Thursday, September 25, 2008

Cerita tentang ucapan, dan pengharapan...



Dalam abah mencari-cari kata-kata untuk diluahkan kepada anda semua sempena Idul Fitri 1429H yang akan menyusul tidak lama lagi, abah diemelkan dengan satu ucapan hari raya dari Tuan Guru Nik Aziz. Satu ucapan dan pesanan yang sangat baik untuk dihayati. Dan abah nak pinjam ucapan Selamat Hari Raya Tok Guru itu untuk dijadikan ucapan abah juga buat anda semua.

"Perasaan suka dan duka adalah fitrah manusia yang dicipta oleh Allah S.W.T. Sejak daripada zaman kecil sampai kepada kita tua dan dewasa kita selalu berdepan dengan pelbagai suasana sukacita dan dukacita. Oleh kerana islam adalah agama fitrah, Allah taala tahu bahawa manusia tetap akan bergembira bila sampai waktu berhari raya. Cuma bezanya hanyalah antara orang awam dengan orang yang 'arif billah', yakni orang yang rapat dengan Tuhan. Bagi orang awam, mereka merasa gembira bila Ramadhan berakhir kerana boleh makan dan minum. Tetapi sebaliknya bagi orang 'arif billah'mereka akan merasa dukacita bila Ramadhan berakhir, kerana peluang untuk bermunajat pada Allah; peluang mendekati Allah berakhir. Tetapi mereka tidak boleh menolak kedatangan hari raya. Nisbah bilangan diantara orang awam dengan orang 'arif billah' lebih ramai orang awam.

Maka Allah s.w.t mewajibkan manusia berbuka dihari raya, dan diharamkan puasa dihari raya. Alasannya ialah hari raya adalah hari Allah buat jamuan. Jadi, samada orang itu arif billah, atau orang awam, mahu tidak mahu
mereka harus menerima jamuan Allah. Mereka tidak boleh sekali-kali berfikiran sendiri. Jadi mahu tak mahu hari raya adalah hari gembira untuk semua kerana bukan hanya hamba Allah yang membuat jamuan tetapi sebenarnya ibarat Allah sendiri juga yang membuat jamuan. Mana-mana orang tidak sudi menerima jamuan Allah, maka mereka sudah berfikiran diluar kebiasaan. Seperti juga masalah sembahyang 'qasar'. Sembahyang 'qasar' ini bila timbul masalah khilaf, boleh ke tidak kita menolak 'qasar' bila kita bermusafir. Jadi sesetengah ulama' kata, orang yang tidak menerima 'qasar' ini adalah orang yang tidak menerima 'rukhsah' Allah s.w.t. Allah memberi kita peluang sembahyang dua rakaat bila bermusafir, maka mengapa kita memandai tidak mahu menerima 'rukhsah' Allah.

Mudah-mudahan rakyat kelantan, malaysia amnya boleh memahami sedar dan mengerti bahawa suka-ria di hari raya itu satu juzuk daripada ajaran agama. Dengan kawalan, jangan melampaui batas daripada garisan-garisan yang dibenarkan oleh Allah. Jangan sampai kita berhari raya tetapi dipandu oleh nafsu. Firman Allah s.w.t bermaksud "kamu diminta sempurnakan bilangan puasa dan bertakbir kepada Allah, kerana Allah memberi hidayah kepada kamu" (Surah Al-Baqarah: 185).

Takbir yang dimaksudkan dalam ayat diatas ialah takbir hari raya. Jadi hari raya itu disuruh oleh Islam.

Dan ini, ada pantun yang abah terima dari seorang kawan lama, yang juga abah tampalkan disini buat anda. Walaupun ucapan dan pantun bukanlah kata2 asal abah, tapi makna disebalik ucapan dan pantun itu, abah khaskan untuk anda, ikhlas dari lubuk jiwa abah.

Sungguh cantik kain pelekat,
dipakai orang pergi ke pekan.
hari raya semakin dekat,
silap dan salah mohon dimaafkan...

Salam IdulFitri buat semua rakan2 dan pembaca blog abah.

Ikhlas dari,
Abah
Ummi
Ahmad Mu'izz Hakim
Ahmad Azim Hafiz

Wednesday, September 24, 2008

Cerita tentang buka puasa...

Semalam abah terpaksa bercuti, kerana pengasuh Azim terpaksa ke hospital. Dan sebab bercuti itu sempat jugalah abah lakukan beberapa perkara, termasuklah memukul Muizz. Ya, itulah yang abah buat. Memukul bukan pukul yang biasa, tapi pukul yang membuatkan pengasuh Muizz menangis. Kata sesetengah orang, "Ini bukan pukul anak, ini nak membunuh anak."

