Tuesday, July 24, 2007

Cerita tentang kami...

Sudah banyak hari abah tak dapat menulis a.k.a mengepek disini. Bukan mengepek sajalah, menjenguk kesini pun baru hari ni ada kesempatan.

Sibuk? Sibuklah sikit dengan urusan kerja. Tapi ada urusan lain yang buat abah tak sempat nak mengepek.

Hari rabu yang lepas, Ummi terpaksa masuk wad. Bukan sakit teruk pun, tapi sebab Ummi disahkan hamil, dan kebetulan sebab Ummi ada sikit masalah kesihatan, maka doktor terpaksa tahan Ummi selama 2 hari untuk pastikan semuanya OK.

Dan alhamdulillah, hari Jumaat malam tu, Ummi dibenarkan balik. Selama ummi diwad, selama itulah juga abah dan muizz duduk disitu. Ok juga duduk kat hospital ni. Cuma boring sikit bila tak ada apa nak dibuat. Apapun, abah pandang itu sebagai satu kewajipan untuk abah. Ummi diuji Allah dengan ujian kesihatan, dan abah perlu ada setiap ketika untuk Ummi.

Untuk pengetahuan rakan2 pembaca blog abah, yang rata-ratanya kenal abah secara peribadi, tulisan kali ini bukan untuk mengadu nasib, jauh sekali menagih simpati. Ini semata-mata untuk pengetahuan anda semua akan keadaan yang kami alami. Sekurang-kurangnya anda tahu letak duduknya. Jika dahulu abah dan ummi kadangkala naik jemu juga mendengarkan pertanyaan, "Bila nak dapat baby baru?", dan kali ini, kami tak mahu jelik lagi mendengar persoalan2 lain. Abah faham, orang bertanya sebab mereka kurang info. Dan info dalam post kali ini moga2 dapat berikan anda sikit idea tentang keadaan kami.

Malam ummi melahirkan Muizz hampir 6 tahun lepas, Ummi mendapat pre-eklampsia. Dan selepas dari tarikh itu, darah tinggi sudah tidak boleh dipisahkan dari hidup Ummi. Memakan ubat darah tinggi setiap hari sudah jadi rutin. Berjumpa doktor selang beberapa bulan sekali pun sudah jadi kebiasaan. Bukan tidak mencuba perubatan lain, cuba juga, dan alhamdulillah membantu, dengan izin Allah. Tapi nampaknya, darah tinggi Ummi masih juga tidak mahu pulih sepenuhnya.

Pakar jantung yang kami temui menasihatkan untuk tidak mengandung, untuk kebaikan ummi. Tapi kuasa Allah, entah macamana, 2 bulan lepas, pakar jantung itu beri kebenaran untuk kami berusaha untuk dapatkan seorang lagi anak. Dan alhamdulillah, Allah yang Maha Pemurah berikan kami peluang. Dan Ummi hamil 7 minggu setakat hari ini. Apabila telah hamil, banyak ubat-ubatan yang dimakan perlu ditukar dengan ubat lain.

Masuk wad baru-baru inipun, sebab doktor ingin ummi menukar ubat diabetes, daripada ubat makan kepada suntikan insulin. Dan dua hari diwad, ummi berjaya belajar untuk menyuntik insulin ke badan. Dan sekarang, Ummi perlu menyuntik insulin ke badan 4 kali sehari. Alhamdulillah, setakat ini, tidak ada apa2 masalah kesihatan yang teruk selain dari alahan yang biasa dihadapi oleh ibu hamil.

Apapun ujian Allah, kami yakin, ianya adalah untuk menguji atau memberi peringatan. Ada hikmahnya Allah berikan semua kenikmatan dan dugaan pada kita. Cuma kita kena lebih redha dan yakin akan janji-janji Allah.

Setakat ini, abah bersyukur, ujian2 dan kurniaan yang Allah beri pada kami, mampu beri abah sedikit kesedaran untuk lebih menghargai pengorbanan dan kasih sayang ummi sebagai isteri abah, juga beri abah lebih kebijaksanaan dalam mengemudi rumahtangga kami, dan juga buat abah lebih sabar dalam mendidik keluarga, walaupun kadangkala kesabaran abah tergugat.

Untuk rakan2 abah, abah berharap agar kesejahteraan kami sekeluarga akan termasuk dalam doa anda. Semoga semuanya akan berjalan dgn baik dan lancar untuk kita semua dalam meneruskan hidup dimuka bumi Allah ini.

No comments: