Wednesday, November 30, 2011

Cerita tentang sedekah...

Salam sahabat,

Hari ni, setelah 2 bulan senyap, abah ke sini lagi. Asalnya tak tau nak mengepek apa, sebab kebanyakan epekan dah tercurah di fesbuk abah. Entah kenapa, abah rasakan fesbuk lebih mudah untuk mencurahkan sesuatu di minda ataupun utk berkongsi sst secara instant. Tapi abah juga tahu, menulis a.k.a mengepek, sentiasa perlukan latihan. Bimbang juga jika satu ketika nanti abah terkial2 mencari kata2 untuk menyampaikan idea dalam bentuk penulisan yg panjang. Sekarang pun dah terkial2 sebenarnya. betapalah teknologi itu mengubah kita dan cara kita. Atau sebab kita benarkan diri kita diubah oleh teknologi. Fesbuk juga yg salah, kan? Hehehe.

Petang ni cuma nak berkongsi pasal sedekah. Abah yakin sahabat2 yg membaca pos ini sememangnya rajin bersedekah. Tak kiralah sedekah apa, wang ringgit, tenaga, idea, hatta senyuman ikhlas. Janji saja ianya mampu buat orang lain menarik nafas lega, atau mungkin sujud syukur pada Allah atas pertolongan @ sedekah yg kita beri.

Pernah ummi tanya abah satu hari di minggu lalu, "Abah ni berkira tak bila nak bersedekah." Sebetulnya tak tahu nak jawab apa, tapi sebab hati perempuan, bila dia bertanya selalunya dia berharapkan respon. Maka abah jawablah, "tengok keadaan". Dan sememangnya ya pun, abah bersedekah tengok keadaan, dan maksud abah disini ialah sedekah wang ringgit. Ada kalanya, laju je tangan abah menghulur, dan banyak kalanya, berat je tangan ni nak bagi. Ada masanya, abah tak pikir panjang pun untuk hulur, tapi banyak masanya, abah terfikir2 sendiri akan "perlu ke aku bagi kat dia ni?".

Abah tak tahu anda, tapi itulah abah. Walaupun sering nak berlaku baik pada manusia lain, walaupun sering berniat nak membantu manusia lain, tapi bila dtg lintasan2 buruk diminda, kadang kala abah ikut juga lintasan tu. "Dia ni betul ke mintak sedekah? Entah2 sindiket mana2 yg paksa dia mintak sedekah.", "Nanti aku bagi kat adik ni, betul ke duit tu dapat dia gunakan?", "Ini sekolah pondok mana2 ntah, silap2 tipu guna nama sekolah pondok". dan macam2 lagilah lintasan buruk datang bila Allah bagi peluang nak buat baik.

Tapi hari ni, Allah sampaikan melalui Prof Muhaya, akan perkara yg abah perlu dengar. Dan alhamdulillah, sangat terkesan dihati. Kata PM, bila terlintas untuk bersedekah, berilah tanpa banyak berfikir. Sebab apabila terlintas dihati untuk buat kebaikan, itu lintasan malaikat. Tapi bila datang lintasan2 lain, itu semua lintasan syaitan. Dan jika kita ikut lintasan2 syaitan itu, semestinyalah kita tidak akan menderma atau berbuat kebaikan itu. Kata PM lagi, dalam bersedekah, hendaklah kita sentiasa melihat mereka yg meminta sedekah itu dengan pandangan kebaikan. Maknanya, jangan difikir yang bukan2 tentang dia. Apatah lagi nak memandang rendah pada dia. Bila dia meminta, bukan bermakna darjat dia lebih rendah dari kita. Dan kita yg memberi, bukan bermaksud kita lebih baik tarafnya. Kita dan dia sama2 manusia, sama2 hamba.

Kita menyumbang, insyaAllah itu membantu dia. Kalau pun sebetulnya dia mmg penipu, pemalas, etc, biarlah. Jangan difikirkan, kerana kita membantu demi Allah. Allah tahu segala apa yg terjadi. Walaupun duit yg kita dermakan itu tidak disalurkan pada jalan Allah oleh sipenipu itu, tapi yakinlah, Allah akan memberi ganjaran pada kita kerana keikhlasan kita membantu.

Dan dalam masa yg sama, berdoalah semoga diri mereka akan bertambah baik. Dan jika mereka sebaya mak ayah kita, minta mereka doakan kita keselamatan dunia akhirat. Percayalah, tidak akan pernah rugi kalau kita membantu mereka, asalkan demi Allah.

Lagipun, duit yg kita hulur itu bukan milik kita pun. Pernah abah dengar (entah dimana), bahawa sebahagian dari rezeki yg kita dapat, sebenarnya disitu ada rezeki orang2 lain.

Sebagai peringatan dan ajakan untuk sahabat2 sekalian, dan diri abah juga, rajin2lah menyumbang sedekah pada yg memerlukan. Tidak semestinya tunggu depa datang depan kita saja. Kita juga boleh mencari depa. Banyak sekolah2 pondok dan madrasah2 yg perlukan sumbangan kita, setakat yg mampu.

Memetik saranan dari rakan FB abah, kak has. Kata Kak Has, "1. sentiasa ada duit rm1 dlm dompet or seluar..biar byk rm1...2. turun dari rumah, niat utk bersedekah bila2 ada kesempatan sepanjang hari...3. ada je yg minta, bagi je rm1 (kita pun tk kan kaya dgn RM1 tu di dunia tapi di akhirat, Allah jualah yg mengethaui keinginan kita utk masuk syurga)...4. masa bagi senyum, jgn marah, jgn komen, jgn tanya apa2 sampai nampak hati kita tak ikhlas, lawan perasaan negatif2 ni sbb dgn RM1, doa kita agar mereka berubah insyallah akan dimakbulkan oleh Allah swt..always n always berniat utk bersedekah...rezeki kita sentiasa bertambah...with RM1, manalah tahu ianya membantu seorg anak yg sdg mencari duit utk beli ubat utk ibunya yg sakit di rumah...apapun perasaan negatif kita, halau jauh2...".

Sekiranya mereka datang pada kita disaat kita mmg tidak ada sangat untuk dibantu, paling tidak, jawablah salam depa, dan senyumlah. Tidak luak senyuman kita itu untuk dilontarkan pada mereka. Sedih juga kadang2 bila tgk kalangan kita yg keluar masuk ATM, yg tidak langsung sudi memjawab salam yg diberi. Kalau anda ada masa, tengoklah wajah2 mereka yg meminta derma diluar2 mesin ATM ini. Cuba lihat raut wajah mereka dikala salam dan senyuman yg depa bagi, tidak dilayan oleh mereka yg bernama manusia juga.

Semoga Allah bantu kita untuk lebih kuat melawan godaan2 syaitan ini. Supaya kita akan sentiasa berusaha untuk buat yg terbaik, samada sesama manusia, apatah lagi dengan Allah SWT.

Jumpa lagi sahabat2 abah, yg entah kapan, Allah jua yg Maha Mengetahui.

Friday, September 30, 2011

Cerita tentang Iqbal Fahreen...

Salam sahabat semua, maaf lama tidak mengepek. 

Hari ni pun bukan nak mengepek juga, sekadar nak letak satu cerita yg baru abah baca sekejap tadi. Abah susah nak baca cerita yg ada kat FB atau blog yg panjang2, bila waktu kerja. Tapi entah kenapa, mata abah terpaku pada cerita yg satu ini, yg abah baca di FB seorang kawan.

Abah letak disini, sebab abah tahu jika umur abah panjang, abah akan baca lagi cerita ini, mungin 5,10, 15 tahun akan datang, insyaAllah. Kerana cerita ini buat abah menitis airmata dipejabat. Abah mmg kalah pada kisah2 berkaitan ibuayah dan anak2.Mudah sangat mata ni bergenang air. hehe.

Sahabat2 baca la kisah benar ini jika ada masa. Bukan apa pun, sekadar untuk mengingati diri bila diuji, supaya kita sedar bahawa apa yg Allah uji adalah apa yg kita mampu tanggung. Abah sangat bersyukur pada Allah kerana setakat hari ini, abah tidak diuji dengan ujian berat spt dalam cerita ini, kerana abah tahu Allah Maha Mengetahui kekuatan abah setakat mana dalam isu2 ini. Abah tak sanggup. 

Tak nak mengepek lagi, anda bacalah....

-----------------------

Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.

Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.


Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"

Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?

Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.

7 Mac 2011- Keadaan abang semakin kritikal. Perut abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.

13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.

Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"

Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.

"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.

Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.

Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.

"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.


5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.

"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura rajin menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.

Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.

"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"

Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.

"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.

"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.

Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.

Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"

Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."

Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.

Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"

Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).


Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.






Upload MP3 and download MP3 using free MP3 hosting from Tindeck.

Wednesday, August 10, 2011

Cerita tentang Ramadhan 1432H

Salam sahabat semua,

Lama tak buka blog ni, tiba2 hari ni terasa nak buka dan mengepek sesuatu. Ops, sebelum itu, Selamat Memaksimumkan Madrasah Ramadhan tahun ini buat semua sahabat. Pejam celik pejam celik, dah nak masuk separuh kedua malam ni. Walaupun 10 pertama adalah kerahmatan, dan 10 kedua adalah keampunan, tapi percayalah sesungguhnya bahawa sepanjang Ramadhan itu akan penuh dengan rahmat dan barokah dari Allah untuk kita.

Cuma kita saja yang kurang bersyukur atas rahmat yang Allah bagi. Bukan apa, sebab kita rasa kita mintak dengan Allah benda lain, dan benda lain yg Allah bagi. Itu yg buat kita jarang rasa bersyukur atas nikmat2 macam itu. Kita cuma tunggu dapat bonus, naik pangkat, dapat anak, dapat isteri baru (ampunnnn Pn Kamsiah Ibrahim), dapat kereta baru, dan yg sebaris dengannya saja baru kita tadah tangan bersyukur pada Allah atas kurniaan yg Allah bagi itu.

Jarang agaknya terlintas difikiran kita bahawa Allah bagi kita hidup dan menikmati Ramadhan tahun ini itu sebagai satu rahmat terbesar. Kita juga tak rasa yg Allah berikan kita kesihatan tubuh badan untuk berpuasa itu, sebagai satu rahmat. Kita mungkin juga tak rasa juadah kita berbuka itu sebagai satu petanda Allah sayang kita, mungkin sebab juadahnya "biasa-biasa" saja. Bukan sahabat saja, abah pun jenis macam itu.

Tapi kalau kita toleh sejenak sekeliling kita, berapa ramai kawan2 atau saudara-mara kita yg tak dapat pun nak bersama2 mengimarahkan ramadahan tahun ini bersama2 kita? (Kalau depa dapat hidup kembali, abah yakin, kita semua akan takjub dengan komitmen mereka mengimarahkan Ramadhan dengan semaksima mungkin). Berapa ramai yg terlantar dikatil2 hospital di bulan ramadhan ini? Berapa ramai juga yang berpuasa tapi tidak dapat berbuka, kerana tiada apa yg boleh dimakan, seperti di Somalia itu?

Syukurlah sesungguhnya pada Allah. Banyak sangat yg Allah beri pada kita sehari2. Cuma sayang, dalam sekian banyak benda Allah bagi, kita masih buat endah tak endah pada suruhan Allah. Kata Allah, "Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada Ku". Renunglah sejenak, bagaimana ibadah kita? Solat pun masih cerlang cerlup. Puasa pun kita tak jaga betul2. Zakat apatah lagi, senantiasa rasa 'tak layak' utk berzakat (kecuali zakat fitrah). Abah tidak merujuk pada siapa2 ya, abah cuma bercakap secara umum. Abah juga manusia lemah, tidak lari dari kelalaian2 itu semua.

Orang kata, syaitan tidak ada dibulan puasa. Tapi kenapa kita masih tetap macam itu? Kata Ustaz Dzulkarnain pengacara Imam Muda tu, kita masih tetap jadi macam itu, sebab kita gagal menundukkan hawa nafsu kita. Maka, jika kita rasa diri kita masih tetap lakukan perkara2 tidak elok di bulan puasa ini, maka janganlah salahkan syaitan yg menghasut. Kerana itu lah sebenar2nya diri kita yg tunduk pada hawa nafsu. Percayalah, tidak ada hawa nafsu yg suka nak solat, nak puasa, bangun malam beribadah, baca Quran, berbuat baik, menyusahkan diri kerana Allah, dan sebagainya. Nafsu kita cuma akan gemar bersenang lenang. Maka sebab itulah kata Ustaz Dzul, Allah jadikan Ramadhan ini. Supaya manusia dapat belajar mendidik jiwanya, dan menundukkan hawa nafsunya, supaya diri mereka terkawal dalam melalui hidup didunia ini.

