Salam Along,
Selamat ulangtahun ke-9 sayang!
Sepatutnya pada harijadi Along, abah berikan sekeping kad ucapan harijadi, sepertimana Along selalu buat bila tiba harijadi Abah. Tapi tahun ini, abah memilih untuk menulis surat terbuka buat Along. Pertamanya sebagai luahan rasa hati abah pada Along, dan keduanya, sebagai bahan bacaan bila Along dah besar nanti. Mana tahu, umur abah tak panjang utk duduk berdua dengan Along 20 tahun akan datang, untuk mengimbau sejarah silam Along sewaktu kanak-kanak.
Abah beruntung ada Along. Sejak dari Along dilahirkan 9 tahun masihi yang lepas, tak pernah seharipun abah tak rasa bersyukur Allah kurniakan Along pada abah. Abah menangis waktu azan dan iqamatkan Along, sebab Along dalam inkubator waktu tu. Tapi bukan Along saja lah, waktu Achik Azim dan Adik Aimeen pun, abah menangis juga saat mengazan dan mengiqamatkan. Hehe. Along jangan kata abah tak macho pulak!
7 tahun Along jadi anak tunggal abah dan ummi. 7 tahun jugalah kasih sayang tumpah mencurah2 kat Along, walau adakalanya, tangan abah juga laju hinggap pada badan Along. Dan Along maafkanlah abah. Abah tahu memukul itu bukan jawapan pada kesilapan anak2, tapi sebab abah bukan manusia yg tinggi kesabarannya, maka memukul itu juga yg abah sering buat tiap kali Along menguji kesabaran abah.
Sekarang di usia Along 9 tahun, abah sudah boleh rasa kesan dari didikan abah pada Along selama ini. Dan abah bersyukur pada Allah, abah boleh nampak kesannya sekarang, bukan 5 atau 10 tahun akan datang. Abah akan cuba ubah pendekatan abah yg kurang baik itu. Mana yg baik, akan abah kekalkan. Sebabnya cuma 1, abah nak Along jadi anak yg baik. Abah nak mendidik Along jadi manusia yg berguna, jadi suami yg cemerlang, jadi ayah yg hebat suatu ketika nanti.
Kalau dulu dunia Along cuma dengan abah, ummi, dan nenek. Tapi sekarang dunia Along lebih luas. Along ada kawan2. Baik disekolah, ataupun dikawasan rumah. Abah tak halang Along berkawan, sebab abah tahu, berkawan itu sesuatu yg baik. Cuma abah nak Along pilih kawan2 yang baik. Bukan kawan2 yg membuli, dan kawan2 yg suka ambil kesempatan. InsyaAllah selagi abah ada, abah akan cuba monitor pergaulan Along dan kawan2.
Abah juga nak Along lebih fokus dalam pelajaran. Abah tahu Along pandai. Kepandaian saja tidak cukup sayang, untuk maju ke depan. Kena ada usaha dan kerajinan. Abah akan cuba didik Along nanti utk lebih rajin dan lebih fokus. Supaya Along akan lebih cemerlang dalam akademik. Agama pun begitu juga. Abah dan ummi akan cuba sedaya upaya untuk berikan ilmu yg secukupnya buat Along. Mana yg abah kurang, kita sama2 belajar nanti.
Abah sentiasa doakan moga2 Allah berikan abah kemudahan dalam menguruskan kehidupan abah dan keluarga abah. Semoga Allah tidak menguji abah dengan benda2 yg tak mampu abah nak tanggung. Bukan senang nak mendidik anak sebenarnya, dan bila dah ada Along dan adik2, baru abah akui kenyataan itu. Tapi susah bukan bermakna mustahil, kan Long?
Abah berhenti setakat ni dulu ya nak! Nanti kalau ada lagi, akan abah sambung.
Abah tak tahu bila ketikanya Along akan baca surat abah di blog ini. Tapi abah harap Along akan dapat baca dan faham luahan abah dalam waktu terdekat ini. Along pun dah mintak abah buat akaun Facebook untuk Along kan? Nanti bila dah mahir dengan teknologi, jangan lupa sesekali singgah baca ngepekan abah di sini. Ini antara benda yg abah boleh tinggalkan untuk Along 1 hari nanti.
Dengan genapnya umur 9 tahun hari ini, abah doakan moga Along membesar jadi anak yang soleh, jadi anak yg bijak dan pandai, serta jadi anak yg mendoakan kebaikan buat abah dan ummi disetiap ketika.
Abah dan ummi sayang sangat2 kat Along.
Selamat ulangtahun sayang.
- Abah. 11/11/10