Wednesday, July 19, 2006

Cerita tentang andaian...

Hari ni abah nak menulis sikit(banyak gak sebenarnya) tentang kisah Mawi dan kaitannya dengan kita.

Kecoh kebelakangan ini cerita tentang Mawi putus tunang. Semua akhbar dan media bercerita, dari media utama negara hinggalah ke majalah picisan. Cuma abah tak pasti kalau Sin Chew Jit Poh atau Tamil Nesan bercerita juga tentang kisah Mawi.

Abah terima hakikat yang Mawi orang terkenal dan semua orang hendak tahu apa kisah hidup dia. Tapi abah rasa apa yang dibuat oleh pihak media kita tidak bagus. Mawi pun manusia juga. Dan dia wajar dihormati haknya untuk tidak menceritakan segalanya tentang peribadi dia.

Tapi itulah akhbar kita, dan mungkin itulah sifat orang kita. Bila empunya badan tidak mahu beri sebarang komen atau kenyataan, kita mula pandai buat komen dan spekulasi sendiri, hanya untuk kepentingan sendiri.

Bukan setakat dalam media sajalah, hatta dalam mailing list pun kecoh juga. Semua orang tiba-tiba 'kenal' siapa Mawi dan apa dah jadi pada dia. Semua orang tampil dengan teori sendiri, seolah2 mereka adik beradik atau kawan rapat Mawi. Abah rasa, jumpa Mawi pun mereka tak pernah, sementelah lagi nak tahu apa cerita sebenar Mawi. Tapi sebab dah memang tabiat kita suka nak buat2 cerita, suka nak fitnah2 orang(maaf cakap), maka kita buat juga cerita.

Kita buat cerita berdasarkan apa yang kita dengar dan baca, dan kita buat kisah ttg orang lain berdasarkan apa yang kita rasa. Kita tak fikirkan akan kebenaran dan kesahihan apa yang kita cerita. Pada kita, apa yang kita dengar dan tahu itulah yang betul. Mawi lupa diri, Mawi lelaki dayus, Mawi dah mabuk dgn populariti, Ina demand, Ina sakitkan hati keluarga Mawi, Mawi ini, Ina itu. Pendek kata semua yang tak seronoklah yang diceritakan.

Dan abah boleh faham apa yang Mawi dan keluarga terdekatnya rasa tentang apa yang dilaporkan dan diceritakan dalam media, atau dalam lapangan tak rasmi seperti mailing list atau di kedai kopi. Sedih. Itulah satu perasaan Mawi yang abah boleh pastikan. Sedih dengan manusia2 sekelilingnya yang hanya tahu membuat spekulasi dan cerita2 yang tidak betul. Abah bukanlah peminat Mawi, cuma abah rasa abah perlu hormati hak diri dia sebagai seorang manusia.

Abah mungkin tak boleh nak betulkan apa yang abah rasa tak kena dalam masyarakat kita, tapi abah harap pada anda yang baca blog abah ni, elakkan diri dari beri komen atau berkata sesuatu yang kita tak pasti sahih betulnya. Dia ada sebab untuk mendiamkan diri macam itu. Sekiranya dia cerita, kita terima saja cerita dia. Jika dia tidak cerita, kita hormati hak dia.

Abah bercerita tentang ini pun, sebab ada orang2 yang mengaku rapat dan baik dgn abah sendiri pun buat benda yang sama spt yang Mawi kena.

Abah dituduh itu dan ini, dikata itu dan ini, disyak itu dan ini, dan kesemuanya bukanlah benda yang sedap didengar. Hanya kerana mereka rasa mereka rapat dgn abah, dan mengaku kenal abah, maka itulah mereka boleh fikir macam itu tentang abah.

Abah tak salahkan mereka, tapi abah kalau boleh mintak mereka itu fikirlah dengan akal yang waras. Andai saja segala yang didengar dari mulut orang lain, atau andai saja apa yang mereka fikir itu tidak seperti apa yang nyata, hentikanlah perbuatan itu.

Abah tidak marah, sungguh abah tidak marah. Cuma terkilan, sebab orang yang mengaku baik dgn kita boleh syak kita yang bukan-bukan, sementelah lagi orang yang tidak kenal kita. Seperti kes Mawi, siapa-siapa saja boleh tiba2 mengaku kenal Mawi dan Ina, dan mula bercerita tentang apa yang dia 'tahu'. Dan kita percaya bulat2 apa yang mereka kata.