Dari itu sahabat2 abah, dan diri abah sendiri, kita rebutlah peluang 2/3 ramadhan yg masih tinggal ini (semoga Allah panjangkan umur kita), untuk berbuat semampu yang mungkin ibadah2 yg disuruh Allah dengan harapan, Allah akan meredhai diri kita. Dan alangkah bagusnya jika kita dapat bertemu Lailatul Qadar nanti. Hidupkan hati kita dengan mengingati Allah, setiap masa, setiap ketika. 

Abah berharap, dan berdoa agar dipengakhiran Ramadhan kali ini, kita betul2 kembali kepada fitrah. Anda juga doakan lah abah, semoga sentiasa diberi hidayah dan redha Allah.

Selamat mendidik jiwa di madrasah ramadhan ini buat semua sahabat2 abah yg sangat dikasihi. Minta maaf salah silap yg ada. Semoga kita dapat bertemu lagi nanti insyaAllah.

Monday, June 27, 2011

Cerita tentang Dhuha...

Salam sahabat,

Moga kita semua masih tetap dalam kasih sayang Allah SWT. Lama tidak mengepek, rasanya skill tu dah makin hilang. Tapi masih tetap tak nak tutup buku. Hehehe.

Tidak ada apa nak dingepek, sekadar nak berkongsi akan alunan doa bagi sunat Dhuha untuk pengetahuan dan kegunaan sahabat2 semua.

Allah beri abah hidayah (jika abah boleh kata demikian) bila Dia gerakkan hati abah untuk bukak radio 2 hari lepas, dan bila dibuka, ada alunan doa ini. Terlintas dihati waktu itu, sedapnya alunan doa ini. Dan bila dihayati maknanya, ya Allah, sesungguhnya rasa kecik sangat diri ni.

Bukan tidak tahu solat Dhuha itu apa, tapi ego dan sifat malas dalam diri ni cukup kuat. Hingga tak pernah sekalipun berusaha untuk solat dhuha. Khilafnya abah! Allah dah berikan petunjuk, maka tugas abah skrg adalah memilih samada untuk buat atau tidak buat. Ilmu sudah ada, hanya amalan je yg belum.

Moga2 Allah beri kekuatan dan tundukkan hati abah supaya lebih rendah egonya, dan lebih malu dengan kekuasaannya. Betapa Allah itu Maha Pemurah, diberinya kita tubuh badan yg cantik sihat, akal yg cerdik, ilmu yg seluas lautan, dan tidak satu sen pun Allah minta dari kita. Yang diminta cuma kita tunduk dan sujud padaNya. Tapi kita masih tetap sombong. Tetap ingkar pada perintahNya. Tetap ego dengan nafsu diri. Lemahnya kita (abah la terutamanya). 

Abah berhenti dulu. Nanti sambung insyaAllah. Hayatilah alunan doa dibawah, dan marilah kita hidupkan amalan solat dhuha ini. Bermulalah sikit2, janji istiqamah. <- Ingatan buat diri abah sendiri tu. :-)

Thursday, April 07, 2011

Cerita tentang kebebasan...


Gathered here with my family
...My neighbours and my friends
Standing firm together against oppression holding hands
It doesn't matter where you're from
Or if you're young, old, women or man
We're here for the same reason; we want to take back our land

Oh God thank you
For giving us the strength to hold on
And now we're here together

Calling you for freedom, freedom
We know you can hear our call ooh
We're calling for freedom, fighting for freedom
We know you won’t let us fall oh
We know you're here with us

No more being prisoners in our homes
No more being afraid to talk
Our dream is just to be free, just to be free
Now when we've taking our first step
Towards a life of complete freedom
We can see our dream getting closer and closer, we're almost there

Oh God thank you
For giving us the strength to hold on
And now we're here together

Calling you for freedom, freedom
We know you can hear our call ooh
We're calling for freedom, fighting for freedom
We know you won’t let us fall oh
We know you're here with us

I can feel the pride in the air
And it makes me strong to see everyone
Standing together holding hands in unity
Shouting out load demanding their right for freedom
This is it and we're not backing of
Oh God we know you hear our call

And we're calling you for freedom, freedom
We know you can hear our call ooh
We're calling for freedom, calling for freedom
We know you won’t let us fall oh
We know you're here with us

Friday, March 25, 2011

Cerita tentang lagu tentang mak

Salam sahabat,

Jumaat ini masih tidak dtg rasa untuk mengepek apa2. Sekadar berkongsi satu lagu baru yg abah pertama kali dengar pagi semalam sewaktu memandu ketempat kerja. Moga sahabat2 semua dapat sesuatu dari lagu ini, supaya lagu bukan sekadar lagu.




Alhamdulillah, mak abah sihat walafiat pagi ni.

p/s: Moga2 mak tak lupa doakan anak mak yang diperantauan ini. Walaupun kita tak mintak, tapi kita sangat berharap mak tak lupakan kita dalam setiap doa mak. Kita sayang sangat kat mak!

Tuesday, March 22, 2011

Cerita tentang umpat

Salam sahabat semua. Semoga kita semua tetap dalam rahmat Allah.

Disaat2 selepas kerja2 urgent disiapkan, dan bila waktu menunjukkan pukul 5, dan dikala hujan mencurah2 turun (ini semua alasan jer), maka semangat utk buat kerja mula pudar. Maka, jalan keluar pada "kemalasan" itu, mengepek disini. Boleh?

Ptg ni abah nak mengepek sikit pasal isu kita dan orang2 disekeliling kita. Tak perlu orang jauh la, dengan kawan2 pun cukup. Boleh recall tak bila kali terakhir kita bercakap/mendengar perkara2 buruk tentang orang lain (atau kawan sendiri). 10 tahun lepas? Alhamdulillah. Tapi kalau semalam adalah kali terakhir, atau baru sekejap tadi anda baru termengata orang, maka, anda bukanlah manusia yg pelik. Tidak pelik kerana kebanyakan kita memang itulah intisari kehidupan sehariannya. Bercakap perkara2 negatif, terutamanya yang negatif pasal orang lain.

Walaupun mungkin apa yg dikata/didengar itu betul, tapi perbuatan itu masih tetap salah. Kan? Salah kerana kita secara tidak langsung telah merendah2kan maruah orang lain, menjatuhkan reputasi diri dia pada orang2 yg mendengar. Atau lebih teruk, jika umpatan kita itu disebarluaskan oleh telinga2 yang mendengar. Bayangkan jika andalah bahan kejian dan umpatan itu.

Oleh kerana abah tahu kita sukar nak lari dari keadaan tu, maka inginlah abah mengingatkan anda, dan diri abah juga, bahawa mengata/mengumpat/memfitnah orang itu besar dosanya. Itu dosa kita dengan dia. Andai kata dia maafkan, alhamdulillah. Jika dia simpan rasa luka dia itu sampai ke mati, tanpa sempat memaafkan kita, nauzubillah. Susah kita. Moga2 dengan kita menjaga maruah orang lain, Allah akan jaga maruah kita.

Dan sekiranya kitalah jadi bahan umpatan tu, apa kata kita cuba2 untuk tidak berbuat sesuatu yg menimbulkan cakap2 belakang orang lain. Mmg susah nak kawal orang lain, tapi kalau dicuba insyaAllah boleh juga. Sebab manusia ni suka mengata pada benda2 yg buruk dipandangan dia. Maka kita elakkanlah berkelakuan buruk. Mudah2an dengan kita menjaga akhlak kita, mereka tidak akan mengata kita, kerana Allah menjaga kita. Dan bila mereka tidak mengata, tiadalah dosa antara dia dengan kita. Mudah2an semuanya selamat.

Tapi kalau dikata juga, dan anda tahu tentang itu, maafkanlah mereka. Perit, tapi itulah yang terbaik. Jangan kita bawak dosa mereka dengan kita itu ke Padang Mahsyar. Kita ampunkanlah mereka.

Sekadar itu saja dulu. Sambung nanti insyaAllah.

Monday, March 14, 2011

Cerita tentang amanah...

Salam sahabat,

Ari ni tak nak mengepek. Hanya nak tempek satu lagu Hijjaz yg baru (dah agak lama, abah je baru tahu). Abah tertarik dengan liriknya. Walau tidak payah nak dihadam maknanya, tapi masih tetap sangat berarti, terutamanya buat abah dan sahabat2 yg dekat dihati abah.



Hayatilah liriknya, dan itulah anda dihati abah. Sekalipun ada yg rasa dia jauh dari abah, hakikatnya dia tetap dekat. Yg abah harap tidak sekali-kali diri disalahertikan atau diprasangka.

Kita ini hanya hambaNya. Diberi ruang bersahabat, kita bersahabatlah dengan caranya. Semoga dalam persahabatan, kebenaran tertegak, kebaikan tersebar, dan kita bahagia dalam kasih sayangNya. Andai satu ketika nanti kita dipisahkan, bukan kerana Allah tidak sayang kita, tapi Allah ingin beri kita yang lebih terbaik. Dan pohonlah moga2 bila kita dipisahkan nanti, pemergian kita tetap dalam redha dan doa masing2.

Semoga persahabatan abah dengan kalian semua akan tetap diatas jalanNya. Semoga ia takkan mengalih kita dari tugasan khalifah yg telah Allah amanahkan pada kita.

“Tuhan .. Kau satukanlah hati-hati
Memohon kasihMu oh Tuhan
Dalam mengharap redha
DariMu..”

Friday, March 11, 2011

Cerita tentang Azan...

Salam sahabat,

Pagi tadi, sewaktu dalam perjalanan ketempat kerja, abah dengar talk motivasi dari Dr Azhar. Menarik talk kali ini kerana ia berkisar tentang azan. Ya, azan, yang kita dengar 5 kali sehari itu. Azan yang sering kita anggap panggilan kepada solat semata-mata. Bukan anda saja, abah pun berfikir yg sama. Tidak berfikir pun sebenarnya, tapi seperti satu tanggapan bahawa bila azan, itu tandanya masuk waktu solat, dan hendaklah bersegera solat.

Tapi apa yg Dr Azhar kongsi pagi tadi agak menarik untuk abah kongsi dengan anda juga, sahabat2 kesayangan abah. Kata Dr Azhar, sewaktu kita mendengar azan (dengan penghayatan), minda kita sebenarnya berada pada fasa alpha atau theta. Fasa dimana minda kita akan sangat relaks dan tenang. Bila minda dalam fasa ini, ia membantu badan kita untuk mengurangkan rasa stress dan serabut jiwa kita. Dalam fasa ini juga, boleh kita gunakan untuk berimaginasi (sesuatu yg baiklah hendaknya), terutamanya pada perkara2 yang menenangkan kita.

Tapi sayang kan, kita dengar azan sekadar azan. Atau mungkin kita tidak men'dengar'nya pun walaupun telinga kita dengar. Diwaktu azan itu (samada dari masjid, TV atau radio), kita masih tetap sibuk fokus kpd urusan harian kita. Sedangkan jika kita tahu akan pentingnya azan pada kita, maka abah pasti kita akan diam menghormati suara panggilan itu, dan ambil kesempatan untuk merehatkan minda dan perasaan, sementara menunggu utk bersolat.

Hayati betul2 bait yg dilaungkan muazzin. Sedap atau tidak sedap alunan itu kita tolak tepi, kerana yg penting, apa yg dilaungkan.


ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Marilah mendirikan solat
Marilah mendirikan solat
Marilah menuju kejayaan
Marilah menuju kejayaan
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
Tiada Tuhan selain ALLAH

Abah tidak ingin dan tidak pandai pun sebenarnya nak mengulas maksud setiap seruan2 itu. Anda rujuk sini untuk keterangannya.

Pernah tengok orang azan sewaktu dalam ketakutan, juga sewaktu bakal2 haji ingin melangkah meninggalkan tempat masing2? Kenapa agak2nya kita berbuat demikian. Tidak abah ketahui secara tepatnya kenapa, tapi abah fikir, disaat-saat begitu, fikiran kita hanya pada Allah. Disaat kita sangat tertekan dan ketakutan, disaat kita tidak ketahuan dilanda musibah, Allah sajalah yg datang dalam fikiran kita. Dan sewajarnya dissat itu kita menyeru akan kekuasaan Allah, Tuhan yg kita sembah dan tiada Tuhan selainNya.

