Showing posts with label kekeluargaan. Show all posts
Showing posts with label kekeluargaan. Show all posts

Wednesday, November 12, 2008

Cerita tentang Tuhan...

Malam tadi, sewaktu Muizz sedang menonton TV, dalam cerita tu, ada watak seorang Rahib (Nun). Muizz pun macam biasa la akan laju saja bertanya.

Muizz: Abah, itu orang yang baru balik dari Mekah ke?
Abah : Tak, itu rahib.
Muizz: Rahib tu apa abah?
Abah: Rahib tu orang perempuan yang mengajar dan mengajak orang-orang menganut agama kristian.
Muizz: Ohhh, dia bukan orang Islam la ya.
Abah: Bukan.

Dan pertanyaan dia terhenti disitu. Alhamdulillah. Risau juga abah sebenarnya takut Muizz bertanya lagi perkara2 yang agak sukar untuk abah jelaskan pada dia. Dan bercakap tentang ini, teringat pada emel yang abah terima bertajuk "Uncle sebelah buat apa tu Abah?".

Kalau anda baca emel tu, anda akan faham kenapa ibu bapa sekarang ini perlu bijak dalam menjawab persoalan anak2. Kerana soalan anak2 sekarang ini bukan soalan2 anak2 zaman abah kecik2 dulu. Kalau dulu, abah tak pernah tanya mak dan ayah tentang tuhan orang cina dan india. Mungkin sebab abah hidup dalam persekitaran melayu sepenuhnya. Tapi zaman sekarang, anak2 abah, anak2 anda semua membesar dalam keadaan sekitaran yang bercampur gaul bangsanya, dan agamanya.

Maka untuk menjawab persoalan, "Apa orang india buat kat Batu Caves tu abah?", kita perlu bijak. Bijak supaya jawapan kita itu betul, dan juga supaya dia tidak keliru akan soal agama ini, dan bijak supaya dia faham akan konsep, tiada Tuhan melainkan Allah.

Dan pengalaman mendengar sendiri jawapan dari kawan2 abah berkenaan ini, abah kadang2 jadi risau. Risau sebab abah rasa ramai antara kita masih tidak mampu menjelaskan soal "tiada Tuhan selain Allah" itu. Mungkin kita faham akan hakikatnya, tapi bila penjelasan kita kabur2, abah bimbang anak2 kita akan keliru. Kalau kekeliruan mereka diluahkan, baguslah. Tapi kalau dipendam, dan mereka pegang itu sebagai keyakinan mereka, haru kita.

Anda tentu nak tahu apa abah jawab bila Muizz tanya, "Apa orang india tu buat kat Batu Caves abah?", kan?

Dan ini jawapan abah.

Abang, orang yg pergi Batu caves tu orang-orang Hindu. Bukan semestinya India. Sebab orang India ramai yang sembah Allah macam kita. Ramai orang2 India yang agamanya Islam macam kita. Orang Hindu yang pergi Batu caves tu, diaorang pergi sana untuk sembah patung. Diorang buat macam tu sebab diaorang ingat patung tu Tuhan, padahal patung tu bukan Tuhan. Tuhan tu cuma Allah saja.

Abah rasa abah dah beri jawapan yang terbaik yang abah mampu, supaya dia faham. Sesuai dengan umurnya. Nanti kalau dia dah lebih pandai nanti, akan abah ceritakan yang lain pula. Tapi abah nak tahu juga pendapat anda, kalaulah anak2 atau anak2 buah anda bertanya pasal Tuhan orang Cina dan India ni, apa agaknya jawapan anda?

p/s: Awal pagi tadi, Muizz bertanya abah banyak konsep yang susah abah nak terangkan pada dia. Antaranya, "liang lahad tu apa?", "perkosa tu apa?". Kenapa dia boleh tanya? Sebab dia dok belek majalah Mastika yang abah letak berhampiran TV malam tadi. Aduhai anak!

Wednesday, November 05, 2008

Cerita tentang permasalahan remaja dan peranan ibubapa...

Ini abah letakkan satu emel yang abah kirim pada group Sahabat Interaktif Malaysia. Ada baiknya abah letak disini, untuk dikongsikan dengan anda juga.

------------------------------------
Salam pada semua warga SIM yg budiman,

Terpanggil saya untuk berkongsi pendapat dengan anda dan adik ezey_hotchoc (emelnya ada dibawah sekali) yang bertanya soal remaja dan permasalahannya semalam.

Bukan apa, saya secara peribadi terfikir bahawa ini adalah antara suara yang perlu didengari juga oleh kita yang dewasa ini. Disebalik kerancakan kita bercerita soal ayah yang ingin kahwin lagi, dan ibu yang tidak rela dimadukan – tidak salah sesekali mendengar dan berbincang soal anak-anak, terutamanya anak2 remaja. Sebab mereka pun ada hak, yang seringkali kita alpa akan hak mereka itu (kerana sibuk menuntut dan memenuhi hak kita sahaja, mungkin).

Hak berbentuk material dan fizikal mungkin kita sudah penuhi, insyaAllah. Tapi hak jiwa anak2 itu yang pada pengamatan saya, sangat ramai antara ibubapa yang pandang enteng.

Saya mulakan dengan menjawab soalan adik ezey_hotchoc, yang bertanya, "SIAPA yg harus kte persalahkan?????ibu bapa/remaja sendiri????". Soal nak dipersalahkan siapa, agak sukar untuk kita jawab. Kerana apa? Kerana kita semua sememangnya bersalah. Tidak guna nak tunding jari kesatu arah, kerana jari2 yang lain menunding kearah kita juga. Anak remaja ada salahnya, ibubapa pun banyak silapnya, masyarakat pun ada juga salahnya, begitu juga persekitaran.

Dan bila ada kesalahan, wajib ada teguran. Dan apa yang saya nak merepekkan ini adalah lebih pada teguran, dan saya fokuskan kepada para ibubapa semacam saya. Bukan untuk anda saja, tapi untuk diri saya juga. Sebab saya seperti anda juga, kita tidak sempurna (dalam konteks manusia biasa hari ini).

Saya fokus pada ibubapa, kerana secara peribadinya saya fikir, ibubapalah yang paling banyak sekali mainkan peranan dalam mendidik dan membentuk anak2. Dan tugas ini bukanlah mudah. Sebab itu kalau orang kata mendidik anak itu mudah, itu adalah kata2 orang yang belum berumahtangga lagi, atau mungkin dia tidak tahu apa beza 'besarkan anak' dengan 'mendidik anak2'.

Satu perkara yang kita sering lupa, bahawasanya kita ibubapa adalah role-model pada anak2. Terutamanya untuk anak2 yang masih kecil dan remaja. Betul kata orang tua dulu, "bapak borek anak rintik", bukan bapa sajalah, ibu pun sama. Dan kalau kita menyedari akan hakikat ini, saya rasa kita perlu untuk menjadi contoh terbaik untuk anak2. Dan perkara pertama dalam mendidik anak2 kecil dan remaja, adalah dengan menjadikan diri kita satu role-model yang kita ingin anak kita jadi satu hari nanti.

Saya yakin, kalau saya tanya, rata2 anda akan jawab, "Saya nak anak saya jadi manusia yang soleh, beriman. Saya nak anak2 saya taat pada perintah ibuayah. Saya nak anak saya baik pekertinya. Saya nak anak saya cergas fizikalnya. Saya nak anak saya cerdas mentalnya. Saya nak dia jadi manusia yang luhur jiwanya, dan sebagainya. Bukan anda saja, saya pun nak macam itu. Tapi dalam kita nak itu, kita selalu lupa menjawab soalan2 ini, "Solehkah aku? Berimankah aku? Taatkah aku pada mak ayah? Baikkah akhlakku? Cergaskah fizikalku? Cerdaskah akalku? Luhurkah jiwaku? Dan sebagainya.

Susah nak jawab, tapi kita masih boleh jawab dan kita tahu apa jawapannya. Kan? Kalau semua jawapannya positif, alhamdulillah. Anda sudah memulakan langkah menjadi role model terbaik untuk anak2 anda. Tapi kalau kebanyakan jawapannya negatif, apa perlu anda buat?

Langkah pertama adalah perbetulkan diri anda sebagai ibubapa dulu. Kalau nak anak solat 5 waktu tanpa gagal, kita mesti solat 5 waktu tanpa gagal. Kalau nak anak tutup aurat, kita juga mesti tutup aurat. Kalau nak anak cakap berhemah, kita juga perlu cakap berhemah. Kalau nak anak tidak merokok, kita sebagai bapa ini juga perlu haramkan rokok didepan anak2. Kalau nak anak sukakan ilmu, kita juga perlu cintakan ilmu, dan sebagainya.

Dan ini penting untuk kita buat. Bukan penting untuk orang lain, tapi penting untuk anak2 kita, diri kita, dan juga masyarakat. InsyaAllah, kalau baik rolemodel dalam rumahtangga, anak2 akan jadi baik.

Anda boleh kata, "Saya tidak sempurna, susah saya nak buat semua tu." Memang betul susah, saya akui itu. Apatah lagi jika kita kelaskan diri kita dalam kumpulan "jahil tukil" (kata orang Ganu). Tapi jangan terus2an jadikan itu alasan. Tak cukup masa, tak reti nak ajar, cikgu dah ada, biar mak dialah yang buat, takpelah dia budak lagi, dan sebagainya. Itu cuma alas an yang kita suka reka, apabila kita rasa sukar untuk laksanakan benda2 itu. Pinta saya pada anda, dan pada diri saya sendiri, "Inilah masanya kita buang segala macam alasan itu. Inilah masanya kita merubah diri kita, inilah masanya kita mengambil langkah2 perlu". Kerana kita sayangkan anak2 kita, kita kasihkan remaja2 kita. Kerna kita inginkan agama Allah tetap tegak kukuh dimuka bumi ini.

Muhasabahlah diri kita dulu. Ingat semula apa yang kita buat bila kita bangun tidur, sehinggalah kita lena semula pada malam harinya. Apa yang kita tunjuk pada anak2 kita?

Jangan tunggu pada satu keajaiban dimana kita akan jumpa satu ubat yang mujarab, yang bila dimakan, akan jadikan anak kita seorang anak yang hebat. Anda tidak akan jumpa. Kerana saya fikir, kehebatan anak2 kita, datang dari lubuk jiwanya. Dan lubuk jiwa itulah yang perlu kita didik, asuh, sayangi, dan bentuk sebaiknya.

Jangan lagi kita menambah statistik anak2 kelahiran luar nikah yang sudah cecah ratusan ribu itu. Jangan biarkan anak kita jadi anak2 gothic, skinhead, punk, dan sebagainya itu. Jangan sampai satu hari kita tanya anak, "Kenapa kau buat mak dan ayah macam ini?". Kerana sebelum itu semua terjadi, kita masih punya waktu dan pilihan. Pilihan untuk membentuk sebuah keluarga bahagia, mendidik anak2 menjadi manusia hebat jiwa dan raganya.

Untuk bapa, tinggalkan dulu sementara niat nak berpoligami itu. Toleh sebentar lihat anak2 anda. "Siapakah mereka, dan bagaimanakah jiwa mereka?"

Untuk ibu juga, ketepikan dulu soal pertahankan hak anda untuk dikasihi sepenuhnya, pandang kebelakang, renung anak2 anda itu. Itukah anak2 yang anda idamkan dia jadi? Apa yang anda dah lakukan sebelum ini, dan apakah yang anda boleh lakukan selepas ini. Supaya anak2 itu jadi anak2 penyejuk hati anda satu ketika nanti, insyaAllah.

Kita semua akan kembali ke rahmat Allah satu masa nanti. Adakah anak2 yang ada ini adalah anak2 yang akan senantiasa mendoakan kesejahteraan kita disana nanti?

Saya tinggalkan anda dengan persoalan2 dan saranan2 ini. InsyaAllah, ada masa, saya akan sambung dengan melihat pada perspektif anak remaja itu sendiri pula.

Nota: Ini semua adalah pandangan peribadi saya semata, tidak ada langsung niat negatif. Jika ada yang tersilap, maafkan saya, itu mungkin khilaf yang saya terlepas pandang.


On 11/4/08, ezey_hotchoc wrote:
Assalamualaikum pd smue ahli SIM smoga hidup anda diberkati ALLAH...

Sy nak tanya lh mengenai masalah muda-mudi skang yg bergelumang dgn dosa.. sy nk minta pndpat pd anda smue..sy adlh remaja yg sedng meningkt remaja,hurm spt remaja lain,rakn2 disekolah sy juga inginkn diri mreka disyngi oleh org yg mreka syg..tapi yg peliknya apbla berkasih smue hukum Allah mreka lupa,smpai tahp snggup serahkn mahkota diri yg mnjadi harta ternilai bg stiap wanita snggup diserhkan pd lelaki...

ALAAAA MUDA CUMA SEKALI...

BIARLH IDUP AK,SKEATI LH......

ALAAA KITORNG BUKN UAT PE POWN,PEGANG TANGAN JEEEEEE...

SEBLUM BLEK KISS PIPI,SALAM SIAP CIUM TANGAN LAGI...

BIARLH DIAKN COUPLE AKKKK......

E2 lh pkare/ayat yg sering kte dengr apble kte cuba menasihati mereka.. SIAPA yg harus kte persalahkan?????ibu bapa/remaja sendiri???? minta berikan pendapat kepada smue MUSLIMIN diluar.....

Tuesday, April 08, 2008

Cerita tentang ibu...

Malam tadi, sedang abah tidur, tiba2 abah dengar Azim menangis. Abah tak pulak bangun sebab fikirkan ummi ada. Tapi bila azim masih juga menangis, nak tak nak, abah bangun juga. Rupanya ummi ada kat dapur waktu itu.

Abah tahu Azim lapar susu, tapi abah tak boleh nak buat apa, sebab cuma ummi saja yang boleh susukan Azim. Dan ummi masih didapur. Bila dah tak tahu nak buat apa, abah bagi air masak. Tapi azim memilih, dia tak suka air masak. Datang rasa marah juga dalam hati. Haha, betul, abah tak tipu. Abah tahu abah tak patut marah, tapi abah manusia lemah, datang juga rasa marah. Nak marah siapa pun tak tahu. Sebab bukan salah siapa2.

Akhirnya, abah dukung Azim, berjalan kehulu kehilir dalam rumah. Alhamdulillah dia terus senyap. Dan akhirnya dia pejam mata semula. Selepas itu baru ummi muncul. Ummi jemur kain rupanya didapur. Salah abah juga sebab terlupa nak jemur kain2 tu sebelum tidur.

