Thursday, September 27, 2007

Cerita tentang ujian...

Dua malam lepas, Allah berikan abah kesempatan untuk mengikuti satu tazkirah menarik disurau berhampiran rumah abah. Menarik kerana ustaz itu beri satu perpektif baru kepada makna hidup. Bukan tidak pernah terfikir, memang selalu terfikir, cuma tidak dalam perspektif itu, bagi kebanyakan orang, termasuk abah sendiri.

Kisahnya tentang hidup - untuk apa kita hidup, kenapa kita hidup? Kalau ditanya ramai dari kita, pasti jawapannya akan menjurus pada ayat 56 surah Adz-Dzaariyaat iaitu "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." Dan tak kurang juga yang akan kata, kita hidup dimuka bumi ini untuk menjalankan tugas sebagai khalifah Allah. Betulpun jawapan-jawapan tersebut. Cuma kalau boleh ditambah satu lagi alasan kenapa Allah menghidupkan kita dimuka bumi ini, adalah lebih menarik pandangan kita pada erti hidup kita ini.

Pernahkah kita memandang sebab kewujudan kita didunia ini adalah sebagai ujian pada diri kita dari Allah? Kata ustaz itu, Allah hidupkan kita kerana Allah ingin menguji kita, samada kita ini betul2 menyembah dan beribadat kepadaNya atau adakah kita menjalankan tugas kita sebagai khalifahNya. Dan Allah tidak uji individu tertentu, Allah uji kesemuanya. Setiap satu dari kita ini sebenarnya sedang diuji Allah.

Kita diuji dengan apa yang Allah beri pada kita. Allah beri kita akal, beri kita iman, beri kita harta, beri kita kudrat, beri kita kelapangan, beri kita nyawa, dan pelbagai perkara lagi - sebagai ujian pada kita, kalau kita sedar itu. Dan ini tidak bermakna, mereka yang tidak dikurniakan Allah dengan perkara2 yang abah sebutkan tadi, tidak diuji Allah. Untuk sesetengah manusia, Allah uji mereka dengan kemiskinan, dengan kekurangan ilmu, dengan kekurangan upaya, dengan kesibukan waktu, dan sebagainya. Semua orang, tidak terlepas dari ujian Allah.

Dan sepertimana ujian2 lain didunia inipun, jika ditanya, "Nak lulus ke tidak?", pasti sangat jawapannya nak lulus. Cuma dalam kes UPSR, PMR atau SPM, mungkin ada yang menjawab, "Lulus cukup makan pun cukuplah." Tapi dalam kes ujian Allah ini, abah tak tahulah kot2 ada juga yang akan jawab benda yang sama. Dan abah yakin, jawapan kita tidak akan sama. Kerana apa? Kerana kita tahu apa yang menuggu kita sekiranya kita lulus, dan sekiranya kita gagal. Kita beriman dengan hari akhirat, dan kita sudah diberitahu akan bentuk hari akhirat dan pengadilannya nanti.

Bagaimana nak lulus? Takde tips ke? Hehehe, part ini abah tinggalkan pada anda. Kerana abah yakin, pada yang berilmu, anda tahu bagaimana. Cuma yang penting, kena sentiasa ingat, yang kita diuji Allah, dan setiap masa kita diperhatikanNya. Bayangkan kalau kita kehidupan kita selama 24 jam sehari itu, diawasi oleh CCTV. Apa agaknya perlakuan kita? Mesti kita akan berlaku baik. Sebab sedar yang diri kita diawasi. Apatah lagi sekiranya Allah yang mengawasi kita itu.

Kalau anda nak tanya jawapan abah - rasanya inilah yang abah boleh kata. Dalam hidup, redha akan segala kurniaan Allah pada kita - samada kurniaan itu rahmat atau bala. Dan dalam pada itu, hiduplah sebaiknya menjadi hamba Allah dengan beribadat dan menyembah Allah senantiasa. Dan satu lagi yang penting, jangan ada sikitpun dalam hati sifat kesombongan. Bukan sombong apa pun, tapi sombong yang buatkan kita lupa, segalanya adalah dari Allah.

Abah ambil sikit contoh - kita berjaya dapat sesuatu, bukannya hanya kerana usaha kita sendiri, tapi banyaknya adalah dengan ihsan Allah. Abah menulis ini pun bukan semata2 usaha abah, tapi kerana ihsan Allah yang beri abah peluang kelapangan masa (walaupun dah makan sikit waktu bekerja), Allah beri abah peluang mempunyai laptop dan talian Internet. Allah juga beri abah ingatan untuk recall balik apa yang abah dengar 2 malam lepas, dan paling penting, Allah beri abah nyawa dan kesihatan tubuh badan, supaya abah boleh bernafas dan menulis. Bayangkan jika Allah tidak bagi semua itu, mustahil abah boleh buat penulisan blog pagi ini.