Andai betul nak tahu apa ceritanya, tanyalah abah sendiri. Kalau abah cerita, terimalah itu yang sebenarnya. Dan kalau abah memilih untuk berdiam diri, hormatilah pendirian abah. Bukan dengan membuat andaian-andaian sendiri, sekadar untuk menyedapkan hati kita.

Seorang sahabat dunia akhirat akan mendoakan kerahmatan dan keampunan Allah untuk sahabatnya, akan mengharapkan kesejahteraan hidup sahabatnya, akan mengimpikan kebahagiaan saudaranya, akan menegur demi kebaikan, akan membimbing kejalan yang diredhai Allah. Tapi bukan dengan memandang serong atau memfitnah.

Abah sehabis baik akan cuba menghormati hak dan diri mana-mana individu, apatah lagi individu yang bergelar kawan atau sahabat. Dan abah akan sentiasa memaafkan kesalahan sahabat abah, sebab abah tidak tahu bila abah akan dipanggil Allah. Abah tidak mahu dosa sahabat dengan abah tidak terampun bila abah meninggal. Kesian dengan sahabat2 dan kawan2 abah. Allah sudah tetapkan, dosa denganNya boleh diampunkan, asal saja kita bertaubat dan memohon ampun. Tapi dosa dengan orang lain, hanya boleh diampunkan oleh orang itu.

Dan abah mohon maaf secara terbuka pada mana2 individu yang terasa abah tidak menjaga hatinya, tidak menghormati haknya. Abah manusia biasa yang takkan bebas dari buat silap, sekuat mana abah cuba pun. Anda maafkanlah abah sebelum anda, atau abah pergi menghadap Ilahi.

Sekali lagi abah mohon dan sangat berharap agar kita semua(termasuklah diri abah sendiri) berusaha untuk tidak jadi manusia yang suka untuk membuat andaian, tanggapan, teori, spekulasi tentang individu atau perkara yang kita tidak pasti akan kebenarannya. Kita sendiri tahu apa hukumnya kita buat macam itu.

Kalau benar kita sangat ingin mengetahui, selidikah dengan cara yang betul. Kajilah dengan kaedah terbaik. Dan andai jawapannya tidak kita temui, terima saja hakikat bahawa kita tidak perlu ambil tahu perkara itu.

Kita sama-sama doakan seikhlasnya untuk saudara kita, dan sahabat2 kita, termasuklah Mawi. Moga Allah menjaga hati kita, menguatkan iman kita, memberi kebahagiaan pada hidup kita dan juga mereka yang dekat dengan kita, insyaAllah.

P/S: Abah terasa sangat sayu hati tiap kali abah dengar lagu Kembali dari Far East, dan abah tak tahu nak jelaskan kenapa. Kebetulan dalam HP abah ada lagu ini, dan Mu'izz sangat suka memasang lagu ini di HP abah. Mu'izz pun dah boleh hafal sikit2 lagu ini, dan abah harap satu waktu nanti, anak kesayangan abah ini akan faham sebaik2nya maksud setiap bait lirik lagu itu.

Wahai Tuhan yang Maha Pemurah, Terangilahku dengan nur imanMu, Hanya Engkau tempat aku berserah, Mohon maghfirah didalam syahdu.

Wahai Tuhan yang Maha Pengasih, Ampunilah segala dosaku, Laksana buih dilaut memutih, Hanyut ditelan gelombang nafsu.

Bebaskanlah diriku dari dibelenggu dosa noda nafsu durjana.

Terimalah taubatku ya Allah. Pimpinlah daku kejalan redhaMu. Moga sinarMu terangi hidupku didalam kegelapan.

Aku kan kembali padaMu Rabbi, MengadapMu ya Rabbul Izzati. Segala ketentuan kupasrahkan dihujung penghayatan...
- Abah 17 Julai 2006

2 comments:

irman_rahs said...

ni macam cerita mawi dan abah ni...tukar la tajuk tu....

Anonymous said...

Biasalah dalam kehidupan ni abah, Am pun pernah kena benda-benda macam ini juga. Seperti yang abah pernah beritahu Am, kita tahu apa yang kita buat sudah cukup, betul tak abah.

Pasal media ni Am sendiri sudah tahu memang begitu perangai media, yang buruk atau peribadi orang mereka memang suka hebohkan, silap pembaca itu sendiri terlalu percaya sangat dengan media dan paling silap bila tokok tambah pula.