, mereka adalah dari kalangan orang yang ingin berkenalan atas dasar persaudaraan dan ukhwah.

Ini bukan pertama kali abah dapat kawan2 maya sebegini, sejak dari abah mula menggunakan teknologi internet ini dgn kerap, memang ada ramai kawan2 maya yang abah ada. Dan inilah satu sebab abah bersyukur yang Allah berikan idea pada bijakpandai yang mereka teknologi Internet ini. Kerana abah secara peribadinya fikir yang Internet ini sungguh banyak kegunaannya pada diri kita sekarang ini. Asal saja digunakan
untuk tujuan, dengan cara, pada masa - yang betul.

Berbalik pada cerita kawan maya ini, sebenarnya kawan2 maya ini pun lebih kurang sama dengan kawan fizikal yang kita ada. Bezanya cuma kita tidak kenal kawan maya ini secara nyatanya. Bila bersembang atau bertukar2 cerita, segalanya hanya melalui medium Internet. Berbeza dengan kawan fizikal, yang kita akan berdepan dgn mereka untuk bersembang. Tapi istilah itu boleh berubah pun. Ada masanya, kawan maya akan bertukar jadi kawan fizikal. Dan banyak ketikanya, kawan fizikal bertukar jadi kawan maya. Macam kawan2 abah la. Kebanyakan kami dah jadi kawan maya, atas banyak sebab yang tidak dapat nak dielakkan. Tapi tak kisahlah itu, asal saja jalinan ukhwah dan persahabatan itu masih tetap dihati. Jadi kawan maya pun adalah lebih baik, daripada kawan menghilang terus, dan kita pun tak tahu apa cerita mereka.

Dan bercerita ttg kawan maya ini, teringat satu kisah yang berlaku, tak silap abah hampir setahun yg lepas. Ada seorang hamba Allah menghantar emel kepada abah dengan menyertakan foto dia. Dan isi kandungan emelnya buat abah tersenyum, dan dalam masa yang sama jadi kesian. Tahu apa katanya? Kata dia, "Nah, ambik la gambar aku ni, dan tunjukkan la pada awek yang nak dikenalkan tu". Lebih kurang begitulah bunyinya. Rupanya emel itu ditujukan pada sahabatnya yang lain, dengan tujuan untuk beri gambar dia supaya kawan tadi beri pada bakal permaisuri dalam hidup dia. Dan abah kesian, kerana dia telah tersalah orang.

Kerana kesian itu, abah balas emel dia. Daripada situ, dan selepas beberapa kali bertukar emel, kami akhirnya jadi kawan baik. Alhamdulillah, hingga kehari ini, dia masih tetap jadi kawan baik. Walaupun lebih kerap berhubungan secara maya, namun itu tidak jadi masalah, kerana abah tahu apa cerita yang terjadi dalam hidup dia sehari2, dan diapun sentiasa tahu apa cerita yang berlaku dalam hidup abah.

Bukan setakat emel saja, ada kawan maya yang abah dapat dari YM, ada yang dari blog, dan macam-macam lagi. Dan alhamdulillah, hanya kerana teknologi itu, dan dengan izin Allah, abah berjumpa dengan pelbagai jenis manusia. Jika tidak kerana internet, abah pun mungkin tak kenal Kak Mis yang sangat kreatif membuat kek itu, dan juga Ustaz Muda yang sungguh ligat berniaga secara atas talian. Dan jika tidak kerana internet juga, Bang long, Irman sekeluarga, Anim, Hana, Muzem serta beberapa kawan lagi mungkin tidak abah kenal pada ketika ini.

Berkawan maya - ada yang kenal sekejap, ada yang berkawan lama, dan ada yang jadi rapat dengan abah pun. Apapun, pada abah, Allah datangkan mereka itu semua pada abah (atau mungkin datangkan abah kepada mereka) atas sebab-sebab yang Allah saja yang Maha Mengetahui. Walaupun akan ada orang kata, bukan semua kawan maya ini boleh dipercayai (dan abah tidak boleh nafikan kenyataan itu), namun abah yakin, sekiranya asas persahabatan dan perkenalan itu dilandaskan atas agama Allah, hasilnya akan jadi baik. Bukan tidak pernah terkena dengan kawan2 maya ini, tapi itu cuma sebahagian kecil dari sekian banyak kebahagiaan yang dibawa oleh kawan2 maya yang lain.

Untuk kawan2 maya abah yang membaca blog ini. Terima kasih atas persahabatan yang dihulurkan. Semoga ianya akan kekal untuk selamanya, walaupun abah tahu sukar untuk pastikan itu terjadi. Walau kadangkala sekejap saja kehadiran anda sebagai kawan abah, tetap abah hargai usaha itu. Dan abah tidak berharap tinggi pun pada kawan2 maya ini. Cukuplah sekurang2nya, pada hari2 abah tidak berapa ceria, ada kawan yang mampu buatkan abah tersenyum sendirian di depan laptop abah. Itu dah cukup untuk buat abah berterima kasih. Dan percayalah, abah pun sangat2 berharap agar dapat buat perkara yang sama untuk anda.