Jadinya peristiwa macam itu, baru abah sedar bahawa bukan mudah menjadi ibu. Dulu waktu Mu'izz, kami tidak banyak masalah kerana Mu'izz jenis kalau tidur, dia akan tidur sampai pagi. Tapi dengan Azim, ummi kena banyak berkorban, sebab Azim jenis senang terjaga, dan kerap jaga malam.

Dan abah, all this while, cuma tahu tidur saja.

Memang betul sangat-sangat kata orang, ibu itu terlalu besar jasanya pada kita. Abah tak tahu waktu abah kecik dulu macammana. Kalau abah macam azim yg suka berjaga malam, terbuktilah bahawa mak memang sangat2 besar pengorbanannya untuk abah.

Abah sebagai bapa pun kalau diberi keadaan macam itu tiap2 hari, rasanya satu hari naik bosan dan marah juga abah. Tapi alhamdulillah, Allah berikan orang perempuan ini banyak kelembutan dan kasih sayang. Sebab itu ibu2 ini boleh tahan dan boleh berkorban demi anak2, biarpun diri mereka kadang2 terseksa.

Untuk abah-abah dan suami2 diluar sana[termasuk abah sekali lah], sesekali tu cuba2lah perhatikan bagaimana isteri jaga anak kecil. Sebab kalau kita perhatikan betul2, nescaya kasih sayang kita akan bertambah2 untuk isteri, dan juga anak2. Masakan tidak, kerja menjaga anak kecil sebenarnya tidak mudah. Sementelah lagi untuk ibu yang bekerja. Tapi mereka boleh buat, dan mampu buat yg terbaik, demi kasih sayang dia pada anak kita, dan juga demi kasih sayang dia pada kita.

Sebab kalau dia tak sayang, boleh saja dia letakkan anak kecil dengan pembantu rumah kita, atau bila anak menangis, dia berikan anak itu pada kita untuk kita layan. Tapi banyak isteri tidak buat benda itu. Sepenat mana pun dia, akan masih tetap dijalankan tanggungjawab yang sepatutnya dua2 orang pikul.

Syukur ya Allah padaMu, kerana kami diberikan ibu2 yang sangat menyayangi, dan kami juga dikurniakan isteri2 yang sangat mengasihi. Bukan sekadar kasih dan sayang pada zuriat kami, tapi juga pada diri kami. Semoga rahmat dan kasih sayang Mu untuk isteri dan ibu kami tidak akan pernah putus.

Untuk ibu-ibu dan isteri2 solehah diluar sana (khususnya buat ummi) - abah tabik pada anda semua!

Wednesday, May 17, 2006

Cerita...entah tak tahu cerita apa.

Sejak dua menjak ni abah banyak kerja sikit. Tapi dalam banyak kerja sempat juga mengemaskini blog pagi ni.

Tak ada apa pun nak cerita, sebab abah macam ketandusan idea langsung, atau juga kemahiran mengepek abah dah makin lusuh.


Hujung minggu lepas, sempena cuti umum, abah sekeluarga balik Paka. Hajatnya sebab nak jumpa ayah, sebab ayah patut berangkat ke Tanah Suci pada 14 Mei. Tup tup tak jadi, sebab kena tunda ke bulan 6 pulak. Tapi tak apalah, sebab memang dah lama tak balik pun. Jumpa mak ayah dan adik beradik tu yang penting, walau tak semua adik beradik dapat abah jumpa. Dan kebetulan 14 Mei tu hari ibu, so, raikanlah sikit untuk mak yang dah selama ni banyak berkorban untuk kami.

Walaupun hal2 keraian hari2 macam itu bukan amalan keluarga abah, tapi kali ni, bila ada kesempatan, abah raikan juga. Ini semua atas idea Ummi juga. Dan alhamdulillah, mak nampak gembira juga bila Muizz berikan bunga, dan abah belikan kek untuk mak. InsyaAllah, abah akan jadikan benda-benda macam ini satu tradisi keluarga.

Bercakap tentang keraian keluarga ni, abah kadang seronok dengar kawan-kawan cerita yang depa selalu berkumpul ramai-ramai satu family, raikan hari lahir ahli keluarga, atau sekadar jumpa makan-makan. Seronok sebab abah fikir, itu perkara yang baik dan menggembirakan. Tetapi perkara-perkara itu tidak berlaku dalam keluarga abah.

Dan itu bukan silap sesiapa, dan abah tidak salahkan sesiapa atau apa2. Kami mungkin sudah terbiasa dengan keadaan macam itu. InsyaAllah, mana yang boleh abah perelokkan, akan abah cuba, itupun dengan bantuan Ummi.

Dan untuk keluarga abah sendiri, insyaAllah, abah akan jadikan keraian keluarga satu kemestian, walaupun ada ketikanya, kami tak celebrate juga sesetengah perkara.


Oklah, cukup epekan hari ni. Eh, abah mengepek ke tadi??? Oh my.

Ini ada sikit gambar yg abah ambik masa pergi berkelah ngan mak dan keluarga kakak abah di Pantai Teluk Bidara, Dungun. Abah tak pernah tahu ada tempat secantik itu dikawasan tempat tinggal abah. It is a very nice place. 2 jam juga abah habiskan masa kat situ. Main air.

Ok, nanti kita jumpa lagi. Chowww.

Eh, kejap. Abah nak petik sikit lirik lagu siti yang abah suka dengan ayat2nya.

Bisakah Yang Terpadam Dinyala
Bisakah Yang Terhina Dicinta
Bisakah Yang Benci Disayangi
Bisakah Yang Dusta Dimaafi
Bisakah Hatiku Difahami...

Friday, March 24, 2006

Cerita tentang lelaki idaman...

Hari tu abah dok paparkan kisah2 wanita berumahtangga, yang lebih kepada menceritakan keadaan suami masing-masing yang tidak berapa sedap dibaca, tapi masih perlu dibaca. Dan kali ni, abah nak menulis sikit tentang pandangan abah berkaitan komen2 itu. Abah tak tahu anda setuju atau tidak, tapi ini antara perkara-perkara yang perlu kita orang lelaki tengok dan kaji.

Abah fikir, orang perempuan ini begitu dambakan lelaki/suami yang mempunyai ciri-ciri yang berikut:

1. Lelaki yang jaga agamanya dan agama keluarganya.
Isteri tidak expect lelaki yang bertaraf ulama atau ustaz untuk jadi suami mereka, tapi kalau dapat agi bagus. Tapi isteri hendakkan suami yang tahu tentang agama, dan amalkan apa yang dia tahu. Cukuplah suami yang buat apa yang Allah suruh, dan tinggal apa yang Allah larang. Dan suami juga beratkan tentang hal agama isteri dan anak-anak. Ajar isteri dan anak-anak apa yang mereka perlu tahu. Kalau ada benda yang rasa tak tahu, sama-samalah belajarlah.

2. Lelaki yang "sama-sama susah, sama-sama senang".
Seorang suami yang boleh bersama isteri dalam segala keadaan. Kalau susah, sama-sama hidup susah, dan kalau senang, sama-sama hidup senang. Maksudnya kat sini, isteri nakkan suami yang boleh sama-sama menanggung beban. Bukan melepaskan banyak benda atas bahu isteri. Kalau ada anak, sama-sama jaga dan didik anak. Kalau ada kerja, sama-sama bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Isteri pun manusia biasa, yang ada limitasi dari segi kudrat. Suami kena bantulah mana yang terdaya. Kalau senang pun, biarlah senang sama2, bukan berkongsi kesenangan dengan perempuan lain yang tak ada kaitan dengan kita.

3. Lelaki yang jujur.
Isteri juga perlukan suami yang jujur dalam berumahtangga. Walaupun orang kata, sesetengah perkara perlu dirahsiakan dari pasangan, tapi sebolehnya, dalam berahsia itupun, cubalah bersikap jujur dengan isteri. Kongsilah banyak perkara dengan isteri. Bukan dikongsi dengan perempuan lain ATAU lelaki lain yang lebih berunsurkan benda-benda tak elok[kena faham betul2]. Jujur dalam ertikata, bincang dengan isteri dan bagitahu isteri apa yang tak kena, apa yang silap. Isteri mungkin terlepas pandang satu2 perkara, dan dia harapkan kita suami ini yang menegur. Tapi banyak kes, sebab isteri buat silap, kita alihkan perhatian pada perempuan lain yang tidak ada kesilapan itu.

4. Lelaki yang mampu - zahir dan batin.
Isteri juga dambakan suami yang mampu dari segi keperluan zahir dan batin. Tidak perlu bergaji besar berkereta mewah. Isteri cuma perlukan suami yang boleh menyumbang kepada keperluan ekonomi keluarga. Kalau pendapatan tidak besar pun, hiduplah seadanya. Janji isteri nampak suami ada komitmen dalam menanggung kehidupan berkeluarganya. Dan isteri pun abah rasa, tidak kisah kalau mereka turut sama terpaksa menyara keperluan keluarga. Dari segi batin pun kena mampu. Isteri perlukan suami yang boleh memenuhi keperluan batin mereka, bukan suami yang lebih berselera pada orang2 pelik.

5. Lelaki yang tidak cemburu buta.
Isteri akan cukup gembira jika dia tahu suaminya sangat menyayanginya dan cemburu pada sesetengah perkara, tapi bukan cemburu yang keterlaluan dan cemburu membabi buta.

6. Lelaki yang hormati keluarga isteri.
Orang kata, bila berkahwin, kita bukan sekadar mengahwini pasangan, tapi kita secara tidak langsung "mengahwini" keluarga mereka. Dan bila dah terjadi macam itu, suami macam kita hendaklah boleh hormati dan sayangi keluarga itu sepertimana kita menghormati dan menyayangi keluarga. Memang susah nak layan keluarga isteri exactly sama seperti kita layan keluarga kita, tapi paling tidak pun, hormatilah keluarga mereka. Sebab kita pun akan sejuk hati tiap kali nampak isteri melayan mak ayah dan adik beradik kita dengan cukup baik. Kenapa kita tak boleh buat benda yang sama?

7. Lelaki yang penyabar.
Isteri juga perlukan suami yang penyabar. Sabar dalam perkara yang patut la. Sebab kadang orang perempuan ni ada ketikanya dia akan buat benda2 yang silap, yang dia sendiri pun tak tahu kenapa dia buat. Ada masa-masa dia akan jadi lebih moody, etc. Dan dikala ini, dia sangat berharap supaya suami akan sabar dengan karenah dan tingkahlakunya. Begitu juga dengan anak-anak. Perlukan ayah yang sabar dalam mendidik mereka. Tidak mudah naik marah, tidak bengis, tidak baran, dan sepertinya.

Itu sajalah yang abah terpikir, tak tahulah kot2 ada lagi ciri2 lelaki pilihan isteri yang abah tertinggal. Dan ini bukan nak komen atau kondem sesiapa, abah menulis sekadar untuk mengingatkan diri abah, dan anda semua[kalau boleh]. Abah bukan lelaki yang terbaik, tapi abah akan cuba juga untuk jadi apa yang ummi harapkan.

Nanti kalau ada masa, abah nak tulis juga sikit tentang ciri2 isteri yang lelaki harapkan.

Wednesday, January 25, 2006

Cerita tentang pengorbanan dan balasan...

Semalam masa abah lawat blog Am, terbaca kisah tentang anak dan mak ayah. Kebetulan petang semalam juga abah terbaca satu emel tentang kisah pengorbanan ibu untk anak2. Dan abah rasa nak berkongsi artikel tersebut dengan anda. Artikel ini panjang sikit, kalau rajin, bacalah hingga kehujungnya.

Erti kasih dan pengorbanan seorang ibu
Tuesday, January 17 @ 11:45:40 MYT


Oleh SAIDATUL AMANI

SELURUH umat dunia baru sahaja menempuh tahun baru manakala umat Islam dunia dihidangkan pula dengan Hari Raya Aidiladha atau lebih popular dengan raya korban. Apabila disebut raya korban semua orang akan terkenang semula sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya, Ismail.

Di corong-corong radio, tv, masjid, surau, para ustaz dan ustazah tak jemu mengimbas sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya, Ismail. Ismail tidak membantah untuk dikorbankan. Sejarah manis itulah yang terus melekat di fikiran dan hati umat Islam dunia.

Penulis tidak berhajat untuk meneruskan kisah tentang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya, Ismail. Namun, penulis mahu menyampaikan luahan hati seorang ibu tunggal selama 29 tahun yang mempunyai 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.

Suami yang dikasihi telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1979. Seorang anak lelakinya terpaksa bekerja kontrak, seorang anak perempuan bekerja guru dan tujuh lagi masih bersekolah. Pencen yang diperolehi daripada arwah suaminya sebanyak RM500 memang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

Bagi meneruskan hidupnya bersama 10 orang anak beliau terpaksa menoreh getah yang berada di sebelah rumah. Ini kerana tiga daripada tujuh orang anaknya yang bersekolah tinggal di asrama luar daripada daerah tempat tinggalnya. Sudah tentu perbelanjaan lebih daripada yang sepatutnya.

Kegigihan ibu itu bekerja tidak mengenal erti panas, penat, pening yang penting baginya; anak-anak tujuh orang itu perlu diberi pelajaran dan makan yang cukup. Setiap bulan beliau akan bercuti menoreh untuk mengambil wang pencen di pejabat pos (ketika itu).

Masa inilah ibu muda (ketika itu umur beliau 45 tahun) belanja besar beli ayam, daging untuk menjamu anak-anaknya. Segala kesusahan membesarkan anak-anak, ibu muda itu tanggung sendirian. Walaupun dua orang anaknya sudah bekerja tetapi gaji kontrak dan guru (ketika itu) berapa sangat. Lepas duit baju dan makan mereka bolehla.

Keperitan dan kesusahan ibu tunggal itu terbalas apabila sembilan orang anak-anaknya berjaya menamatkan persekolahan masing-masing. Walaupun ada sebahagiannya tidak dapat meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), namum mereka mendapat pekerjaan dengan jabatan kerajaan dan swasta. Inilah yang dapat membanggakan ibu tunggal tersebut.

Lebih menggembirakan apabila ibu tunggal itu dapat mengerjakan haji pada tahun 1985. Kegembiraan terserlah dan beliau bangga dengan kejayaan anak-anaknya. Namun, `langit tidak selalu cerah'. Kegembiraan dan kebahagiaan yang dikecapi bersama 10 orang anak-anak itu tidak bertahan.

Sepuluh orang anak-anaknya telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak-anak. Ibu tunggal itu kini tinggal bersendirian di rumah usang peninggalan arwah suaminya ditemani anak sulung perempuan yang kurang pendengaran dan tidak berkahwin.

Apa yang menyedihkan empat orang anak lelakinya yang menjadi kebanggaan suatu ketika dahulu; telah lupa akan tanggungjawab untuk menjaga dan menghormati ibu tunggal itu. Empat orang anak-anak lelakinya lebih mengutamakan isteri dan mentua masing-masing.

Lebih memeranjatkan apabila anak sulung lelakinya seolah-olah menanti `saat terhentinya' nadi ibu tunggal mulia ini. Penulis terkejut apabila mendengar luahan anak sulungnya; `Bila mak aku mati aku yang akan mewarisi kebun ini'.

Penulis dapat menyelami kekecewaan hati ibu tua itu sekiranya ucapan kasar dan biadap anak sulung lelaki itu didengari ibu tersebut. Anak menantu perempuan yang lain pula sanggup menuduh, menghina ibu tua itu dan mahu pembahagian tanah diserahkan kepada suaminya (anak ibu tunggal ini).

Nasib ibu tunggal itu ibarat `Sudah jatuh ditimpa tangga'. Empat anak lelaki tidak kisah ibunya manakala isteri mereka pula menjadi `batu api' supaya seluruh ahli keluarga itu kucar kacir.

Hanya anak bongsu lelaki yang tinggal di sebelah rumah menjadi harapan ketika beliau mahu ke hospital, bank dan sebagainya.

Ibu tunggal itu telah dua kali menjalani pembedahan kanser tekak. Sekali kakinya terpaksa disimen kerana jatuh dan kini beliau terlalu lemah tidak boleh berjalan seperti biasa. Beliau memerlukan tongkat untuk berjalan. Nafsu makan terhenti. Hanya bubur, susu dan roti menjadi alas perut sementara nafas dikandung badan.

Empat orang anak lelaki beliau apabila mengetahui ibunya sakit hanya tahu mengarah adik bongsunya; `Hantar emak pergi hospital, mak makan ubat ini...mak tak boleh makan lebih protin, lebih karbohidrat dan sebagainya...hanya itulah yang mereka tahu'.

Mereka tidak pernah cuba menyelami hati ibu tua ini. Mereka jarang membelai ibu tua ini. Yang mereka belai hanya isteri-isteri mereka. Kejam!

Kini ibu tunggal yang dahulunya gagah dan tidak pernah kenal erti penat dan panas, hanya mampu tersenyum `tawar', apabila mendengar gelak ketawa cucu-cucu daripada (anak perempuannya) yang datang dua hari sekali. Manakala tiga orang cucu daripada anak lelaki bongsunya sentiasa berada di rumahnya setiap hari.

Inilah penawar yang boleh melupakan seketika kekecewaan, kesedihan, kesayuan, kehampaan serta penderitaan yang ditanggung oleh ibu tua ini.

Pengorbanan selama 75 tahun melahirkan, mendidik, membesarkan anak-anak tidak pernah diharapkan balasan. Namun, sebagai anak-anak tidak pernah terlintaskah di hati mereka bahawa `Ibu merupakan permata bagi setiap insan'.

Jika ibu tidak wujud di dunia ini apakah kita semua boleh berada di tempat masing-masing sekarang ini. Bagi penulis, tidak seorang ibu yang mahu dibalas dengan longgokan emas, berlian, intan, kebun, rumah besar dan duit yang menggunung.

Seorang ibu hanya mahu perhatian, kasih sayang dan belaian daripada anak-anak. Apa ertinya anak jika tidak pernah mengenang jasa? Apa ertinya kekayaan jika kekayaan itu tidak dapat memberikan sedikit kasih sayang kepada ibu tua yang tinggal sepi di pondok usang.

Kalian! Hidup kita ibarat roda. Adakala kita berada di atas dan tiba masanya kita berada di bawah. Pengorbanan seorang ibu tidak ada tolok bandingnya.

Apakah erti pengorbanan seorang anak kepada keluarganya jika tidak mendapat reda daripada Allah SWT. Dan bukankah reda Allah itu datang daripada reda ayah dan ibu.

Fikirkanlah.

Dan kebetulan masa abah balik beraya haji di Paka hari tu, terjumpa dengan seorang pakcik. Kebetulan dia jiran abah masa abah kecik-kecik dulu. Abah tak la tanya dia, tapi abah tanya la mak abah tentang keluarga dia. Mak kata, orang tua itu rindukan anak-anak dia yang masing2 tidak hiraukan hal-ehwal ayahnya. Semenjak isterinya meninggal 30 tahun++ yang lalu, dia tidak berkahwin, dengan alasan, dia mampu besarkan anak-anak. Dan memang ya, dia mampu besarkan. Salah seorang anak lelakinya adalah antara jurutera yang terlibat dalam pembangunan Proton waktu Saga dulu. Tapi sayang, anak jurutera yang cerdik pandai itu, tidak pulang menjenguk ayah yg tua itu. Abah tak tahu apa kisahnya, cuma pada abah, andai ayah ada silapnya, jangan dihukum dia sebegitu. Dia ada hak untuk dikasihi, untuk dijaga oleh anak-anak, sebagaimana dia menunaikan hak anak2 untuk dikasihi dan dijaga masa mereka kecil dulu.

Dan ini kisah orang yg abang kenal juga. Sudah arwah pun. Arwah dua beradik membesarkan anak saudara, kerana mereka tak berkahwin. Anak saudara ini alhamdulillah, berjaya belajar hingga ke luar negeri, dan pulang menjadi Jurutera Petronas. Tapi sayang, jurutera yang seorang ini juga lupa untuk balik menjenguk dua ibu saudara malang ini yang sekian lama membesarkan dia. Bukan duit dan harta benda yang mereka mohon, cuma sedikit rasa kasih sayang seorang anak saudara yang selama ini dijaga sebaiknya. Dan dengar khabar, sampai kedua-dua makcik itu meninggal, keadaan masih macam itu. Sedih juga abah dengan arwah dua orang makcik itu. Susah sungguh hidup mereka. Abah tengok rumah depa pun jadi sayu.

Inilah hidup...moga-moga kita semua akan ditetapkan hati dan iman, supaya kita tidak akan lupa mak ayah walau macam mana keadaan sekalipun. Jangan kita lupa, kita ada anak. Dan teringat pesan seorang kawan pada abah, "Kalau ko nak anak ko jadi anak yang baik pada ko, ko sendiri mestilah jadi anak yang baik pada mak ayah ko". Lebih kurang macam itulah bunyinya.

Selamat bekerja untuk yg bekerja, jangan surf Internet lama sangat, sebab dalam The Sun hari ni, kerajaan Johor dah komplen, ramai staf mereka habiskan banyak masa bekerja dengan melayari Internet: donlod lagu(kata budak2 skrg), main game online, dan tengok gambar porno.

Thursday, December 08, 2005

Cerita tentang masa depan...

Malam semalam abah berYM dengan dua orang adik. Lama jugalah berborak. Hehe, dah lama abah tak buat macam itu. Masa bujang dulu je abah rajin layan borak maya dengan kawan-kawan.

Dengan adik yg satu ni, kami bercerita tentang hidup. Sesuatu yang abah cukup suka kalau diajak bercerita. Alhamdulillah cerita yg keluar adalah cerita gembira, cuma bila dia kata dia bimbang kejadian yg pernah berlaku akan berlaku semula, abah terfikir la nak mengulas sikit.

Abah fikir, siapapun antara kita semua ini yang tidak tahu apa akan jadi esok, lusa dan hari kedepannya. Bila kita tidak boleh jangka apa yg berlaku pada kita, sama jugalah dengan perhubungan kita dengan manusia lain, tidak boleh dijangka apa jadi kemudiannya.

Kita kata kita kahwin, alhamdulillah, dan kita kata kita saling berkasih sayang, alhamdulillah. Tapi sampai bila? Boleh jaminkah kasih sayang dan perkahwinan itu akan kekal selama mana kita hendak? Tidak. Kita tak tahu entah bila kasih itu akan hilang, perkahwinan itu akan tamat. Mungkin bercerai, mungkin meninggal. Kita tak tahu.

Dan bila kita tak tahu, perkara terbaik yang boleh kita buat ialah cuba untuk kekalkannya. Dan berdoa pada Allah moga dikekalkan kasih sayang itu.

Kalau Allah kata penghujung ceritanya bukan penghujung yang kita mahu, kita kena terima. Kadang perkara yang berlaku bukan sebab sesiapapun, hanya sebab Allah hendak perkara itu berlaku.

Semalam abah terbaca emel di satu grup, pengirimnya mohon pandangan kawan2 grup tentang apa yg perlu dia buat kerana katanya dia sudah bergelar janda, sesuatu yg tak pernah difikirkannya.

Memang pun, org yang tengah bercinta dan tengah menikmati perkahwinan mereka tak akan terfikir akan status janda atau duda itu. Buat apa nak fikir, itu benda negatif, kan? Abah tak tahu...cuma pada abah, apa sekalipun yg berlaku dalam hidup, perancangan mesti ada. Bukan kita berharap pada perkara buruk untuk berlaku, nauzubillah, cuma kita berjaga-jaga sekiranya ia berlaku.

Pada yg bercinta, apa jadi kalau satu hari hubungan terputus? Apa nak buat? Yang dah kahwin, apa jadi kalau satu hari, anda terpisah, samada hidup atau mati? Apa nak buat? Kena ada perancangan juga untuk yang ini abah rasa. Paling tidak merancang tentang bagaimana kita perlu menerima kenyataan, dan bagaimana kita hendak teruskan hidup kita, dan mungkin hidup orang lain yang bergantung pada kita.

Pagi tadi tertengok berita yang BN menang kecik di Pengkalan Pasir. Alhamdulillah. Bukan sebab abah sokong BN. Abah bukan orang politik. Dan abah tak minat pun politik. Cuma pada abah siapapun yg menang, moga2 dia dapat bawa tugas dia dengan baik, sebab satu hari di depan Allah, satu persatu akan ditanya tentang tanggungjawab kita didunia, tertunaikah tidak? kalau tertunai, halalkah urusannya? Harap-harap ADUN yg baru itu sedar akan itu, sebab dia seorang Islam.

Friday, November 04, 2005

Cerita tentang Qada dan Qadar...

Hari Raya ke-2 ni abah tak kemana-mana. Sepupu-sepupu Ummi datang. Seronok juga ramai yang bertandang ni. Dan dalam ramai-ramai yang datang, abah dapat satu pengajaran dan kisah dari salah seorang sepupu ummi. Sepupu ummi ini berkahwin tanpa restu keluarga mertuanya. Dia tidak diterima mertua dari seawal kahwin hinggalah sekarang. Anak-anak dia pun dah besar panjang. Dan satu kisah lagi, lebih kurang sama juga. Alhamdulillah, abah tengok mereka bahagia juga, anak2 semuanya menjadi, kebanyakannya lepasan Maahad Muhammadi. Itulah abah fikir, restu ibu ayah ni memang penting, tapi kena tengok juga kenapa mereka tidak restu. Kalau setakat tidak restu kerana tidak suka menantu yang sememangnya baik, abah rasa kes restu ibu bapa ni boleh diketepikan.

Bukan nak kata tak penting, tapi abah perhatikan dan dengar cerita, ada ibubapa yang memilih menantu mengalahkan anak-anak nak memilih pasangan hidup mereka. Mungkin niat mereka baik, tapi kalau anak itu sudah berkahwin, restuilah, maafkanlah mereka. Itu anak, itu menantu mereka. Kenapa sampai tak mengaku menantu.

Orang selalu kata, kita ni kalau dah kawin, kena anggap mertua sebagai ibu bapa kandung kita. Dan abah fikir pun, mak ayah ni kena la amalkan benda yang sama. Bila anak kita dah kawin, anggaplah menantu itu sebagai anak kita juga. Jangan dibezakan anak dan menantu, menantu dan menantu lain. Menantu itu juga ada rasa hati. Walaupun tarafnya cuma anak, mereka berhak untuk rasa diterima dan dihormati. InsyaAllah dari mereka itu nanti, akan lahir zuriat penyambung keturunan kita. Cucu kita, cicit kita. Janganlah dibezakan mereka atau tidak diaku mereka itu menantu kita, cucu kita.

Abah nanti kalau dipanjangkan umur untuk lihat Muizz berumahtangga, abah fikir, untuk setakat kewarasan abah hari ini, abah akan berikan kepercayaan untuk Muizz memilih siapa pasangan hidupnya. Abah akan beri pendapat mana yang perlu. Siapa yang dipilih, itulah menantu abah, itulah anak abah. Kalau abah yakin dengan Allah, Rasul, Hari Kiamat, Kitab dan Malaikat...kenapa abah tak boleh yakin dengan Qada dan Qadar Allah? Ramai antara kita yang kata percaya dengan 6 rukun iman itu, tapi bila tiba bab jodoh anak-anak atau bab rezeki, macam senang saja kepercayaan kita pada Qada dan Qadar Allah tergugat. Kita tak nak terima itu jodoh anak-anak, sebab itu kita haramkan menantu jejak kaki kerumah kita. Kita tak mengaku cucu-cucu kita semata-mata kerana ia lahir hasil perkahwinan anak yg kita tak restui.

Abah rasa anda yg baca blog abah ni mesti berfikiran terbuka. Moga saat-saat kita dah tua nanti, kita takkan buat sesuatu yang melukakan hati anak2 cucu2. Kita takkan buat perkara2 yang menggugat iman kita pada Allah. Ini peringatan untuk abah juga.

Bercakap tentang Muizz tadi, teringat abah dua kisah menarik(pada abah la). Kisah pertama, sewaktu abah memandu balik kekampung tempohari, abah melalui satu stesen minyak yang dah ditinggalkan, dah buruk sangat pun. Muizz nampak tiang logonya patah dan tumbang, dan dia terus berkata kat Ummi. "Ummi, tengok tu, siapa la patahkan tiang tu, ya Allah, ya Allah Tuhan". Haha, abah tak pernah dia sebut nama Allah dengan nada seserius itu. Abah tak boleh tahan gelihati, tergelak juga abah dalam kereta.

Kisah kedua, baru sekejap tadi. Kata buahati abah tu, "Abah, boleh tak abah buatkan Ahmad satu benda?", Abah tanya la, "Buat apa?". Kata dia lagi, "Abah buat guna sudu, dan masukkan dalam botol". Dia siap buat demonstrasi lagi. Abah fikirkan juga sekejap, tapi bila Ummi kata anak abah nak main teka teki, barulah abah faham. Hehe, abah ingatkan apalah bendanya, rupanya dia nak suruh abah buatkan dia susu. Abang..abang...dah pandai main teka teki ngan abah la pulak sekarang ni.

Seronok tengok Muizz main air pantai petang tadi.

Wednesday, October 26, 2005

Cerita tentang mencari jodoh...