Itu sajalah dulu, sebab abah ada banyak perkara nak diselesaikan, hehehe, biasalah, bercuti 2-3 hari, banyak la benda yg kena buat.

Semoga jumpa lagi insyaAllah.

Friday, September 21, 2007

Cerita tentang peringatan, dan jiwa...

Petang semalam, seluruh rakyat bersedih, atas berita pengesahan bahawa mayat kanak-kanak perempuan yang dijumpai di PJ baru-baru ini adalah Nurin Jazlin, yang telah hilang dari rumahnya hampir sebulan lepas. Izinkan abah mengepek sedikit berkenaan apa yang berlaku ini.

Ibubapa Nurin sehingga berita pagi tadi, masih yakin bahawa mayat itu bukan anak mereka. Dan abah tidak mahu komen itu. Abah faham, sebagai ibubapa, sukar menerima kenyataan bahawa anak kesayangan meninggal dalam keadaan itu. Cuma dari satu segi, jika benarlah itu Nurin, mereka kena redha akan pemergiannya, walau sesulit mana pun rasa hati. Itu janji Allah, setiap yang hidup pasti akan mati. Dalam bulan ramadhan ini pun sebenarnya, kita sangat-sangat digalakkan supaya bersabar. Dan satu contoh sabar ialah dengan menerima kenyataan dan redha jika kehilangan orang tersayang. Kena yakin dgn janji Allah, dan kena terima bahawa setiap yang didatangkan pada kita, adalah milik Allah. Secara dasarnya, anak atau siapa saja itu, adalah milik kita, tapi hakikinya, dia milik Allah.

Sama seperti kejadian gempa diBengkulu baru-baru ini. Ia menuntut banyak kesabaran pada mereka yang mengalaminya. Redha dengan ujian Allah pada mereka. Dan dalam masa yang sama, mengkaji semula kenapa mereka diuji sebegitu. Kita yang diMalaysia ini pun. Kena turut sama-sama berfikir. Kenapa Allah gegarkan Bengkulu? Abah yakin itu adalah tanda peringatan Allah pada manusia, kita semua. Dan Allah uji sekejap saja, hanya dalam beberapa minit. Bayangkan kalau Allah uji dengan gegaran sehingga 1 jam?

Walaupun kejadian diBengkulu, namun diMalaysia tercinta ini pun, ramai yang bertempiaran lari turun dari bangunan2. Lihat saja dalam akhbar, ibu2 turun sambil menggendong anak turun dari rumah bertingkat mereka, kerana merasa gegaran tersebut. Kenapa lari? Kerana takut dengan gegaran. Gegaran itu apa? Itu peringatan Allah, atau mungkin hukuman. Dan kenapa sekadar lari kerana takutkan peringatan Allah - sedangkan dalam masa yang sama, kita ingkar banyak perkara.

Kata Ustaz Halim Din waktu tazkirah malam tadi - gempa bumi, tsunami, banjir - itu semua peringatan Allah pada manusia. Dan bukan sekadar perlu diterima akan peringatan itu, tapi perlu digunakan untuk muhasabah diri, dan perbetulkan apa yang difikirkan tidak betul. Semoga kita semua, didalam bulan ramadhan ini, akan dapat muhasabah diri kita sendiri, dan perbetulkan apa yang perlu kita perbetulkan. Bulan ini bulan kerahmatan, bulan keampunan.

Berbalik pada kes Nurin tadi, semua orang marah kepada si penjenayah itu. Sanggup memperlakukan perbuatan sekejam itu pada anak yang baru nak mengenal hidup dan kehidupan. Tapi dalam marah itupun, kita wajib berjaga-jaga, kerana bukan seorang manusia spt itu dalam masyarakat kita skrg ini. Abah yakin ramai yang semacam itu. Kerana apa? Menurut Ustaz Wan Akashah dalam MHI pagi tadi, itu adalah kerana manusia sekarang ini ramai yang sakit jiwanya, dan rosak akhlaknya. Bukan sedikit kita ini yang sakit jiwanya. Dan bila jiwa dah terlalu kotor, terlalu sakit, akan terjadilah perbuatan kejam semacam itu, yang pada abah, binatang pun tidak akan berbuat semacam itu.

Dan kenapa jiwa kita kotor? Kerana kemungkaran dan maksiat yang kita perbuat. Samada sedar atau tidak. Jika mengikut logik akal, apa saja jenis kekotoran perlu dibersihkan. Sama macam baju dan kereta kotor, kita akan basuh, akan bersihkan. Kalau abah tanya anda semua la kan, berapa kerap kita basuh baju, basuh pinggan, dan basuh kereta? Abah yakin kerap juga. Tapi berapa kerap pula kita membasuh jiwa? Wallahua'lam. Kita dan Allah saja yang mengetahuinya.

Susah bila kita tidak nampak kekotoran jiwa, kerana ia tidak sepertimana kita nampak kereta kita kotor. Dan bimbang sekiranya kekotoran jiwa itu tidak dibersihkan, lama2 ia jadi makin kotor, hingga kita sudah tidak nampak lagi dimana kesucian jiwa itu.

Bagaimana nak membersihkan jiwa? Dengan beribadat kepada Allah, dengan memohon ampun pada Allah, dengan berzikir pada Allah, dengan membaca ayat-ayat Allah, dll.

Apa yang abah tulis hari ini sebenarnya adalah rangkuman dari apa yang abah dengar dari tazkirah2 malam tadi dan pagi ini, ditambah sesedap rasa oleh abah sendiri. Bukan sekadar peringatan untuk anda, tapi yang lebih penting, untuk abah sendiri.

Sama-samalah kita merebut keampunan Allah dibulan Ramadhan ini. Semoga Allah mengampunkan dosa kita, menyucikan jiwa kita. Menjadikan kita hamba yang baik. Dan untuk kanak-kanak malang itu, semoga rahmat dan kasih sayang Allah akan tetap bersamanya. Salam takziah dari abah buat ibubapa dan keluarga kanak2 yang jadi mangsa itu(samada Nurin atau orang lain).

P/S: Semalam baru abah tahu satu benda baru: Waktu yang paling baik untuk kita memohon pada Allah ialah waktu bersahur.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)**

**Terima kasih Arsaili.

Thursday, September 20, 2007

Cerita tentang dosa dan keampunan...

Hari ini tidak ada apa nak diepekkan. Cuma nak berkongsi satu lagu yang merdu alunannya, dan berkesan liriknya (itupun jika difahami dan dihayati). Harap lagu ini dapat memberikan kita sesuatu yang baik, insyaAllah.

Muat turun

Ku persembahkan kepadaMu tuhan sekelian makhluk harapanku
sekalipun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha pemberi dan pemurah
tatkala keras hatiku dan sesak perjalanan hidupku
ku jadikan rayuanku sebagai jalan mengharap keampunanMu
maka bilamana Engkau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini
kurniaanMu dan keampunanMu adalah rahmat dan kemuliaan

Bukankah Engkau yang memberi aku makan dan hidayah
dan janganlah Engkau hapuskan kurniaan anugerah dan ni'mat itu kepadaku
semoga orang yang memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku
dan menutup dosa-dosaku dan setiap perkara yang telah lalu

Sekiranya Engkau ampunkan aku, ampunkan dari kederhakaan
kezaliman, penganiayaan yang tak akan terhapus di hari berhimpun kesedihan
dan jika Engkau membalas seksa terhadapku, aku tidak akan berputus asa
sekalipun dosa-dosaku itu memasukkan diriku ke neraka

Dia adalah seorang yang fasih ketika menyebut/mengingati tuhannya
dan bilamana dia bersama selain tuhannya di dunia ini dia membisu
dia berkata: Kekasihku, Engkaulah tempatku meminta dan berharap
cukuplah Engkau bagi yang berharap sebagai tempat bergantung dan memohon

Ku pelihara kasihku yang dicemari nafsu
dan akanku jaga janji kasih yang telah tercalar
di saat ku jaga, aku rindu, dan di saat ku lelap, aku berharap
mengiringi langkahku dengan penuh semangat

Maka dosaku adalah besar dari dulu dan kini
sedang keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih agung dan lebih mulia...

P/S: Lirik ini abah petik dari Lambaian Al-Azhar.

Tuesday, September 18, 2007

Cerita tentang Ummi...

Abah ke blog UncleJ, dan terlihat satu lagu arab nyanyian Amr Diab ada kat situ, tapi sayang bila klik, tak keluar bunyi apa2 (dah ok ke Uncle?). Sebabkan abah nak dengar lagu tu, abah ke YouTube. Tajuk lagu tu macam bagus - El Aleem Allah, tapi bila tengok video kat Youtube, aduhaiii. Dan bila ditilik2 liriknya, itu sememangnya lagu cinta.