Bermula hari ini, abah ingin menyeru sahabat2 abah yang baik2 semuanya ini, termasuklah diri abah, agar dapat memahami akan seruan azan, dan berusaha mengambil ruang yg ada untuk mengarahkan fikiran pada maksud alunan azan tersebut. Moga-moga dengan cara itu, kita akan lebih dekat dengan Allah, dan semoga jiwa kita akan lebih tenang, serta dikurangkan tekanan yg ada dalam diri kita insyaAllah.

Abah tutup kalimah epekan hari ini dengan satu alunan lagu yg cukup abah suka ketika ini. Abah kongsikan dengan anda. Ingat, positifkanlah diri kita sentiasa. Bersangka baiklah dengan setiap orang dan peristiwa yang lalu dalam kehidupan seharian kita. Moga Allah sentiasa bersama kita.

Selamat berhujung minggu. Jaga diri anda semua baik2.



Telah terdengar suara
Memanggil memuji yang Esa
Menyeru muslimin dan juga muslimat
Untuk segera bersolat

Suara azan
Di langit tinggi
Mengagungkan MU
Puji juga memuja Allahuakhbar

Oh azan
Mendayu ingatan lima waktu
Panggilan menyembah MU
Tuhan yang satu...

Bangun semua
Bingkas segera
Usah berlengah
Lupakan lelah
Majulah!!

Wednesday, March 09, 2011

Cerita tentang guru...

Salam sahabat2 abah.

Dua hari lepas, abah dengar satu rancangan diradio, yg mana ada caller telefon. Si caller itu, seorang guru mengaji. Dia mengadu akan kesedihannya bila mana, anak2 yg diajarnya mengaji itu, balik rumah ceritakan pada mak ayah, bahawa mereka dimarah sewaktu mengaji.


Abah pernah mengaji waktu kecik2 dulu (dah tua2 ni makin liat plak mengaji - mmg nak kena rotan abah ni), dan abah tahu apa yg guru2 mengaji ni marah. Mungkin kaedah marah itu berbeza, tapi yg pastinya, mereka marah hanya kerana mereka 'care' dan mereka sayang pada anak2 murid ini.

Cumanya, bila mak ayah yg terlalu mendengar kata anak2 ni datang dan berjumpa guru mengaji ini, hanya untuk dimarah, dicerca, dan diungkit akan upah RM5 sebulan yg diberi itu, abah boleh faham kenapa ustazah ini menangis kesedihan.

Abah yakin, bukan duit upah RM5 sebulan itu yang dikisahkannya. Cuma terkilan kerana disebalik usahanya mendidik anak2 kita, kita marah dan hina dia. Ini baru kisah guru mengaji, belum lagi cerita pasal guru2 kat sekolah tu. Berapa ramai yg pernah lalui pengalaman kena serang dengan mak ayah budak2, hanya kerana mereka terlalu dengar cakap anak2? Abah rasa ramai cikgu yg pernah kena, kecuali Cikgu Ajam (yg sangat baik itu).

Mungkin, dipihak cikgu, atau guru mengaji itu ada kesilapannya. Tapi tak bolehkah kita terima saja kekurangan mereka, demi kebaikan anak2 kita, dan demi usaha dan tungkus lumus mereka mendidik anak kita? Mati ke anak kita dikerjakan cikgu? Masuk ICUkah anak kita bila dirotan guru mengaji? Tidak kan?

Oleh kerana tidak, kita mak ayah ni, kena la bertolak ansur. Kalau betul nak tegur, pergilah jumpa, cakap baik2. Cikgu tak kecik hati, dan kita pun boleh tahu apa letak duduknya perkara.

Dan jangan sesekali ungkit akan RM yg kita keluarkan untuk bayar yuran sekolah atau duit upah mengaji. Maaf cakap, duit tu tak seberapa sangat pun untuk diungkit2. Ilmu yg anak kita dapat tu jauh lebih bernilai dari RM yg kita bayar.

Untuk sahabat2, dan diri abah juga, moga2 kita jadi mak ayah yg bertimbangrasa dan menghargai jasa dan pengorbanan cikgu2 pada anak2 kita ni. Anak kita cemerlang atau tidak, guru2 mereka tetap berjasa. Dan pada guru2, teruskanlah usaha anda mendidik anak bangsa. Ikhlaskanlah hati dalam mendidik. Bayangkan ilmu yg anda curahkan pada puluhan anak2 itu, melekat dijiwa mereka, dan mereka amalkan serta curahkan pada anak2 lain bila mereka dewasa nanti, Subhanallah, banyaknya pahala2 amal yg anda dapat. Jika ada pun mak ayah yg datang serang dan menghina anda macam2, sabarlah. Percayalah, satu ketika nanti, mereka akan sedar (atau terus2an tidak sedar) akan betapa anda berjasa pada mereka.

Semoga Allah sentiasa berikan kesabaran dihati kita, insyaAllah.

p/s: Jangan ditanya kenapa gambar SN mengaji yg abah pilih untuk dipaparkan. Kerana jawapannya pastilah, "Biarlah rahsia!"

Monday, March 07, 2011

Cerita tentang baik dan soleh...

Setelah hampir 4 bulan abah tidak menjengah ke sini, diwaktu ini hari ini, tiba2 rasa macam nak dtg sini semula. Dan inilah abah, kembali, untuk jangka waktu yg tidak ketahuan berapa lama.

Tidak mahu salahkan keadaan atau sebarang peristiwa, ketidakhadiran di'rumah' sendiri ini sedikit sebanyak kerana kekangan tugasan kerja dan peribadi yg seolah2 tidak pernah habis.

Tidak banyak untuk diepek hari ini, sekadar ingin memaklumkan bahawa abah sihat walafiat adanya. Syukur ya Allah atas nikmat kesihatan dan segala nikmat lagi yg telah diberi untuk abah.

Anda juga, sahabat2 yg sudah lama abah tidak berbicara dengan anda, sentiasa abah doakan moga2 Allah akan tetap terus melimpahkan rahmatNya untuk sahabat2 semua. Dan semoga kita tidak tergolong dalam golongan mereka2 yang tidak tahu bersyukur.

Pagi tadi dalam radio, abah dengar satu pernyataan yg dibuat oleh DJ. Katanya, "Orang yg baik tidak semestinya soleh/solehah, tetapi orang yg solehah, akan pastinya baik." Pada orang lain, mungkin boleh disangkal pernyataan itu, tapi pada abah, itulah hakikatnya. Nak menjadi baik tidak sukar. Yg sangat sukar, ialah menjadi hamba Allah yg soleh. Hamba yg "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam."

Pada anda, mungkin tidak sukar menjadi insan soleh, tapi percayalah, untuk manusia seperti abah, ia sangat sukar. Pun begitu, kesukaran bukanlah lesen untuk tidak mencuba yg terbaik, kan? Tidak mahu jadi manusia yg terlalu optimis, kerana halangan dan cabaran akan ada, dan abah tahu abah tidak sekuat mana dalam melawan hawa nafsu. Tapi akan tetap mencuba dan buat sebaik mungkin, tidak kira berapa kali tersungkur.

Moga2 Allah akan terus beri hidayah dan kerahmatanNya pada abah, dan anda juga.

Berbalik kepada pernyataan tadi, bahawasanya untuk menjadi manusia yg baik, berusahalah untuk menjadi manusia yg soleh. Kerana jika jiwa dan hati kita beriman sepenuh2nya pada Allah, nescaya kita tidak akan terfikir untuk menjadi manusia jahat dan melakukan perbuatan2 yg dilarang Allah. Cuma kena terus2an tunduk pada Allah, dan mohon pertolongan Allah, kerana kita juga kena tahu bahawa iblis takkan pernah putus asa dalam memesongkan kita dari jalan Allah.

Marilah kita sama2 berusaha menjadikan diri kita, diri manusia yg mana Allah sangat dekat dihati kita. Jangan takut gagal, kerana kegagalan bukan bermaksud kita perlu berhenti. Itu tandanya kita perlu lebih gigih berusaha.

Abah berhenti disini dulu, moga2 akan ada lagi epekan akan datang insyaAllah. Moga2 dengan keizinan Allah, kita kan berbicara lagi nanti.

Jaga diri sahabat2 semua baik2, dan yakinlah dengan kekuasaan Allah SWT.