Abah terbaca satu artikel di Berita Harian Online sekejap tadi. Artikel yang berguna, walaupun pada sesetengah kita, ini benda yang biasa sahaja. Tetapi dalam kebiasaan itu pun, kita tak mampu nak amalkan apa yang dibaca. Abah tak kata orang, diri abah sendiri. Pantang jumpa buku yang menarik, sekiranya abah berduit masa itu, abah akan beli. Dan kebanyakan buku-buku itu bagus isi kandungannya. Dan lebih bagus kalau mampu diamalkan apa yang diterangkan dalam buku-buku itu. Bukan abah tak faham pun apa yang ditulis, jauh sekali nak menyangkal kebenaran tulisannya, cuma bila pergi kepada mengamalkan apa yang dibaca, abah rasa sukar sedikit. Abah pun tak faham kenapa.
Kalau anda pun ada masalah macam abah, kenapa ya kita jadi macam itu?? Bila kearah berbuat kebaikan, susah sangat, hingga perlu memaksa diri. Sedangkan bila ingin berbuat sesuatu yang mungkar, senang sungguh. Kadang tak perlu rancang apa-apa pun, ada peluang, buat terus benda itu.
Liatnya hati kita rasanya untuk berkorban kejalan Allah. Nak solat pada masanya, malas. Nak mengaji setiap hari pun, malas. Nak cakap elok-elok dengan orang lain pun, selalu terkasar juga. Nak berfikir positif tentang peristiwa dan orang lain pun, seringkali keluar juga yang negatif.
Oklah, tak nak merepek lebih lanjut, anda bacalah sedikit excerpt dari tulisan itu yang abah petik.
Tanda takwa atau takut kepada Allah itu dapat dilihat dalam enam perkara;
Pertama, seseorang itu menjaga lidahnya daripada melakukan fitnah, mencela, mencaci, mengumpat dan sebagainya;
Kedua, seseorang itu menjaga hati agar bersih daripada sifat hasad yang memakan kebaikan sebagaimana api yang memakan kayu;
Ketiga, memelihara mata daripada melihat perkara haram yang boleh menggelapkan hati. Sebab itu janganlah melihat perkara terlarang demi untuk mendidik hati;
Keempat, menjaga perut agar tidak diisi dengan makanan yang haram, kerana malaikat akan melaknat selagi makanan yang haram berada di dalam tubuh kita.
Kelima, menjaga kedua-dua tangan supaya tidak digunakan untuk melakukan pekerjaan haram. Begitu juga kedua-dua kaki dipelihara supaya sentiasa melangkah untuk taat kepada Allah;
Keenam, ketaatan dapat dilihat apabila seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan Allah serta takut kepada sifat riak dan munafik.
Kebelakangan ni agak kalut sikit, sebab tu lama tak jenguk tempat ni. Banyak dalam minda ni yang nak dicurahkan pada blog abah ni, tapi abah tak tahu nak menulis yang mana satu dahulu. Abah mengepek rojak ayam la hari ni, campuradukkan semua yang abah rasa nak mengepek. Boleh??
Hari Sabtu hari tu, kebetulan abah, ummi dan Muizz keluar ke KL, nak belikan hadiah perkahwinan untuk anak pada Pakcik, rakan sepejabat Ummi. Lepas solat maghrib, kami pergi makan kat Tingkat 6 Sogo. Dan sewaktu makan, abah terpandang la 2 orang budak kecil yang sedang membuang tisu, botol air mineral, dan straw kedalam kolam yang ada ikan-ikan cantik di Sogo tu. Bila abah jenguk kedalam kolam, rupanya banyak la lagi sampah sarap yg ada termasuklah tisu. Abah tercari2 juga mana mak ayah budak dua orang tu. Tapi abah tak nampak mak ayahnya. Ingat nak tegur juga, tapi belum apa2, mereka dah hilang.
Ini bukan kes pertama abah tengok ada anak2 kecil yang berbuat benda yang tidak patut, dan mak ayah tidak berbuat apa2. Dalam kes budak berdua tadi, abah fikir, mak ayah mereka tidak tahu anak buat macam itu. Tapi ada beberapa kes lagi, mak ayah cuma sekadar memerhatikan anak berbuat benda2 macam itu, tanpa berbuat apa-apa.
Pernah satu ketika, abah terjumpa dengan seorang budak yang bermain2 dalam pasaraya. Emaknya ada disebelah dia, sedang sibuk memilih barang. Entah macam mana, tiba2 sebotol sos tomato yg besar jatuh berkecai atas lantai. Budak itu terus terdiam, sebab abah rasa dia pun yg buat benda tu jatuh. Tahu apa emaknya buat? Tarik tangan budak itu, dan terus lari ke tempat lain, seolah2 mereka tidak tahu botol sos itu jatuh.
Kes kedua, Ummi yang nampak. Ada seorang emak sedang memegang anak kecil sedang minum disebuah restoran. Anaknya dok bermain dengan cawan minuman emaknya. Entah macamana main, cawan itu jatuh dan berkecai. Bila pekerja restoran itu datang, emak budak itu cuma kata maaf pada pekerja tadi, dan duduk memegang anaknya seolah2 tidak ada apa yang berlaku.
Itu antara kes-kes yang buat abah pun sakit hati nengokkan. Nak salahkan budak2, tak boleh juga, sebab memang budak2 suka bermain2. Yang si emak pulak, jangan kata nak menegur anak, benda jatuh berkecai pun masih boleh lari ataupun buat muka 20 sen. Macam tidak ada rasa bersalah apa pun.
Abah tak la kata emak2 itu sepatutnya bertempik-tempik marah anak bila dia bermain, tapi kawal la, dan tegur la anak itu. Anak-anak ini boleh ditegur dan diajar perkara yang betul. Dan kalau betul terjadi juga macam kes botol atau gelas pecah akibat perbuatan anak, bertanggungjawablah sedikit. Bukan dengan lari atau buat2 macam tidak ada apa2.
Abah harap lepas ni abah tidak berjumpa lagi dengan kes-kes macam ini. Sebab kalau terjumpa lagi, rasanya abah akan rasa sakit hati lagi, dan kalau terlebih sakit hati, ada la orang yang kena 'sound' dengan abah. Hehehe. Jangan tak percaya, abah boleh pada tahap 'sound' orang kalau ada benda yang abah tidak puas hati. Ekekekeke. Bukan sengaja nak buat, tapi dah memang akan terjadi bila dah tak boleh nak sabarkan hati.
Yang lain2 abah sambung nanti la ya! P/S: Sewaktu konvokesyen hari Sabtu baru ni, Yun ada beritahu abah, ada pelajar yang menitiskan airmata lepas turun dari pentas. Bukan airmata sedih, tapi airmata gembira, setelah 4 tahun berhempas pulas, akhirnya ijazah sudah ada digenggaman. Alhamdulillah. Teringat pada rakan karib abah sewaktu di UUM dulu, yang juga menitiskan airmata sewaktu menerima ijazahnya. Bila abah buat2 tanya kenapa, katanya, itulah saat yang dia dok tunggu2 semenjak hari pertama dia jejakkan kaki ke UUM. Abah rasa itulah erti kemenangan yang sebenar bagi orang2 yang tidak jemu berusaha, dan pada mereka yang berpenat lelah berusaha utk dapatkan sesuatu.
Tahniah utk 3000++ graduan yg menerima ijazah masing2 sewaktu konvokesyen baru-baru ini. Untuk sebahagian besar graduan yang merupakan guru-guru, abah berharap sangat pada anda, agar ilmu yang anda perolehi dapat dimafaatkan sebaiknya dalam mendidik anak-anak kami semua nanti. Bukan sekadar ilmu dunia, tapi ilmu membentuk anak kami menjadi manusia. Abah tumpang bangga dengan kejayaan anda semua, terutama pada mereka yang abah kenali.
Hari minggu hari tu, abah tengok cerita Bilut. Tapi bukan la tengok kat panggung, beli CD cetak rompak je. Tak berbaloi tengok kat panggung rasanya, sebab cerita yang tak ada kesan bunyi yang hebat macam Bilut tu, tengok kat rumah pun OK. Lain la cerita-cerita yang ada kesan bunyi yang bagus, memang akan abah tengok di panggung. Nak buat macamana, abah dah memang suka dengan kesan-kesan bunyi yang bagus, dan kebetulan kat rumah tak ada sistem teater rumah. Hehe, pagi-pagi dah melalut.
Cerita Bilut tu satu cerita yang bagus pada abah. Cerita yang memberitahu abah erti kesusahan hidup orang-orang Melayu satu ketika dulu, dalam meneroka tanah baru untuk projek Felda. Dan dalam cerita itu pun banyak ditunjukkan akan kelebihan dan kekuatan orang Melayu, dan tak lari juga keburukan orang bangsa macam abah ini.
