Thursday, July 10, 2008

Cerita tentang puji...

AKU MALU KERANA DIPUJI

Aku malu pada Tuhan dan diriku
Mendengar pujian orang buat diriku,
Kerana ku tahu, aku tidak layak untuk itu…
Ilahi Kau Maha Mengetahui tentang hambaMu ini,
Dosa dan noda pada anggota dan jiwa…

Dalam kesunyian malam, ku pohon keampunan
Janganlah pujian orang itu hanya igauan…
Sedang daku di lembah kemurkaan…
Hulurkan untukku lautan keampunan…
Limpahkan daku hamparan keikhlasan…
Hingga pujian dan makian,
Tidak akan menggugat perasaan

Tuhanku, ampunlah daku bila aku dipuji,
Sedangkan Dikau Mengerti…
Diriku ini belum cukup murni…

Siapalah daku dibandingkan hamba-hambaMu yang suci
Para mujahid yang cukup berbakti,
Sedangkan aku hanya di pinggaran budi,
Belum cukup harta, atau airmata yang ku cucuri,
Belumpun darah ku tumpahi, atau nyawa ku korbani
Mereka sudah memuji,
Sedangkan baktiku belum pun terbukti…
Bahkan jauh antara langit dan bumi…
Maka, tutupilah kelemahan diri ini,

Ketika dahi merapat ke bumi… aku tangisi
Dalam kesunyian dinihari… aku ratapi
Aku amat malu padaMu Ilahi
Aku bimbangkan nifaq diri tersembunyi…
Bimbangkan puji membunuh kejujuran naluri…

Wahai Ilahi

Ampunkan daku kerana tak layak dipuji…
Ampunkan mereka kerana salah memuji...

6 minit lepas Ummi emelkan abah puisi ini, termenung sejenak saat membacanya. Bukan dibaca dengan lenggok sang pemuisi, tapi dibaca dengan hati sang manusia bergelar abahmuizz. Dan diminit yang ini abah berkongsi puisi dan kesannya pada abah, dengan anda.

Membacanya, buat abah terkesima. Membacanya juga buat abah sayu. Dan kali kedua membacanya buat abah cukup pilu.

Terkesima kerana bahasanya, sayu kerana maknanya. Pilu kerana hati abah tahu apa yg ada dalam hati ini dan kaitannya dgn puisi itu.

Kepada sang pencipta puisi puitis penuh makna itu, terima kasih. Kepada ummi, terima kasih kerana berkongsi dengan abah. Abah tahu ummi tahu hati abah, sepertimana abah tahu hati ummi. Dan sesungguhnya Allah Maha Tahu hati kita.

Untuk anda, kita cuma manusia biasa yang sangat lemah, sungguh banyak kekurangan. Semoga dengan kekurangan dan keinsafan diri, kita mampu jadi hamba yang baik. Sekurang2nya mampu untuk menghadapi hari-hari di Padang Mahsyar nanti.

2 comments:

JEFFROCKERS said...

apabila diberi pujian .. segeralah pula kita memuji Allah .. mudah2an sentiasa 'teringat' akan tahap diri sendiri yang serba lemah itu

Abah Mui'zz said...

Abah cukup setuju dgn saranan jeff.