Daripada komen yang diberi pada video Amr Diab itu, abah kemudian tahu akan kewujudan seorang penyanyi nasyid arab yang bernama Ahmed Bukhatir. Bila abah cuba lihat video lagu-lagu AB, Maha Suci Allah - sungguh indah dan merdu lagu-lagunya. Lirik-liriknya juga membawa pengertian yang baik, untuk mereka yang menghayati. Dan dari beberapa lagu yang sempat abah lihat (abah ni takde kerja ke ni dok tgk video jer? :-)), ada dua lagu yang abah suka. Satu lagu untuk 'buah hati pengarang jantung' abah (yang akan abah kongsi dengan anda kemudian), dan satu lagi adalah lagu untuk mereka yang bergelar ibu.



Ya Ummi--Ahmed Bukhatir

I will come back mother
Kissing your luscious head
Divulging my longing to you
And sipping your right hand's essence
Nuzzling my cheek in your feet's soil
Watering the ground with my joyful tears

How many nights you were sleepless
Working to get me sleeping like a kid
And how many times you were thirsty
But you worked to water me with all tenderness
And I will never forget your rainy eyes when I was sick
And your restless eye scared of any danger may happen to me

And what about our farewell in that dawn
What a hard dawn it was
No heart can ever describe the abandonment that you faced by me
Then you said something I couldn't forget up until now:
It's impossible that you will find warmer arms than mine

Oh my ( life's joy )
The Creator of the universe commanded me to be loyal to you
Your content is the secret of my good fortune
And your love is my faith's sparkle

Don't be sad mother
Here am I
I came to you with teary eyes
Don't be sad mother
There will be no separation from now on
Until the separation of death...

Versi BM [abah ubahsuai berdasarkan lirik yang disumbangkan oleh seseorang]:

Ku akan segera kembali wahai ibu kan ku kecup kening suci mu
Kan ku tumpahkan segala rinduku dan ku cium farfum mu
Bersimpuh di kedua kakimu dan menempelkan pipiku pada kaki mu
Kan ku basahi tanah dengan aimataku kerana bahagia berdekatan denganmu lagi

Berapa malam kau terjaga hanya agar aku tertidur puas
Dan berapa kali kau menahan dahaga hanya untuk menghilangkan hausku dengan kelembutanmu
Dan pada waktu sakitku takkan ku lupa air matamu yang jatuh seperti hujan
Dan mata itu yang tak pernah terpejam kerana risau akan diriku

Dan waktu perpisahan kita di subuh yang sangat berat dan menyiksakan
Kau berkata dengan sendu kerana sedih akan kepergianku
Dan kau melafazkan sebuah kalimah yang tak mungkin ku lupa
Tak akan pernah kau temukan hati yang menyayangimu melebihi hatiku

Dengan berbakti kepadamu wahai tumpuan hidupku
Tuhan semesta berpesan kepadaku
Keredhaanmu adalah rahsia kejayaanku dan mencintaimu adalah tanda kesempurnaan imanku
Dengan doa ikhlasmu hilanglah segala kesusahan dan kesedihan hatiku
Kasih sayangmu tak kan tertandingi oleh siapa pun di dunia ini

Engkau adalah detak jantungku
Engkau adalah cahaya mataku
Dengan memandang wajahmu hilanglah segala kesusahanku
Wahai ibu aku kan segera kembali esok, untuk beristirahat dari pengembaraanku

P/S: Memetik sedikit epekan abah dari posting Cerita tentang pengorbanan ibu... sebelum ini:

Sesungguhnya ibu sangat layak untuk dikasihi, disayangi, dijaga hingga keakhir hayatnya. Bukan sikit pergorbanan dan jasa ibu. Saat bersalin pun dah diuji Allah dengan seribu macam keperihan, membesarkan dan mendidik anak lagilah hebat. Untuk anak-anak yang rasa kasih sayang telah tidak ada, ataupun berkurang, terhadap ibu, fikir2lah semula. Renung2kanlah jasa dan pengorbanan ibu. Walaupun anda boleh kata, memang dah itu tanggungjawab ibu, tapi jangan nafikan kesusahan dan kerja keras mereka membesarkan anda. Setiap kali rasa kecil hati dengan ibu, lihatlah video ini, dan ingatlah, kecik hati anda itu tidak ada tandingannya dengan seksanya ibu melahirkan/membesarkan anda.

Monday, September 17, 2007

Cerita tentang berbuka...