Itulah pertama kalinya abah pukul Muizz dengan teruk, dan didepan pengasuhnya (yang abah rasa jentik Muizz pun tak pernah). Dan perbuatan brutal itu abah buat selepas abah tak tahu nak buat macamana lagi. Sejak kebelakangan ini, dia banyak betul menguji abah dan ummi. Abah boleh faham kalau orang kata, "Bebudak umur macam itu, biasalah. Akan selalu buat perangai." Tapi abah tak boleh nak akur dengan kenyataan itu.

Untuk abang (kalau ditakdirkan Allah abang panjang umur, dan baca epekan abah ni) abah sangat sedih dengan apa yang abah dah buat pada abang, dan abah juga sedih dengan perangai yang abang dah buat pada abah dan ummi. Abang sekarang ini suka ingkar kata-kata dan arahan abah dan ummi. Abah cuba untuk bersembang dengan abang baik2 selama ini, tapi abang terus-terusan buat perangai juga. Abang pergi main jauh2 tanpa bagitahu abah, abang tak nak balik rumah, abang nak tidur rumah nenek, abang tak nak pergi sekolah. Abang cari macam2 alasan untuk tidak buat apa yang abah suruh. Abang suka merajuk kalau abang tak dapat apa yang abang nak. Dan abah serta ummi dah banyak bersabar dengan karenah abang.

Sebenarnya sebelum abah pukul Muizz pagi semalam, abah dah pernah beberapa kali bagitahu Ummi akan niat abah itu. Kata Ummi, "Abah sembang la elok2 dengan dia dulu. Biar dia faham." Tapi sebab darah abah cepat sangat menyirap pagi semalam, maka abah dulukan pukulan daripada sembang dgn anak kesayangan abah itu. Selepas adegan pukul itu, barulah adegan sembang dan menjelaskan elok2 berlaku - tentang segala kelakuan Muizz yang begitu sesakkan fikiran abah. Dan sebab itu juga, Muizz ponteng sekolah petang semalam.

Ponteng sebab abah bawak dia ke 1 Utama. Untuk tonton Wall-E, yang sudah sekian lama dia mintak dgn abah nak tonton. Dan itu bukan hadiah sebab abah rasa bersalah pukul dia, tidak. Wall-E itu adalah sebagai memenuhi permintaan dia yang telah sekian lama diberitahu pada abah. Dan alhamdulillah, Muizz enjoy cerita Wall-E itu, abah lagilah kan, tak perlu cakap. Wall-E pada abah adalah sebuah animasi yang cukup menarik, samada dari segi artistik animasinya, ataupun dari segi jalan cerita. Balik dari 1 Utama, dah hampir waktu berbuka. Oleh kerana kebanyakan kedai dah penuh, maka semalam, untuk kali pertamanya, kami cuma berbuka dengan sundae McDonalds. :-) Hanya lepas Isyak baru kami betul2 berbuka puasa.

Hari Sabtu baru-baru ni, abah dan keluarga ke KLIA, untuk menghantar anak saudara Ummi yang paling tua ke UK. Ayong dapat peluang belajar ke Surrey, tajaan Petronas. Oleh kerana pukul 7 kami dah ada kat KLIA, dan menunggu hingga pukul 10.30 malam, maka kami berbuka puasa ramai2 di KLIA. Hahaha, itulah pertama kalinya abah berbuka puasa di KLIA. Nasib baik la kakak ipar abah tu sediakan makanan extra. Walaupun sekadar bihun goreng dan sambal tempe, tetap mengenyangkan. Mahu tak kenyang, lepas solat, pakat2 ke KFC pulak. Untuk Yong (seandainya Yong baca blog ini) - Belajar baik2 ditempat orang. Yong jaga diri baik2 juga. Semoga Yong akan dapat apa yang Yong impikan selama ini.

Inilah juadah berbuka puasa kami - bihun goreng, sambal tempe dan salmon panggang.

Ini budak kecik yang tumpang sibuk berbuka. Org makan bihun, dia nak bihun. Org makan salmon, dia makan salmon. :-)

Oklah dulu setakat ni, abah nak sambung kerja. Jumpa anda lagi insyaAllah, sebelum abah bercuti raya.

Monday, September 22, 2008

Cerita tentang 'boring'...

Bang long bagi abah emel yang ada imej diatas. Rasa cam kena je imej tu ngan keadaan abah sekarang ni. Ekekkekeke.

Hari ni takde cerita, nanti ada masa, abah bercerita sikit tentang sesi abah berbuka puasa di KLIA hari sabtu lepas.

Friday, September 19, 2008

Cerita tentang berjuang dan menang(???)...

Hari ni takde cerita, sekadar nak berkongsi satu artikel yang abah terima dalam emel. Anda pun mungkin dah terima juga artikel ini. Satu cerita yang dah lama nak direpekkan, tapi takde idea dan ketandusan kata2. Alhamdulillah, hari ni dapat artikel yang sedikit sebanyak berkaitan dgn apa yg ada diminda abah. Tapi abah tak tujukan pada anda (mungkin ya kot), abah tujukan pada abah sebenarnya artikel ini. Supaya abah sedar dan berusaha untuk imarahkan Ramadhan, dan put on hold sekejap soal Idul Fitri, kerana perjuangan belum selesai, mana mungkin sudah sibuk bersedia untuk menyambut hari kemenangan??

Artikel ni abah kira akan memberi banyak kesedaran jika kita baca, hayati dan tanya diri kita sendiri...

ANTARA DUA TETAMU

"Dua tetamu sedang berjalan di hadapan anda yang sedang menunggu di pintu rumah. Seorang yang lebih mulia berjalan di hadapan sementara yang seorang lagi berjalan di belakang. Siapa yang patut di alu-alukan dahulu? Tentu yang di hadapan kan? Bukan sahaja kerana kemuliaannya tetapi kerana dia berada di hadapan. Tentu kurang beradab jika mengalu-alukan tetamu yang di belakang tetapi endah tak endah dengan yang di hadapan...

Begitulah kita selalunya. Puasa baru bermula, sudah sibuk nak raya. Puasa baru sehari dua, lagu-lagu Selamat Hari Raya dah berkumandang. Kad ucapan Hari Raya dah bertimbun. Ada yang dah sibuk menbeli belah. Nampak sangat gopohnya kita nak raya dan seolah-olah berkata kepada Ramadhan yang mulia... cepat-cepatlah pergi!

Ghairah nak kan kuih sedap, ada ibu bapa yang sanggup minta anak berbuka puasa untuk merasa kuih masakannya. Ada yang berbuka lepas azan Zohor akibat lelah selepas mengacau dodol. Saf-saf sembahyang terawih kian susut. Lailatul Qadar dah dimeriahkan dengan pelita api, bukan pelita hati. Roh Ramadhan dilayukan dengan semangat raya.

Orang-orang soleh dahulu sayu apabila Ramadhan berlalu. Hati mereka merintih, bagaimana dengan puasa yang telah dipersembahkan kepada Allah? Puasa sekadar lapar dahaga? Sedangkan hati, akal, nafsu masih bermaharajalela? Mereka mula bimbang, kerana sebaik Syawal menjelang, musuh ketat yang dirantai dibebaskan semula. Syaitan mula beroperasi semula. Kalau semasa Ramadhan, melawan nafsupun tewas, apalagi bila nafsu dan syaitan bekerjasama. Lalu mereka pun berdukacita.

Namun bila takbir raya bergema, mereka menangis hiba. Syukur berpadu sayu. Syukur, kerana Allah masih izinkan mereka menyambut hari kemenangan walaupun merasa gagal berpuasa dalam ertikata yang sebenarnya. Ya, mereka malu kepada Allah kerana menerima kurnia yang tidak layak mereka terima. Mereka terasa bagaikan anak nakal yang diberi hadiah oleh ibu bapanya.

Itu orang-orang soleh. Kita bagaimana? Sudah tahu gagal berpuasa pun tetapi beraya macam menang. Sebab itu bila merayakan Hari Raya makin jelas ' kekalahan-kekalahan' kita. Orang bersyukur dengan sembahyang, kita menyanyi. Pendedahan aurat, pergaulan bebas dan macam-macam kemungkaran berlaku atas nama Hari Raya. Nikmat Allah kita kufuri. Lalu Hari Raya, menjadi hari melahirkan 'kekufuran' (kederhakaan). Hakikatnya, arus nafsu hanya diempangkan sepanjang Ramadhan, untuk dialir selaju-lajunya di Hari Raya.

Aduh! Kalau begini, selamatkah kita di Hari Raya? Ya, 'hari' raya dah tentu selamat tetapi 'orang' raya belum tentu selamat. Bukan saja selamat tak accident dalam perjalanan pergi dan balik ke kampung dunia tetapi selamatkah kita di kampung Akhirat? Justeru selamatnya kita di sana, ada kaitannya dengan cara kita berpuasa dan menyambut Hari Raya di sini. Di sanalah (Akhirat) hakikat Hari Raya yang sebenarnya.

