Showing posts with label raya. Show all posts
Showing posts with label raya. Show all posts

Saturday, December 13, 2008

Cerita tentang korban...

Seminggu tak mengepek apa2. Hari ni terasa nak mengepek, tapi bukan ada apa pun, sekadar nak berkongsi apa yang berlaku sepanjang seminggu tak mengepek (yang penting2 sajalah).

Hari Sabtu 6 Dis, kami sekeluarga bertolak balik ke Kelantan. Lepas saja tol Gombak, mak aihhh, beratur panjang kereta. Walaupun meter minyak ada banyak lagi, tapi sebab tak sedap hati, berhenti juga kat BP isi minyak. Sambil isi minyak, sempat juga sembang dgn staf BP tu. Kata dia, "Dari pagi tadi lagi bang jem macam ni." Aduihhhh. Dan perjalanan seterusnya tak perlu ceritalah. Perjalanan yang selalunya cuma ambil 6-7 jam sahaja, kali ini bertukar menjadi 14 jam. Memang masak ler dalam kereta. Rasa nak menangis pun ada, ekekeke, yelah, ini first time kami travel 14 jam. Mengantuk pun ya, letih pun ya, tapi sebab nak teruskan juga, makan go ahead saja la. Sampai la umah mek kat Jelawat tu dalam pukul 3 pagi. Barang semua tinggal dalam kereta, masuk bilik. Alhamdulillah. Mimpi apa pagi tu ek?

Hari raya korban di kelantan macam biasala. Takde la macam beraya sangat, walaupun orang2 luar pakat dok kata, "Meriah kan raya haji kat Pantai Timur". Pada abah yang hampir saban tahun (sejak kecik) beraya haji di Kelantan dan Trg, abah tidak rasa meriah mana. Lepas solat raya (untuk pertama kalinya, abah terlupa langsung bawa Mek ke masjid untuk sama2 solat sunat raya, sungguh abah lupa). Bila balik rumah, baru abah perasan. Waktu tu Ummi kata, "Ngepek Mek abah tinggal dia." Aduhaiii, pagi2 raya dah buat dosa baru kat mak mertua. Apalah punya menantu abah ni.

Lepas makan nasi dagang yg mi masak, abah tukar baju, sebab perlu bergerak kerumah mak saudara untuk sesi melapah lembu. Alhamdulillah, Allah beri peluang abah untuk berkorban tahun ini. Sambil2 melapah daging, terdengar keluhan hati seorang makcik, "Menantu kita kat rumah tu, diajak datang sini, tak mahu dia. Tak biasa kerja2 macam ni katanya." Bila ada sorang pakcik tanya, "Orang mana?", "Orang Johor". Abah tak nak komen apa lah, sebab abah tahu apa si menantu makcik tu rasa. Sebab abah pernah rasa yang sama. Abah ni walaupun orang kampung, tapi bab2 melapah lembu ni, memang takde skill langsung. Memang fail la. Kalau kat umah abah, selamat la, sebab mak tahu abah tak biasa dgn kerja2 macam ini.

Tapi dikampung mertua ni, nak tak nak, kena la buat macho juga sama2 menolong melapah lembu. Dan hasilnya, boleh pun buat, walaupun kekok sikit. Ekekekekke. Tapi itu tak penting, yang penting, pengalaman melapah lembu tu ada, dan sekarang dah rasa konfiden sikit nak bantu orang melapah lembu. Ekekeke. Dan untuk pengetahuan sahabat, ini kali ke2. Harap2 tahun depan ada peluang lagi insyaAllah.

Habis raya, kami ke Pasar Jelawat setiap pagi. Apa lagi, cari makan ler. Dengan anak2 buah yang berbelas orang kat rumah Mek tu, memang terpaksa le cari makan. Dan kali ni abah terjumpa benda baru. Baru abah tahu rupa2nya disini, ada dijual bihun dan mee goreng secara timbang kilo. Ekekeke, kelakar juga bunyinya. Dalam ramai2 orang tu, sempat jugalah abah beli sekilo bihun goreng campur dgn mee goreng. Cukup la untuk anak2 buah. Harganya - RM4.

Hari Khamis, kami balik ke KL. Dan kali ini abah memilih jalan Trg, sebab nak singgah jumpa mak sekejap di Paka. Oleh kerana abah lupa nak bagitahu mak yg abah cuma singgah, maka tak merasalah nasi dagang mak hari tu. Sebab mak cuma sediakan bahan saja, nak masaknya hari Jumaat (sebab mak ingat abah akan bermalam). Kesian mak, beria2 dia siapkan dan beli bahan2 tu semua. Alih2, anak jantan ni kena balik KL juga petang tu. Tak apalah mak, insyaAllah ada cuti lagi, kami akan balik lagi. Dan kali ni, mak kena masak nasi dagang dan laksa untuk abah. Ekekeek. Sebab masakan air tangan mak saja yg abah nak makan, selain masakan air tangan ummi. Ekekeke.

Dalam 2 jam singgah tu pun, sempat juga belasah tapai pulut. Hasilnya, suara abah tiba2 hilang, hinggalah pasa saat abah mengepek ni. Aduihhhh. Punyalah susah nak berkomunikasi time2 macam ini. Dan waktu takde suara inilah juga datang rasa, syukurnya Allah bagi aku suara.

Cukuplah tu kot abah mengepek tentang diri abah. Nanti abah ngepek pasal benda lain pulak, insyaAllah.

Selamat berhujung minggu untuk anda semua. Semoga kasih sayang dan keampunan Allah sentiasa ada untuk kita, insyaAllah.

Thursday, September 25, 2008

Cerita tentang ucapan, dan pengharapan...



Dalam abah mencari-cari kata-kata untuk diluahkan kepada anda semua sempena Idul Fitri 1429H yang akan menyusul tidak lama lagi, abah diemelkan dengan satu ucapan hari raya dari Tuan Guru Nik Aziz. Satu ucapan dan pesanan yang sangat baik untuk dihayati. Dan abah nak pinjam ucapan Selamat Hari Raya Tok Guru itu untuk dijadikan ucapan abah juga buat anda semua.

"Perasaan suka dan duka adalah fitrah manusia yang dicipta oleh Allah S.W.T. Sejak daripada zaman kecil sampai kepada kita tua dan dewasa kita selalu berdepan dengan pelbagai suasana sukacita dan dukacita. Oleh kerana islam adalah agama fitrah, Allah taala tahu bahawa manusia tetap akan bergembira bila sampai waktu berhari raya. Cuma bezanya hanyalah antara orang awam dengan orang yang 'arif billah', yakni orang yang rapat dengan Tuhan. Bagi orang awam, mereka merasa gembira bila Ramadhan berakhir kerana boleh makan dan minum. Tetapi sebaliknya bagi orang 'arif billah'mereka akan merasa dukacita bila Ramadhan berakhir, kerana peluang untuk bermunajat pada Allah; peluang mendekati Allah berakhir. Tetapi mereka tidak boleh menolak kedatangan hari raya. Nisbah bilangan diantara orang awam dengan orang 'arif billah' lebih ramai orang awam.

Maka Allah s.w.t mewajibkan manusia berbuka dihari raya, dan diharamkan puasa dihari raya. Alasannya ialah hari raya adalah hari Allah buat jamuan. Jadi, samada orang itu arif billah, atau orang awam, mahu tidak mahu
mereka harus menerima jamuan Allah. Mereka tidak boleh sekali-kali berfikiran sendiri. Jadi mahu tak mahu hari raya adalah hari gembira untuk semua kerana bukan hanya hamba Allah yang membuat jamuan tetapi sebenarnya ibarat Allah sendiri juga yang membuat jamuan. Mana-mana orang tidak sudi menerima jamuan Allah, maka mereka sudah berfikiran diluar kebiasaan. Seperti juga masalah sembahyang 'qasar'. Sembahyang 'qasar' ini bila timbul masalah khilaf, boleh ke tidak kita menolak 'qasar' bila kita bermusafir. Jadi sesetengah ulama' kata, orang yang tidak menerima 'qasar' ini adalah orang yang tidak menerima 'rukhsah' Allah s.w.t. Allah memberi kita peluang sembahyang dua rakaat bila bermusafir, maka mengapa kita memandai tidak mahu menerima 'rukhsah' Allah.

Mudah-mudahan rakyat kelantan, malaysia amnya boleh memahami sedar dan mengerti bahawa suka-ria di hari raya itu satu juzuk daripada ajaran agama. Dengan kawalan, jangan melampaui batas daripada garisan-garisan yang dibenarkan oleh Allah. Jangan sampai kita berhari raya tetapi dipandu oleh nafsu. Firman Allah s.w.t bermaksud "kamu diminta sempurnakan bilangan puasa dan bertakbir kepada Allah, kerana Allah memberi hidayah kepada kamu" (Surah Al-Baqarah: 185).

Takbir yang dimaksudkan dalam ayat diatas ialah takbir hari raya. Jadi hari raya itu disuruh oleh Islam.

Dan ini, ada pantun yang abah terima dari seorang kawan lama, yang juga abah tampalkan disini buat anda. Walaupun ucapan dan pantun bukanlah kata2 asal abah, tapi makna disebalik ucapan dan pantun itu, abah khaskan untuk anda, ikhlas dari lubuk jiwa abah.

Sungguh cantik kain pelekat,
dipakai orang pergi ke pekan.
hari raya semakin dekat,
silap dan salah mohon dimaafkan...

Salam IdulFitri buat semua rakan2 dan pembaca blog abah.

Ikhlas dari,
Abah
Ummi
Ahmad Mu'izz Hakim
Ahmad Azim Hafiz

Tuesday, October 09, 2007

Cerita 5-dalam-1...

5 dalam 1? Hehe, ini bukan pasal mana2 minuman segera yang campuran serba-serbi dalam satu itu, tapi ini pasal 5 cerita yang abah nak kongsi dengan anda, sebelum kita semua bercuti raya untuk syawal tahun ini.

Cerita 1
Hari Khamis dan Jumaat lepas, abah berkesempatan balik ke Paka, untuk
sama2 berpuasa dan berbuka dengan mak ayah, dan ahli keluarga abah. Alhamdulillah, kedua mak dan ayah abah sihat2 saja ramadhan ini. Dan syukur juga, sebab Allah tunaikan hajat abah kali ini, untuk berbuka puasa beramai2 dengan keluarga. Mahu abah tak seronok, dapat berbuka selama 2 hari dengan mak ayah, dan 4 adik beradik abah yang lain, bersama2 dengan hampir 15 orang anak buah yang sedang membesar. Boleh bayangkan bagaimana gamatnya waktu berbuka tu. Cuma sayang, Ummi dan Muizz tak dapat turut serta.


Cerita 2
Hari Sabtu malam, Ummi minta abah singgah di Secret Recipe
di Sungai Buloh ni. Takdir Allah, bila Ummi ke kedai itu, terjumpa rakan sama belajar kami. Dan kebetulan pula, kedai itu dia yang uruskan. Alhamdulillah, bangga abah tengok kawan2 makin berjaya dalam hidup. Lama tak dengar berita masing2, tup tup dah bukak bisnes. Bila berborak2, timbul la cerita kawan yg lain juga (bukan mengumpat ya!), antaranya tentang seorang kawan yg telahpun bergelar Prof Madya di UUM, dan telahpun berjaya memiliki 2 buah hotel. Sekali fikir, rasa macam 'best'nya mereka, umur sebaya abah, tapi dah mampu miliki perniagaan sendiri. Tapi bila difikirkan dua kali, berbaloi pun apa yang mereka ada sekarang, dengan usaha dan jerit perih mereka selama ini. Abah yakin, tidak semudah itu mereka dapat apa yg mereka ada sekarang. Banyak dugaan yang ditempuh, dan bukan sedikit kerja keras yang mereka lakukan. Apapun, abah berbangga dengan mereka. Semoga akan terus maju perniagaan masing2, insyaAllah.

Cerita 3
Kami ke Secret Recipe tu sebenarnya adalah untuk menyambut ulangtahun kelahiran abah pada 7 Oktober. Memang dah itu jadi tradisi kami. Mana2 ulangtahun pun mesti akan ada kek. Cuma dalam kes abah, abah beruntung, sebab Ummi tahu apa kek kegemaran abah. Ekekeke. Bila sampai dirumah, ingatkan nak potong kek dan makan, tapi belum sempat abah duduk pun, telefon berdering. Dan berita yang diterima buat kami tak sempat nak bukak kotak kek tersebut - pak long Ummi meninggal dunia. Agak mengejutkan sebenarnya berita tu, walaupun kami sedia maklum yang pak long kurang sihat. Abah dan ummi sebenarnya memang merancang nak pergi melawat pak long hari ahad, sebelum kami pulang beraya dikampung. Tapi takdir Allah tak siapa boleh agak, pak long kembali ke rahmat Allah sebelum sem
pat kami berjumpa. Malam itu abah kerumah arwah, dan balik telah agak lewat malam. Namun sempat juga menjamah kek yang Ummi beli. Terima kasih pada sahabat2 yang tak pernah lupa untuk mengucapkan selamat pada abah. Pada sahabat2 yang sanggup tunggu detik 12 malam, untuk hantar sms pada abah, usaha kalian buat abah rasa sangat terharu. Abah sangat-sangat menghargai doa dan ingatan kalian untuk hari ulangtahun abah kali ini.

Cerita 4
Isnin abah bercuti, sebab nak servis kereta. Abah ke Eneos 1 Utama untuk servis kereta. Sementara tunggu kereta siap, abah ajak anak saudara abah tengok The Seekers. Abah memang senantiasa teruja dengan cerita-cerita macam ini. Tapi untuk The Seekers ni, lepas habis tonton, abah tak rasa puas sangat, macam abah tonton LOTR. Untuk kanak2, cerita ni menghiburkan la kot. Tapi untuk orang tua macam abah, ceritanya biasa2 saja.

Cerita 5
Ini tak ada cerita apa-apa, sekadar nak mengucapkan Selamat Idulfitri pada semua rakan2 abah yang senantiasa sudi membaca epekan abah diblog ini. Walaupun kebanyakannya dah abah layangkan kad raya, tapi untuk mereka yang tak sempat abah layangkan, inilah kese
mpatan yg ada untuk abah ucapkan selamat. Pada yang balik kampung, hati2 dijalanraya. Makan kuih raya tu, ingat2lah kat abah. Hehe. Pandai je abah ni pesan kat orang, abah pun time makan kuih raya belum tentu ingat kat kawan2. Buat sahabat2 yang sudi melayangkan kad raya utk abah, terima kasih juga buat anda. Tidak ada apa yang menceriakan hidup abah, selain ingatan dan doa, serta harapan sababat2 semua. Allah saja yang mampu membalas segala budi dan jasa. Dan semoga persahabatan dan perkenalan kita ini akan senantiasa segar.

Rekabentuk oleh: http://www.katzidesign.com/

Mohon ampun banyak-banyak, dari abah, ummi dan Muizz. Abah tahu dalam kita kenal, dalam abah mengepek diblog, dalam kita ber'chatting', akan ada yang terluka jiwa, terguris hati, tercalar rasa. Maafkan abah. Dan andai ada (rasanya tidak ada) kesilapan anda semua pada abah, abah maafkan setulus hati abah, ikhlas kerana Allah.

Abah akan balik kampung insyaAllah petang esok. Mohon doa kawan2 semoga perjalanan kami pergi dan balik, selamat dan dilindungi Allah.

Dan sempena idulfitri tahun ini, izinkan abah berkongsi satu iklan raya yang buat abah terkedu bila menontonnya. Bila dilihat dua individu dalam iklan itu, abah rasa abah masih lagi memegang watak anak lelaki kepada ayah tersebut, walaupun idealnya, abah patut pegang watak ayahnya. Tapi abah berdoa pada Allah, moga anak2 lelaki abah akan tidak memegang watak yang sama satu ketika nanti, jika umur panjang, insyaAllah.





Friday, January 05, 2007

Cerita tentang korban...

Tuannya bercuti, blog pun menyepi. Hehe, tapi tak sepi juga pun, sebab ada juga kawan2 blog yang rajin singgah blog abah dan tinggalkan ucapan, pesan mahupun doa. Terima kasih atas tanda ingatan anda.

Nak kata lama bercuti tu idak la sangat, cuma nak mengepek tu macam tak ada apa nak diepekkan.

Hari Raya Korban abah dan keluarga sambut macam biasa juga. Kali ini diKelantan. Dan menurut Ummi, bermula 2007, hari raya haji cuma disatu lokasi sahaja, sebab cuti tak panjang.

Di Kelantan, raya korban cuma meriah dengan sesi korban. Alhamdulillah, Ummi dan abah dimurahkan rezeki untuk sama-sama berkorban lembu pada tahun ini. Dan tahun ini juga satu pengalaman baru bagi abah. Sebelum ni abah cuma banyak memerhati, sebab ramai orang yang terlibat. Tapi kali ini, orang yang terlibat tidak ramai, kerana ada banyak tempat korban dikampung. Abah pun terpaksa turut sama melapah lembu. Alhamdulillah, penat, tapi seronok. Sepanjang hayat abah, belum pernah abah buat kerja-kerja itu, alhamdulillah kali ini, Allah berikan abah peluang untuk berkorban dan turut sama membantu dalam proses penyembelihan dan pembahagian daging korban.

Tapi rasa seronok tu tak lama, sebab menjelang malam abah demam. Bukan demam sikit2, demam yang jarang2 abah jumpa. Nak kata sebab lapah lembu, tidak juga. Agaknya sebab berhujan kot. Tapi tak apalah, sakit itu mungkin untuk menyuci dosa2 kecil abah.

Sebelum balik ke KL, abah sempat pergi berurut dengan seorang pakcik dikampung. Mak mertua abah dan ummi yang sarankan. Alhamdulillah, abah sangat berpuashati dengan urutan yang diberi. Memang betul la kata orang, tukang2 urut diKelantan memang bagus-bagus. Bukan setakat urut sahaja, banyak ilmu dan petua yang dicurahkan pada abah, walaupun abah tidak minta. Tapi kebanyakannya petua orang lelaki la. Tapi tak salah pun abah ambil ilmu dan petua yang diajar, asalkan tidak menyalahi ajaran Allah.

Muizz pun dah mula bersekolah semula. Hari pertama dia ponteng, sebab kami masih dikampung. Semalam adalah hari pertama, dan dia nampak gembira kerana masih bersama dengan beberapa orang kawan sekelas dia yang dahulu. Dan sekarang ni makin banyak cakap la pulak. Penat juga rasanya nak melayan. Tapi tak apalah, memang budak umur macam itu akan suka bercakap. Cuma kalau abah rasa tak larat melayan tu, abah suruh juga dia berhenti sekejap bercakap. Kalau dirumah kurang la sikit dia bercakap, sebab ada TV, tapi kalau didalam kereta atau diluar, susah nak berhenti.

Oklah dulu, cukup takat ini. Abah nak ke masjid untuk Solat jumaat. Hingga jumpa lagi, insyaAllah.

Opss, sebelum terlupa, abah nak ucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2007 pada anda semua - Am, Muzem, PB, Irman, Bang Long, Kak Hajjah, Anim, Zamdee, Yun, Aarin, Hana, Niezam, Ustaz Muda, Aba-Muiz dan yang lain-lainnya. Abah doakan moga tahun ini, kita akan lebih diberi peluang untuk lakukan yang terbaik buat diri sendiri, keluarga, dan orang2 disekitar kita. Moga kita antara orang2 yang dipilih Allah untuk dilimpahkan kurnia dan rahmatnya senantiasa, insyaAllah.

Wednesday, November 01, 2006

Cerita tentang beberapa cerita...

Cerita tentang raya

Alhamdulillah, eidulfitri dahpun kita sambut dengan sedikit meriahnya, dan dengan penuh kesyukuran pada Allah. Abah tak tahulah orang lain, tapi untuk abah, syawal tahun ini agak menarik jugalah, walaupun abah rasa banyak hati yang akan terasa. Bukan terasa apa, terasa sebab abah dan famili tak sempat nak bertandang kerumah tuanpunya-tuanpunya hati tersebut. Jangankan rumah kawan2, rumah saudara mara pun tak terhabis abah ziarah. Begitulah saban tahun, ada saja yang tak sempat. Tetapi dalam tidak sempatpun, pasti akan ada rumah yang jadi kewajipan abah ziarah, yang memang tak pernah miss lagi setakat ni.

Abah balik kampung pada hari Deepavali, sampai Paka dah petang pun, tapi sempat juga berbuka puasa ngan keluarga. Kesian mak terpaksa masak extra dalam waktu yg singkat, sebabnya, abah memang tak inform yg abah nak balik hari tu. Dan sebab tak inform tu la agaknya, duit raya yang abah dah tukar, tertinggal kat rumah. Aduihhh, kena la cari duit raya lain.

Raya ke-3 kami ke kampung Ummi pulak di Kelantan. Menziarah pun seadanya saja, sebab ramai saudara mara yang dah mula balik bandar semula. Ramai yg tak sempat jumpa.

Hari Isnin baru ni, bertolak semula ke bandar Sungai Buloh, sebab dah kena masuk kerja. :-(

Cerita tentang Muizz

Abah rasa orang yg paling gembira balik beraya dikampung, tak lain dan tak bukan, Ahmad Muizz kesayangan abah. Malam pertama di Paka, dia ajak balik KL, sebabnya rumah tok mak takde aircon, dia kepanasan. Aduihhh.

Tapi bila dah start jumpa sepupu-sepupunya, terus tak nak balik KL. Ajak ke Kelantan pun tak mahu. Dah pandai pergi rumah sepupu2 dia tanpa abah dan ummi bersama.

2 hari di Paka, slang cakap dia pun dah bertukar. Abis campur aduk slang biasa dia ngan loghat Trg. Geli hati la pulak kami dengar dia bercakap ngan geng-geng sepupu dia. Dan bila diKelantan, pun kes yang sama. Habis dicampur aduk loghat Kelantan, Trg, dan juga loghat KL dia. Mana dia belajar pun abah tak tahu, tapi yang pasti, banyak perkataan dia Terengganukan atau Kelantankan. Ahmad...ahmad.

Nak ajak balik ke Kelantan, puas dipujuk. Siap kena tipu nak bawak gi jalan2 lagi. Itupun sepanjang jalan tanya, "Kita nak gi mana ni? Ahmad tak nak pegi Kelantan. Ahmad nak balik umah Tok Mak". Aduihhh anak. Sampai kelantan, dia bagi syarat, "Kita tidur satu malam je kat sini tau, esok kita balik Terengganu, ok?". Abah ok kan je lah. Nak buat camna.

Duit raya? Alhamdulillah, ada la rezeki dia sikit. Yang paling best, setiap paket duit raya, dia tak bukak langsung, dapat je dari orang, terus dia pass pada abah atau ummi. Nasib baik la abah ni baik(ececececece), kalau tak, abis dah duit raya Muizz abah guna buat isi petrol kereta.

Masa nak drive ke Sungai Buloh, abah tipu dia lagi, abah kata, kita nak balik Trg. Dia pun ok lah, sebab memang dia nak balik umah Tok Mak. Bila sampai Machang, dia tanya abah, "Abah, Ahmad rasa ini jalan nak balik KL je". Hahaha, Ummi dah sengih, abah pun tak tahu nak cakap apa. Nasib baik dia tak sambung ayat dia lagi.

Cerita tentang isu semasa.

Malas nak komen tentang isu Datuk Zakaria tu. Satu pelajaran penting, kalau anda orang berpangkat dan berkuasa, buat la salah macam manapun, kesannya cuma sikit saja. Anda masih boleh berkuasa dan bermewah2.

Tentang Tun Mahathir, abah rasa dia ni memang ada agenda tersembunyi. Tak tahulah agenda apa, tapi dari kesungguhan, dia tuntut perkara2 yang bukan utk kepentingan rakyat sangat pun, tapi lebih pada kepentingan sesetengah pihak saja - AP, Projek Mega. Abah memang jenis tak respect sangat pada dia kan, jadi tak tahu nak komen apa. Cuma kesian la kat Pak Lah. Kat Tun pun kesian juga, sebab nampak cam makin tak betul je dia.

Cerita tentang TV

Abah tengok banyak juga rancangan TV sempena raya hari tu, tapi satupun abah tak tengok. Yang abah tengok dalam 90% cerita pun, masa malam raya, sambil2 temankan ummi masak. Cerita Takbir Suci ke kalau tak silap abah. Hehe, dah la syahdu dengar orang takbir raya, kena pulak tengok kisah sedih macam itu, hehe, memang bergenang jugalah kelopak mata.

Dan abah tertarik lak dengan promo satu cerita wayang yang akan ditayangkan hujung bulan nanti. Kalau tak silap, CINTA nama tajuknya. Abah ni jenis liat sikit nak tengok cerita melayu. Jarang sgt abah berkenan dengan filem melayu, tapi promo CINTA tu macam tahu je yang abah akan tertarik. Teringat dialog Rahim Razali, "Isteri itu bukan hakmilik, tapi anugerah...". Nanti abah nak ajak Ummi pergi tonton la ceita tu kat wayang. Harap2 filem tu tak mengecewakan macam filem2 melayu yang sebelum2 ini lah.



Oklah, takat sini dulu, insyaAllah, lain hari sembang lagi.

Wednesday, January 11, 2006

Cerita tentang raya...

Selamat Hari Raya AidilAdha untuk semua. Harap2 tak terlambat la abah bagi ucapan ni.

Semalam pukul 12 malam baru sampai KL. Beraya punya pasal, sampai lupa nak balik KL. Hehehe, bertolak pun dah lewat petang.

Seronok juga raya haji kali ni. Abah dapat makan banyak makanan yg best2. Mak spt biasa la, nasi minyak tak pernah miss. Tambah pulak dengan laksa trg, sate, lemang, perghhhhhhh, sendat jugalah perut abah semalam. Pergi rumah sedara, dapat lak makan singgang tulang (sebab depa buat korban). Mak Su pulak bekalkan perut lembu rebus, hehehe, malam ni boleh la Ummi buat perut air asam.

