Showing posts with label ulangtahun. Show all posts
Showing posts with label ulangtahun. Show all posts

Wednesday, September 10, 2008

Cerita tentang kamera...

Uiks abah, awat hari ni berkongsi gambar lak nih. Bukan nak berkongsi gambar sangat pun, tapi sekadar nak bercerita tentang kamera digital baru abah. Dan kebetulan sebab itu antara gambar terawal yang abah snap dengan kamera baru ni, maka tunjukkanlah juga sampel barang sekeping dua. Dan abah akui awal-awal, abah sangat tidak reti mengambil gambar. Main snap je. Mu'izz rasanya lebih terer bab ambil gambar dengan kamera ni. Diatas tu adalah rupa buah hati abah waktu bangun tidur. Abah snap gambar tu waktu sahur pagi tadi. Azim memang sudah kebiasaan akan turut bangun waktu kami bersahur, tapi dia cuma pandang saja la kami makan. :-)

Bercakap tentang sahur, alhamdulillah, setakat ni masih belum terlepas lagi sahur, tidak seperti tahun2 sebelumnya. Dan rahsianya, kami ada jam loceng yang tidak boleh tidak, pasti akan terjaga bila mendengarnya. Dan jam loceng itu tak lain tak bukan, si Azim yang suka mengamuk awal pagi itu. Pukul 4.30 pagi memang dia akan bangun, dan mengamuk - sebab tak ada orang nak layan dia. Maka sebab amukan tu, kami akan terjaga untuk bersahur, alhamdulillah.


Mu'izz pun alhamdulillah turut serta bersahur, dan juga berpuasa. Risau juga abah waktu mula-mula puasa hari tu, sebab 3 hari pertama puasa, dia akan makan waktu tengahari - alasannya, tak tahan lapar. Tapi pada hari ke4, alhamdulillah, dia boleh puasa penuh sehari, dan berlanjutan hingga ke hari ini. Dan dibulan puasa ini jugalah dia rajin sikit nak mendirikan solat - tanpa disuruh. Itulah agaknya kelebihan bulan Ramadhan dimana Allah jadikan hati manusia itu sentiasa ingat dan patuh untuk berbuat kebaikan.

Balik pada cerita kamera digital baru tadi. Bukan abah beli pun sebenarnya. Untuk waktu sekarang, memang budget tak mengizinkan untuk kamera digital. Dalam hati sebelum ni memang berangan pun nak beli kamera digital yang OK sikit, sebab kamera yang dihadiahkan oleh bang long sebelum ni dah agak cepat habis bateri selalunya. Rezeki Allah, 2 hari lepas, abah dapat panggilan dari Pusat Pungutan Zakat WP, memberitahu abah menang tempat ke3 untuk Kuiz Zakat Online 2008 yang depa anjurkan baru-baru ini. Dan hadiahnya inilah dia - Kamera Digital Olympus ยต 1030 SW. Harganya abah tak tahu berapa, tapi tak kisah la kan, dah namanya lagi hadiah, terima sajalah tanpa banyak soal periksa.

Abah terima kamera tu malam tadi, dalam satu upacara penyampaian hadiah di Grand Season KL. Seronok punya pasal sebab nak explore kamera, buka puasa pun abah makan ala kadar saja. Tapi syok jugalah majlis buka puasa tu sebab abah dapat sedikit ilmu berkaitan zakat, dan juga dapat bertemu dengan anak2 yatim Nurul Iman.

Oklah dulu, nanti abah mengepek lagi. Sekarang ni nak siapkan kerja dulu.

Selamat berpuasa dan berbuka puasa, serta bersolat tarawih dan beribadah lainnya buat anda semua.

Ops, sebelum tu, sekadar nota untuk diri abah sendiri pada masa depan. Hari ni, 10 Ramadhan 1429, genaplah umur abah 36 tahun Hijrah. Dan bila ditilik2 dalam cermin, dah banyak sangat uban mula muncul dikepala. Patut ler, dah tua. Terbaca di satu laman web satu ketika dulu, katanya;

Lahir pada bulan Ramadhan - Dia baik, pendiam, suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan diriya. Kehidupannya selalu selamat.

Kata abah - Semoga apa yang dikatakan itu akan jadi kenyataan buat diri abah. Tapi untuk masa ini, diusia 36 tahun Hijrah ini, rasanya banyak yang tak selari dengan sifat diri abah. :-)

Wednesday, September 03, 2008

Cerita tentang lapan...

Salam sahabat blog. Setelah beberapa hari menyepi, hari ni, pagi ni, ada sikit kesempatan untuk abah mengepekkan sesuatu yang lebih peribadi pada abah dan keluarga. Hari ni takde epekan tentang hidup, dan kehidupan.

31 Ogos, seperti biasa, hari yang ramai rakyat Malaysia akan ingat, dan pada abah dan ummi, selain hari Malaysia merdeka, 31 Ogos juga adalah hari kami merdeka. Merdeka dalam erti kata, bebas untuk hidup berpasangan lelaki dan perempuan. 31 Ogos 2000 tempohari adalah hari abah menjadi milik ummi, dan yang paling penting, Ummi jadi milik abah. Untuk dikasihi, untuk disayangi, untuk disentuh dibelai (ni part yg paling best, hahahaha), untuk diluahkan gundah hati, dan untuk berkongsi segalanya.

Dan tahun ini, genap 8 tahun masihi Ummi bergelar isteri abah, dan untuk tahun bertuah 2008 ini, Ummi juga bergelar ibu pada 2 buah hati kesayangan kami - Mu'izz dan Azim.

Dan posting hari ini (yang sepatutnya dibuat tanggal 31 Ogos lalu) adalah posting khusus untuk Ummi (seperti selalunya).

Terima kasih
- kerana menjadi isteri, ibu dan pendamping yang paling baik untuk abah dan anak2.

- kerana sangat memahami keadaan diri abah, yang masih banyak kekurangan.

- atas segala budi yang telah tercurah selama ini, demi memastikan abah dan anak2 hidup dalam keselesaan dan kasih sayang.

- juga kerana sangat bersusah payah menggadaikan nyawa melahirkan 2 zuriat untuk abah (nanti sorang lagi yek Ummi ;-).

Maaf
- kerana selama 8 tahun bersama, abah banyak melukakan hati ummi, secara sengaja atau tidak.

- kerana selama 8 tahun ini juga, ada keinginan Ummi yang tidak tertunaikan lagi oleh abah.

- juga kerana tahun 2008 ini, abah tidak ada sesuatu untuk meraikan hari istimewa kita ini. Tahun ini, hanya posting ini sahaja yang mampu abah zahirkan untuk Ummi.

Semoga
- Allah beri abah lebih lama lagi masa untuk memiliki Ummi.

- Allah limpahkan rahmat dan kasih sayang dalam diri Ummi untuk disedekahkan pada abah dan anak2.

- Ummi diberi kesihatan tubuh badan, kelapangan jiwa dan kelembutan perasaan, untuk terus menjaga kami.

- Dan banyak semoga lagi yang tidak mampu abah luahkan sepenuhnya (bimbang nanti membosankan rakan2 blog abah). Tapi abah pasti Ummi tahu selebihnya semoga itu.

Paling penting, kasih dan sayang abah pada Ummi tetap utuh dalam jiwa abah, walau dikeadaan mana sekalipun. Moga ia terus kekal subur dan mewangi dalam jiwa abah, insyaAllah.

Untuk rakan blog, selamat menyambut ibadah puasa tahun ini. Semoga Allah berikan kita kesenangan dari segi masa dan kewangan, juga kesihatan tubuh badan, untuk kita maksimumkan ibadah kita pada Allah SWT dalam bulan penuh kerahmatan, penuh keampunan, dan penuh kasih sayang Allah ini.

Monday, September 03, 2007

Cerita tentang 31 Ogos 2007...

Hari ni dah 3 September, tapi abah masih nak mengepek tentang 31 Ogos. Boleh kan? :-)

31 Ogos, tarikh yang rata2 warga Malaysia akan tahu apa harinya. Budak-budak pun dah pandai dok melaung2kan Merdeka, walaupun depa tak faham sangat apa maknanya merdeka. Tapi tak banyak bezanya dengan orang2 tua pun. Ramai juga warga2 dewasa Malaysia yang sangat pandai laungkan kata Merdeka, walhal depa pun tak tahu apa itu maknanya perkataan itu. Hanya sebab orang sebut, kita sebut. Hanya sebab orang raikan, kita sama raikan. Atau paling hebat, hanya kerana hari itu cuti dari bekerja, maka kita sambut gembira "cuti merdeka".

Berbalik pada makna merdeka, apakah maknanya pada anda? Abah yakin anda rakan2 blog abah mesti ada pengertian merdeka itu dalam hati anda, samada terluahkan atau tidak. Dan abah pun ada pemahaman dan pengertian sendiri pada merdeka - yang mungkin sama, mungkin tidak sama dengan anda.