Wednesday, September 17, 2008

Cerita tentang keadaan...

Baca suratkhabar atau tonton berita di TV sekarang ini buat abah sangat risau. Bukan abah saja rasanya, anda juga. Risau tentang banyak benda, terutamanya kestabilan negara. Dengan senario politik yang cukup kacau bilau, ditambah dengan cerita jenayah yang makin hari makin kejam lakunya, dengan soal ekonomi rumahtangga yang kadang2 cukup kadang2 tak itu, dan banyak isu lagi.

Kalau orang tanya abah tentang isu politik, jujurnya abah akan cakap - Abah tak tahu pada siapa lagi perlu abah percaya dan sokong ideologi dan agenda mereka. Di belah kerajaan, banyak kelemahan yang abah nampak, walaupun di satu segi, mereka perjuangkan satu benda yang hampir semua orang Melayu Islam akan setuju. Dibelah pembangkang, ideologi mereka tentang ketelusan, pembaikpulihan kelemahan kerajaan skrg juga amat menarik, tapi dari satu segi, abah risau juga andai mereka terlalu sibuk idea "everyone is equal as long as you're Malaysian". Abah tak mahu kes2 yang melibatkan Islam akan jadi lebih parah bila kuasa kerajaan bertukar tangan.

Apapun, apa yang akan berlaku, abah doakan semoga ia mampu bawa kebaikan dan kesejahteraan pada semua pihak. Abah tidak mahu Malaysia tercinta ini jadi seperti negara2 lain yang banyak sangat isunya, sehingga meresahkan dan menyusahkan rakyat jelata. Semoga Allah akan terus menerus memberikan kesejahteraan pada negara kita ini, supaya semua orang dapat hidup aman, dan dapat beribadat padaNya dengan cukup aman.

Setakat ini dulu. Jumpa lagi lain kali insyaAllah.

Tuesday, September 16, 2008

Cerita tentang lelaki sejati...

Aku bertanya pada ayahanda, bagaimana menilai lelaki sejati?

Jawab ayahanda,

Nak...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar,

tetapi dari kasih sayangnya pada orang disekitarnya...


Lelaki sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang,

tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran...


Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat disekitarnya,
tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa...


Lelaki sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia di hormati ditempat
bekerja,
tetapi bagaimana dia dihormati didalam rumahnya sendiri...


Lelaki sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan,
tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan...

Lelaki sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang,
tetapi dari hati yang ada disebalik itu...


Lelaki sejati bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja,

tetapi komitmennya terhadap wanita yang dicintainya...


Lelaki sejati bukanlah dilihat dari jumlah barbel yang dibebankan,

tetapi dari tabahnya dia menghadapi lika-liku kehidupan...


Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari kerasnya membaca kitab suci,

tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca...

Dan abah, makin tetap akan mencari dimana kesejatian diri ini, yang terkadang nampak jelas pada pandangan mata, terkadang nampak kelam bak kabus dipagi hari...

Thursday, September 11, 2008

Cerita tentang ucapan(ingatan)...

Sahabat baik abah emelkan video klip ucapan Tn Guru Nik Aziz pada satu majlis satu ketika yang agak lama dulu. Abah belum pernah tengok lagi klip video ini (mungkin anda dah pernah tengok). Bila abah dah tengok, rasa terpanggil untuk berkongsi dengan anda.

Anda tonton, anda fahami, dan nilaikanlah dengan mata hati anda. Abah tidak mahu komen apa2, walaupun abah punya fahaman dan pendapat sendiri tentang ucapan Tok Guru tersebut.


Wednesday, September 10, 2008

Cerita tentang kamera...

Uiks abah, awat hari ni berkongsi gambar lak nih. Bukan nak berkongsi gambar sangat pun, tapi sekadar nak bercerita tentang kamera digital baru abah. Dan kebetulan sebab itu antara gambar terawal yang abah snap dengan kamera baru ni, maka tunjukkanlah juga sampel barang sekeping dua. Dan abah akui awal-awal, abah sangat tidak reti mengambil gambar. Main snap je. Mu'izz rasanya lebih terer bab ambil gambar dengan kamera ni. Diatas tu adalah rupa buah hati abah waktu bangun tidur. Abah snap gambar tu waktu sahur pagi tadi. Azim memang sudah kebiasaan akan turut bangun waktu kami bersahur, tapi dia cuma pandang saja la kami makan. :-)

Bercakap tentang sahur, alhamdulillah, setakat ni masih belum terlepas lagi sahur, tidak seperti tahun2 sebelumnya. Dan rahsianya, kami ada jam loceng yang tidak boleh tidak, pasti akan terjaga bila mendengarnya. Dan jam loceng itu tak lain tak bukan, si Azim yang suka mengamuk awal pagi itu. Pukul 4.30 pagi memang dia akan bangun, dan mengamuk - sebab tak ada orang nak layan dia. Maka sebab amukan tu, kami akan terjaga untuk bersahur, alhamdulillah.