Bangsa Melayu bangsa yang kuat dan rajin sebenarnya. Sanggup bersusah payah. Sangat akrab perhubungannya. Tapi dalam masa yang sama, bangsa Melayu ini juga suka 'sentimental' pada perkara-perkara yang tidak patut. Tapi itulah Melayu, kalau sekadar Melayu. Itulah sebab Melayu kena diadun dengan Islam, supaya yang baik dan hebat akan terus kekal hebat, dan yang tidak baik itu akan berubah jadi baik.
Dalam cerita tu, ada ditunjukkan babak kenduri kahwin, dan di kenduri tu, Syura menyanyikan lagu yang abah minat juga - Nazam Berkasih. Kebetulan abah ada simpan mp3 lagu tu, abah seperti biasa la kan, nak juga berkongsi dengan anda. Nazam Berkasih - Syura
Jeling-jeling mahu memandang Dua mata bertentang mata Harap-harap ulang bertemu Bimbang nanti resah menunggu
Lama-lama... lama apa Lama rindu... pada siapa Pada teruna idaman
Rasa-rasa... rasa apa Rasa pilu... Eh! kenapa Hai dia buat tak tahu Jauh-jauh... jauh apa Jauh hati... hati siapa Hati kita yang terluka
Rasa-rasa... rasa apa Rasa malu... Eh! kenapa Tangan bertepuk sebelah Dapatkah... ku inginkan Hatimu dan hatiku Berpadu jadi satu
Jauh-jauh orang berpesan Yang di sana sedang merindu Harap-harap masa terluang Ada waktu ingin bertemu Jauh-jauh menyemai padi Tidak lalang tumbuh sebendang Harap-harap kasih menjadi Dua jiwa berpasangan Cintaku... cintamu Suci berpadu
Rinduku... rindumu Mekar menjadi satu Dua jiwa berpasangan Dua cinta berpautan Senandungkanlah alam Irama cinta suci
Hari Ahad hari tu, Ummi jatuh tangga. Kesian Ummi, sampai kehari ni masih lagi tak boleh nak bergerak macam biasa. Abah dah bawak Ummi pergi klinik dan pergi berurut. Harap2 tidak ada apa yang serius nanti. Anda doakanlah moga Ummi akan cepat sembuh seperti biasa.
Agak sibuk sikit kebelakangan ini, itu yang abah tak selalu berkesempatan nak kemaskini blog abah ni. Hingga jumpa lagi, insyaAllah.
Cindailah mana tidak berkias Jalinnya lalu rentah beribu Bagailah mana hendak berhias Cerminku retak seribu
Mendendam unggas liar di hutan Jalan yang tinggal jangan berliku Tilamku emas cadarnya intan Berbantal lengan tidurku
Hias cempaka kenanga tepian Mekarnya kuntum nak idam kumbang Puas ku jaga si bunga impian Gugurnya sebelum berkembang
Hendaklah hendak hendak ku rasa Puncaknya gunung hendak ditawan Tidaklah tidak tidak ku daya Tingginya tidak terlawan
Janganlah jangan jangan ku hiba Derita hati jangan dikenang Bukanlah bukan bukan ku pinta Merajuk bukan berpanjangan
Akar beringin tidak berbatas Cuma bersilang paut di tepi Bidukku lilin layarnya kertas Seberang laut berapi
Gurindam lagu bergema takbir Tiung bernyanyi pohonan jati Bertanam tebu di pinggir bibir Rebung berduri di hati
Laman memutih pawana menerpa Langit membiru awan bertali Bukan dirintih pada siapa Menunggu sinarkan kembali
Tadi masa tengah memandu, abah terdengar lagu ni kat radio. Haha, terus teringat zaman2 masa abah tengah minat lagu ni. Masa tu abah bujang lagi, dan masa tu baru je jadi orang bandar KL. Teringat waktu bersahur waktu duduk Kg. Baru hari tu, time tu la TV3 dok tayang2 klip video cindai ni.
Sedap iramanya, apatah lagi liriknya. Orang yang faham akan tahu la apa makna lagunya. Tapi lirik tu takde la kaitan apa dengan diri abah pada masa tu. Sebab masa tu tengah muda, tengah enjoy, tengah nak kenal dunia. Masa tu bukan era jiwang-jiwang lagi. Dan satu yang buat abah suka lagu tu ialah sebab Siti sangat pandai lagukan. Itulah kot antara sebab abah minat dengan nyanyian si Datuk Siti Nurhaliza.
Eh, apa abah mengarut tentang lagu Cindai hari jumaat nih????