Hari ni nak mengepek sikit tentang mencari jodoh ni. Haha, out of nowhere, tetiba je nak cakap tentang jodoh? Hmmmm. Abah bukan Dr. Love atau Mr.Hitch ya! Abah cuma nak cerita sikit sebab ada ramai juga org yang pernah tanya abah macamana nak cari pasangan yg sesuai untuk kita.

Dan jawapan abah pun cuma jawapan org yang tak banyak pengalaman bercintanya. Mana yg baik anda ambiklah, mana yg merapu tu, tongsampahkan saja.

Pada abah, dalam mencari jodoh, pertama-tamanya, diri kita sendiri kena jelas. Apakah kita betul2 mencari jodoh? Atau kita mencari sekadar ingin mengikut rentak kawan2 yang sudah bertemu jodoh? Kalau rasa perasaan untuk mencari pasangan itu, ikhlas datang dari hati, bukan sebab rasa terhambat dengan kawan-kawan, bukan sebab mak asyik dok tanya soalan cepumas dia, dan bukan sebab nak menunjuk yang kita pun mampu bertemu pasangan, anda teruskan la niat anda mencari jodoh.

Camna nak cari? Kat mana nak cari? Yang ini terpulang pada anda. Ada orang bertemu jodoh di tempat belajar, ada yg ditempat kerja, ada yg kebetulan, ada yg dimatchmake(macam abah le), ada yg orang tua uruskan, dan macam-macam. So, kalau tanya kat mana nak cari, jawapannya pelbagai. Cumanya, dalam mencari ni, yang penting, anda sudah ada senarai ciri-ciri pasangan yg diinginkan. Kerana dari situ, anda sudah boleh mula melihat2 sekitar anda,kalau ada orang yang memenuhi atau mempunyai ciri2 yang anda hendak.

Dan ciri2 tersebut biarlah yang selari dengan agama. Tengoklah agamanya dulu, then tengok benda lain spt, tahap pendidikan, keturunan dsbnya. Yang jadi masalah, bila kebanyakan kita mendulukan rupa paras. Memang la semua orang nak yang cantik dan hensem, tapi padan2 la. Kalau rasa diri tu sehensem Brad Pitt ke atau secantik Rani Mukherjee ke, boleh la kot berangan nak pasangan yg sepadan. Tapi kalau rasa diri pun biasa2 saja, elok la rendahkan sikit taraf rupa paras orang yang kita nak cari. Kalau dapat yg hensem dan cantik, alhamdulillah, tapi selalunya susah la.

Andai kata, anda dah jumpa orang yang agak2 dah mempunyai ciri2 yang anda cari, cubalah dekati dia. Dia tak akan tahu kalau setakat anda simpan dalam hati yg anda suka dia. Cubalah cara yang terbaik dan beradab. Tanya kawan2 dia ataupun apa sajalah, setakat nak tahu dia single lagi ke tidak. Kalau single, alhamdulillah. Kalau dia kepunyaan orang, better cari yang lain. Masalah jangan dicari. Kelak kita juga yang merana diri. Kalau belum pasti itu ke orangnya atau bukan, buat lah solat istikharah, mohon Allah berikan petunjuk.

Kalau betul dia single, cubalah dekati dengan lebih rapat lagi. Beranikan diri untuk sampaikan mesej padanya yang "Saya sebenarnya suka kat awak, dan sangat berharap untuk jadikan awak pasangan hidup saya". Anda mungkin kata, "Tak ke drastik sangat?". Yang ni terpulang la, kalau rasa anda akan kahwin dalam masa 10 tahun lagi, then, feel free to take your own sweet times. Tapi kalau rasa masa untuk kahwin dah agak2 sampai, then kenalah berterus terang. Tapi kena cara yang betul la. Jangan main belasah je cakap.

Kalau responnya OK, alhamdulillah. Kalau tak, anda tanya diri, nak cuba lagi ke, atau nak mencari yang lain.

Kalau dia nak kata berkawan dulu pun, teruskan saja. Memang pun, orang sekarang ni suka nak berkawan dulu, alasannya nak kenal hati budi. Tak salah pun berkawan, tapi jaga2lah batas susilanya. Dan tak perlulah nak berkawan lama-lama. Kalau masing2 dah rasa "Dialah pasanganku", teruskan bawa berbincang ttg perkahwinan. Kalau dah perlu tahap libatkan keluarga, inform mereka tentang ini. Bercinta 10 tahun takkan jamin rumahtangga akan bahagia selama itu. Kalau betul anda kata nak kenal pasangan anda dengan lebih dekat, abah rasa, sampai mati pun anda mungkin takkan kenal sebaiknya siapa dia. Tanyalah orang yang berpuluh tahun kahwin, kadang2 mereka pun rasa macam ada benda yang mereka tak faham ttg pasangan mereka.

Tak perlulah ikut resam kawan2 yang bercinta bagai nak rak bertahun-tahun, last2 tak jadi kahwin juga, atau kalau jadi kahwin pun, tak sampai setahun dah berpisah. Pada abah la, cinta sebelum kahwin bukan jaminan bahagia hari depan. Kalau betul dah masing2 suka, uruskan la perkahwinan. Dah kahwin nanti, bercinta la nak rak macamanapun, dia dah sah jadi pasangan anda. Dan bercinta lepas kawin ni, pada abah, sangat manis. Anda nak berpegangan tangan dikhalayak ramai pun anda tak kisah, nak ber'I Luv U' ditelefon depan orang pun tak kisah, nak tengok wayang cerita cinta sama-sama pun tak kisah: sebab anda dah jadi suami isteri.

Yang banyak jadi kes diluar tu, sebab bercinta tanpa ikatan yg sah. Bukan abah menentang sungguh2 proses bercinta sebelum nikah ni, tapi biarlah kena cara dan gayanya.

Sikit pesanan untuk adik2 abah yang perempuan: Kalau bercinta sekarang ni, kawal lah diri anda. Jangan terlalu ikut rasa cinta, hingga anda berikan segala kepercayaan pada lelaki. Anda belum tentu lagi jadi milik dia.

Untuk yang lelaki pun sama abah nak pesan: Kalau betul nak jadikan perempuan itu isteri, buatlah cara yang dituntut. Itu bakal isteri dan bakal ibu pada anak-anak anda satu hari kelak. InsyaAllah, kalau kita jaga perlakuan dan hubungan kita, orang lain akan jaga juga hubungan dan perlakuan mereka dengan anak2 atau adik2 perempuan kita nanti.

Oklah, banyak la pulak abah merepek. Sesekali cerita bab ni seronok juga, teringat la masa pertama kali bertemu ummi.....hati abah terus terdetik, "Inilah bakal ibu yang baik pada anak-anak abah nanti". Dan alhamdulillah, syukur ya Allah, Engkau berikan aku jodoh yang terbaik. Engkau kekalkanlah jodoh antara kami ya Allah. Moga dengan jodoh ini, akan lahirlah generasi mukmin yang akan tetap terus sujud dan taat pada perintahMu. Amin.

Sambil memandu pagi tadi, abah dengar satu tazkirah dari Ustaz Badrul Amin. Tertarik dengan kata Ustaz, yang merujuk pada Allah berkata "Wahai hambaKu, jika engkau yakin dalam hatimu bahawa Akulah Tuhan Yang satu, yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani, datanglah kepadaku, nescaya akan Aku ampunkan dosamu." Subhanallah, betapa Pengasihnya Allah, betapa Penyayangnya Allah. Dalam kita manusia yg seringkali berbuat dosa dan berbuat maksiat padaNya, masih juga rahmat dan kasihNya disitu, menunggu pada umatNya yang mahu bertaubat dan mohon ampun.