Mu'izz pun alhamdulillah turut serta bersahur, dan juga berpuasa. Risau juga abah waktu mula-mula puasa hari tu, sebab 3 hari pertama puasa, dia akan makan waktu tengahari - alasannya, tak tahan lapar. Tapi pada hari ke4, alhamdulillah, dia boleh puasa penuh sehari, dan berlanjutan hingga ke hari ini. Dan dibulan puasa ini jugalah dia rajin sikit nak mendirikan solat - tanpa disuruh. Itulah agaknya kelebihan bulan Ramadhan dimana Allah jadikan hati manusia itu sentiasa ingat dan patuh untuk berbuat kebaikan.

Balik pada cerita kamera digital baru tadi. Bukan abah beli pun sebenarnya. Untuk waktu sekarang, memang budget tak mengizinkan untuk kamera digital. Dalam hati sebelum ni memang berangan pun nak beli kamera digital yang OK sikit, sebab kamera yang dihadiahkan oleh bang long sebelum ni dah agak cepat habis bateri selalunya. Rezeki Allah, 2 hari lepas, abah dapat panggilan dari Pusat Pungutan Zakat WP, memberitahu abah menang tempat ke3 untuk Kuiz Zakat Online 2008 yang depa anjurkan baru-baru ini. Dan hadiahnya inilah dia - Kamera Digital Olympus ยต 1030 SW. Harganya abah tak tahu berapa, tapi tak kisah la kan, dah namanya lagi hadiah, terima sajalah tanpa banyak soal periksa.

Abah terima kamera tu malam tadi, dalam satu upacara penyampaian hadiah di Grand Season KL. Seronok punya pasal sebab nak explore kamera, buka puasa pun abah makan ala kadar saja. Tapi syok jugalah majlis buka puasa tu sebab abah dapat sedikit ilmu berkaitan zakat, dan juga dapat bertemu dengan anak2 yatim Nurul Iman.

Oklah dulu, nanti abah mengepek lagi. Sekarang ni nak siapkan kerja dulu.

Selamat berpuasa dan berbuka puasa, serta bersolat tarawih dan beribadah lainnya buat anda semua.

Ops, sebelum tu, sekadar nota untuk diri abah sendiri pada masa depan. Hari ni, 10 Ramadhan 1429, genaplah umur abah 36 tahun Hijrah. Dan bila ditilik2 dalam cermin, dah banyak sangat uban mula muncul dikepala. Patut ler, dah tua. Terbaca di satu laman web satu ketika dulu, katanya;

Lahir pada bulan Ramadhan - Dia baik, pendiam, suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan diriya. Kehidupannya selalu selamat.

Kata abah - Semoga apa yang dikatakan itu akan jadi kenyataan buat diri abah. Tapi untuk masa ini, diusia 36 tahun Hijrah ini, rasanya banyak yang tak selari dengan sifat diri abah. :-)

Tuesday, September 09, 2008

Cerita tentang 99...





Abah rasa kebanyakan kita sudah tahu akan 99 Nama Allah ini. Walau mungkin kita tidak hafal, tapi kita tahu (sepatutnya). Tapi dalam pada itupun, abah yakin ada juga hamba Allah yang tidak tahu Asma 'Ul Husna Pencipta mereka. Seperti mana ada seorang kawan yang kebetulan bertanya tentang mimpi, "Aku bermimpi aku solat, tapi dalam mimpi tu aku tak boleh nak baca Fatihah dan surah-surah lain." Tak perlulah abah ceritakan yang selebihnya. Yang penting, kita perlu sedar, ramai lagi rakan seagama kita diluar sana yang masih kabur akan hala tuju. Dan mereka ini bukan menanti untuk dicemuh atau diperli, sebaliknya menanti untuk didekati dan diajak berjalan ke jalan kebaikan. Ke jalan yang membantu mereka mengenali Allah Maha Pencipta.

Itu baru soal tahu atau tidak, belum masuk soal 'faham', 'penghayatan' dan 'amalan'. Abah tak kata orang lain, diri abah ini sendiri pun banyak sangat yang kurangnya. Dalam abah kata abah tahu benda2 ini, tapi bila tiba bab penghayatan dan amalan, banyak lagi yang tak lepas markah lulus 40%
(kalau ada la kan!) pun.

Salah satunya, dalam kes memahami, menghayati dan meng'amal'kan 99 zat Allah ini.

Sewaktu kecil, sekadar menghafal Asma 'Ul Husna ini, itupun sebab tertarik dengan laguan yang dicipta untuk menghafalnya. Maknanya memang tak tahu la. Bila dah besar sikit, tahu maknanya. Tapi setakat tahu, fahamnya entah ya entah tidak. Bila dah masuk era 'rambut pun dah mula beruban' ni, abah kadang2 tertanya2 juga diri, "Betulkan aku mengerti dengan sebetulnya makna dan maksud 99 Nama Allah ini?. Adakah cukup sekadar faham dan mengerti? Bagaimana boleh diamalkan? Supaya aku akan jadi hamba Allah yang lebih tunduk padaNya?"

Sekali-kali mendengar alunan Asma 'Ul Husna diatas tu sekarang ni, kadang rasa sayu dihati. Sayu sebab abah rasa persoalan2 diatas itu masih belum mampu abah jawab dengan jelas. Tapi abah perlu berusaha untuk menjawabnya juga. Untuk menyedapkan hati abah, bahawa abah telah berada dalam jalan mereka yang sangat mencintai Allah SWT, bukan mereka yang sekadar mencintai Allah dimulut semata, tetapi dihati nurani itu juga.

Mampukah abah menjadi seperti Zahid dalam salah satu novel Kang Abik, iaitu Di Atas Sajadah Cinta itu??

Di serambi masjid Kufah, seorang pemuda berdiri tegap menghadap kiblat. Kedua matanya memandang teguh ke tempat sujud. Bibirnya bergetar melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Hati dan seluruh gelegak jiwanya menyatu dengan Tuhan, Pencipta alam semesta. Orang-orang memanggilnya “Zahid” atau “Si Ahli Zuhud”, karena kezuhudannya meskipun ia masih muda. Sebagian besar waktunya ia habiskan di dalam masjid, untuk ibadah dan menuntut ilmu pada ulama terkemuka kota Kufah. Saat itu masjid adalah pusat peradaban, pusat pendidikan, pusat informasi dan pusat perhatian.

Pemuda itu terus larut dalam samudera ayat Ilahi. Setiap kali sampai pada ayat-ayat azab, tubuh pemuda itu bergetar hebat. Air matanya mengalir deras. Neraka bagaikan menyala-nyala dihadapannya. Namun jika ia sampai pada ayat-ayat nikmat dan surga, embun sejuk dari langit terasa bagai mengguyur sekujur tubuhnya. Ia merasakan kesejukan dan kebahagiaan. Ia bagai mencium aroma wangi para bidadari yang suci.

Tatkala sampai pada surat Asy Syams, ia menangis,

“fa alhamaha fujuuraha wa taqwaaha. qad aflaha man zakkaaha. wa qad khaaba man dassaaha…”

(maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaan, sesungguhnya, beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sungguh merugilah orang yang mengotorinya…)

Hatinya bertanya-tanya. Apakah dia termasuk golongan yang mensucikan jiwanya. Ataukah golongan yang mengotori jiwanya? Dia termasuk golongan yang beruntung, ataukah yang merugi?

Ayat itu ia ulang berkali-kali. Hatinya bergetar hebat. Tubuhnya berguncang. Akhirnya ia pingsan.

Anda doakan abah. Semoga kita sama-sama diberi rahmat keampunan Allah, dan semoga kita sama-sama dapat berusaha sebaiknya kearah itu, insyaAllah...

Friday, September 05, 2008

Cerita tentang Ramadhan 1429...

Sudah hari ke-5 kita berpuasa, dan sudah 5 hari ini juga abah rasa ada sesuatu yang tak berapa kena - samada dengan diri abah, ataupun persekitaran. Dan ketidakkenaan perasaan itu berkait rapat dengan ibadah puasa yang kita dok amalkan sekarang ini.

Setakat ini abah rasa Ramadhan kali ini tidak seperti Ramadhan sebelumnya. Kalau sebelum ini, tiap kali Ramadhan, Pasar Ramadhan adalah tempat wajib yg mesti abah lawati hampir setiap petang. Tapi kali ini, belum sekali pun abah jejakkan kaki ke Pasar Ramadhan.

Nafsu bila tengok makanan juga tidak ada, malah nafsu makan juga entah kemana perginya. Jika sebelum ini, tiap2 hari puasa, ada saja makanan yang abah terasa nak makan. Tapi tahun ini, setakat ini, takde terlintas pun makanan apa abah teringin nak makan. Apa yang ada Ummi hidangkan, itulah yang abah bedal, tanpa banyak soal. Cuma semalam saja, rasanya nafsu makan abah puas sedikit, sebab Ummi masak tom yam koong, dan goreng ayam sedap.

Paling abah risau, keinginan untuk beribadat juga tidak seperti sebelumnya. Kalau dulu, abah seronok dengan Ramadhan. Nak bertarawih ramai2 disurau itu juga buat abah sentiasa teruja. Tapi tahun ini, selalu datang rasa malasnya nak bertarawih disurau. Bila bertarawih, rasa semangat macam hilang entah kemana. Pesan Ustaz Azmi waktu kuliah lepas Isyak malam tadi, ibadah ni kena dibuat dengan mendatangkan hati dan tubuhbadan. Kalau fizikal saja buat ibadah, hati tidak ada, tak jadi. Dan itulah yang abah jadi gerun, sebab abah tahu, waktu ini, kala ini, ramadhan ini, virus itulah yang menimpa. Sebelum2 ni ada juga, tapi tak seteruk tahun ini. Moga-moga Allah berikan rahmat dan kesungguhan dalam hati abah untuk lebih menikmati ramadhan kali ini.

Takut sangat bila mikirkan yang dosa2 abah telah berjaya mengaburi hati abah dalam menikmati nikmat ibadah, dan menghadirkan hati dalam setiap ibadah yang dibuat, hanya untuk Allah SWT. Banyaknya dosa.

Berkenaan persekitaran, juga abah rasa ada yang tak kena. Tentang sambutan orang ramai di PR, abah tak pasti, sebab abah belum pergi lagi kesana. Tapi bila baca paper, katanya PR kurang dapat sambutan, tidak seperti sebelumnya. Agaknya sebab kenaikan kos hidup. Orang ramai dah tak mampu nak berbelanja di PR lagi. Dan abah pun sama la kot rasanya.

Bercakap soal kenaikan kos hidup ni, nak cerita sikit tentang terkejut cipannya abah sewaktu shopping baju raya anak2 2 hari sebelum puasa hari tu.

Kalau dulu, beli baju untuk Muizz sorang saja. Tapi tahun ni, kena belikan juga untuk Azim. Untuk berlaku adil, masing2 dapat dalam 4 pasang. Abah agak takde la banyak sangat abis. Tapi bila dah punch harga, ya Allah, kopak duit abah RM550. Padahal semuanya baju sale, yang kononnya 50 - 70 % diskaunnya. Tapi 8 pasang baju anak pun dah 5 ratus lebih. Aduihhhhhh.

Macam mana la dengan orang yg ada anak ramai kan? Abah rasa depa tentu lagi teruk kena sediakan duit untuk belikan baju raya anak2. Baju mak ayah tak kisah la sangat, sebab mak ayah dah banyak kali beraya, tapi untuk anak2, kena la jugak sediakan, sebab time depa budak2 ni la, depa seronok berbaju baru time raya (cam abah dulu2 la kan!)

Balik pada ketidakkenaan perasaan abah tadi, abah perasan yang sekarang ni surau belakang rumah abah itu sudah tidak meriah dengan jemaah waktu tarawih. Abah tak tahu apa keadaannya malam pertama tarawih (sebab malam pertama, abah bertarawih disurau kat Paka), beberapa malam ni abah tengok jemaah tak ramai. Yang nampak bertambah ramai ialah golongan kanak2 sekolah (alhamdulillah), golongan mak2 ayah2 dah makin berkurang. Kalau tidak penuh surau tu sampai kebelakang. Kali ni, banyak saf kosong, terutamanya selepas habis 8 rakaat tarawih (dan abah salah seorang yang mengosongkan saf itu).

Tazkirah sebelum tarawih pun sudah tidak ada tokoh2 yang selalu dijemput oleh pihak surau. Mungkin depa banyak jemputan didaerah lain agaknya, atau mungkin tahun ni depa kurangkan sikit aktiviti berceramah disurau2. Mungkin. Tapi itu satu sebabnya abah rasa suasana tarawih di surau itu macam hambar saja. Ini mungkin perasaan abah saja kot. Abah tak tahu kalau orang lain tak rasa apa yang abah rasa.

Apapun, abah mintak2 sangat semoga Allah tidak memanggil abah pulang dalam ramadhan ini. Walaupun hati abah kadang2 hilang dalam ibadah abah, abah sangat2 bermohon dan berdoa, agar abah diberi peluang untuk menikmati ramadhan 1429 ini dengan seikhlas dan semanis yang boleh. Abah akan cuba, walaupun abah tahu kena paksa hati dan diri ini banyak2.

Abah doakan moga anda tidak mengalami apa yang abah alami. Semoga Ramadhan kali ini lebih memberi banyak makna dan kebahagiaan pada anda. Semoga dalam ramadhan kali ini, banyak kerahmatan, keampunan dan kasih sayang Allah akan tercurah buat anda. Dan semoga kita semua, dapat diketemukan Allah dengan Lailatul Qadar, insyaAllah.

Bukan mudah melukis pelangi di langit yang tertinggi
Tanpa hadir gerimis dan sinar mentari
Yang mengiringi...

Wednesday, September 03, 2008

Cerita tentang lapan...

Salam sahabat blog. Setelah beberapa hari menyepi, hari ni, pagi ni, ada sikit kesempatan untuk abah mengepekkan sesuatu yang lebih peribadi pada abah dan keluarga. Hari ni takde epekan tentang hidup, dan kehidupan.

31 Ogos, seperti biasa, hari yang ramai rakyat Malaysia akan ingat, dan pada abah dan ummi, selain hari Malaysia merdeka, 31 Ogos juga adalah hari kami merdeka. Merdeka dalam erti kata, bebas untuk hidup berpasangan lelaki dan perempuan. 31 Ogos 2000 tempohari adalah hari abah menjadi milik ummi, dan yang paling penting, Ummi jadi milik abah. Untuk dikasihi, untuk disayangi, untuk disentuh dibelai (ni part yg paling best, hahahaha), untuk diluahkan gundah hati, dan untuk berkongsi segalanya.

Dan tahun ini, genap 8 tahun masihi Ummi bergelar isteri abah, dan untuk tahun bertuah 2008 ini, Ummi juga bergelar ibu pada 2 buah hati kesayangan kami - Mu'izz dan Azim.

Dan posting hari ini (yang sepatutnya dibuat tanggal 31 Ogos lalu) adalah posting khusus untuk Ummi (seperti selalunya).

Terima kasih
- kerana menjadi isteri, ibu dan pendamping yang paling baik untuk abah dan anak2.

- kerana sangat memahami keadaan diri abah, yang masih banyak kekurangan.

- atas segala budi yang telah tercurah selama ini, demi memastikan abah dan anak2 hidup dalam keselesaan dan kasih sayang.

- juga kerana sangat bersusah payah menggadaikan nyawa melahirkan 2 zuriat untuk abah (nanti sorang lagi yek Ummi ;-).

Maaf
- kerana selama 8 tahun bersama, abah banyak melukakan hati ummi, secara sengaja atau tidak.

- kerana selama 8 tahun ini juga, ada keinginan Ummi yang tidak tertunaikan lagi oleh abah.

- juga kerana tahun 2008 ini, abah tidak ada sesuatu untuk meraikan hari istimewa kita ini. Tahun ini, hanya posting ini sahaja yang mampu abah zahirkan untuk Ummi.

Semoga
- Allah beri abah lebih lama lagi masa untuk memiliki Ummi.

- Allah limpahkan rahmat dan kasih sayang dalam diri Ummi untuk disedekahkan pada abah dan anak2.

- Ummi diberi kesihatan tubuh badan, kelapangan jiwa dan kelembutan perasaan, untuk terus menjaga kami.

- Dan banyak semoga lagi yang tidak mampu abah luahkan sepenuhnya (bimbang nanti membosankan rakan2 blog abah). Tapi abah pasti Ummi tahu selebihnya semoga itu.

Paling penting, kasih dan sayang abah pada Ummi tetap utuh dalam jiwa abah, walau dikeadaan mana sekalipun. Moga ia terus kekal subur dan mewangi dalam jiwa abah, insyaAllah.

Untuk rakan blog, selamat menyambut ibadah puasa tahun ini. Semoga Allah berikan kita kesenangan dari segi masa dan kewangan, juga kesihatan tubuh badan, untuk kita maksimumkan ibadah kita pada Allah SWT dalam bulan penuh kerahmatan, penuh keampunan, dan penuh kasih sayang Allah ini.