Pagi ini, abah terbaca satu surat pembaca dalam akhbar BH, dengan tajuk Tiada salah berbuka puasa di hotel. Kata penulis itu, "Tidak perlulah kita mempersoalkan perkara remeh kerana banyak lagi masalah besar melanda umat Islam perlu kita renungkan bersama bagaimana untuk kita mengatasinya." Betul juga kata dia. Kita hari ini soal berbuka puasa disurau pun jadi satu isu. Padahal banyak lagi isu lain yang boleh dibangkitkan dan bincangkan, serta dipelajari sesuatu.

Dan abah bukanlah nak persoalkan isu berbuka puasa dihotel ni, cuma nak berkongsi sikit ilmu yang abah dapat dari perbincangan Dr. Robiah dan pengacara MHI di TV3 pagi tadi yang juga berbicara tentang itu. Kata Dr. Robiah, lebih kurangnya, soal berbuka di hotel ni sebenarnya kena rujuk balik kepada apa tujuan puasa itu. Adakah pada kita tujuan puasa itu sekadar menahan lapar dahaga, atau ianya lebih dari sekadar berlapar? Adakah ianya untuk mendidik diri dan jiwa kita. Adakah ianya untuk memberi kita berkongsi perasaan mereka yang tidak mampu? Atau apa.

Sebab kalau kita sekadar berpuasa adat, iaitu berpuasa menahan lapar dahaga (dan tidak nafsu2 lain), maka itulah yang selalu akan terjadi. Waktu berbuka kita makan sepuas-puasnya. Bila ke PR, kita borong apa yang kita hendak makan, kerana mungkin kita beralasan, sebagai mensyukuri nikmat Allah. Betul. Tapi kalau sampai tahap berlebih-lebihan, maka itu sudah lari dari tujuan asal Allah suruh kita berpuasa. Memang kita guna duit hasil titik peluh kita, dan memang walaupun kita membeli makanan yang banyak itu kerana kita terlebih mampu, tapi rasanya kalau kita kaji balik tujuan berpuasa, kita pasti tidak akan berbuka puasa ikut adat. Selagi muat, kita melantak [maaf cakap]. Abah tak kata orang, abah juga macam itu. Sekali pergi ke PR, hampir semua benda rasa nak beli , dan kadang-kadang abah memang beli, walaupun tahu sebahagiaannya akan masuk ke tong sampah.

Secara peribadinya, abah fikir, boleh sesekali kita nak berbelanja buka puasa dihotel, asal saja kita mampu. Cumanya kalau kita boleh berbuka puasa sekadar ajaran agama(iaitu sekadar kenyang perut bagi memberi kita tenaga untuk beribadat sepanjang malam, insyaAllah, maka itu abah rasa lebih-lebih baik. Dan kalau kelebihan kemampuan yang kita ada itu, kita salurkan kesaluran yang lebih memerlukan, abah fikir, itu lagi2lah lebih baik.

Bukan nak kata mereka yang mampu makan dihotel ini tidak menderma, tidak. Mungkin merekalah yang paling banyak menderma. Cumanya, kalau boleh diagihkan belanja makan dihotel itu kepada orang yg lebih memerlukan, lebih baik. Dan kalau betul buka puasa dihotel itu boleh tingkatkan rasa keimanan dihati, maka buatlah.

Itu sajalah untuk pagi ni. Lain kali abah mengepek lagi, insyaAllah.

Sebelum itu, takziah buat rakan seIslam di Indonesia yang mengalami kejadian gempa bumi baru2 ini. Semoga mereka kuat dan tabah menghadapi ujian Allah dibulan penuh kerahmatan ini. Dan kita di Malaysia ini, perlu sangat2 bersyukur kerana kita tidak diuji Allah sebegitu.

Friday, September 14, 2007

Cerita tentang maya...

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, abah ada menerima sambutan salam perkenalan dari beberapa kawan - yang kesemuanya adalah kawan maya. Dan alhamdulillah, mereka adalah dari kalangan orang yang ingin berkenalan atas dasar persaudaraan dan ukhwah.

Ini bukan pertama kali abah dapat kawan2 maya sebegini, sejak dari abah mula menggunakan teknologi internet ini dgn kerap, memang ada ramai kawan2 maya yang abah ada. Dan inilah satu sebab abah bersyukur yang Allah berikan idea pada bijakpandai yang mereka teknologi Internet ini. Kerana abah secara peribadinya fikir yang Internet ini sungguh banyak kegunaannya pada diri kita sekarang ini. Asal saja digunakan
untuk tujuan, dengan cara, pada masa - yang betul.

Berbalik pada cerita kawan maya ini, sebenarnya kawan2 maya ini pun lebih kurang sama dengan kawan fizikal yang kita ada. Bezanya cuma kita tidak kenal kawan maya ini secara nyatanya. Bila bersembang atau bertukar2 cerita, segalanya hanya melalui medium Internet. Berbeza dengan kawan fizikal, yang kita akan berdepan dgn mereka untuk bersembang. Tapi istilah itu boleh berubah pun. Ada masanya, kawan maya akan bertukar jadi kawan fizikal. Dan banyak ketikanya, kawan fizikal bertukar jadi kawan maya. Macam kawan2 abah la. Kebanyakan kami dah jadi kawan maya, atas banyak sebab yang tidak dapat nak dielakkan. Tapi tak kisahlah itu, asal saja jalinan ukhwah dan persahabatan itu masih tetap dihati. Jadi kawan maya pun adalah lebih baik, daripada kawan menghilang terus, dan kita pun tak tahu apa cerita mereka.

Dan bercerita ttg kawan maya ini, teringat satu kisah yang berlaku, tak silap abah hampir setahun yg lepas. Ada seorang hamba Allah menghantar emel kepada abah dengan menyertakan foto dia. Dan isi kandungan emelnya buat abah tersenyum, dan dalam masa yang sama jadi kesian. Tahu apa katanya? Kata dia, "Nah, ambik la gambar aku ni, dan tunjukkan la pada awek yang nak dikenalkan tu". Lebih kurang begitulah bunyinya. Rupanya emel itu ditujukan pada sahabatnya yang lain, dengan tujuan untuk beri gambar dia supaya kawan tadi beri pada bakal permaisuri dalam hidup dia. Dan abah kesian, kerana dia telah tersalah orang.

Kerana kesian itu, abah balas emel dia. Daripada situ, dan selepas beberapa kali bertukar emel, kami akhirnya jadi kawan baik. Alhamdulillah, hingga kehari ini, dia masih tetap jadi kawan baik. Walaupun lebih kerap berhubungan secara maya, namun itu tidak jadi masalah, kerana abah tahu apa cerita yang terjadi dalam hidup dia sehari2, dan diapun sentiasa tahu apa cerita yang berlaku dalam hidup abah.

Bukan setakat emel saja, ada kawan maya yang abah dapat dari YM, ada yang dari blog, dan macam-macam lagi. Dan alhamdulillah, hanya kerana teknologi itu, dan dengan izin Allah, abah berjumpa dengan pelbagai jenis manusia. Jika tidak kerana internet, abah pun mungkin tak kenal Kak Mis yang sangat kreatif membuat kek itu, dan juga Ustaz Muda yang sungguh ligat berniaga secara atas talian. Dan jika tidak kerana internet juga, Bang long, Irman sekeluarga, Anim, Hana, Muzem serta beberapa kawan lagi mungkin tidak abah kenal pada ketika ini.

Berkawan maya - ada yang kenal sekejap, ada yang berkawan lama, dan ada yang jadi rapat dengan abah pun. Apapun, pada abah, Allah datangkan mereka itu semua pada abah (atau mungkin datangkan abah kepada mereka) atas sebab-sebab yang Allah saja yang Maha Mengetahui. Walaupun akan ada orang kata, bukan semua kawan maya ini boleh dipercayai (dan abah tidak boleh nafikan kenyataan itu), namun abah yakin, sekiranya asas persahabatan dan perkenalan itu dilandaskan atas agama Allah, hasilnya akan jadi baik. Bukan tidak pernah terkena dengan kawan2 maya ini, tapi itu cuma sebahagian kecil dari sekian banyak kebahagiaan yang dibawa oleh kawan2 maya yang lain.

Untuk kawan2 maya abah yang membaca blog ini. Terima kasih atas persahabatan yang dihulurkan. Semoga ianya akan kekal untuk selamanya, walaupun abah tahu sukar untuk pastikan itu terjadi. Walau kadangkala sekejap saja kehadiran anda sebagai kawan abah, tetap abah hargai usaha itu. Dan abah tidak berharap tinggi pun pada kawan2 maya ini. Cukuplah sekurang2nya, pada hari2 abah tidak berapa ceria, ada kawan yang mampu buatkan abah tersenyum sendirian di depan laptop abah. Itu dah cukup untuk buat abah berterima kasih. Dan percayalah, abah pun sangat2 berharap agar dapat buat perkara yang sama untuk anda.

P/S: Selamat berpuasa untuk hari kedua Ramadhan kali ini. Semalam waktu tazkirah sebelum tarawih, ustaz mengulas tentang "Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling nasihat menasihati dalam kebenaran dan kesabaran." (Surah Al-Ashr, Ayat: 1-3). Ringkas saja ayatnya, namun sangat dalam maksudnya, dan sangat banyak perkara yang ingin difikirkan oleh kita yang membacanya. Satu contoh manusia rugi yang diberi oleh ustaz, adalah manusia yang tidak menunaikan solat maghrib, hanya kerana sibuk berniaga diPasar Ramadhan. Kerana terlalu sibuk dengan rezeki yang Allah beri pada dia dalam berniaga, tidak sempat untuk dia menyembah Allah pada waktunya. Kalaulah dia tahu setiap rezeki yang Allah bagi itu akan ditanya semula diakhirat kelak, pasti dia tidak akan sanggup meninggalkan solat. Dan harap2nya kita tidak sebegitu, insyaAllah.

Wednesday, September 12, 2007

Cerita tentang mati, dan ramadhan...

Setiap pagi, kebiasaannya abah akan beri ikan-ikan guppy makan dahulu sebelum abah kepejabat. Dan pagi tadi, sebelum sempat abah lontarkan kiub cacing beku kedalam kolam guppy itu, abah terkejut bila lihat semua guppy abah mati. Pagi semalam elok saja depa berebut makan cacing yang abah bagi, dan pagi ni, depa tidak berebut lagi. Sedih juga bila lihat guppy abah mati. Tapi bila abah tengok betul2, ada beberapa ekor lagi yang masih hidup. Abah pindahkan yang masih hidup itu kedalam akuarium kecil. Bimbang depa juga akan mati.

Itulah yang sering berlaku pada minat abah yang satu ini. Selepas berbulan2 abah pelihara, mesti akan selalu berakhir dengan kematian. Bukan abah menolak kematian depa, cuma abah rasa terkilan, sebab kebanyakannya mati sekaligus. Jika dulu, mungkin sebab abah kurang berpengetahuan ttg bagaimana nak pelihara ikan, tapi kali ini, abah dah buat apa yang kebiasaannya dibuat. Tukar air kolam bila dah keruh sangat, masukkan garam, masukkan anti-klorin. Dan takdir Allah, guppy2 abah mati juga.

Dan selepas ini, abah akan berhenti sekejap selama beberapa bulan, sebelum tangan abah akan gatal balik untuk memandu kereta ke kedai ikan, dan borong ikan2 untuk dipelihara lagi. Ummi dah banyak kali nasihatkan, tapi biasa la, abah ni degil sikit. Ada satu kepuasan sebenarnya memelihara ikan ni, terutamanya bila tengok depa berenang, tengok depa berebut2 makanan. Akan dtg rasa tenang dalam diri bila lihat ikan2 itu. Muizz bila abah buat2 tanya pagi tadi, "Kenapa ya ikan guppy kita mati?", selamba saja dia kata, "Allah yang matikan!". Bukan itu jawapan yg abah jangka, tapi syukur pada Allah, si kecik itu sudah boleh faham sedikit apa yg abah dok ajar. Terima kasih ya Allah.

Sempena Ramadhan, abah sekeluarga nak ucapkan Selamat Menunaikan ibadah puasa, dan ibadah2 lainnya, sepanjang Ramadhan kali ini. Mohon maaf andai ada sebarang silap apa yg abah tulis, dan apa yang abah kata, dalam kita kenal satu sama lain ini. Kita sama-sama berdoa moga Allah tidak jemput kita sebelum kita berjaya tamatkan Ramadhan ini dengan cemerlang. Semoga tahun ini juga, Ramadhan
kita akan lebih terisi dan lebih bermakna buat diri kita - dari segi hubungan kita dgn Allah Maha Pencipta, dan juga hubungan sesama insan.

Monday, September 10, 2007

Cerita tentang 'double park'...

Hari Sabtu petang abah pergi ke pasar malam diPaya Jaras, dan seperti biasalah kalau hari sabtu disitu, trafik agak sesak, nak park kereta pun susah. Rezeki abah agaknya, kebetulan ada satu ruang kosong utk abah park. Maka abah pun park la kereta kat situ, tapi abah serta Muizz dan cousin Muizz tinggal dalam kereta, Ummi saja yang kepasar malam. Nak diceritakan waktu abah park itu, ada satu family dah habis membeli, dan nak balik, tapi mereka tak boleh balik sebab kereta mereka tak boleh nak keluar. Ada sebuah Vios park betul2 kat depan kereta mereka. Lama jugalah abah rasa mereka tunggu, sebab sepanjang 15 minit abah tunggu Ummi, tuanpunya Vios tak datang2 juga. Abah tak tahulah pukul berapa mereka dapat keluarkan kereta mereka. Tapi abah kesian la pada mereka.

