Abah sepatutnya ada bengkel minggu ni, tapi sebab masa abah pergi semalam, agenda bengkel itu tidak menarik hati abah, maka hari ni, abah memilih untuk masuk pejabat saja. Banyak lagi tugasan yg perlu abah selesaikan daripada duduk dalam sesi bengkel sambil minda tertanya-tanya, "Apa yg aku buat kat sini?".
Tapi hari ni abah masuk pejabat, esok, abah akan masuk bengkel semula sebab bermula esok hingga Jumaat, agendanya nampak macam menarik sikit.
Hari ni nak mengepek sikit, bukan mengepek apa, tapi mengepek tentang kesilapan. Tapi sebelum abah mengepek, anda lihatlah dahulu dua gambar yang abah ambil dari Utusan Malaysia dan Berita Harian.
MENYAYAT HATI... Mayat seorang bayi lelaki terdampar di atas rumput dan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih 24 jam di Flat Lobak, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Abah pasti anda tahu kisah yang berkaitan dengan dua gambar diatas. Kalau tak tahu, cubalah klik pada 'caption' gambar tersebut.
Kisah dalam gambar itu adalah kisah yang terhasil akibat dari untaian kesilapan yang dibuat manusia. Kesilapan yang tidak dijangkakan, juga kesilapan yang disengajakan. Seorang bayi dibuang begitu sahaja, mungkin kerana kelahirannya adalah satu kesilapan sang ibu. Kesilapan kerana mungkin terlalu mempercayai seorang lelaki. Dan itu mungkin kesilapan yang tidak dijangkakan, mungkin. Tetapi, bila bayi tidak berdosa itu dibuang, itulah contoh kesilapan yang disengajakan. Dan kesilapan yg disengajakan seperti itu, pada abah, adalah kekejaman.
Sama juga macam kes Zulhaidi Omar. Kesilapan pertukaran bayi 29 tahun lalu, akhirnya mewujudkan satu dilema untuk kita semua. Dilema dimana anak cina yang tersilap diserahkan kepada keluarga melayu, dan membesar sebagai seorang yang beragama Islam, akhirnya memilih untuk kembali kepada keluarga asalnya, yang bermakna juga, kembali pada agama anutan keluarga asalnya.
Hanya mungkin kerana kesilapan pihak hospital yang tertukar bayi, kita hari ini melihat kepada hasil dari kesilapan yang tidak disengajakan itu. Abah tidak mahu menghukum Zulhaidi, kerana bila abah baca kisah dia, katanya, keluarga melayu yang membelanya adalah keluarga yang porak peranda. Dan abah boleh bayangkan apa maksudnya dengan porak peranda. Ibu dan ayah angkat Zulhaidi telah membuat satu kesilapan yang mungkin disengajakan, atau tidak. Keluarga angkat Zulhaidi, pada abah, telah silap atau mungkin lebih tepat lagi, gagal membentuk jiwa Zulhaidi supaya sayangkan Allah dan agamanya. Sebab kesilapan itu, Zulhaidi begitu mudah sekali membuat keputusan untuk balik pada agama ibubapanya.
Kenapa abah paparkan dua kisah kesilapan ini. Kerana pada abah, kisah kesilapan yang berlaku itu aalah kisah hidup kita. Ia berlaku disekitar kita. Ia berlaku mungkin pada orang yang kita kenal. Dan kalau tidak kita ambil iktibar dan pengajaran dari kesilapan orang lain ini, abah tidak tahulah apa gunanya kisah2 itu dipaparkan dalam akbar dan berita. Jangan setakat mengutuk atau mencemuh manusia2 yang terlibat dalam kisah itu, tapi pandanglah pada diri kita, belajarlah sesuatu yang baik dari kisah itu.
Kita mungkin tidak mampu menghalang bayi itu dibuang, dan kita juga mungkin tidak mampu mengelakkan Zulhaidi dari kembali pada agama ibubapa asalnya. Tapi kita mampu untuk berusaha, supaya diri kita, ahli keluarga kita, masyarakat sekitar kita, tidak akan membuat kesilapan yang sama. Kita ajar anak2 kita supaya cintakan Allah dan agamanya sepenuh hati. Kita didik masyarakat kita supaya cintakan Allah dan agamaNya. Kita doakan supaya seluruh masyarakat kita akan kembali pada Allah dan agamaNya, dan hidup berlandaskan agama Allah yang suci ini, insyaAllah.
Bercakap tentang kesilapan, teringat satu mutiara kata yang abah pernah dengar satu ketika dulu: Belajarlah dari kesilapan diri kita dan kesilapan orang lain, kerana umur kita tidak akan cukup panjang untuk kita mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah kita ketahui itu.
Jumpa lagi nanti, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment