Dan kebetulan malam tadi, abah tertonton segmen Bersama Dato' Dr. Fadzilah Kamsah di Astro Ria. Menarik juga topiknya: Rintihan lelaki. Dalam pada Dato' minta kaum lelaki menghantar sms pada beliau dengan rintihan masing-masing, ada juga kaum hawa yang tersilap hantar sms merintih pasal suami. Aduhhhh. Tapi tidak apalah, agaknya sebab dah tak mampu ditahan sarat perasaan kecewa pada suami, itu yg terlepas juga sms ke rancangan tersebut.
Abah seperti biasalah, tidak akan memihak mana-mana dan tidak akan menentang mana-mana, bila bercakap soal orang lelaki dan perempuan serta tanggungjawab masing-masing, baik sebelum berkahwin, ataupun selepasnya.
Abah berpegang pada kenyataan bahawa kita semua ini, tidak kira lelaki atau perempuan, kita cuma makhluk Allah yang banyak kelemahan. Sebagus mana pun kita, pasti akan ada titik kelemahan dalam diri, samada kita sedari atau tidak. Dan bila sudah berumahtangga, kita berdepan pula dengan keadaan diri pasangan kita, yang juga manusia biasa, yang juga ada kelemahan.
Tetapi, kelemahan yang ada itu bukan sekadar untuk dikenalpasti sahaja, apatah lagi untuk dibuat tidak peduli. Allah turunkan Islam pada kita, Allah bagi kudrat, bagi akal, bagi perasaan pada kita untuk berbuat sesuatu. Jika merubah kelemahan diri itu sesuatu yang tidak mustahil dan dituntut agama, kenapa tidak boleh ubah.
Abah bercakap ini merujuk banyaknya pada diri abah juga. Walaupun abah rasa abah dah cuba jadi manusia yang baik disebalik kelemahan yg abah ada, tetapi pasti banyak lagi kekurangan diri yang perlu abah perbaiki, untuk kesejahteraan hidup abah dan orang-orang terdekat, ataupun untuk masyarakat.
Dan kalau mungkin pun diri kita tidak mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu, tidak ada salahnya kalau kita ambil tahu tentang perkara itu, mana tahu, satu hari nanti, anak cucu kita mempunyai kekurangan itu, boleh juga kita bantu mana yang patut.
Berbalik kepada rancangan Dato' Dr. Fadzilah tadi, ada beberapa perkara berkaitan rintihan lelaki yang abah rasa kaum wanita patut tahu, dan patut sematkan difikiran, sebagaimana mereka ingin lelaki a.k.a suami memahami diri mereka.
Antaranya:-
1. Elakkan dari berleter. Lelaki tidak suka perempuan yang suka berleter, walaupun mungkin dia nampak tidak kisah, tetapi sebenarnya, dia tidak suka.
2. Cakap orang lelaki kadangkala agak keras pada wanita, tapi itu tidak bermakna dia marah. Jangan merajuk atau berkecil hati hanya kerana sebab ini.
3. Suami sangat sayangkan isterinya, tetapi sifat lelaki itu sendiri sukar untuk meluahkan dengan kata-kata rasa sayangnya itu. Isteri tidak boleh terlalu berharap suami akan tuturkan kata2 cinta sepanjang masa. Walaupun dia tidak luahkan, Allah saja yang tahu betapa cinta dan kasihnya dia pada isterinya.
4. Jangan mendesak suami. Lelaki tidak boleh terasa didesak oleh wanita, kerana ia akan membuat dia akan cepat rasa marah atau bosan.
5. Apabila suami marah, jangan cuba untuk dipujuk, atau lebih teruk, memberikan reaksi negatif spt merajuk atau marah. Lelaki yang sedang marah perlukan masa dan ruang untuk meredakan kemarahan dia. Selepas beberapa ketika, dia akan pulih dengan sendirinya, dan bila dia pulih, berkomunikasilah seperti biasa, dan jangan tunjukkan yg anda merajuk dengan dia kerana dia marah tadi. Ini akan memanjangkan lagi rasa marah dia.
6. Jangan sesekali mendedahkan kelemahan suami pada orang lain. Sekecil manapun kelemahan itu, itu hanya untuk anda sahaja, bukan untuk dikongsi dengan orang lain.
7. Jangan juga cuba meremeh-remehkan keperluan rohani suami. Seks itu sangat penting pada orang lelaki. Walaupun mungkin dia nampak tidak kisah bila tidak dilayan sebetulnya, dia sangat kisah sebenarnya.
Itulah serba sedikit yang abah dapat ambil dari rancangan semalam itu. Abah tulis disinipun bukan sekadar untuk pengetahuan kaum wanita, tetapi untuk lelaki juga.
Dalam hidup berhubungan dengan orang lain, bukan setakat keperluan kita yang orang lain perlu hormati dan penuhi, tetapi keperluan orang lain juga perlu kita penuhi.
Hiduplah dengan penuh berkasihsayang antara suami isteri dan keluarga, dan berbuatlah apa saja untuk kebahagiaan, asalkan diatas landasan Islam, insyaAllah, kita akan diketemukan dengan kebahagiaan hidup berpasangan yang kita cari.
Andai ada perkara yang tidak kena, muhasabah diri kita, periksa hubungan kita dengan Allah, elokkah hubungan itu? Kalau elok, alhamdulillah. Kalau tidak, perelokkanlah. Kita hamba. Allah yang Maha Berkuasa. Perbaikilah hubungan kita dengan Allah, nescaya Allah akan perbaiki hubungan kita dengan isteri, anak-anak serta orang lain disekitar kita.
Teringin juga nak memberi komen tentang program baru TV3 bertajuk 'Sebalik Malam', tapi nantilah dulu, tunggu abah lapang sedikit.
P/S: Semalam juga entah kenapa abah tiba-tiba terasa nak belek album gambar. Sambil2 tengok TV, abah belek satu persatu gambar lama, termasuklah gambar Muizz waktu dia baby hinggalah umurnya setahun. Dan kebetulan abah ada simpan kat laptop ni satu gambar waktu usia Muizz setahun, abah nak kongsi dengan anda.