Friday, September 19, 2008

Cerita tentang berjuang dan menang(???)...

Hari ni takde cerita, sekadar nak berkongsi satu artikel yang abah terima dalam emel. Anda pun mungkin dah terima juga artikel ini. Satu cerita yang dah lama nak direpekkan, tapi takde idea dan ketandusan kata2. Alhamdulillah, hari ni dapat artikel yang sedikit sebanyak berkaitan dgn apa yg ada diminda abah. Tapi abah tak tujukan pada anda (mungkin ya kot), abah tujukan pada abah sebenarnya artikel ini. Supaya abah sedar dan berusaha untuk imarahkan Ramadhan, dan put on hold sekejap soal Idul Fitri, kerana perjuangan belum selesai, mana mungkin sudah sibuk bersedia untuk menyambut hari kemenangan??

Artikel ni abah kira akan memberi banyak kesedaran jika kita baca, hayati dan tanya diri kita sendiri...

ANTARA DUA TETAMU

"Dua tetamu sedang berjalan di hadapan anda yang sedang menunggu di pintu rumah. Seorang yang lebih mulia berjalan di hadapan sementara yang seorang lagi berjalan di belakang. Siapa yang patut di alu-alukan dahulu? Tentu yang di hadapan kan? Bukan sahaja kerana kemuliaannya tetapi kerana dia berada di hadapan. Tentu kurang beradab jika mengalu-alukan tetamu yang di belakang tetapi endah tak endah dengan yang di hadapan...

Begitulah kita selalunya. Puasa baru bermula, sudah sibuk nak raya. Puasa baru sehari dua, lagu-lagu Selamat Hari Raya dah berkumandang. Kad ucapan Hari Raya dah bertimbun. Ada yang dah sibuk menbeli belah. Nampak sangat gopohnya kita nak raya dan seolah-olah berkata kepada Ramadhan yang mulia... cepat-cepatlah pergi!

Ghairah nak kan kuih sedap, ada ibu bapa yang sanggup minta anak berbuka puasa untuk merasa kuih masakannya. Ada yang berbuka lepas azan Zohor akibat lelah selepas mengacau dodol. Saf-saf sembahyang terawih kian susut. Lailatul Qadar dah dimeriahkan dengan pelita api, bukan pelita hati. Roh Ramadhan dilayukan dengan semangat raya.

Orang-orang soleh dahulu sayu apabila Ramadhan berlalu. Hati mereka merintih, bagaimana dengan puasa yang telah dipersembahkan kepada Allah? Puasa sekadar lapar dahaga? Sedangkan hati, akal, nafsu masih bermaharajalela? Mereka mula bimbang, kerana sebaik Syawal menjelang, musuh ketat yang dirantai dibebaskan semula. Syaitan mula beroperasi semula. Kalau semasa Ramadhan, melawan nafsupun tewas, apalagi bila nafsu dan syaitan bekerjasama. Lalu mereka pun berdukacita.

Namun bila takbir raya bergema, mereka menangis hiba. Syukur berpadu sayu. Syukur, kerana Allah masih izinkan mereka menyambut hari kemenangan walaupun merasa gagal berpuasa dalam ertikata yang sebenarnya. Ya, mereka malu kepada Allah kerana menerima kurnia yang tidak layak mereka terima. Mereka terasa bagaikan anak nakal yang diberi hadiah oleh ibu bapanya.

Itu orang-orang soleh. Kita bagaimana? Sudah tahu gagal berpuasa pun tetapi beraya macam menang. Sebab itu bila merayakan Hari Raya makin jelas ' kekalahan-kekalahan' kita. Orang bersyukur dengan sembahyang, kita menyanyi. Pendedahan aurat, pergaulan bebas dan macam-macam kemungkaran berlaku atas nama Hari Raya. Nikmat Allah kita kufuri. Lalu Hari Raya, menjadi hari melahirkan 'kekufuran' (kederhakaan). Hakikatnya, arus nafsu hanya diempangkan sepanjang Ramadhan, untuk dialir selaju-lajunya di Hari Raya.

Aduh! Kalau begini, selamatkah kita di Hari Raya? Ya, 'hari' raya dah tentu selamat tetapi 'orang' raya belum tentu selamat. Bukan saja selamat tak accident dalam perjalanan pergi dan balik ke kampung dunia tetapi selamatkah kita di kampung Akhirat? Justeru selamatnya kita di sana, ada kaitannya dengan cara kita berpuasa dan menyambut Hari Raya di sini. Di sanalah (Akhirat) hakikat Hari Raya yang sebenarnya.

No comments: