Wednesday, July 25, 2007

Cerita tentang rumahtangga...

Ada beberapa artikel dalam akhbar dan majalah sejak 3-4 hari kebelakangan ini yang menarik minat abah untuk kongsikannya dengan anda. Tapi abah kena tulis satu-satu topik la dulu, ikut 'mood' abah nak sentuh topik mana.

Ada beberapa artikel dalam Mingguan Wanita yang abah belikan untuk Ummi sewaktu diwad UMSC hari tu yang menarik pada abah. Ditambah pula dengan laporan akhbar dan emel yang di'forward' oleh bang long satu ketika dulu. Kisah tentang perkahwinan. Hehe, ini untuk orang dah berkahwin je la, tapi yg baru nak kahwin cam Zamdee pun boleh baca juga.

Emel yang di'forward' oleh bang long bercerita tentang satu soalan iaitu "Did I marry the right person?". Ini bukan soalan pelik pun, walaupun mungkin tidak ramai orang yang berkahwin terlintas soalan-soalan macam ini. Kalau terlintas pun, mungkin kerana diri rasa tidak bahagia atau mungkin bila dah kahwin, diperhatikan bahawa pasangan yang dikahwini bukan apa yang dia idam-idamkan. Untuk anda yang dah berkahwin, dan jika terlintas soalan sebegitu dalam minda anda, abah fikir, jawapan kepada soalan itu perlu difikir betul-betul, dan perlu dipertimbangkan banyak perkara sebelum anda memutuskan apakah jawapannya.

Dalam NST, dilaporkan pula "More women are now cheating on their husbands". Ini bukan kes menipu ambil duit dalam dompet suami dan tak cakap, tapi ini kes ada hubungan sulit dengan lelaki lain diluar pengetahuan suami. Agak memeranjatkan juga bila abah baca, sebab kebiasaannya, lelaki yang sering ada hubungan sulit tanpa pengetahuan isteri. Ada beberapa sebab diberi hasil kajian dan temuramah yang dijalankan oleh dua pemberita NST itu, antaranya isteri rasa tidak bahagia hidup dgn suami, isteri itu pernah ditipu suami, isteri didera suami dan beberapa sebab lagi.

Dr. Tuah pula dalam satu artikelnya di MW, kata, "menangislah kerana Tuhan, bukan kerana jantan." Kenapa Dr. Tuah kata macam itu? Kerana beliau dalam masa beberapa bulan sahaja telah menerima hampir 9000 sms yang mengadu ttg masalah hidup, dan rata-ratanya adalah wanita a.k.a isteri yang tidak bahagia, kerana perbuatan suami. Lebih malang adalah pada isteri yang merupakan saudara baru, yang sanggup meninggalkan banyak perkara dalam hidupnya, tiba-tiba tidak dihiraukan lagi akan dirinya, lantara suami ada kisah lain.

Abah pun bukanlah lama sangat bergelar suami orang, dan abah tak berani nak kata yang perkara yang berlaku pada orang lain tidak akan berlaku pada rumahtangga abah, tapi seperti mana kita disuruh berusaha, abah fikir, banyak perkara yang berlaku dalam hidup adalah hasil pilihan dan tindakan kita sendiri, dengan izin Allah. Kita tidak boleh salahkan takdir sepenuh-penuhnya atas apa yang terjadi.

Isteri tidak seperti yang kita harapkan, atau suami kita bukan 'prince charming' yang kita dok mimpikan selalu itu, bukanlah satu alasan untuk meletakkan kesalahan pada takdir semata. Kita dan tindakan kita ada juga saham yang perlu dikongsi apabila soal kesalahan itu ingin diletakkan.

Balik pada soalan, "Did I marry the right person?", abah fikir, ianya bukanlah soal pasangan kita itu orang yang betul atau tidak, tapi kita perlu fokus kepada apa yang boleh kita buat, 'to make it right'. Bila anda berkahwin, walaupun bukan dengan rela hati, terimalah bahawa ianya adalah takdir hidup anda yang telah ditetapkan Allah. Dan kalau betulpun pasangan itu bukan yang anda idam-idamkan, ada banyak perkara yang boleh dilakukan selain dari memikirkan betapa malangnya anda kerana tidak bahagia hidup dgn orang yang tidak dicintai.

Perkahwinan itu satu tanggungjawab, samada kita sedar atau tidak. Untuk lelaki, anda mengambilalih tanggungjawab itu dari ibubapa isteri anda, dan untuk isteri, anda bertanggungjawab pada rumahtangga anda. Salah satu dari tanggungjawab itu ialah mencipta kebahagiaan dalam rumahtangga. Kebahagiaan itu bukan benda yang akan datang tanpa usaha. Cinta yang tidak pernah wujud dalam hati terhadap pasangan pun, tidak mustahil boleh berputik selepas anda berumahtangga, dengan syarat anda mencuba. Kedua-duanya perlu mencuba. Jika anda telah ada kekasih hati sebelum berkahwin, lupakan dia. Tidak ada gunanya mengingati sedangkan hakikatnya, hidup anda dikongsi dengan orang lain. Untuk mereka yang mengalami keadaan ini, abah rasa mereka kena terima hakikat, bahawa perkahwinan juga bukan sepenuhnya pilihan hati kita. Daripada asyik teringat kekasih lama, lebih baik anda belajar mencintai dan menyayangi orang yang anda kahwini.

Merujuk pada kes hubungan sulit diluar perkahwinan, rasanya jika kedua2 suami isteri tahu akan hak masing-masing, perkara ini tidak perlu terjadi. Suami ada hak yang perlu dipenuhi isteri, dan sebaliknya. Masalah sering terjadi bila masing2 hanya menuntut supaya pasangan memenuhi hak mereka, sedangkan mereka sendiri lupa untuk memenuhi hak pasangan. Anda mahu dicintai, maka anda mesti menyintai. Itu hak suami dan juga isteri. Jangan kita asyik menuntut hak kita tanpa mengambilkira hak orang lain. Dr.Tuah tulis, katanya, Nabi bersabda, "Ingatlah bahawasanya untukmu ada hak atas isteri-isterimu dan bagi isterimu, juga ada hak atas kamu...".

Untuk mereka yang rumahtangganya diuji, samada dipihak suami atau isteri, jika anda boleh berusaha, berusahalah. Dan dalam masa yang sama, bersabarlah dengan ujian Allah. Dan ingatlah, pasangan anda yang anda kahwini, samada secara sukarela atau terpaksa, dia didatangkan oleh Allah kepada anda untuk melengkapkan hidup anda dalam menjalankan tanggungjawab dan menyempurnakan misi hidup anda. Lihatlah disebalik apa yang anda lihat secara zahirnya pada pasangan anda. Dia disisi anda bukan kebetulan, dia disitu untuk menyempurnakan anda. Jika baik dirinya, bersyukurlah pada Allah, dan jika buruk dirinya, renunglah apa yang perlu anda pelajari dan berusaha dalam menyempurnakan diri anda.

Jika dia tidak ditakdirkan bersama anda lagi, maka Allah akan mengambil dia daripada anda samada hidup atau mati. Hidup bukan hanya untuk mengecapi kebahagiaan hidup semata-mata, tanpa berusaha mengabdikan diri pada Allah. Diri kita bukan hak kita, diri pasangan pun bukan hak kita. Sekiranya kita sedar itu, maka terimalah pasangan kita sebagai satu anugerah dari Allah dalam hidup kita. Anda beruntung diberi pasangan, kerana ada orang yang Allah takdirkan tidak akan ada pasangan hidup didunia ini dalam menyempurnakan dirinya.

Moga kita akan senantisa diberi rahmat kasihsayang oleh Allah. Moga sinar kebahagiaan yang kita cari bisa kita kecapi dalam hidup ini, dan akan menambahkan lagi rasa syukur kita pada Allah s.w.t.

Rujukan:
1. Adultery on the rise as women look for 'love' - NST.
2. Mingguan Wanita, 20-26 Julai 2007.
3. An email forwarded by bang long entitled - DID I MARRY THE RIGHT PERSON?.

1 comment:

Anonymous said...

huhu..topik ni mmg a bit complicated..

sbg seorang yang masih bujang trang-tang-tang, kadang2 ade gak rase cam takyah kawin..haha.
=settled=

para pencinta (wife & husband)= a PhD holder. (Permanent Head Damage).