P/S: Selamat berpuasa untuk hari kedua Ramadhan kali ini. Semalam waktu tazkirah sebelum tarawih, ustaz mengulas tentang "Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling nasihat menasihati dalam kebenaran dan kesabaran." (Surah Al-Ashr, Ayat: 1-3). Ringkas saja ayatnya, namun sangat dalam maksudnya, dan sangat banyak perkara yang ingin difikirkan oleh kita yang membacanya. Satu contoh manusia rugi yang diberi oleh ustaz, adalah manusia yang tidak menunaikan solat maghrib, hanya kerana sibuk berniaga diPasar Ramadhan. Kerana terlalu sibuk dengan rezeki yang Allah beri pada dia dalam berniaga, tidak sempat untuk dia menyembah Allah pada waktunya. Kalaulah dia tahu setiap rezeki yang Allah bagi itu akan ditanya semula diakhirat kelak, pasti dia tidak akan sanggup meninggalkan solat. Dan harap2nya kita tidak sebegitu, insyaAllah.

8 comments:

Jamal Abd Rahman said...

salam abah...ye saya setuju sgt dgn apa yg dikatakan...mmg kekadang kawan maya ni lebih rapat drp kawan yg biasa kita jumpa..

Dan saya tidak terkecuali juga dlm hal ni...ramai kawan yg jumpa melalui blogosphere, dah jadi kawan yg rapat sekarang ni...

a good piece bro!

Anonymous said...

abah, sungguh terharu membaca post entry ni..

"ukhuwah fillah".

--> saya seru dr Penang.

Abah Mui'zz said...

Uncle, terima kasih atas pujian tu. Eh, pujian ke? Ekekekke. Ke perli Uncle?

Zem, itu datang dari hati abah. Apa yang abah rasa, apa yang abah fikir. Dan memang, hidup ini membahagiakan bila dikurniakan kawan2 yang baik, macam Muzem.

Jamal Abd Rahman said...

Ish..we give credit where it deserves! Period.

Mmg betul pun, bukan perli, bro! Bagus apa entry tu...

arsaili said...

Kenalan di alam maya ni banyak membantu kepada org yang "social handicap". They are very good with writing but not talking. Kalau both party ikhlas berkawan, InsyaAllah semua nya akan berkekalan.

Anonymous said...

kawan maya atau nyata .. selagi berkebaikan, berkawanlah.

Mis's Creative Cakes said...

Salam abahmuizz, lama tak masuk sini, setuju sgt dgn apa yg dibicarakan, kekadang kawan maya ni lebih rapat drp kawan yg biasa kita jumpa..dan juga kawan yang tengelam timbul. saya pun ramai kawan-kawan maya seperti nie sering berkongsi masaalah dan idea.

Abahmuizz, Malam tadi saya BERMIMPI, ibu tersayang telah meninggalkan saya, tepat jam 1.00 mlm, saya terjaga lalu mata tidak mau lelap lagi. Melayan ingatan pada mimpiku tadi hati menjadi tidak keruan, sayu dan sedu...mata terpaku merenung wajah tua ibu yang sedan lena di ingatanku. Tiba-tiba saya tersedar dengan kejutan deringan telephone, adik saya menelepon dari kampung mengatakan ibu saya sakit, tanpa ku sedari airmata berguguran begitu pantas, rupa-rupanya mimpiku membawa petanda kurang baik. Mohon ku dari AbahMuizz doakan kesejahteraan ibu saya yang amat ku sayangi itu.... saya amat mnghargai persahabatan ini, salam saya juga utk suri Abahmuizz

Abah Mui'zz said...

Arsaili dan Jeff, abah sangat setuju dgn apa yng kalian kata. Berkawan, selagi demi kebaikan dan atas jalan Islam, moga dapat diteruskan dan dipereratkan.

Kak Mis, abah pernah mimpi yang sama dan ianya kekal jadi mimpi paling abah tidak boleh lupakan. Dan alhamdulillah, ibu abah masih dalam rahmat kesihatan Allah.

Abah simpati dengan apa yg berlaku pada Kak Mis. Dan semoga kita sama2 dapat doakan agar ibu kak Mis akan cepat sembuh, insyaAllah. Dibulan penuh rahmat dan berkat ini, moga Allah akan menunaikan doa kita yang ini.

Akan abah sampaikan salam kak Mis pada 'suri' hati abah itu, insyaAllah.