Thursday, May 31, 2007

Cerita tentang kerja...

Hari ni abah mengepek dari rumah. Baru balik dari klinik. Dapat MC, seperti yang diharapkan. Hehehe, bukan berharap MC pun, tapi memang rasa tak larat sejak balik dari bengkel di Angkasa Raya semalam.

Kali ni nak mengepek sikit tentang kerjaya. 2,3 hari lepas, ada seorang rakan abah waktu di U dulu sms abah, menceritakan tentang niatnya nak beralih angin dalam kerjaya. Bila abah tanya, nak alih kemana, katanya, nak jadi pensyarah. Alhamdulillah kalau betul dia nak jadi pensyarah. Bertambah la lagi anak bangsa abah yang sanggup mendidik anak bangsa kearah kecemerlangan.

Bila abah suruh dia lawat tapak web UPSI, kerana UPSI sedang ada tawaran skim latihan akademik bumiputra (SLAB), tahu apa responnya? "Kenapa ciput sangat gaji dan elaun yg diberi?". Abah faham pun apa maksud dia, yalah, sekarang dia dah jadi Pengurus yang bergaji besar disektor korporat, dan bila nak beralih arah ke bidang pendidikan, terus hilang semangat bila tengok jumlah gaji dan elaun yang bakal diterima. Abah tak salahkan dia pun. Sesiapapun dibidang korporat sana yang gajinya berkali ganda dari apa yang diterima dalam bidang pendidikan ini, pasti akan berfikir banyak kali untuk beralih arah.

Bukan soal tak ikhlas atau apa, tidak, tapi soal survival. Bayangkan gaji sekarang yang dah dalam lingkungan 5-6 ribu, tiba2 cuma akan dapat sekitar 1500-2500 saja bila masuk skim akademik, siapa la yang boleh tahan.

Dan bila dia tanya, "Camna ko boleh survive ek?", abah tak tahu nak jawap apa. Abah cuma boleh kata, orang pendidik macam abah ni cuma boleh hidup seadanya saja. Kalau nak mewah macam orang2 dikorporat sana, susah. Tapi bukan tak boleh. Kalau rajin kejar kelas2 part time di kolej2 swasta, boleh la kumpul duit banyak2, dan beli kereta besar atau hidup senang.

Sebab itu kalau ada adik2 abah diluar sana yang bercita-cita nak jadi pendidik, bermulalah dari awal, supaya takkan terasa sangat perbezaan gaji antara akademik dan korporat. Bidang akademik bukan lubuk duit, tapi ada kepuasan lain yang diperolehi.

Retorik sangatlah kalau abah katakan, yang abah sangat cintakan profesion pendidik ini. Sebab kadangkala ada juga masanya abah sendiri akan tertanya-tanya, "Apa yang aku buat kat ni?". Tapi abah fikir, kerja apa dan dimana pun tetap sama. Ada masa kita rasa "down". Abah cuma boleh kata abah suka dengan kerja ini, sebab banyak ketikanya abah akan rasa puas dalam diri. Puas bila abah tengok ada orang lain yang bertambah ilmunya kerana didikan kita. Puas bila ada pelajar yang kata, terima kasih atas ilmu yang dikongsi. Puas bila tengok bekas pelajar boleh jadi manusia baik bila tamat pengajian. Dan ada beberapa perkara lagi.

Setakat itu sajalah dulu, nanti dah sihat sikit kang, abah sambung mengepek lagi. nak berehat sekejap, sambil tengok Muizz siapkan kerja-kerja sekolahnya.

Tuesday, May 29, 2007

Cerita tentang puashati...

Semalam abah terbaca satu emel dari seorang rakan grup, berkenaan tidak puashati. Hari ni nak mengepek sikit la ttg perkara ini.

Siapapun dalam dunia ni abah rasa pasti akan tahu dan pernah rasa tidak puashati. Tidak puashati pada diri sendiri, pada orang lain, dan juga pada keadaan, dan pada tahap yang paling ekstrem, tidak puashati dengan Maha Pencipta, nauzubillah.

Salah ke rasa tak puashati ni? Atau wajarkah kita tak berpuashati? Jawapannya, balik pada diri sendiri. Ada orang boleh tenangkan diri mereka kalau mereka tidak berpuashati terhadap sesuatu, ada orang tidak mudah nak menenangkan diri bila mereka tidak puashati. Terutamanya bila tidak puashati terhadap orang lain dan keadaan sekeliling.

Bagaimana nak buat kalau tak puashati? Jawapannya pun terpulang pada individu.

Kalau dengan memendam dan redha akan apa yang berlaku, alhamdulillah. Mungkin itu yang terbaik untuk kita dan orang lain. Tapi kalau dengan meluahkan rasa tidak puashati itu boleh memberi kebaikan utk kita dan orang sekitar, lakukanlah.

Abah secara peribadinya berpendapat, rasa ketidakpuasan hati perlu disalurkan dengan cara yang sebaiknya. Agar jiwa kita tidak terganggu dengan rasa yang ada dalam hati, dan agar apa yang membuatkan kita tidak puashati itu boleh diperbaiki.

Kita tak puashati bila pasangan kita berbuat sesuatu yang tidak kita berkenan, luahkan. Kita tak puashati tengok rakan sekerja buat kerja dgn cara yang silap, luahkan. Kita tak berpuashati dengan servis yang diberikan oleh kedai yang kita bayar untuk servis itu, luahkan. Tak salah meluahkan ketidakpuasan hati, cuma dengan cara yang betul.

Sebab kalau kita tidak luahkan, benda itu tetap akan jadi macam itu. Pasangan kita akan tetap berbuat benda yg kita tak suka, rakan sekerja kita terus2an buat kerja silap, kedai akan terus2an bagi servis cincai2 pada kita. Cuma yang selalu jadi isu, bila ketidakpuasan hati tu diluahkan dengan cara yang silap. Ramai dari kita, termasuk abah pun, bila tidak puashati, sering menyalurkan rasa itu yang bercampur dengan nafsu amarah. Dan bila rasa tidakpuashati itu disalurkan dengan rasa marah, maka itu sudah jadi cerita lain. Dan dalam kes macam itu, abah fikir, lebih baik dipendamkan saja daripada diluahkan.

Untuk anda dan abah juga, semoga kita semua ini akan diberi kekuatan oleh Allah, dan kita berusaha mencari kekuatan itu - supaya luahan rasa tidak puashati kita pada orang lain, akan mampu memperbaiki keadaan untuk kebaikan kita bersama. Kita sematkan dalam hati, bahawa luahan itu bukan kerana kita marah, tetapi kerana kita ingin mereka membetulkan keadaan yang pada kita silap.

Bercerita tentang puashati ni, teringat pada kata rakan abah sewaktu di U dulu, katanya "Kita hidup ni jangan sesekali berpuashati. Namun kita harus bersyukur. Sebab bila kita berpuashati, maknanya, kita tidak akan nampak ruang untuk memperbaiki atau mempertingkatkan lagi perkara itu."

Sambung lagi nanti, abah nak gi bilik pantri jap, nak makan bubur sedap yang Ummi masak pagi tadi. Choww.

Thursday, May 24, 2007

Cerita tentang lelaki melayu...

Salam buat semua rakan2,

Lama abah tak mengepek kat sini. Hehe, bukan apa, agak sibuk sikit kebelakangan ini dengan kerja-kerja pejabat. Alhamdulillah, hari ni, lega sikit, sebab kerja dah banyak yang siap. Tapi dah nama lagi kerja, siap yang itu, yang baru pulak akan datang. Hehe, tapi takpe, janji hari ni abah tak la sibuk macam hari2 sebelum ini.

Gelihati baca satu surat dalam Utusan Malaysia yang meluahkan rasa hati seorang wanita tentang Lelaki Melayu Bermasalah. Tak tahu la apa nak kata. Pada abah, lelaki melayu bermasalah tu memang satu hal la kan, tapi penulis tu pun sebenarnya bermasalah juga. Tapi abah tak la nak fokus pada masalah sipenulis wanita tersebut. Cuma tang isu lelaki melayu bermasalah tu yang abah nak sembang sikit.

Bukan nak nafikan isu itu, tapi kalau dikatakan lelaki melayu bermasalah tu, agak tidak adil. Bukan sebab abah lelaki melayu, tidak. Kalau dikatakan lelaki india atau cina bermasalah pun, abah tetap akan kata tidak adil. Tidak adil sebab kita tidak sesenang itu boleh generalisasikan sesuatu isu dengan sesuatu kaum atau jantina.

Abah tahupun ramai lelaki melayu yang bermasalah, tetapi ramai juga lagi lelaki melayu yang tidak bermasalah.

Dan satu lagi, pada abah, kalau setakat nak tulis kat suratkhabar menceritakan tentang keburukan dan kepincangan sesuatu, hentikanlah. Orang yang membaca bukannya tak tahu pun tentang keburukan dan kepincangan yang terjadi, mereka lebih dari faham akan isu itu. Yang mereka nak baca, ialah apa yang boleh dibuat. Tindakan apa yang perlu diambil bagi mengatasi keburukan dan mencegah kepincangan supaya ianya tidak akan jadi lebih parah. Rakyat marhaen macam abah ni perlukan saranan-saranan dan idea-idea untuk dilaksanakan bagi menjamin orang2 kita diMalaysia ini tidak akan bermasalah.

Setakat nak kata ramai orang melayu ramai jadi penagih, mat rempit, etc. semua tu dah tak ada makna. Tulislah pula tentang apa yang perlu dibuat dan difikir. Asalkan ideanya 'wise and realistic', tulislah. Kalau idea itu takkan jadi dasar kerajaan pun tak apa, tapi itu yang nak dibaca. Penulisan2 mengutuk itu dan ini, mendedahkan itu dan ini perlulah dikurangkan. Sebab makcik2 kat kawasan2 Ulu pun dah tahu akan bahana masalah sosial remaja Malaysia sekarang. Tak perlu nak diberitakan lagi akan keburukan itu.

Oklah dulu, nak sambung kerja. InsyaAllah esok jumpa lagi.

Opsss, sikit lagi nak sambung. Hari Selasa hari tu, abah cuti. Dan seperti kebiasaan, kalau abah cuti, abah akan bawa Muizz makan tosai kat kedai mamak depan rumah tu. Hari tu, waktu abah ke kedai mamak itu, abah terdengar ada orang bercerita tentang AF5. Menarik jugalah bunyi ceritanya, sebab ada seorang tu tengah bercerita akan kehebatan Mila. Abah pun tolehlah nak tengok siapa yang dok bergebang tentang AF5 tu. Terkejut beruk sikit la abah, sebab yang bergebang tu, adalah 3 orang pakcik, yang mana salah seorangnya telah putih kesemua rambutnya. Aduhaiii, kalau datuk2 dan pakcik2 pun dok bersungguh-sungguh bercerita tentang Mila dan AF, abah tak tahulah apa yang orang2 muda dok gebangkan.

Wednesday, May 16, 2007

Cerita tentang cikgu...

Sebelum abah mulakan hari yang sibuk hari ni, abah nak ambil peluang yang ada pagi ni untuk mengucapkan Selamat Hari Guru pada semua guru2 dan pendidik, yang kebetulan terbaca blog abah ini. Muizz pun semalam minta Mi belikan 3 kuntum bunga untuk dia, katanya, nak bagi kat cikgu di tadika. Hehe, untung cikgu sekarang ya, budak tadika pun dah pandai bagi hadiah penghargaan kat cikgu. Zaman abah dulu, tak pernah terfikir pun nak bagi cikgu hadiah penghargaan. Yang ada, cuma ucapan terima kasih, kerana mengajar abah.

Dan dikesempatan pagi 16 Mei 2007 ini, abah nak ucapkan rasa terima kasih dan penghargaan abah pada semua cikgu2 zaman sekolah, matrikulasi, dan pensyarah2 di universiti yang telah mengajar dan mendidik abah hingga abah menjadi seperti abah sekarang. Alhamdulillah. Moga jasa dan sumbangan cikgu-cikgu semua akan tetap wujud dalam diri abah, dan abah perturunkan pada anak-anak bangsa yang lain pula, insyaAllah.

Untuk cikgu dan pendidik berikut:

Sekolah Kebangsaan Paka
Cikgu Nuaman
Cikgu Zaleha
Cikgu Zaifah
Cikgu Mohd Amin
Ustaz Abu Bakar
dll. [abah lupa nama yang lain]

Sekolah Menengah Paka
Cikgu Kamariah Ali
Cikgu Rashid
Cikgu Yazid Mohd Zawawi [Cikgu math yang tak pernah jemu ajar student sekolah kampung yang agak bengap, dan cikgu yg paling 'cool']
Cikgu Hussien
Cikgu Sharifah Nora [ckgu dari MRSM yang bongkak sikit pada awalnya, tapi bertukar menjadi cikgu kesayangan abah]
Cikgu Suhaimi
Cikgu Zakiah Salleh [yang kecik molek comel lote, ajar Fizik]
Cikgu Fatimah
Cikgu Rozlan [Cikgu English favourite abah, walaupun abah selalu ingkar arahan beliau]
Cikgu Mohd Amin [pernah pecah spek sebab kena tampar pelajar histeria]
Ustazah Dayang Ali [yang penuh sifat keibuan]
Ustaz Musa
Cikgu Omar [Cikgu kimia yang selalu cakap abah ada potensi jadi pencuci tandas di universiti]
Cikgu Sulong [yang kata abah pelajar pertama dia yang dapat 98% kertas BM untuk trial SPM sepanjang berbelas tahun dia mengajar. Ekeke, riak sekejap ek]
Cikgu Mat Zain Muda [cikgu biologi yang baik, tapi tegas]
dan sekian banyak cikgu lain yang abah dah lupa nama, tapi masih ingat rupa mereka.

Pusat Matrikulasi UUM
Cikgu Zanira Natrah Hj. Zakaria [yang abah suka sangat2..ekekeke]
Cikgu Ropisah Pin [cikgu Math yang garang, tapi baik hati]
Cikgu Zawiyah [cikgu IT yang boleh berlawak ngan student]
Cikgu Jeffri [cikgu Ekon yang sempoi]
Cikgu Mahathir [yang perli abah sebab fail Ujian 1 Akaun]
Cikgu Salina [ yang suruh abah ambik Accounting sebab katanya "abah ada potensi yang bagus dalam perakaunan] tapi abah degil, ambik IT jugak.
dan cikgu-cikgu lain lagi.

UUM dan UKM
Prof Madya Dr. Zulikha Jamaluddin [orang yg bertanggungjawab bawa minat abah ke Multimedia]
Dr. Engku Mohd Nazri [pensyarah Algebra dan Kalkulus yg sempoi, dan kebetulan abang kepada seorang geng baik abah]
PM Dr. Zurinah Suradi [abah cukup suka gaya dan teknik pengajarannya]
Pensyarah Pengantar Pemikiran yang abah lupa namanya, tapi takkan lupakan tugasan beliau, "Siapakah kita dimuka bumi Allah ini?"
En. Sabri
Dr. Shakirin
En. Aminuddin
En. Mohd Suki
Kakak-kakak Tutor yang baikhati
Prof Dr. Datin Halimah Badioze Zaman
Allahyarhamah PM Dr. Norhayati Abdul Mukti [penyelia projek sarjana abah]
dan segala macam lagi pensyarah yang baik2 dan garang2 yang abah jumpa sepanjang di universiti..

Untuk anda semua, individu2 yang sedikit sebanyak berjaya membentuk abah, terima kasih lagi sekali. Allah SWT sajalah yang mampu membalas jasa dan sumbangan kalian pada kemajuan anak bangsa.

Dan untuk kawan2 seperjuangan abah, Selamat Hari Pendidik untuk anda semua. Be a good teacher, tutor, lecturer, etc.

Oklah, abah nak sambung kerja. Esok abah akan terbang ke KK sekali lagi untuk 2-3 hari, ada kerja sikit. Walaupun penat dgn segala macam kerja dipejabat, namun abah tetap juga sanggup kesana, bukan utk diri abah sendiri, tapi untuk ramai orang yang berhubung dgn abah, yang memerlukan abah untuk terus berkorban. Cewahhh, macam bagus!!!

Monday, May 14, 2007

Entri khas buat Ummi...

Entri hari ni abah buat khas untuk isteri kesayangan abah. Sebabnya, hari ni ialah hari ulangtahun kelahiran Ummi. Selamat hari ulangtahun kelahiran untuk Mi. Semoga akan dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, dirahmati sentiasa, dan diberi kebahagiaan dunia dan akhirat oleh Allah SWT.

Friday, May 11, 2007

Cerita tentang lagu...

Hari ni tak ada apa yang nak diepek. Cuma nak berkongsi satu lagu yang dah lama abah cari, baru semalam abah ketemui. Lagu yang menjadi lagu wajib, andai abah terasa nak melalak dalam bilik air, sejak dari abah mula tahu lagu tu hinggalah sekarang. Hehehe. Itu cuma lagu sajalah, takde kaitan apa2 pun dengan hidup abah.

Kalau anda nak dengar, anda kena klik sini. Abah takleh nak letak dalam post ni, sebab malas nak godek2 skrip dia.

Cinta Berakhir - Shidee

Antara berjuta bintang dilangit

Engkaulah bintang hatiku
Kupilih dirimu antara beribu
Engkaulah syair jiwaku

Kuletak engkau dikolam rasa
Hilanglah segala duka
Tapi mengapa kau tidak setia
Kau pergi jauh dariku

Dimana puisi cintamu
Dimana bahasa kasihmu
Di kala semuanya kau lupa
Ingatan pun turut mencair
disalam terakhir...

Baru sekejap ni, abah dikhabarkan berita seorang bekas rakan pejabat telah meninggal akibat kanser kolon. Al-fatihah untuk arwah Zul. Kami tak rapat pun kerana berlainan jabatan, tapi abah masih ingat arwah sebab dia antara staf yang paling lembut percakapannya dengan orang lain, dan selalu membantu jika abah ada masalah dengan sistem di tempat kerja lama abah. Dan abah tak tahupun dia ada blog, yang buatkan abah rasa sayu bila baca. Apapun, semoga roh akan berada disamping roh2 mereka yang dikasihi Allah.

Thursday, May 10, 2007

Cerita tentang kahwin...

Terbaca satu artikel diBH hari ni, iaitu Konsep kasta kikis keikhlasan kenduri kahwin, agak lucu juga. Lucu bukan sebab isunya, tapi lucu sebab teringat kisah lama. Kang abah cerita kisah abah tu, sebelum tu nak mengepek sikit ttg isu hantaran terlalu tinggi.

Abah tahu ada orang setuju hantaran tinggi, ada yang tidak. Yang setuju selalunya sebelah perempuan la, dan yang tak setuju, sebelah lelaki. Masing-masing betul, sebab masing-masing punya alasan kukuh untuk setuju atau tidak setuju.

Kalau anda tanya abah, abah kata, "Hantaran hendaklah atas dasar tolak ansur dan permuafakatan kedua belah ahli keluarga, samada lelaki atau perempuan."

Yang penting bukan hantaran, tapi nikah, atau bersatunya dua manusia yang dipanggil anak-anak. Jika kedua-dua belah keluarga dapat bersepakat dan bertimbangrasa, abah fikir, isu hantaran tidaklah menjadi isu sangatpun. Cuma yang jadi isu, bila hantaran cuma berpihak pada satu belah sahaja, iaitu pihak perempuan. Bukan abah tidak pernah dengar isu keluarga perempuan tetapkan 'harga', dan bila di'tawar', tidak boleh langsung.

Abah tak tahu apa sebab jadi macam itu, tetapi abah fikir, keadaan macam itu berlaku atas sebab-sebab keduniaan, yang boleh diubah pun sebenarnya. Kos sara hidup tinggi, belanja kenduri tinggi, anak dara saya graduan, dia kerja besar, saya orang berkedudukan, dialah satu2nya anak dara saya, etc. etc. Senarai alasan tak akan habis, sebab banyak sangat. Tapi itulah, itu semua benda2 yang boleh dibincang dan ditolakansurkan.

Yang penting kebahagiaan anak-anak kita. Kalau hantaran RM20000 pun, tapi lepas kahwin anak menantu bertengkar sebab tak cukup duit, apa guna? Puas ke kita jika dapat tahu keluarga lelaki terpaksa bergolok bergadai nak memenuhi kehendak kita hanya semata-mata sebab anak lelakinya dah sangat sayang dengan anak dara kita? Adakah kita berbangga dapat buat majlis kahwin besar-besaran, dan dibelakangnya, duit hantaran itu menantu kita sebenarnya dapat dari pinjaman peribadi dengan bank?

Pada mak ayah seperti abah, harap-harap dapatlah berfikir dengan baik ttg isu2 macam ini. Apahal sekalipun, berbincanglah dan bertolakansurlah dikedua belah pihak. Kalau mampu, buatlah apa yang dirancang, kalau kurang mampu, jangan dibeban kehidupan orang lain, dan diri kita.

Tidak guna hantaran RM10000 dan kenduri kendara 3 hari 3 malam, kalau kasih sayang anak2 cuma bertahan sekejap saja. Yang penting bila anak2 nak kahwin, selidiklah keperibadian bakal menantu itu, jangan diselongkar sangat berapa harta yang dia ada. Jika menantu itu manusia yang baik, bertanggungjawab, patuh pada tuntutan agama, dan sangat sayang pada anak dara kita, nikahkanlah mereka, walaupun tidak berkenduri besar2an jika tidak mampu. Dipenghujung harinya, hanya kebahagiaan mereka yang kita hendak lihat.

Bercerita tentang kahwin ni, teringat cerita abang tukang gunting kat rumah abah waktu abah kekedai dia 2 hari lepas. Katanya, "Adik perempuan saya kahwin dengan seorang anak Datuk. Ingatkan nak pakat ramai2 la adik-beradik pergi bertandang kerumah pihak lelaki, tetapi bila Datuk itu siang-siang lagi cakap, "Hanya 20 orang saja boleh datang, dan tak boleh bawak budak-budak", terus mati niat kami nak pergi ramai-ramai."

Itu cuma satu kisah, dari sekian banyak kisah yang wujud bila cerita bab kahwin kenduri nih. Anda fikirkanlah sendiri apa pengajarannya.

Ini pulak kisah abah waktu malam akad nikah hampir 7 tahun dulu. Abah yang sememangnya cuma tahu akan kewujudan mas kahwin(mahar) dan wang hantaran, tanpa kaji selidik, telah bersetuju dengan keluarga untuk mengikut kebiasaan itu. Abah silap sebab tak tanya keluarga sebelah Ummi. Bila tiba waktu akad nikah, barulah abah tahu, rupa-rupanya diKelantan, tiada istilah wang hantaran, mereka cuma ada konsep mas kahwin sahaja. Jadi, katakan kita bawa hantaran RM8000, kiranya waktu akad tersebut, RM8000 la yang akan dilafazkan sebagai mas kahwin.

Dan alhamdulillah syukur pada Allah, kerana keluarga Ummi tidak tetapkan sebarang nilai untuk hantaran kami. Bila mak abah tanya, jawab pihak mereka, "Terpulanglah pada perbincangan mereka berdua(abah dan mi).". Syukur ya Allah atas nikmat perkahwinan, dan kelancaran proses perkahwinan kami berdua.

Oklah, nak kena mula buat kerja, kang tak siap lak kang kerja2 abah. Hehe.

Tuesday, May 08, 2007

Takde cerita...tentang Spidey

Nak lari sekejap dari mod pening yang sedang melanda. Haha, banyak benda yang memeningkan.

Berkenan la pulak tengok gambar Spiderman kecik ni. Dan memang tengah dok berangan2 nak bawak Ummi dan Muizz tengok Spidey-3 kat pawagam. Tadi cuba juga tempah tiket untuk esok, tapi dah penuh. Takpelah, hujung minggu nanti la kot pergi tengok, insyaAllah.

Monday, May 07, 2007

Cerita tentang diri...

Abah mula masuk ofis hari ni, setelah hampir sebulan tinggalkan meja abah ni. Masa masuk kerja rasa seronok pagi tadi, tapi bila dah bukak emel, aduhaiiii, terus rasa cam nak pengsan. Banyaknya kerja2 menanti. Masak la abah, 3-4 minggu akan datang ni, berlambak2 benda nak kena buat.

Tapi dalam sibuk2 pun, abah nak jugak mengepek skit kat blog yang dah seminggu abah tak jenguk ni. Takde cerita apapun, cuma nak bercerita tentang keadaan dan perkara yang berlaku sepanjang abah tak mengepek diblog.

Abah tiba diSemenanjung hari Ahad 29 April. Buah hati abah yg 2 orang itu jemput abah diKLIA. Hilang rasa rindu nampak muka Mi dan Ahmad waktu diKLIA. Dari sana, kami terus ke rumah bang long di Nilai. First time kerumah bang long, dapat la jumpa kak long ngan ahli keluarga bang long yang lain. Hehe, terima kasih bang long atas layanan dan masakan udang galah yang sedap itu. Ahmad pun asyik dok sebut nama Abg. Syahriel jek. Dia tanya abah bila nak kerumah bang long lagi. Hehe, nanti kalau ada masa, abah akan kerumah bang long lagi, boleh kan bang long?

Balik dari rumah bang long, abah terus keSungai Buloh, sebab masa dah agak petang. Nak hadiri kenduri kahwin jiran selang 2,3 buah rumah dari rumah abah. Hehe, tetamu yang paling dekat datang paling akhir. Orang dah siap mengemas dan tutup khemah, baru abah sampai. Hehe, tapi takpe, jiran tu tahu yg abah baru balik.

Hari Selasa, kami balik ke Kelantan. Dah lama tak jenguk mertua kat kampung. Alhamdulillah semuanya sihat, termasuklah anak buah abah yang paling baru, Naufal Afiq. Sampai je kat kampung, mak mertua abah tiba-tiba decide nak buat kenduri akikah hari Jumaat. Hehe, kalut jugalah, sebab keputusan buat tiba-tiba. Abah ingatkan nak berehat balik kampung, sekali kena la jugak menolong. Hari Jumaat tu, daripada bantu selesaikan 2 ekor kambing, hinggalah kepada mengemas balik kesemuanya, letih gak. Kul 11.30 malam pun ada tetamu lagi.

Dan semalam, kami bertolak balik ke KL. Biasa la kan, kalau dalam perjalanan jauh, ada la yg menariknya. Bukan apa, perbualan kami tiga beranak. Muizz sekarang ni tgh seronok membaca, sebab dia baru saja tahu membaca sikit-sikit. Hampir semua papan tanda yang dia nampak nak dibacanya. Ada satu ketika, dia suruh abah eja Honda. Abah pun ejalah. Kemudian dia suruh eja City. Abah eja lagi. Sekali dia kata "Abah, ada tak Honda City Nurhaliza?". Aduihhh mak. Mana pulak la dia tahu si Siti Nurhaliza tuh. Abah kata tak ada. Kemudian dia cakap ngan Umminya, dia kata, "Mi, kat sekolah ahmad ada orang nama Siti. Tapi bukan siti nurhaliza." Mi tanya, "Abis tu siti apa?". Tahu apa dia jawab? "Muhammad Siti!". Aduih la anak abah.

Masa berenti rehat di R&R Gua Musang pulak, abah makan maggi, dia pun. Siap boleh cakap lagi, nak makan maggi macam Mawi. Abah buat2 tanya la, "Mawi mana?". Katanya, "Mawi yang botak tu, yang makan maggi dalam TV". Hehehe, abang..abang. Kuat sungguh pengaruh TV.

Tapi yang paling menarik, dia dah mula bertanya tentang Allah, tentang syaitan dan hantu. Abah kena berhati-hati sikit la skrg ni dengan anak abah sorang ni. Takut abah tersilap terangkan pada dia. Yelah, bukan senang nak bagitahu kat anak 6 tahun ini dimana Allah! Kadang-kadang abah cuak juga bila dia sebut2 tentang mati, antaranya "Abah, lepas kita mati, kita hidup balik tak?". Sekarang ni dah mula terasa sulit sedikit nak mendidik anak kecik. Hehe, sulit bila berdepan dengan persoalan macam itu. Semalam juga, abah pasang lagu Hikmah kat dalam kereta. Alhamdulillah, dia boleh eja perkataan hikmah, walaupun sekali je abah sebut perkataan tu. Tapi yang tak tahannya, "Abah, hikmah tu apa?".

Sambung lagi esok, insyaAllah, telefon dah start berbunyi2 dah....

Saturday, April 28, 2007

Cerita tentang tipu dan jaga hati...

Hari tu dalam satu post abah bertajuk Cerita tentang cinta nan mekar, abah ada letak satu tips untuk menjadikan perhubungan kita dan pasangan akan senantiasa mekar. Tip tersebut, kalau anda ingat, ialah Berani untuk berbohong.

Dan hari ni abah nak mengepek sikit tentang isu berbohong ni. Bukan berbohong apa, bohong untuk menjaga hati. Kata abah, berbohonglah demi untuk menjaga hati dan perasaan pasangan. Contohnya kalau isteri tanya dia masak sedap ke tidak, kita katalah sedap, walaupun hakikatnya tidaklah sedap mana.

Tetapi dalam satu emel yang abah baca pada group SIM kegemaran abah, ada yang kata "tidak ada istilah bohong sunat" dan tidak wujud istilah "bohong yang perlu". Kenyataan sebegitu buat abah terfikir juga, kerana abah sangat tahu bahawa berbohong itu berdosa. Dan abah seperti anda semua juga, tidak ingin berbuat dosa pada Allah, nauzubillah, tidak mahu.

Tetapi pemikiran abah masih juga tetap tidak tenteram bila memikirkan "tiada bohong yg perlu". Abah tak maksudkan bohong yang teruk, yang abah fikirkan ialah bohong untuk menjaga hati orang, dan seterusnya menjaga perhubungan kita.

Abah ambil beberapa contoh yang abah rasa berbohong itu perlu, demi menjaga hati dan perhubungan kita dengan orang lain.

1. Kawan baik jemput makan dirumahnya. Selepas makan, tiba-tiba isteri kawan tadi tanya, "Camna masakan I?". Apa nak jawab? Adakah: "Emm, sedap" - sebab kita nak menjaga hati kawan dan isterinya, atau "Mmm, oklah, taklah sedap sangat" - sebab kita nak pegang pada prinsip "Tak baik berbohong."

2. Isteri beli sepasang baju tanpa pengetahuan kita. Bila balik rumah isteri tanya, "Cantik tak baju yang saya beli ni bang?". Apa nak kata bila mata kita kata baju tu tak cantik? Adakah: "Cantik." - sebab nak jaga perasaan isteri, atau "Tak cantiklah baju tu, merah sangat" - sebab kita pegang pada prinsip, berterus-terang itulah yang terbaik.

3. Kita balik dari kerja, anak yang baru reti melukis itu datang dan kata "Abah, cantik tak abang lukis kereta ni?". Dan bila kita tengok, hati kata, "Abenda yg dia lukis tu? Takde rupa kereta pun". Apa yang anda akan cakap pada anak, adakah: "Eh, eh, cantiklah anak abah ni lukis kereta." Ataupun kita kata, "Apa yang sayang lukis tu? Takde rupa kereta pun abah tengok".

4. Kita berjanji dengan kawan nak pergi kenduri kahwin dia nanti. Tetapi bila balik dan cakap pada isteri, dia kata tak nak pergi dengan alasan dia nak ajak kita pergi shopping pada hari tersebut. Apa kita nak cakap pada kawan? Adakah kita cerita yang betul sebab kenapa kita tak dapat pergi kenduri dia, atau kita cari alasan yang boleh diterima kawan tadi supaya dia tidak kecil hati?

5. Kita tengah baca suratkhabar tentang kes buang bayi. Kita kata kat suami, "Ini semua sebab kes mengandung sebelum kahwin la ni". Dan suami tiba2 berseloroh, "Yang, awak dulu sebelum kahwin, pernah ke terlanjur dengan orang lain?". Dan kebetulan pulak memang kita pernah terlanjur, tapi suami tak tahu. Adakah kita akan kata, "Ish abang ni, merepek je la." - sebab tak nak berlaku kekeruhan, ataupun kita mengaku , "Ya bang, saya memang pernah terlanjur sebelum kahwin dengan abang" - sebab kita tak nak membohongi suami.

Itulah antara situasi-situasi yang jika abah berdepan dengannya, abah akan memilih untuk berbohong. Bukan berbohong sebab abah nak mengelentong atau menipu orang, tidak. Tapi abah berbohong sebab abah nak jaga hati dan perasaan orang lain. Abah tak nak kawan abah kecik hati sebab kata masakan isteri dia tidak sedap, dan juga sebab tak pergi kenduri kawin dia hanya kerana nak pergi shopping. Abah tak nak anak abah yg baru seronok mengenal dunia melukis terbantut minatnya hanya kerana abah terlalu tulus dalam menyatakan kebenaran. Abah juga tak nak isteri abah buang baju dibelinya - yang padanya sangat cantik, semata2 kerana abah nak bersikap jujur dengan isteri.

Abah tak tahu anda bagaimana. Tapi abah akan memilih untuk berbohong. Dan kalau betul berdosa, moga Allah ampunkan dosa abah.

Bercakap tentang menjaga hati orang lain ni, abah sering juga berada dalam keadaan serba salah. Terutamanya bila terpaksa menjaga hati ramai orang dalam satu masa. Anda pun abah rasa mesti pernah berhadapan dengan situasi macam itu. Pernah berdepan dengan kes macam ini - Mak telefon suruh kita balik kampung, sedangkan kita dah janji nak bawa isteri balik ke kampung mertua. Hehe, apa nak buat? Kita tahu mak berharap kepulangan kita sekeluarga. Begitu juga ibu mertua yang sememangnya kita dah janji akan balik. Kalau boleh kedua2 hati mereka nak dijaga, tapi tidak boleh. Ada hati yang akan terluka, tapi itu sudah tak boleh nak elak. Cuma kena berhati-hati sajalah dalam menyatakan apa yang sepatutnya.

Macam sehari dua ni, abah cukup rasa resah. Kisahnya macam ini, abah ada tangkap 2,3 orang pelajar yang bawa masuk 'toyol' sewaktu peperiksaan. Dan memang sudah prosedurnya abah sebagai Ketua Pengawas perlu membuat laporan jika berlaku insiden macam itu. Pelajar2 itu selepas sesi peperiksaan datang berjumpa abah, merayu2 minta dimaafkan, dan tidak dilaporkan kepihak atasan. Serba salah dibuatnya, kena pulak merayu hingga bergenang air mata. Bukan abah tak kesian, abah sangat kesian. Abah jenis yang cepat kesian dengan orang. Kena pulak mereka itu semua berpangkat abang2 dan kakak2 dengan abah. Tapi abah terpaksa pegang pada prinsip abah. Dan abah sangat yakin mereka pasti kecewa dengan jawapan abah. Harap-harap mereka faham, dalam kes sebegini, abah tidak boleh sekadar menjaga hati mereka dengan tidak berlaku adil pada diri dan prinsip abah sendiri, dan juga pada janji abah pada majikan.

Selamat berhujung minggu untuk anda. Esok abah akan balik ke Sungai Buloh. Yabedabeduuuuuu. Tak sabarnya rasa nak berjumpa dua permata hati abah itu.

Thursday, April 26, 2007

Cerita tentang filem...

Semalam abah menonton dua filem. Haha, dua filem dalam satu malam. Filem pertama, Hotel Rwanda, abah muatturun dari Internet, dan filem kedua, Tornado, abah tonton dipawagam.

Abah sebenarnya dah lama nak tengok Hotel Rwanda, sejak abah tahu kewujudan cerita ini. Tapi sebab kerja dan terlupa, kebelakangan ni saja abah teringat untuk muatturun cerita tu. Dan sememangnya, abah tidak kecewa dengan cerita ini. Kisah benar yang berlaku saat kegentingan perang saudara di Rwanda antara puak Hutu dan Tutsi. Hampir sejuta manusia terkorban sepanjang 3 bulan persengketaan itu. Dan dalam cerita itu, banyak yang dipaparkan. Abah tak bercerita sangat tentang kisahnya, abah cuma nak komen dari segi apa yg abah nampak dari filem itu.

Terlalu banyak rasa dalam cerita itu, benci, dendam, kasih sayang, perikemanusiaan, iri hati, kekejaman, kehinaan, keegoan - semuanya ditunjukkan dalam cerita hampir 2 jam itu. Betapa hinanya satu bangsa pada bangsa yang lain seperti disatu babak,

COLONEL OLIVER: We think you are dirt, less than dirt, worthless.

PAUL: I don't understand.


COLONEL OLIVER: You're fucking black! You're not even a nigger, you're African! They're not staying to stop this thing. They're gonna fly right out of here with their people.


Kata2 itu digambarkan kepada nilai orang2 kulit hitam Rwanda kepada negara2 kuasa besar seperti US. Hina sungguh bunyinya, tapi itulah hakikat yang kita semua tahu.

Dan betapa filem itu mampu buat abah bergenang airmata banyak kali. Abah tidak boleh bayangkan andai abah berada diKigali pada ketika itu. Betapa yang lemah ketakutan, betapa yang berkuasa begitu rakus membunuh. Paul, seorang individu yang kelihatan agak 'selfish' seperti mana kita hari ini, bertukar menjadi seorang yang sangat membantu, walaupun pada banyak ketika, terpaksa merasuah orang2 tertentu, hanya atas alasan menyelamatkan ratusan manusia lain dari dibunuh. Abah tidak terkilan kalau rasuah dilakukan atas sebab kritikal sebegitu, tidak seperti yang berlaku ditanah tumpah kita ini - rasuah hanya untuk membesarkan perut sendiri sahaja.

Apapun, kalau ada masa, carilah dan tontonlah Hotel Rwanda ini. Pelajarilah erti kemanusiaan dalam cerita itu.

Filem Tornado pulak, hehe, sangat mengecewakan. Kalau anda belum tonton, dan rasa nak tonton, abah kata - lupakan saja niat anda. Tunggu sajalah VCD cetak rompak keluar kalau nak tengok, dan tak rugi pun kalau tak tengok.

Selamat bercuti untuk anda semua, sempena hari pertabalan YDP Agung yang baru. Abah sebagai anak terengganu jati, tumpang gembira juga atas pertabalan Sultan Mizan menjadi Agung. Moga akan terus menyumbang kepada kebaikan rakyat dan negara.

Dan bagi penduduk Sandakan, hari ini adalah hari mereka berduyun-duyun keluar mencari air. Dari bapa, ibu hinggalah anak2 kecil, membawa botol kosong bagi mencari air. Bekalan air sering terganggu dibandar kelahiran KM Sabah ini. Sangat menyedihkan sekali abah tengok. Seolah-olah abah berada dinegara miskin. Bukan menghina, tapi itu yg abah nampak. Pakat mandi ramai2 tepi jalan dengan air dari bukit, dan masing2 mencari sumber air untuk kegunaan harian. Teringat waktu air takde dikampus dulu, hingga menyumbang pada kematian seorang rakan matrikulasi abah.

Hingga jumpa lagi, insyaAllah.

Tuesday, April 24, 2007

Cerita tentang bertengkar...

Hari tu abah ada janji nak kongsikan dengan anda artikel yg abah baca berkaitan bagaimana nak bertengkar dengan pasangan kan. Maaf, hari ni baru sempat nak mengepek sikit.

Sapa la yang tak pernah bertengkar dengan pasangan kan? Nama lagi dua manusia yang berbeza. Hatta bila dah kahwin pun, kita masih dua manusia berbeza. Tidak kiralah betapa kita ni nampak secocok atau sesesuai manapun sebagai pasangan, akan ada perbezaannya. Dan oleh kerana perbezaan inilah, ditambah pula dengan faktor lain seperti emosi, maka akan pasti ada ketikanya kita akan bertengkar. Takkan ada rumahtangga yang aman damai seratus peratus. Ada ketikanya kita akan bermasam muka, marah, bertengkar dan sebagainya.

Kata pakar kaunseling rumahtangga, bertengkar antara pasangan adalah baik sebenarnya. Kerana dengan bertengkar, kita meluahkan perasaan kita kepada pasangan. Ia baik juga kerana dengan bertengkar la, pasangan akan lebih mengenali diri kita dengan lebih baik. Pasangan yang tidak bertengkar tidak bermakna mereka berpuashati dengan pasangan mereka. Tidak bertekak tak bermaksud setuju semuanya dgn apa yang berlaku. Mereka cuma pendamkan apa saja ketidakpuasan hati. Bagus dari satu segi, tapi tidak bagus juga dari segi yang lain.

Dengan pendamkan ketidakpuasan hati, pasangan kita mungkin tidak kecil hati atau marah. Tetapi untuk diri kita, perasaan marah yang tidak keluar itu pasti akan membuatkan kita mencari jalan alternatif menyalurkan perasaan ini keluar. Itu yg orang kata, marahkan suami, anak-anak jadi mangsa. Justeru itu, bertengkarlah, sebagai satu terapi untuk menyembuhkan luka dihati tatkala itu.

Tapi yang paling penting, kena bertengkar dengan cara yang betul. Bukan bertengkar yang makin memudaratkan keadaan. Jika anda bertengkar atau ingin bertengkar dengan pasangan, ingat ini:-

1) Bertengkar perkara yang pokok. Jangan perkara2 lain atau yang telah lepas diungkit dan ditengkarkan.

2) Jangan sekali-kali kaitkan pertengkaran dengan ibu bapa atau ahli keluarga pasangan. Ini kerana masalah anda tidak ada kaitan dengan mereka. Jika anda buat juga, pasti akan buatkan pasangan anda jadi benci pada anda. Jika ya ada kaitan dengan mereka, salurkan marah itu dengan cara yg baik. Ingat, anda kenal pasangan cuma beberapa tahun, pasangan anda kenal ibubapa dan ahli keluarganya dah bertahun2.

3) Jangan memanggil nama atau ber'aku' 'ngko' ketika bertengkar. Ini akan membuatkan rasa hormat pasangan pada anda akan berkurangan.

4) Jika perlu meninggi suara, lakukan. Asal saja jangan melampaui batas.

5) Ketika bertengkar, jangan melarikan diri, merajuk atau mendiamkan diri.

6) Setelah selesai keluarkan apa yg perlu diluahkan, dan masing2 sudah boleh terima dengan apa yang ditengkarkan, berdamailah. Peluklah pasangan anda untuk menyatakan bahawa anda sudah berdamai.

Itu cuma saranan dari artikel itulah. Apa yang elok, anda ambil. Dan ubahsuai la ikut keadaan semasa. Anda lebih mengenali pasangan anda. Ada sesetengah saranan tidak sesuai untuk sesetengah situasi. Yang penting, guna akal, guna budi. InsyaAllah, moga pertengkaran kita dan pasangan akan lebih membuatkan kasih sayang kita akan semakin kuat dan kukuh, yang pastinya akan membentuk anak2 yang pengasih dan penyayang, dan anak2 yang kuat emosi positifnya.

Jumpa lagi dalam epekan yang lain.

Hehe, ada 4 hari lagi abah berada di Sandakan ini. Tak sabar dah nak balik Sungai Buloh.

Sunday, April 22, 2007

Cerita tentang cinta nan mekar...

Sambil-sambil jaga exam pagi ni, abah sempat juga membelek-belek satu majalah yang abah pinjam dari rakan pejabat disini. Banyak artikel menarik dalam majalah tersebut, dan abah akan cuba kongsikan dengan anda, tapi dalam pemahaman dan ayat abah sendiri la kan.

Artikel pertama berkisar tentang bagaimana keadaan hubungan anda dan pasangan, terutamanya pasangan suami isteri. Ada beberapa perkara yang dibangkitkan untuk kita sama2 menilai akan kedudukan hubungan kita, serta dari situ, jika kita rasa aa yang tidak lengkap dalam hubungan kita, bolehlah diambil idea yang diberi itu sebagai satu kaedah untuk kita bangkitkan dan kekalkan rasa cinta kita pada pasangan. Untuk yg sudah berumahtangga, abah rasa anda pun tahu, yang rasa cinta itu ada masanya mekar, ada masanya layu. Sebab itu kena berusaha senantiasa untuk memastikan ia sentiasa mekar.

Antara beberapa perkara yang perlu kita semak:-
1) Keinginan kita untuk berbicara dengan pasangan sering ada.
Pasangan yg bahagia selalunya akan sering ada keinginan untuk bercakap2. Walaupun kadangkala, tidak ada topik khusus untuk dibualkan, tetapi dalam minda memang akan sering ada rasa nak berbual2. Tetapi ada ketikanya, kita akan terasa untuk duduk diam sorang diri, terutamanya waktu kita marah. Tak apalah macam itu, lelaki memang akan ada ketikanya nak bersendiri, tak mahu diganggu. Tapi kalau dah sepanjang masa tak nak diganggu isteri, tak betul la macam tu.

2) Kita selalu ingin berada bersama dengan pasangan.
Walau dimana kita berada, pasti akan ada ransangan untuk kita senantiasa berada bersama pasangan. Haha, yang ini terkena pada abah. Sebab abah jenis kalau ummi tak ikut, abah rela tak pergi ketempat yang abah nak pergi - kecuali dah terpaksa. Abah lebih selesa berada bersama-sama dengan Ummi, terutamanya jika diluar rumah.

3) Ungkapan kata-kata manis pada pasangan sering kita ucapkan.
Yang ini rasanya wajib buat pasangan manapun. Siapa yang tak suka kalau orang lain bercakap dengan kata-kata yang baik dan manis dengan diri dia. Cakap lembut, berhemah, mesra. Tapi kalau tgh nak marah tu kan, susah juga nak maniskan kata2 dan lembutkan suara. Sesekali takpe, jangan selalu.

4) Senantiasa memberi salam.
Ucapan salam itu mampu melahirkan kecintaan tanpa nafsu, kerana dengan memberi salam, kita telah membuatkan si isteri rasa si suami senantiasa mendoakan kesejahteraannya.

5) Sentiasa bertanya khabar.
Terutamanya jika berjauhan. Memang sangat perlu. Kadang kita tahupun isteri sihat, tapi tak salah tanya juga. Mungkin nampak remeh, tapi kalau dibuat, silap2 hari-hari isteri masak sedap-sedap untuk kita. Kan Mi? Hehe.

6) Saling mengucapkan terima kasih.
Kedua-dua kita ada peranan dan tugas harian untuk keluarga. Dan kerana tugas yang ada dan dilaksanakan itu, rajin2lah ucapkan terima kasih. Terima kasih pada isteri kerana memasak, kerana melayan kehendak kita, kerana jaga anak-anak dengan baik, dan paling penting, terima kasih kerana dia menyanyangi dan mengasihi diri kita sepenuh hati dia.

7) Bergurau senda sentiasa.
Abah kadang2 jeles tengok ada pasangan berumur yang selalu bergurau senda sesama mereka. Bahagis sungguh nampak pasangan yg macam itu. Hehe, abah pun nak kena tiru jugalah. Sekarang ni dah boleh la bergurau melawak ngan Mi skit2. Walaupun Mi sesekali terkeluar "Abang bodoh!", tapi abah tak kisah, sebab abah tahu mi suka dengan gurau lawak abah itu. Betul tak mi?

8) Beri sanjungan dan pujian ikhlas.
siapa yang tak suka dipuji. Baik suami, baik isteri, baik anak-anak, semuanya suka jika disanjung dan dipuji. Tapi dalam memuji, berpada-padalah. Jangan puji yang tidak realistik. Pujilah walau sedikit, tetapi kerap, walaupun atas perkara yang kecil. Isteri pakai baju cantik, isteri masak sedap, isteri kemaskan rumah, isteri basuh dan gosok baju kita. Itu semua ruang untuk kita beri pujian, walaupun mereka tidak mengharapkannya. Memang la depa tak harap pujian, tapi kalau dipuji, kembang semangkuk jugalah agaknya.

9) Memanjakan pasangan.
Inipun antara yang boleh menambahkan rasa sayang pasangan juga kalau dibuat. Bukan manjakan apapun, tapi kalau isteri selalu memasak utk kita, apa kata sesekali ajak dia pergi makan kat luar, tempat yg best sikit. Atau tak pun, panggil isteri dengan nama manja yang dia suka. Ataupun kalau isteri penat buat kerja rumah, tawarkan diri untuk urut isteri ke. Hehe, abah cakap je ni, abah pun liat juga sebenarnya nak buat macam itu.

10) Berani berbohong demi menjaga perasaan pasangan.
Ini bukan bohong apalah, tapi berbohong yang tidak memudaratkan. Tak salah kata isteri masak sedap, walaupun tak berapa sedap sebenarnya. Begitu juga jika ada benda yang isteri tidak sepatutnya tahu, tak salah berbohong. Sebab kalau terlalu telus dan tulus yang akan melukai hati isteri, simpanlah dalam diri sendiri, atau berbohonglah seadanya.

Itu sajalah dulu hari ni. Nanti abah kongsi artikel berkaitan bagaimana untuk bertengkar dengan pasangan. Hehe, bagus juga artikel tu. InsyaAllah, esok abah kongsi dengan anda.

Friday, April 20, 2007

Cerita tentang periksa...

Dua hari lepas, sewaktu abah mengawasi peperiksaan, abah berdepan dengan sekumpulan pelajar yang suka 'berkomunikasi' sesama mereka. Sepanjang abah mengawasi peperiksaan, inilah pertama kali abah berjumpa dengan sekumpulan pelajar yg macam itu. Selalunya antara 2 orang sahaja berkomunikasi, ini tidak. Ada dalam 7 orang yang berbuat macam itu.

Nak tak nak, terpaksalah abah berdiri depan mereka semua itu, bagi mengelakkan mereka 'berkomunikasi". Alhamdulillah, berkesan juga kaedah yang abah buat tu.

Ada seorang pelajar siap tulis besar2 atas kertas, dan mengangkat tinggi2 supaya kawan sebelah boleh baca. Abah ada dibelakang dia masa tu, tapi abah cuma tengok je apa dia buat. Tahu dia tulis apa? Dia tulis "Soalan no. 2 tu aku ikut logik saja". Hehe. Nasib baik dia tulis macam itu, kalau dia tulis jawapan, tak pasal2 abah kena rampas kertas tu. Aduihhhh.

Yang abah kesalkan adalah kerana mereka ini semuanya cikgu-cikgu sekolah. Abah sangat yakin yang disekolah, merekalah orang yang mengajar budak2 sekolah supaya tidak meniru sewaktu peperiksaan. Tetapi bila mereka sendiri yang menduduki peperiksaan, mereka pulak yang 'cakap tak serupa bikin'. Agak memalukan sebenarnya abah nak menerima hakikat macam itu.

Bercakap ttg berkomunikasi dan meniru sewaktu peperiksaan ni, abah rasa ianya satu perkara yang biasa dimana-mana pun. Cuma tahap saja yang berbeza. Ada yang bawa masuk nota dalam dewan exam, ada yang main pass kertas jawapan, ada yang menjeling2 jawapan kawan, etc. Abah pun tak tahu sebenarnya kenapa jadi macam itu. Sebab kalau ditangkap meniru, macam2 alasan yang kurang logik yang diterima. Tak cukup masa belajarlah, sehari sebelum exam demamlah, dan macam2 lagi. Aduihhhh, apalah nak jadi.

Tapi kan, abah dulu waktu SPM pun pernah buat macam itu. Siap pass-pass kertas jawapan lagi tu. Tapi abah pass sebab kesiankan kawan2 yang dah dok jeling2 pandang2 kat abah ala-ala Tan Sri S.M. Salim jeling Datuk(ke Dato' ?)Siti Nurhaliza. Dan abah berkongsi kertas jawapan pun sebab abah yakin dengan jawapan abah. Tapi itu pun untuk kertas Pengetahuan Agama Islam sajalah. Kertas lain abah tak berani sebab abah tak yakin dgn jawapan abah. Lucu juga bila diingatkan gelagat kami meniru sewaktu SPM dulu. Tapi syukur pada Allah, ketua pengawas waktu itu tidak terlalu 'strict' walaupun abah tahu dia nampak kami passing kertas jawapan. Hehe. Agaknya kalau tertangkap waktu dulu, abah pun mungkin takkan dapat jejakkan kaki ke universiti.

Oklah dulu setakat ni, abah nak kena jaga peperiksaan sesi petang pulak sekejap lagi, harap2 kali ni, takdelah lagi yang meniru2.

Selamat berhujung minggu untuk anda semua.

Monday, April 16, 2007

Cerita tentang kerja...

Abah baru saja bercakap dalam telefon dengan buah hati abah di Sungai Buloh sana. Ceria saja suaranya. Alhamdulillah. Walaupun abah tak dapat tengok, tapi abah yakin Muizz sihat dan ceria, seperti dia yang selalunya. Asyik dia dok bercerita tentang ayam masak kicap kesukaannya. Abang..abang. Saat abah kesunyian dibilik hotel ini, suara ceria abang buat rindu abah terubat. Begitu juga dengan Ummi, abah boleh dengar suara ummi yang kesedihan, hehe, kesedihan sebab tengok cerita Qabil Kusyri Qabil Igam. Aduiiii. Sabar mi, cerita je tu, hanya lakonan semata-mata.

Maaf la mukadimah hari ni, bercerita tentang insan2 kesayangan abah dulu. Abah nak mengepek benda lain sebenarnya.

Tadi waktu tengahari, abah ke masjid berhampiran tempat kerja abah untuk solat jumaat. Abah tertarik dengan khutbah tengahari tadi, dan abah nak kongsi sikit dengan anda semua, rakan2 yang tak pernah jemu baca epekan abah ini.

Khutbah tadi intipatinya ringan sahaja, tapi mampu buat abah sedar sedikit. Khutbah tentang kerja. Kerja yang kita buat sehari2. Baik kerja rasmi atau kerja-kerja tidak rasmi. Kerja yang setiap satunya adalah satu ibadah, asal saja ianya kerja yang diredhai Allah.

Bukan tidak pernah dengar tentang ungkapan 'kerja itu satu ibadah', tapi abah seringkali lupa akan kebenaran hakikat itu. Abah bekerja saban hari hanya atas sekadar buat kerja. Kalau ditanya pun, jawapannya akan hanya berlegar sekitar kerja itu sumber pendapatan, sumber rezeki untuk terus hidup. Abah lupa yang kerja itu ibadah.

Anda mungkin tidak lupa macam abah, alhamdulillah.Tapi kalau anda lupa macam abah juga, sama-samalah kita sentiasa peringatkan diri kita akan kerja itu satu ibadah kita pada Allah.

Tapi bukan sekadar ingat sajalah. Bila dah ingat tu, kena la amalkan yang sebaiknya. Maksud abah, bila bekerja tu, kerjalah dengan sebaiknya. kerja dengan rajin, dengan jujur, dengan ikhlas. Bukan sekadar kerja untuk RMxxxx sebulan, bukan kerja untuk dipuji bos atau rakan2, bukan bekerja untuk merasa gah dengan kerja, bukan juga kerja sekadar kerja semata.

Menurut khatib tadi juga, bekerja seperti juga ibadah lain, akan senantiasa ada dugaan dan ujian. Dimarah bos, gaji tak naik, 'claim' kena potong, bonus sikit, 'appraisal' tak seperti yg kita harap, konflik dengan rakan sekerja, etc. Tapi jangan sekali-kali dugaan itu kita terima dengan cara yang negatif. Dugaan itu semua sebenarnya memerlukan kita melihat semula akan kerja yang kita buat. Ikhlaskah kita buat, jujurkah kita buat, sempurnakah kerjanya - semua itu perlu dilihat semula. Jika perlu diperbetulkan, perbetulkanlah.

Abah tak nak mengepek panjang-panjang. Abah nak kita sama-sama fikir, dan sama-sama muhasabah diri. Sekian lama kita bekerja, betulkah kerja yg kita buat selama ini ibadah? Atau ada kemungkinankah ibadah kerja itu telah kita cemari dengan perkara-perkara salah. Abah fikir, kalau setiap satu dari kita senantiasa niatkan kerja kita buat itu sebagai satu ibadah, dan mengingati bahawa Allah senantiasa melihat apa yang kita lakukan - sudah pasti kita akan buat yang terbaik. Akan kita elakkan unsur-unsur dosa berlaku sewaktu kita bekerja. Pasti takkan ada kes tipu 'claim', tipu waktu bekerja, rasuah, membuang masa hingga kerja tak siap, guna kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi, etc.

P/S: Terlanjur cakap pasal kerja sebagai ibadah ini, teringat abah sewaktu ke Pejabat JPN di Kota Damansara minggu lepas. Abah kesana untuk buat MyKad sebab MyKad abah 'hilang'. Bagus sungguh layanan dari kakitangan JPN disana. Dengan wajah manis, dan tuturkata yang baik buat abah bangga dengan mereka itu. Semoga Allah memberikan mereka ganjaran yang sebaiknya, insyaAllah.

602, Hotel Sandakan
13 April 07 @ 8.05pm

Saturday, April 14, 2007

Cerita tentang nyawa...

Semalam(Khamis), sewaktu abah baca akhbar The Borneo Post, abah jadi sedih menatap satu berita. Berita tentang seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang membunuh diri dengan menggantung dirinya sendiri.

Kata ibu kepada Donny John Duin, "Dia sentiasa memberitahu saya yang dia mahu menyelamatkan saya...dia beritahu saya sewaktu dia masih hidup. Saya tidak pernah terfikir yang dia akan betul-betul membuatnya."

Kenapa Donny sanggup gantung dirinya sendiri? Kerana dia percaya jika dia mati, jantungnya dapat diberikan kepada ibunya yang menghidap talassaemia dan lemah jantung.

Dia pernah mencuba untuk membunuh diri sebelum ini, tetapi gagal. Alasannya waktu itu, dia ingin mengurangkan beban ibunya yang miskin. Dengan kematian dia, dia harap ibunya tidak perlu lagi menanggung dirinya. Ayah Donni ada dipenjara.

Abah tak nak lihat isu ini kepada betul atau tidak Donny bunuh diri. Abah juga tidak mahu pandang dari sudut dosa, kerana Donny adalah bukan Islam. Kalau dia Islam sekalipun, abah tidak mahu membicarakan bab dosa perbuatan itu.

Abah cuma nak pandang dari sudut kenapa dia boleh buat begitu. Abah tidak tahu apa alasan sebenar dia buat begitu, tapi abah rasa, satu sebabnya, Donny buat begitu kerana dia sayangkan ibunya. Kekecewaanlah yang selalunya jadi sebab kenapa orang bunuh diri. Tapi untuk anak semuda ini, abah terkilan. Kalau betul kerana kasihkan ibu, amat malang sekali bagi dia. Kalau betul dia percaya yang kalau dia mati, jantungnya boleh diberi kepada ibunya itupun, itu lebih malang lagi. Hanya kerana kasih, dan kepercayaan yang silap, dia gantung diri.

Apa yg boleh kita pelajari dari berita Donny ini? Belajarlah untuk merapati anak-anak. Sematkan ilmu agama sebaiknya dalam jiwa mereka. Hormatilah perasaan mereka. Hargailah diri mereka. Didik mereka menjadi sabar. Asuh mereka supaya cekal. Ajar mereka supaya mencintai Allah, keluarga, diri sendiri, dan orang-orang disekitar mereka.

Perkara sebegini boleh terjadi dalam keluarga kita, nauzubillah. Jangan kata ia mustahil.

Berusahalah yang terbaik dalam membesarkan anak-anak. Berdoalah dengan Allah supaya diri mereka akan senantiasa dilindungi. Abah ada anak, anda pun ada anak, atau mungkin akan ada anak. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa pada Allah. Moga generasi anak-anak kita adalah generasi yang teguh imannya, tinggi akhlaknya, cemerlang pekertinya, baik budinya serta terpuji amalannya. Anak-anak yang bukan sekadar membahagiakan kita didunia, tapi anak-anak yang mampu membantu kita dialam barzakh dan akhirat kelak, insyaAllah.

Wednesday, April 11, 2007

Cerita tentang diri, pada ketika ini...

Dah banyak hari abah nak mengepek disini, tapi masa seringkali tidak beri abah keizinan untuk mengepek (alasan lapuk). Abah berada di Negeri dibawah bayu sejak hari sabtu yang lalu. Akan terus berada didaerah Sandakan ini sehingga penghujung April.

Datang ke Sandakan untuk kali yang entah keempat ini, tidak banyak yang mengujakan abah. Namun begitu, ada angin perubahan yang abah rasakan pada kedatangan abah kali ini. Perubahan dari segi pembangunan. Ya, Sandakan memang telah banyak membangun berbanding kali pertama abah kenali ia 2005 yang lalu. Pasar basah yang makin tersusun dan bersih dan kehadiran 'gergasi' runcit disini, abah rasa gembira utk pihak orang Sandakan.

Abah tidak kemana-mana lagi setakat hari ini, kerana hampir saban hari bekerja, balik hotel pun dah lewat petang (kat sini pukul 6.30 pun dah gelap). Duduk dibilik sajalah abah tiap2 malam, sambil menonton TV dan menyiapkan kerja2 yang masih belum sempurna, serta menelefon dua orang buah hati kesayangan abah di SB, yang sangat-sangat abah rindui kala ini. Ececece, jiwang sokmo abah ni!

Oklah, tidak ada apa2 isi pun nak diepek petang ini, sekadar nak memaklumkan akan koordinat abah waktu ini yang mungkin akan kurang berblog. Malam nanti, insyaAllah, abah nak ke pawagam bersama Irman, nak tonton "Jangan Pandang Belakang", yang mana abah baca banyak 'review' positif tentangnya. Harap-harap dalam cerita tu takde la hantu yang kata, "Apa pandang-pandang belakang, tak puashati ke?". Hehe.

Wednesday, April 04, 2007

Cerita tentang gambar...

Apa yang terlintas difikiran anda bila lihat gambar diatas ini? Kemungkinan besar, "Cantiknya gambar".

Apapun yang terlintas, abah fikir banyaknya berkisar tentang 'rupa' gambar tersebut. Anda salah? Tidak. Tapi itulah manusia. Persepsi kita mungkin sama, mungkin berbeza.

Ada orang melihat gambar, sekadar gambar. Ada yang mengagumi, ada yang tidak rasa apa-apa. Ada yang fokus pada langit, ada yang fokus pada awan, tak kurang yang tertarik pada pokok, dan kebanyakan kita, melihat secara keseluruhannya. Ada yang kata cantik, ada yang kata tidak. Normal sebenarnya, kerana manusia dan pemikirannya pelbagai, satu lagi keunikan ciptaan Allah ini.

Berbalik pada gambar diatas tadi, andaikan anda bukan mata yang memandang, tapi andalah pokok itu. Apa yang ada difikiran anda bila anda gambarkan diri anda pokok itu?

Hehe, apa yg abah merepek ni? Takde apa pun, sekadar teringatkan seorang adik yang tidak berapa lama dulu mengadu bahawa dia seperti pokok didalam gambar itu - bersendiri dan kesunyian. Abah cuba juga letakkan diri abah sebagai pokok itu, tapi abah gagal, kerana pada ketika dan saat ini, abah bukan pokok itu. Alhamdulillah, syukur pada Allah, tuhan pencipta alam.

Tuesday, April 03, 2007

Cerita tentang tudung dan seksi...

Semalam abah tak masuk kerja, demam. Muizz pun demam. Semalam kerja abah keluar masuk klinik sajalah. Pagi abah ke klinik, lepas tu, abah berkejar ke Kelana Jaya untuk bawak Muizz ke klinik doktor kesukaan dia. Nak buat macamana, Muizz cuma sesuai dengan Dr. Cheng dan ubat2annya saja. Dah banyak klinik abah cuba, kat Dr. Cheng juga yang dia sesuai. Alhamdulillah, hari ni abah dah sihat sikit, cuma Muizz je masih demam lagi.

Abah nak bercerita tentang satu emel yang abah terima di grup SIM abah. Emel tu bertajuk - Wanita bertudung lebih seksi. Hehe. Mungkin untuk orang bertudung, pelik dengar tajuk macam itu, tapi untuk orang lelaki macam abah, tajuk itu ada betulnya. Betul bukan sebab orang bertudung itu seksi, tapi betul sebab, dia bertudung, tapi bahagian lain masih tetap terdedah, dan itulah yang dimaksudkan dengan seksi.

Bertudung litup, tapi masih pakai baju kebaya ketat yang menampakkan susuk badan, tak seksi ke? Pakai tudung, tapi kainnya masih setakat bawah sikit je pada lutut. Ataupun, bertudung, tapi leher yang putih itu masih juga tertayang kemulusannya(macam yang Ogy selalu pakai). Itulah maksud abah dengan bertudung tapi lebih seksi dari yang tak bertudung. Pernah jumpa orang yang bertudung, tapi rambut berceracak keluar dari tudung. Kes yg itu pada abah tak seksi la kan, seksa. Maaf cakap!

Awat buleh jadi lagu tu? Sebabnya mudah sahaja. Kerana wanita-wanita ini cuma mahu bertudung, tapi tidak mahu menutup aurat. Ada yang sudah tahu, ada juga yang tidak tahu. Yang abah kesian, adalah yang tidak tahu. Ramai lagi wanita yang abah fikir, mereka rasa bertudung itu sudah memadai untuk menutup aurat seperti yang Islam kehendaki. Mereka tidak tahu pun yang menutup aurat itu sebenarnya lebih dari sekadar menutup rambut.

Untuk yang tahu akan apa makna tutup aurat, abah kesian juga. Kesian sebab, dah tahu, tapi tak nak buat. Kerana apa, kerana nafsu lebih kuat dari tuntutan Islam. Bukan orang lainpun, abah pun sama. Kita manusia, memang selalu lebihkan nafsu diri dari memenuhi tuntutan agama. Orang dok azan, kita tetap tak nak berganjak dari depan TV, hanya kerana sayang dengan cerita yang tengah best ditayang. Siapa la tu ek, abah la tu! Ya Allah, lemahnya iman abah.

Oklah tak nak merepek lagi tentang aurat wanita. Cuma abah fikir, kalau muslimah kita semua bertudung dan menutup aurat, itu adalah lebih baik. Bertudung itu memang dituntut, tapi yang lebih dituntut ialah mentutup aurat dengan sempurna. Kalau rasa tak tahu, dan nak tahu, apa maksud menutup aurat dengan sempurna, baca Menutup aurat bukan diskriminasi wanita. Dan kalau nak baca penulisan yg lebih baik kupasannya, baca Nilai Tudung Wanita.

Abah ni mengepek bab aurat, terlupa la pulak, lelaki pun kena tutup aurat juga. Walaupun tidak sesukar wanita menutup aurat, tapi masih ramai juga yang memandang remeh akan keperluan itu. Itu setakat yang abah lihat di mana-mana tempat abah pergi. Sekarang ini pun macam dah jadi satu trend orang lelaki memakai seluar pendek paras lutut. Kalau dulu, nampak macam lekeh, tapi sekarang ni, dah jadi satu fesyen kegemaran pulak nampaknya.

Oklah dulu, abah nak kena siapkan banyak kerja. Kita jumpa lagi nanti, insyaAllah.

Thursday, March 29, 2007

Cerita tentang hidayah...

Abah sebenarnya nak mengepek tentang isu eksekutif muda muflis, tetapi bila terbaca akhbar BH hari ni, abah tertarik dengan satu artikel berkenaan dengan salah seorang personaliti TV yang abah minati - Raja Mazian Raja Mohamed.

Abah tertarik dengan perenggan pertama artikel tersebut berbunyi: “Siapa anda untuk bercakap mengenai agama?” Itulah mesej pesanan ringkas (SMS) yang diterima penerbit dan pengacara program Al-Hidayah, Raja Mazian Raja Mohamed, ketika mula meneraju program berkenaan tujuh tahun lalu."

Abah tidak pelik kalau RM mendapat SMS sebegitu, kerana abah secara peribadinya pernah berjumpa beliau di R&R Rawang, kalau tak silap abah, 8 atau 9 tahun yang lalu. Dan RM waktu itu, bukanlah personaliti TV yang abah minat. Tengok gaya berpakaian dan perwatakan, tidak pelik kalau nama beliau tidak pernah menarik minat abah. Dan abah fikir orang yang hantar SMS itu, pun mungkin sebab dia masih mengingati RM yang dahulu.

Tetapi pada abah, hidayah mencari Allah boleh hadir dalam jiwa sesiapa sahaja, pada bila-bila masa, dengan kehendakNya. Abah percaya, RM telah mendapat hidayahnya. Seperti juga personaliti 'glamour' yang lain. Dan adalah sangat tidak adil jika kita menghukum mereka berdasarkan diri mereka yang kita kenal satu ketika dahulu. Siapa sangka Noorkumalasari akan jadi seperti sekarang. Ustaz Akil Hayy, Mel, Kartina Aziz, dan beberapa nama lagi, siapa pernah menyangka depa akan jadi seperti sekarang.

Tapi itulah besarnya kuasa Allah. Alhamdulillah, abah bersyukur kerana mereka jadi spt mereka sekarang. Dan kalau ada yang cuba juga menilai berdasarkan apa yg mereka pernah jadi dulu, adalah sangat tidak adil. Manusia mana yg tidak pernah buat silap. Terima sajalah mereka yang dahulu itu sebagai kesilapan mereka.

Dan bercakap tentang hidayah pada orang2 terkenal ini, abah nak ambil satu video dari laman web turntoislam. Anda tontonlah video ini, dan dengarlah apa yang dikata. Maha Suci Allah, betapa sucinya nur Islam. Betapa luhurnya agama Allah ini. Saudara2 baru seperti Iman(Monica) dalam video itu saja yang boleh gambarkan keadaan itu. Kita yang Islam sejak bayi ini, abah fikir agak susah untuk menceritakan keadaan itu.





Memetik kata Iman, yang abah terjemahkan: "Umat Islam yang ada tidak menunjukkan kehebatan agamanya. Muslimah yang bertudung pun tidak nampak menariknya, mungkin kerana bertudung itu adalah amalan sejak kecil, bukan bertudung atas kesedaran agama yang tinggi. Yang muslimin pun sama, tiada bezanya dengan lelaki agama lain. Tidak nampak apa kelebihan mereka beragama Islam berbanding orang agama lain."

Dan waktu dia berkata begitu, abah terfikirkan diri abah dan orang2 sekitar abah. Betul juga apa yang dikata. Kita adalah orang Islam yang tidak menampakkan kehebatan agama Islam pada penganut agama lain. Agama yang sangat syumul ini, tidak kita tunjukkan dalam diri kita.

Dan kerana itu, kita tidak membantu menarik orang agama lain untuk mendekati Islam, untuk lebih mengenali apa Islam ini.

Bercerita tentang menarik orang kepada Islam ini, teringat kata-kata Sdr. Ridhuan Tee dalam satu artikel [terima kasih Pak Ngah] di Utusan, kata beliau: "Sebenarnya bilangan orang yang masuk Islam jumlahnya terlampau sedikit dalam tempoh 50 tahun negara merdeka. Kenapa? Inilah yang perlu difikirkan oleh pihak berkuasa sedangkan ditempat lain agama Islam begitu cepat berkembang. Jawapannya, sebab kita tidak serius dalam kerja dakwah dan memberi kefahaman Islam selain menjana saudara baru yang berkualiti."

Abah mengepek ni utk abah. Dan untuk sesiapa yang sudi nak tujukan apa yang abah sebut ni pada diri sendiri.

Ya Allah, berilah kami kekuatan. Kekuatan untuk memiliki sifat2 keislaman sejati. Kekuatan untuk senantiasa menyanjungiMu ya Allah. Dan ya Allah, bukakanlah pintu hati mereka yang lain. Engkau limpahkanlah hidayahMu pada kami, dan pada mereka yang lain disekitar kami ini juga ya Allah. Sesungguhnya, Engkaulah Tuhan sekalian alam.

Wednesday, March 28, 2007

Cerita tentang persepsi...

Petang semalam, waktu sedang menunggu giliran kami untuk berjumpa doktor, Mi ada buat satu 'sign' guna tangan, seperti gambar dibawah.

Ummi tanya abah, "Abah, apa ni?"

Abah kata, "A heart shape."

Abah tanya Ummi pulak, "Mi?"

Ummi kata, "It's love."

Lihatlah, berbezanya persepsi dua manusia bernama lelaki dan perempuan dalam menafsir sesuatu yang dilihat dek pandangan mata. Namun itu bukan alasan untuk tidak memahami, sebaliknya ia adalah alasan untuk kita saling mendekati, mengetahui dan memahami keunikan setiap satu dari kita, makhluk yang cukup cantik dijadikan Allah SWT.

Tuesday, March 27, 2007

Bacaan Ahmed Saud - Doa



Panjang doanya, sepanjang harapan dan permintaan hatinya pada Rabbul Jalil...

Cerita tentang agenda...

Terkejut abah kejap ni tadi bila Su bagitahu blog abah menceritakan tentang Bible. Nauzubillahiminzalik.

Semak punya semak, rupanya ada orang memang buat web Bible yang menggunakan alamat lebih kurang sama dengan alamat blogspot, cuma ditukar sikit saja, iaitu dari blogspot jadi blogpsot.

Untuk rakan-rakan blogger abah yang guna blogspot, berhati-hatilah dengan agenda manusia2 semacam itu. Abah rasa ramai blogger blogspot yang kena macam itu.

Kalau nak baca tentang kes 'cybersquat' ini, klik sini.

Monday, March 26, 2007

Cerita tentang mimpi...

Abah dok menyemak2 tugasan pelajar ni, tapi sebab naik boring dok baca tugasan depa, yang kebanyakannya 'cut and paste' dari Internet je, abah nak melayan la ngepek kat blog ni sat.

Takde kisah apapun. Hari sabtu hari tu, abah dok mendengar Muizz bercerita tentang kisah mimpi dia. Abah yang mula tanya dia, "Abang mimpi apa malam tadi?". Abah tanya tu sebab, malam tu dia ketawa waktu tidur.

Dia pun seperti biasalah bila ditanya, ada je idea nak bercerita. Al-kisah ceritanya. Dia dok bermimpi tentang bagaimana dia terpaksa lari kerana dikejar seekor raksasa. Lari punya lari, entah macam mana, tiba-tiba raksasa tu berjaya tangkap kaki dia. Dia pun takut la. Lepas tu, tiba-tiba Ultraman datang. Ultraman pun bergaduh la dengan raksasa yang tangkap kaki Muizz tu. Ultraman berjaya matikan raksasa tu. Itu yang Muizz seronok sangat tu.

Bila abah tanya, "Abah takde ke masa raksasa tangkap kaki Ahmad?". Katanya, "Abah ada. Abah la yang jadi Ultraman masa raksasa tu tangkap kaki ahmad." Hehehehe, aduih. Abang, abang. Sekian banyak mimpi, Ultraman dan raksasa juga yang dimimpikannya. Tapi itulah, nama lagi budak-budak.

Kang kalau bapak budak mimpi jadi Ultraman, lain lak pulak nanti ceritanya.

Abah tumpang seronok jugalah bila dia ceritakan tentang mimpi dia. Ingat nak bercerita tentang mimpi abah kat dia juga, tapi tak boleh lah, bahaya. Ekekekeke, mimpi apalah tu ek?

Oklah, abah nak sambung menghadap tugasan student abah ni dulu.



Thursday, March 22, 2007

Cerita tentang masa...

Salam penuh kerahmatan pada rakan2 pembaca blog abah hari ni. Moga anda semua tetap dalam lindungan dan kasih sayang Allah s.w.t.

Nak mengepek sikit hari ni. Hehe, 'intro' sikit punya baik, nak mengepek juga ke abah?? Aduihhhh.

Bukan nak mengepek apa pun, cuma nak mengepek tentang kisah manusia dan masa. Rasanya tak payahlah abah buktikan akan kepentingan masa dalam hidup kita semua. Semua orang tahu itu. Dalam kitab suci Allah, Al-Quran itupun, begitu banyak ayat yang menekankan tentang kepentingan masa. Peribahasa pun, baik peribahasa timur ataupun barat, banyak sangat tentang kepentingan masa.

Kita tahu masa itu penting, tapi sayang sangat2, dalam kehidupan kita seharian, kita kadangkala atau mungkin seringkali lalai dengan masa. Nak bercerita sikit la tentang insiden yang melibatkan masa ni.

Hari ni komuter mengalami kelewatan perjalanan selama 20 minit. Lama tu. Abah tak tahu apa masalah sebenar KTM, tetapi yang jelas, ribuan pengguna komuter kecewa dengan kelewatan ini. Kecewa bukan sebab apa, tapi kecewa sebab dengan kelewatan komuter, lewat la mereka tiba dipejabat. Dan bila lewat tiba dipejabat, akan lewatlah banyak benda, atau mungkin ada benda yang tidak sempat dibuat. Itu belum campur dengan nak bercerita dengan majikan kenapa kita lewat.

Abah bukan pengguna setia komuter seperti kebanyakan pengguna lain, tapi setakat ketidakkerapan abah menggunakan komuter, abah boleh kata, masalah kelewatan keretapi komuter agak kerap berlaku.

Pihak KTM berkali-kali buat pengumuman memohon maaf, yang pada abah sangat bagus. Tetapi kalau berkali-kali maaf pun, dan masalah sama tetap terjadi, abah rasa erti maaf tersebut sudah tidak ada makna lagi pada pengguna komuter. Abah rasa mereka serik pun dengan kejadian komuter lewat ini, tapi sebab mereka tak ada pilihan, jadi nak atau tak nak, terpaksa juga guna.

Dan sebab keterpaksaan pengguna menggunakan perkhidmatan mereka inilah, abah rasa KTM tidaklah serius sangat nak mengatasi masalah kelewatan itu. Mentaliti "alah, tak apa, depa tetap akan guna juga" ini rasanya dah diamalkan oleh banyak pihak, terutamanya pihak yang menyediakan perkhidmatan. Hanya kerana pengguna tidak banyak pilihan, maka, tak perlulah berusaha sangat2 untuk mengatasinya. "Lewat ke apa ke, esok depa naik lagi komuter, sebab depa takdak choice."

Sama jugalah macam pihak bank. Minggu lepas abah ke BSN Cawangan Subang Perdana. Abah pergi waktu rehat tengahari. Kaunter yang buka cuma 2, 1 kaunter dah sibuk mengira duit tauke kedai mana entah yang nak depositkan duit, jadi tinggal 1 kaunter saja melayan pelanggan lain. Anda boleh bayangkanlah kan keadaannya. Pelanggan sikit punya ramai. Abah lega bila nampak ada seorang 'teller' baru balik dari makan. Ingatkan dia nak buka kaunter bila tengok pelanggan ramai, tapi abah silap. Kakak tu dengan lemah lembutnya duduk, dan letakkan beg tangan, dan seterusnya, menelek cermin membetulkan tudung, dan memeriksa mekapnya supaya nampak cantik. Dan proses itu hampir dalam 5 minit juga. Sabar sajalah hati. Abah rasa pelanggan lain pun mesti 'bara' je dalam hati.

Pada kakak itu, 5 minit tidak ada apa-apa, sebab pelanggan akan tetap tunggu. Tapi pada pelanggan, 5 minit itu lama, sebab mereka cuma menggunakan masa rehat tengahari untuk keluar berurusan dibank. Itu satu antara puluhan kes abah lihat di bank-bank tempatan. Baik BSN, Bank Islam, dan beberapa bank lagi, sama saja. Masa menunggu pelanggan itu tidak penting mana sangatpun pada mereka. Sebab mereka tahu,pelanggan tidak ada pilihan.

Sebab itu abah seboleh-bolehnya hanya nak berurusan dengan mesin-mesin sahaja. Alhamdulillah sudah banyak bank yang perkenalkan sistem urusan dimesin. Lagi senang. Bila-bila masa boleh pergi berurusan. Sentuhan mesin dalam kes urusan dibank ini adalah jauh lebih baik dari sentuhan manusia yang kerapkali menyakitkan hati.

Itu belum lagi masuk bab caj yang dikenakan pada pelanggan akibat lewat pembayaran. Sehari lewatpun dah kena caj. Tapi bila pihak bank yang lambatkan urusan pelanggan, tidak pula pelanggan caj pihak bank. Kesimpulannya, apa-apapun, pelanggan sajalah yang malang. Terpaksa membayar pada perkhidmatan yang tidak seberapa.

Kadang-kadang abah tertanya-tanya juga, apakah slogan bank yang berbunyi, "Kami memahami keperluan anda", "Anda keutamaan kami", dan segala macam slogan itu hanyalah "bullshit" semata-mata, ataupun sememangnya bank2 kita lemah sehingga tidak dapat menepati janji slogan mereka.

Cukuplah dulu mengepek. Pada orang2 KTM dan bank yang baca epekan abah ni, ini yang abah rasa sebagai pelanggan, yang terpaksa membayar untuk mendapatkan perkhidmatan, dan mengharapkan perkhidmatan yang diberi setimpal dengan bayaran yang dikenakan.

P/S: Abah dok mengepek2 tentang masa nih, abah pun dah terambil masa bekerja untuk mengepek. Aduihhhhhh...maaf boss!

Wednesday, March 21, 2007

Cerita tentang suara...

Tak nak mengepek apa hari ni. Nak berkongsi satu video dengan anda.




Maha Suci Allah. Merdu sungguh suara yang Allah pinjamkan untuk Ahmad Saud dalam video itu. Abah suka betul dengan lenggok dia membaca. Sangat merdu.

Abah akan cuba letakkan beberapa video klip bacaan surah oleh Ahmad Saud tersebut yang abah cari dalam Internet di blog abah ini.

Kalau la artis2 kita yang bersuara lunak merdu itu dapat mengaji dan videokan macam itu, abah la orang pertama yang akan beli VCD depa. Kita sama-sama doakan, insyaAllah.


Monday, March 19, 2007

Cerita tentang cerita...

Hari Khamis itu hari, abah tonton satu cerita dari DVD. Tak ada niat nak tonton sangat pun, tapi bila dah tengok sikit tu, lekat la pulak sampai habis cerita.

Tajuk ceritanya CRASH.
Kalau nak baca tentangnya, klik sini. Pada abah, ini antara cerita yang bagus. Bagus sekiranya ditonton dan dipelajari sesuatu darinya. Kalau setakat tengok untuk hiburan semata, tak la bagus mana.

Apa yang buatkan abah kata bagus. Satu sebab jalan ceritanya. Ini satu-satunya cerita yang mana kisahnya melibatkan banyak orang, dan kisah mereka berkaitan antara satu sama lain. Satu perkara lagi tentang cerita yang berkisahkan "racial sentiment" ini, ialah apa yang dia nak kita pelajari dari kisah yang ditunjukkan.

Abah tak mahu nak komen lebih-lebih, tapi abah sarankan anda tonton, dan buat la apa kesimpulan yang anda nak buat - asalkan ianya kesimpulan positif.

P/S: Kalau nak tonton, pastikan anak-anak kecil tidak ada sekali, sebab ada babak yang tak patut untuk depa.

Everyday we are faced with reactions.
How we interpret a situation colours our perception of daily life.

Wednesday, March 14, 2007

Cerita tentang hati...

Semalam ada kawan 'page' abah, dan kata abah jiwang kebelakangan ini. Hahaha. Ya ke jiwang?

Mungkin la kot, abah je tak perasan. Tapi tak apalah, abah jiwang pun dengan Mi saja.

Hari tu waktu abah ke Sabah, abah cuma melepak kat bilik hotel saja, sebab malas nak berjalan-jalan(kebetulan waktu tu tgh berjimat cermat, hehe). Dalam melepak-lepak itu, abah tengok la TV. Abah tengok satu cerita tajuknya In Her Shoes, ceritanya biasa saja, tapi abah tertarik dengan satu sajak yang dibacakan oleh Cameron Diaz. Balik KL, abah godek-godek la Internet cari sajak tu, alhamdulillah jumpa juga.

Sajak itu adalah hasil ilham E. E. Cummings. Abah suka dengan bait-bait sajak tersebut. [Mesti ada yang kata abah jiwang lagi nih].

Inilah sajaknya, kalau anda nak baca.

I carry your heart with me
(I carry it in my heart)
I am never without it
(anywhere I go you go, my dear; and whatever is done by only me is your doing, my darling)

I fear no fate

(for you are my fate, my sweet)

I want no world

(for beautiful you are my world, my true)

and it's you are whatever a moon has always meant

and whatever a sun will always sing is you

here is the deepest secret nobody knows

(here is the root of the root and the bud of the bud
and the sky of the sky of a tree called life;
which grows
higher than soul can hope or mind can hide)

...and this is the wonder that's keeping the stars apart
I carry your heart (I carry it in my heart)


Bercerita tentang hotel, abah tinggal di Hotel Promenade KK hari tu. Hotelnya biasa saja. Abah tak dapat bilik yang 'sea view', walaupun sepatutnya dapat. Satu yang best tentang hotel ni, makanannya sedap. Abah suka dengan makanan yang dihidangkan untuk sarapan pagi, memang kena dengan selera abah, cuma tak dapat la nak merasa semua makanan tu, sebab berat abah dah naik lagi 3kg. Alamak...nak kena buat sesuatu nih.

Esok abah cuti, ada kerja sikit nak dibuat. Jumaat insyaAllah kami akan ke Penang untuk hadiri kenduri saudara Mi di Balik Pulau. InsyaAllah, kalau takde aral, minggu depan abah akan sambung mengepek lagi tentang beberapa persoalan yg ada dalam minda abah. InsyaAllah...

Tuesday, March 13, 2007

Cerita tentang pencapaian...


Abah nak ucapkan tahniah pada semua adik-adik yang berjaya dalam SPM 2006 yang diumumkan semalam. Tidak kira setakat mana kejayaan SPM anda semua, anda patut berbangga dengan apa yg dicapai hasil penat lelah sendiri. Untuk Nadiah Amirah yang keputusannya tidak seperti yang digembur2kan sebelum ini, abah masih tetap berbangga dengan dia. Pada abah, bukan "pecah rekod" yang penting, tapi pencapaian terbaik setakat yang kita mampu capai, dengan izin Allah, itu yang lebih penting. Abah sangat berharap dan doakan moga Nadiah dan semua yang lain, akan jadi manusia dan rakyat yang berguna untuk agama, bangsa dan negara satu ketika nanti, insyaAllah.

Bila abah baca kata2 Yeo, Melissa dan Nadiah, resipi yang sama sahaja mereka guna: kerja keras.

Untuk yang gagal, jangan putus asa, hidup masih panjang, dan banyak perkara lagi yang boleh dilakukan selain dari rasa kecewa. Pegang moto abah, "Apa saja yang terjadi, kehidupan mesti diteruskan". Dan nak petik kata2 pakar motivasi di TV3 pagi tadi, "Jika kita berjaya capai dan dapat apa yang kita ingini dalam hidup, teruskan maju kehadapan, jangan pandang kebelakang lagi. Tapi jika kita tidak dapat apa yang kita nak, tolehlah kebelakang, dan intai balik apa yang mendorong kepada kegagalan kita."

Oklah, takat ni dulu. Esok sambung lagi, insyaAllah.

Monday, March 12, 2007

Cerita tentang cuti...

Lama sungguh tak post apa2 kat blog ni. Nak buat macamana, abah pun baru je berkesempatan capai Internet yang laju sikit. 4 hari di Sabah memang tak sempat langsung nak capai Internet.

Takde cerita apa sangat pun nak dikhabarkan. Sabah macam KL juga, panas. dan terik. Tak sempat nak berjalan sangat, sebab abah terpaksa berkejar2 dari satu tempat ke tempat lain. Apapun, setiap tugasan luar daerah yang abah lalui, pastinya ada banyak benda yang menarik utk diri abah. Apa yg menariknya?? Hehe, rahsia.

Anak-anak saudara Mi(dan abah) tiba dari kelantan pada hari Jumaat. Dan semalam, seharian suntuk abah bawak depa berjalan di KL. Pagi kami habiskan 2 jam lebih juga di Petrosains, lepas tu pi pekena nasi ayam sedap di Taman Melawati, lepas tu ronda2 Sogo cari hadiah kahwin utk seorang saudara yang akan berkenduri hujung minggu ni di Penang. Hehe, berjalan ke Penang lagi nampaknya kami.

Habis pusing Sogo, abah bawak depa ke Taman Tasik Perdana. Budak2, memang seronok sangat la dapat pergi tempat2 macam itu. Balik dari KL dah pun hampir Maghrib. Belum hilang penat, kena berkejar ke kenduri salah seorang saudara Mi di Kg Melayu Subang. Hehe, inilah pertama kali abah hadiri kenduri kahwin disebelah malam. Tak kurang juga meriahnya, hingga tak cukup tempat utk makan. Terpaksa la makan cepat2, walaupun hati kata, "Makan lagi, tambah lagi, sedap nasinya". Haha.

Oklah dulu, lain kali abah mengepek. Sekarang ni tgh banyak kerja, dan minda tengah kurang stabil sikit. Banyak benda yang mengganggu fikiran abah kebelakangan ini. Nak kena selesaikan satu-satu, dengan izin Allah pastinya.

Ops, sebelum tu, hari tu waktu dalam kereta rakan baik abah, abah terdengar satu lagu di radio. Best juga bunyinya. Cari punya cari, lagu Kaer rupanya - Izinkan Ku Pergi. Dah masuk dalam senarai lagu yang abah suka. [Jangan kata abah jiwang ya!]

Monday, March 05, 2007

Cerita tentang kejayaan...

Abah rasa gembira waktu belek akhbar Utusan di Internet pagi ni, gembira hanya kerana satu berita. Nadiah Amirah peroleh 19 1A SPM 2006.

Dan abah nak memetik sikit laporan dari UM tersebut.

BATU PAHAT 4 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 yang akan diumumkan pada 12 Mac ini dijangka menyaksikan satu lagi rekod baru dilakarkan apabila seorang pelajar perempuan dari sebuah sekolah di pekan Rengit dekat sini berjaya memperoleh 19 1A.

Pelajar pintar itu, Nadiah Amirah Jamil, 18, ialah penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon.

Nadiah Amirah, anak sulung daripada tiga beradik, mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sejarah, Pendidikan Islam serta Bahasa Inggeris dalam Sains dan Teknologi (EST).

Dia juga mengambil subjek Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi Asas, Tasaur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Sunah, Pendidikan Syariah Islamiah, Sains Teras, Geografi dan Sastera.

Demi cita-citanya untuk memadamkan rekod Nur Amalina yang menjadi idolanya, Nadiah Amirah sanggup meninggalkan segala kemudahan di sekolah berasrama penuh untuk kembali menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar.

Johor sekali lagi bakal melahirkan seorang pelajar pintar daripada keluarga sederhana.


Kata Nadiah Amirah: “Keazaman dan cita-cita mengatasi segalanya.”

Alhamdulillah, seorang anak Melayu Islam sekali lagi berjaya buat abah bangga.

Friday, March 02, 2007

Cerita tentang gelak...

Hari ni tak nak mengepek. Sebab hari jumaat kan! Ecececece.

Takde, hari ni nak kongsi satu klip video dengan anda. Tersenyum sorang-sorang abah tengok klip tu, 'cute' sungguh. Kalau dengar Pocoyo gelak pun abah suka.