Semoga semuanya sihat dan dalam lindungan serta rahmat Allah SWT sentiasa.
Lama menyepi, hari ni terasa nak mengepek semula. Itupun sebab tertarik dengan isu yang dibangkitkan dalam radio IKIM pagi tadi - isu potong dan tampal. Ini bukan potong q dan bukan juga roti tampal, tapi ini isu potong dan tampal, serta kesannya pada industri (industri ke?) pendidikan dinegara kita.
Sebagai pendidik, abah terasa nak komen juga tentang soal ini. Bukan sebab dah bosan dengan isu lapuk ini, tapi sebagai meluahkan rasa dan buah fikir tentang satu benda yang menyemakkan minda kami semua di institusi pendidikan ini.
Siapa pun faham istilah potong dan tampal (cut n paste) ini kan. Dan kalau ditanya, semua orang akan kata, tak baik amalkan budaya macam ini.
Pada abah pun macam itu juga, cumanya kena tengok keadaan dan apakah nilai yang boleh diperolehi dengan berbuat macam itu.
Kenapa wujudnya gejala semacam ini?
1. Memudahkan kerja.
2. Belajar itu cuma gred dan kertas sahaja. It is either you get the paper, or you don't.
3. Ada teknologi dan kemudahan, dan peluang.
4. Kesedaran tentang nilai kejujuran dalam hidup kurang.
Sebagai pelajar mungkin ada banyak alasan lagi untuk berbuat sebegitu. Tapi apapun alasan, jangan 'halal'kan benda itu, kecuali dilakukan dengan baik, dan disertai dengan niat yg ikhlas.
Abah tak kata semua cut n paste itu tidak baik. Ada masanya kita perlu buat, tapi istilahnya bukan cut n paste. Istilah yang dipakai ialah "quote". Boleh saja dibaca, dan diambil hasil tulisan orang lain, sebab tak semua benda kita main boleh kata atau buktikan. Siapa la kita setakat baru 2,3 ceduk ilmu ditimba. Orang2 yg menulis itu semestinya lebih hebat ilmunya, lebih boleh dipercayai apa yang dikata. Dan tak salah memetik apa kata depa, cuma nak kena ambil yang patut2 saja lah. Janganlah semua yang ditulis, semuanya kita ceduk dan jadikan jawapan tugasan kita. Salah macam itu. Sebab kalau buat macam itu, itu bukan belajar namanya, itu cuma nak siapkan kerja, tanpa ada apa2 faedah, selain mungkin markah yg tinggi, sebab boleh menulis sesuatu yang tinggi nilai ilmunya.
Jangan disalahkan internet, kawan2, dan peluang yg ada, sebab apa saja yang kita buat, kita memilih untuk membuatnya. Bukan tak boleh elak pun dari cut n paste ini, tapi sebab kita nak gred saja, maka kita buat juga, walaupun tahu benda itu tak beretika. Peduli apa, kan? Aku bukan nak jadi Profesor atau penulis hebat. Aku nak lulus je paper nih, janji grad.
Nak petik sikit kata2 Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, "Walaupun kemudahan komputer dan Internet menjadi alat pembelajaran terpenting pada hari ini, namun pelajar IPTA tidak seharusnya membudayakan amalan ini kerana ia tidak menggambarkan ciri-ciri kesarjanaan graduan yang berkualiti dan berwibawa."
Kenapa dia sebut IPTA, tidak IPT (yg turut melibatkan IPTS)? Kerana di IPTS, pendidikan itu perdagangan. Tak dak untung, tak boleh jalankan pendidikan disini. Selebihnya, terjemah sendiri la ya!
Abah tinggalkan anda dengan isu ini. Tak mahu komen panjang2, sebab ini antara benda yg, "tepuk dada, tanya hati, tanya iman". Nak ceritakan pengalaman abah berdepan dengan benda ini pun, banyak sangat, dan tak perlu nak diceritakan pun.
Cumanya, kalau anda selalu buat macam itu, elak2kan lah. Allah nampak apa kita buat. Walau mungkin rezeki kita dapat A walaupun cut n paste je bahan2 tugasan, tapi apa nilainya A tu dalam jiwa kita. Banggakah berkongsi kegembiraan dapat A itu dengan orang2 terdekat, sedangkan hati suci kita tahu, kita tak sepatutnya dapat A itu.
Jumpa lagi insyaAllah, nak sambung kerja sikit. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah tidak akan putus untuk kita.