Kata abah, merdeka itu perjuangan. Perjuangan yang bukan sekadar menuntut kemerdekaan tanah tumpah darah, tapi perjuangan memastikan minda dan jiwa kita juga bebas. Merdeka itu perjuangan memastikan kehidupan kita akan kekal baik, dan akan bertambah cemerlang. Merdeka bukan sekadar mengenang kisah2 pejuang2 kemerdekaan 50 tahun lebih yang lepas. Sejarah hanya sebahagian dari kemerdekaan, yang tidak boleh kita lupa, tapi tidak perlu kita terlalu fokus padanya. Cukup sekadar anak bangsa mengenang erti perjuangan mereka. Yang lebih penting, adalah untuk anak bangsa meyambung cita2 dan impian sejarahwan2 merdeka itu. Abah sangat yakin Tunku Abdul Rahman dan mereka lain yang berjuang untuk kemerdekaan punya cita2 dan pengharapan yang lebih dari itu. Bak kata salah satu iklan kemerdekaan, "Mampukah apa yang kita bina hari ini membawa kita kehadapan?". Mesej yang cuba disampaikan oleh Petronas mungkin pada setengah kita hanya sekadar memenuhi komitmen mengeluarkan iklan. Tapi pada abah, maknanya lebih dari itu. Itulah satu benda yang perlu kita jawab, seikhlasnya, dalam menentukan hala tuju negara merdeka kita ini.

Apa yang abah nampak hari ini bukanlah satu jawapan yang baik pada persoalan itu. Kita boleh kata kita merdeka, tapi hakikatnya banyak perkara yang kita belum merdeka. Atau untuk sedapkan kata, kita boleh kata kita merdeka dengan cara kita sendiri. Contoh paling baik, adalah sewaktu abah ke Pantai Irama, Bachok hari sabtu itu hari. Sampah sarap merata2 tempat. Bukan kucing atau kambing yang buat sampah itu, tapi manusia2 merdeka diMalaysialah yang membuang sampah2 itu. Semalam juga waktu abah memandu balik ke KL, kereta agak sesak. Dan disebalik ramai yang sabar menanti giliran bila tiba kesesesakan waktu lampu trafik merah, ramai juga lagi warga merdeka yang memilih untuk memotong barisan. Agaknya itulah antara contoh yang ingin kita tunjukkan pada dunia, bahawa kita adalah rakyat merdeka. Hahaha, mungkin tak nampak kaitannya antara sikap dengan kemerdekaan, tapi percayalah, ia lebih dari berkait. Warga merdeka adalah warga yang berpekerti sikapnya. Atau mungkin itulah antara sikap warga merdeka pada kita.

Oklah, tutup bab erti merdeka. Abah nak kongsi dengan anda 2 iklan TV sewaktu merdeka baru2 ini yang abah suka. Banyak sebenarnya iklan yang abah suka, kerana mesej dan keunikannya, tapi dua ini yang abah paling suka. Iklan TM adalah kerana mesej yang ingin dibawa, yang pada abah, tak ramai yang nampak perkara itu. Dan iklan kedua dari Petronas, ada juga makna yang nak dibawa, walaupun ia mungkin jadi kontroversi pada setengah kita. Tapi pada abah, iklan itu 'cute'.






Dan untuk kami sekeluarga, 31 Ogos setiap tahun bermula 2000, bukan sekadar sambutan merdeka semata. Kerana 31 Ogos adalah hari ulangtahun perkahwinan abah dan ummi, yang alhamdulillah telah masuk tahun ke-7. Dan kali ini, agak istimewa sikit, kerana ummi dan abah dapat meraikannya bersama2 dengan sebahagian adik beradik dan anak2 buah yang ramai itu dikampung. Untuk Ummi, 31 Ogos 2007 adalah tarikh genapnya 7 tahun masihi abah mengecap erti bahagia hidup berumahtangga. Terima kasih atas segala-galanya yang Ummi berikan pada abah - kasih sayang, kesetiaan, kejujuran, kelembutan, doa harapan, anak jantan kesayangan dan hasil air tangan - yang tidak pernah jemu menikmatinya.

Dan abah tujukan satu lagu baru dari Anuar Zain untuk Ummi, sempena tahun ke-7[nombor kegemaran abah ni!] ini. Ini bukanlah lagu terbaik Anuar, tapi tak kisahlah itu, yang penting liriknya yang ingin abah tujukan pada Ummi, dan izinkan abah untaikan sedikit kandungan lirik yang bermakna itu...