Thursday, August 04, 2005

Cerita tentang jodoh...

Pagi tadi, abah sempat tonton sekejap rancangan Motivasi Pagi di TV3. Dulu rajin juga tengok, tapi sejak kerja kat KL ni, selalu tak berkesempatan nak tengok.

Abah tertarik dgn satu point Datuk Dr. Fadzilah Kamsah tentang jodoh. Katanya, kalau kita rajin dan baik, Allah sayang kita, dan insyaAllah kita akan bertemu jodoh yang rajin dan baik juga.

Abah rasa, anda semua pun mesti dah biasa dengar ungkapan macam itu. Abah pun teringin nak komen sikit tentang tu hari ni. Abah secara peribadinya sangat percaya bahawa jodoh orang yang baik adalah orang yang baik juga. Mungkin ada yang setuju, mungkin ada yang sangkal, tapi setakat pengalaman dan pengamatan abah, kalau baik suami atau isteri itu, selalunya baiklah pasangannya.

Itu sebenarnya boleh jadi satu ungkapan motivasi untuk mereka yang bujang lagi supaya lebih berusaha untuk jadi manusia baik.

Yalah, sebab kalau ditanya sesiapapun yang bujang kat luar tu, nak pasangan hidup yang macamana, hampir pasti 100% akan kata nak yang baik. Tapi kalau ditengok yang berkata tu, belum tentu lagi baik. Ambil beberapa contoh, lelaki yang makwe keliling pinggang, bila ditanya nak kahwin perempuan yg macam mana, tentu akan dijawabnya "Saya nak perempuan yang baik untuk jadi isteri". Jadi ke lagu tu? Kita nak yang baik, tapi kita sendiri pun tak baik. Nak isteri/suami yang jaga agama, kita sendiri pun tak jaga agama. Nak isteri menutup aurat(bukan sekadar memakai tudung!), kita sendiri pun kadang2 bangga buka aurat. Nak isteri yang boleh urus rumah, kita sendiri belum tentu boleh uruskan 'tangga'nya. Nak isteri yang solehah, kita nak jadi imam solatnya pun belum tentu terbuat.

Memang orang kata, "bercita2lah pada yang terbaik", tapi dalam bercita2 tu, kita kenalah usaha kearah mencapai yg terbaik itu. Nak isteri yang solehah, kita sendiri kena solehkan diri, nak isteri yang tahu urus rumah, kita sendiri kena tahu uruskan 'tangga'nya, nak isteri menutup aurat, kita mesti menutupnya juga, nak isteri hormat orang tua kita, kita sendiri mesti hormat orang tua, nak isteri yg boleh lahirkan anak ramai, kita sendiri kena tahu menjaga dan didik anak2 itu.

Abah tak nafikan kalau ada yang kata, "Ada saya tengok pasangan yg isterinya baik, tapi suaminya macam hantu", dan sebaliknya. Memang wujud kes macam itu, tapi itu bukan bermakna apa yang Allah janjikan itu palsu. Sesetengah orang diberi jodoh yang berlawanan dengannya mungkin sebagai jalan atau penyebab utk pasangan yang satu lagi berubah kearah kebaikan. Ataupun mungkin sebab lain yang Allah saja yang Maha Mengetahui.

Apapun, pada yang belum bertemu jodoh, doalah supaya ditemukan jodoh yang terbaik buat anda, dan dalam masa sama, jadikan diri anda 'jodoh' yang terbaik buat dia.

Wednesday, August 03, 2005

Cerita tentang poligami, dan hak...

Abah baca blog Am semalam, dan abah tertarik dengan topik yang Am utarakan tentang berkahwin lebih dari satu.

Poligami??? Hmmm, satu isu yang takkan ada kata sepakatnya selagi kita ingin bahaskan. Sebab masing-masing ada pendapat dan pandangannya.


Ada yang beri pendapat berdasarkan pengalaman, ada yang beri pendapat berdasarkan pengamatan, ada juga yang berdasarkan pada logik akal, tak kurang yang sekadar mengandaikan. Tak kisah la apa kesimpulannya, seperti kata Am, terpulang pada individu. Islam sudah halalkan benda itu, cuma atas kita manusia samada ingin melakukannya atau tidak.

Dan bercakap tentang manusia bergelar lelaki yang memilih untuk berpoligami, abah rasa masing-masing ada sebab yang tertentu, walaupun pada abah (setakat pengamatan abah yang masih berhingus lagi ni), kebanyakan orang kita memilih untuk berpoligami atas alasan pasangan sudah tidak mampu untuk memenuhi hak dirinya.

Anda semua pasti faham, bila sudah berumahtangga, setiap orang ada haknya yang perlu dipenuhi oleh pasangan. Dan amat penting untuk suami dan isteri memberi dan menerima hak masing-masing. Hak untuk mendapat tempat berteduh, hak untuk dapat mengisi perut, hak untuk dikasihi, hak untuk mengasihi, hak untuk menyalurkan nafsu syahwat, dan pelbagai hak lagi yang kalau disenaraikan, pasti akan berjela-jela panjangnya senarai itu.

Cuma masalahnya, kita manusia yang lemah sentiasa ini, akan sentiasa lebih pada nak menuntut hak berbanding pada nak menunaikannya. Dan bila keseimbangan antara menuntut dan menunaikan itu tidak ada, itu yang bermulanya episod mencari jalan keluar bagi memastikan hak itu dipenuhi. Dan untuk kaum Adam seperti abah, salah satu penyelesaian, ialah dengan mencari pasangan yang baru.

Kalau anda kaum hawa, mesti akan bertanya, Wajar ke jalan itu yang dipilih? Dan akan pastikah jalan itu jalan yang sebetulnya penyelesaian kepada masalah?

Abah tak berani nak komen soal wajar atau tidak, kerana pada abah, keputusan sebegini perlu disepakati oleh kedua-dua suami dan isteri. Andai betul isteri tidak mampu menunaikan hak suami, dan suami pula jenis sentiasa menunaikan hak isteri, maka berbincanglah andai poligami jalan penyelesaiannya. Tetapi sekiranya isteri tidak mampu menunaikan hak suami, dan suami pula sering tidak memenuhi hak isteri[seperti yang abah sentiasa lihat], abah rasa, si suami kena fikir banyak kali sebelum menyuarakan hasrat hati untuk berpoligami pada isteri.

Apapun, pada yang telah berpoligami, hiduplah seperti yang telah diajar agama. InsyaAllah, rumah-rumah tangga anda akan bahagia dunia akhirat.

Abah pun terfikir juga andai satu hari nanti, abah ada ditempat yang sama, apa agaknya akan abah buat. Sebab abah tak boleh nak menolak soal jodoh yang sudah Allah tentukan. Kalau Allah dah kata abah akan bertemu jodoh lebih dari sekali, abah kena terima. Tapi setakat hari ini, setakat pemikiran, pengamatan dan pengalaman abah, abah berdoa moga2 abah tetap dengan ummi hingga akhir hayat abah. Dan kalau betul lah abah 'ditakdirkan' berkahwin lagi, abah doakan moga ia akan memberi kebahagiaan kepada semua yang terlibat, dunia dan akhirat.