Oklah, puashati la abah balik kg, walaupun sekejap. Muizz macam biasa la, main tak henti2. Habis kucing, monyet, ikan peliharaan dibuat main. Abah takut mati je binatang2 tu, macam yang selalu berlaku. Dulu pernah sekali dipijaknya anak ayam Tok Chu, nyawa2 ikan anak ayam tu. Belum lagi cerita anak ayam Tok Mek di Kelantan, mati diramasnya dua ekor. Abang..abang...abah dulupun tak sebrutal itu. Nasib Muizz tak berapa baik kali ni, sebab tak boleh pergi mandi pantai. Sebabnya: Hujan sepanjang hari, dan ombak pun bergelora kuat. Tak berani nak bawak Muizz dan anak2 buah pergi pantai.

Tutup cerita bab raya dan cuti abah. Kali ni nak mengepek sikit tentang apa yg abah nampak dan dengar dan tahu sepanjang berada di kampung.

1. ADUN yang baru dikawasan abah dah bina satu banglo besar. Abah fikir cecah jutaan ringgit juga kosnya.Abah tengok banglonya, memang cantik dan besar. Dan yang paling best, org kata susah betul nak tengok muka ADUN baru ni, masa kempen pilihanraya dulu je hampir setiap hari boleh tengok muka dia. Berbeza dengan ADUN yang dahulu, baik majlis keraian, ataupun kematian, mesti ada, siap imamkan solat jenazah lagi. ADUN baru???? Tak nak komen lebih-lebih.

2. Minah2 tudung dikampung abah memang macam apa dalam lagu Minah Tudung yang abah ceritakan hari tu. Nama aje kampung, tapi anak2 daranya.....sama hebat dgn orang bandar. Anak2 teruna??? Tak nak komen lebih-lebih...

Itu sajalah dulu. Dan semalam, masa abah ke rumah kakak abah, Muizz buat satu benda yang buat Ummi tersenyum lebar. Dalam masa kami dok bersembang, Muizz dgn sepupunya keluar main kat luar rumah. Dalam 10 minit lepas tu, muizz datang semula, bawak satu jambak bunga lalang, dan dia serahkan kat Ummi. Ummi pun apa lagi, meleret la senyum. Manakan tidak, anak jantannya pergi petik bunga untuk umminya, walaupun bunga lalang. Hehehe, bila abah tanya, "Untuk abah takde ke?". Muizz kata, "Abah kan lelaki, tak baik bagi bunga". Hahaha, abang...abang. Romantik juga ya! Abah pun tak seromantik itu.

Thursday, November 03, 2005

Cerita hari raya...

Hari ni Hari Raya! Jadual abah bermula seawal subuh, hehe, bukan tugas apa pun. Tapi bangun awal la, sebab seronok nak beraya. Rasa syahdu lak bertakbir raya subuh hari tadi.

Lepas solat sunat Aidilfitri, abah, ummi dan Muizz kekubur arwah ayah Ummi, yang abah sendiri tak berkesempatan untuk kenal secara peribadi. Arwah abah meninggal masa Ummi di UUM lagi. Tak apalah, walaupun abah tak sempat kenal abah, tapi abah rasa bila abah kenal Ummi, dan adik beradik ipar abah, abah secara tak langsung rasa abah kenal serba sedikit bagaimana karekter arwah abah. Dan dengan apa fikiran abah tentang arwah abah, terkilan juga rasa hati sebab tak berkesempatan untuk kenal arwah abah.

Balik dari kubur abah tak kemana2, sebab adik beradik ipar dan saudara mara bertandang. Dah petang tu baru abah sempat kerumah Mak Su, dan bawak Muizz dan Manja(anak sedara abah) ke Pantai Irama. Sakan main air depa berdua, macam tak pernah jumpa pantai. Abah dan Ummi pun tumpang seronok tengok depa main air pantai.

Malam tak banyak aktiviti, cuma dok berborak ngan biras abah yg kebetulan datang bertandang.

Inipun abah dah rasa mengantuk, tapi sempat jugalah menceceh sekejap, kebetulan abah online untuk baca mesej2 penting.

Kita jumpa lagi.

Monday, October 31, 2005

Cerita tentang cuti raya...

Semalam abah bertolak balik ke kampung dalam pukul 10 pagi. Kalau ikut perancangannya, seawal subuh dah bertolak, tapi sebab Ummi tak larat nak kemas barang2 untuk dibawa balik, kami bertolak lewat sikit.

Perjalanan agak lancar, sehinggalah abah tiba ke Gua Musang, trafik agar sibuk sedikit. Kereta banyak. Sebab itu abah tiba kerumah dikampung dalam pukul 9 malam. Itupun sebab hantar kawan Ummi yang balik sekali dengan kami kerumah dia di Pasir Mas. Berbuka puasa kat Tanah Merah, sedap juga makan bila dah lama tak makan lauk kampung.