Lelaki ini yang selalu mencintamu
Selalu, tanpa ragu
Lelaki ini yang selalu memuja
Hanya dirimu
Yang bertakhta dalam sanubariku
Sanubari ku
Aku yang mencintakan mu
Hanya dirimu…

Karena cintaku, tak berbatas waktu
Karena cintaku, tak mengenal jenuh hatimu
Hatimu…

p/s: Abah juga nak ucapkan Selamat menyambut ulangtahun kelahiran ke-50, buat seorang sahabat dan abang yang sangat abah kasihi dan hormati. Banglong, abah tahu tahun ini adalah tahun penuh makna untuk abang, dan semoga tahun2 kehadapan akan lebih gemilang buat banglong, insyaAllah.

Saturday, November 11, 2006

Cerita tentang ulangtahun kelahiran ke-5

Abah nak tujukan post hari ini khusus buat anak kesayangan abah, Ahmad Mu'izz Hakim yang menyambut ulangtahun kelahiran ke 5 hari ini. Semalam masa abah telefon, Ummi kata ummi belikan basikal untuk Ahmad, Atuk Man bagi duit dan kad, Auntie Nord hadiahkan toys dan kad. Basikal tu kira hadiah dari abah dan ummi la ya sayang.

Semoga anak abah yang seorang ini akan terus menjadi anak yang baik, anak yang soleh, dan anak yang taat pada Allah.

Abah sangat-sangat harapkan dan abah serta ummi senantiasa doakan moga Allah memberkati hidup abang, dan semoga Allah berikan abah dan ummi kekuatan untuk mendidik dan membesarkan abang, dalam suasana dan keadaan yang penuh dengan kebaikan dan rahmat Allah.

Dan untuk rakan2 yang baca blog abah, doakan moga Mu'izz akan jadi manusia yang baik, yang akan hidup diatas landasan agama Allah, yang akan berjuang di jalan Allah, yang akan senantiasa jadi manusia yang tunduk dan tawadhuk pada Allah. Yang akan menggunakan segala kebijaksanaan dan ilmu yang dia akan pelajari, insyaAllah untuk menegakkan agama Allah yang satu itu.

Salam dari abah di KK.

Tak sabar rasanya abah nak balik jumpa Ummi dan Mu'izz.

Sunday, October 08, 2006

Cerita tentang ulangtahun kelahiran...

7 Oktober 2006

Malam tadi, waktu abah balik dari surau, abah di'surprise'kan oleh Ummi dan Muizz. Abah ingatkan depa dah tido, sebab gelap je bilik. Baru sekejap abah duduk kat sofa, tiba2 Muizz keluar dari bilik, dia kata 'surprise', dan Ummi bawak sebiji kek 'chocolate banana' kegemaran abah.

Abah tak tahu nak cakap apa, tapi abah seronok la, sebab anak kesayangan abah dan isteri kecintaan abah sempat lagi beli kek untuk raikan ulangtahun kelahiran abah ke-33.

Terima kasih Ummi, dan Muizz atas 2 keping kad harijadi yang sangat menarik hati abah. Dua kad yang paling bermakna tahun ini. Nak tengok apa Muizz tulis pada kad yang diberikan pada abah??



Dan ini pulak kad dari Ummi, tapi takleh tunjuk apa yg Ummi tulis, sebab apa yg tercatat hanya untuk abah seorang saja. Hehe.

Terima kasih untuk sahabat2 abah yang mengutuskan sms seawal jam 1 pagi untuk ucapkan selamat pada abah. Abah hargai tanda ingatan dan persahabatan kalian semua. Dan terima kasih juga atas doa yang diberi. Semoga umur abah ini akan panjang, dan panjangnya adalah untuk kebaikan semua, insyaAllah. Dan semoga rezeki abah akan dimurahkan Allah, dan murahnya rezeki itu adalah untuk kebaikan kita semua juga nanti, insyaAllah.

Untuk orang jauh yang sanggup datang kerumah pada pukul 11.30 malam, semata-mata untuk pastikan hadiah dan ucapan diterima pada masanya, abah tak tahu apa nak kata, selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas ucapan, doa dan pemberian. Moga Allah membalasnya dengan kebahagiaan hidup anda.

Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah. Syukur atas segala yang telah Engkau berikan pada hambaMu ini ya Allah.