Hari ni tak banyak aktiviti, kecuali ke BSN untuk setelkan beberapa perkara, itupun kena menunggu dalam 2 jam juga. Takpelah, semua orang nak berurusan dibank, sebab esok dah cuti.

Pergi ke pekan Jelawat agak mengecewakan juga. Hehe, bukan nak komen apa, cuma abah masih belum faham mentaliti orang kelantan bila dijalan-jalan. Berhenti sesuka hati, berhenti dan berborak dgn org lain walaupun dibelakang dah panjang queue, bawak kereta ikut speed yg mereka suka, dna banyak lagi lah yang buat abah kadang gelihati, kadang terpaksa juga abah honkan. Bukan tak sabar, tapi terpaksa. Itu belum lagi cerita orang berjalan kaki yang berlagak seolah-olah kereta dijalanraya tidak wujud.

Tapi satu perkara yg abah salute kat orang kelantan, sepanjang jalan malam semalam, abah perhatikan hampir semua masjid penuh dengan kereta-kereta, hingga ada yang parking sejauh 500 meter dari masjid. Alhamdulillah, abah bersyukur dengan pemandangan sebegini.

Hehe, abah ni sempat juga nak update blog, sambil2 menunggu waktu berbuka.

Esok cuti Deepavali, Ummi dah bagi hint nak ajak abah ke Kota Bharu. Adalah tu plannya yang abah pun tak tahu.

Nanti abah ceritakan lagi percutian raya abah dikampung.

Selamat bercuti! dan beraya!

Friday, October 28, 2005

Cerita tentang lagu raya...

Bila Raya Menjelma

Anggun si dara jelita berselindang dan kebaya
Sepadan dengan pemuda tampan dan segak orangnya
Di pagi hari mulia kunjungi sanak saudara
Yang tua tidak dilupa ampun dan maaf dipinta

Yang jauh sudah pun tiba pulangnya untuk beraya
Meriah desa tercinta bagaikan pesta layaknya
Di pagi hari mulia semuanya bergembira
Tua muda miskin kaya berbeza tidak berbeza

Mari adik marilah bang mari kita beraya bersama
Orang jauh janganlah lupa kitalupakan
Sila adik silakan bang sila selera jamu selera
Lemang ketupat dan rendang semua ada

Sebulan kita puasa menahan lapar dahaga
Tiba sudah hari raya yang mulia
Bergembira seadanya kunjungi jiran tetangga
Semoga menjadi amalan selama-lamanya

Pada yang telah tiada kunjungilah pusaranya
Berdoa pada Yang Esa setulusnya
Tanda masih di ingatan sedikit tak dilupakan
Di pagi hari yang mulia tetap dikenang

Saja abah nak share dengan anda satu lagu raya yang abah tak pernah jemu dengar setiap kali raya, mula daripada abah first time dengar lagu ini, hinggalah sekarang ini. Awal2 tu suka sebab Siti yang nyanyi, tapi sekarang ni masih suka lagi sebab lagu tu memang sedap especially masa rangkap terakhir tu.

Thursday, October 27, 2005

Selamat Hari Raya AidilFitri 1426H


Hari ni abah cuma nak mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut AidilFitri buat semua rakan-rakan dan pembaca repekan blog abah. Abah tahu, dalam abah syok sendiri menulis dan merapu di blog ni, mesti ada abah terlanjur kata, terkasar bahasa, tersilap bicara dan terlebih senda. Abah mohon ampun dan maaf seikhlas hati.

Moga AidilFitri tahun ini adalah AidilFitri yang paling bermakna buat kita semua. AidilFitri yang benar-benar mengembalikan kita kepada fitrah kita yang asal, fitrah sebagai makhluk Allah yang akan terus sujud dan taat padaNya.

Pada yang akan berjalan jauh, hati-hati dijalanraya. Doakanlah moga perjalanan kita semua akan dilindungi Allah, dan moga segalanya selamat buat kita dan keluarga. Abah insyaAllah akan bertolak ke Kelantan awal pagi Ahad nanti.

Dipagi raya kang, mohonlah ampun dan maaf dari mak ayah, mohon dengan sungguh-sungguh dan seikhlas hati. Mungkin sebelum ini kita cuma jadikan perbuatan itu satu rutin Hari Raya, tapi kali ini, jadikan ia satu perbuatan yang boleh 'melegakan' hati kita dan kedua ibubapa.

Selamat Hari Raya...