Dan pagi semalam, abah ada kelas tutorial di UIA PJ. Abah datang tidaklah terlalu awal, tapi agaknya sebab semalam adalah kelas pertama semester ini, maka ramai pelajar datang lambat. Waktu abah sampai, kawasan parking depan bilik2 tutorial agak kosong. Maka abah dengan sukahatinya pun, park la kereta kat situ, sebab betul2 berdepan dengan kelas abah. Selalunya abah park dikawasan lain, tapi entah kenapa pagi semalam, rajin la pulak abah park kat situ. Habis je kelas abah, abah nak balik, sekali tengok, ada satu Waja dan park betul2 depan kereta abah. Aduihhh mak. Kalau ptg Sabtu abah kesiankan orang lain, tapi pagi semalam, abah terpaksa kesiankan diri abah sendiri. Nak keluar tak boleh, sebabnya, tuanpunya Waja yang dok double park itu agaknya tidak tahu apa 'rule' untuk double park.



Memandangkan kelas tamat pukul 5 petang, maka terpaksalah abah naik komuter balik ke Sg Buloh dulu, dan pukul 5 petang, abah ajak Ummi datang ambik kereta semula.

Bukan la nak marah atau apa, cuma abah rasa pemandu2 diMalaysia ni, masih tak faham2 kaedah double park. Bila dah tak ada tempat, buat double park sajalah, malah ada pernah nampak triple park. Bukan tak boleh, boleh, asal saja tahu rulenya. Kalau dah double park, fikirkanlah sikit kalau2 tuanpunya kereta yang park ditempat yang betul itu nak keluar. Kesian la kat dia.

Kalau nak double park, pastikan brek tangan tidak ditarik, supaya senang kereta anda digerakkan kedepan atau belakang, membolehkan orang lain boleh keluar parking. Dan kalau tak pun, tinggallah nombor telefon anda, supaya orang boleh hubungi anda sekiranya dia nak keluar. Satu lagi, kalau dah tahu anda nak park kereta untuk satu jangkamasa yg lama, tolonglah jangan double park. Menyusahkan hidup orang lain saja. Anda sepatutnya susahkan hidup anda sendiri dengan mencari tempat yang sesuai untuk park kereta anda. Itu lebih baik daripada disumpah seranah oleh tuanpunya kereta yang anda hadang itu. Bertimbangrasalah, kita sama2 pengguna.

Friday, September 07, 2007

Cerita tentang berita...

Ada beberapa berita dalam akhbar kebelakangan ini yang buat abah sikit risau. Tapi itulah, risau je la, tak buat apa pun. Haha.

Berita 1 - Pelajar kena serangan jantung depan pagar sekolah.

Baru 16 tahun, dah kena serangan jantung. Abah yang lagi tua ni, harap2 tak la ditimpa ujian macam ini. Tapi setakat berharap saja, tak boleh pakai juga kan. Kena la buat sesuatu, untuk mengelakkan terjadi perkara yang sama.

Berita 2 - Saiz pinggang beri kesan negatif kepada paru-paru.

Kata berita tu - Secara umum, satu sentimeter pertambahan dalam ukuran lilitan pinggang dikaitkan dengan 13-mL, pengurangan dalam keupayaan fungsi organ utama iaitu jumlah air yang boleh dilepaskan daripada paru-paru.

Tahu kenapa abah patut risau? Sebab sejak kebelakangan ni, abah dah mula kena tukar seluar, sebab saiz pinggang dah bertambah sebanyak 1 inci. Aduihhhh.

Dan petang semalam, sewaktu abah berjalan2 di The Store Sg Buloh, ada sorang promoter suruh abah cuba mesin urut mereka. Abah pun cuba la, kebetulan masa tu tengah tunggu kereta siap baiki. Yang tak syoknya, sewaktu cuba, sempat lagi dia tanya kat abah, "Abang ni mengandung ke?". Aduihhh mak. Nasib baik la abah sedar keadaan diri, kalau tidak......

Berita 3 - Bapa boleh jadi punca anak jadi ‘mak nyah’.

Ini berita yang abah baca dalam Sinar Harian. Maaf, tak ada berita lengkap kerana SH cuma letak ringkasan saja dilaman webnya. Kata mereka - "Kehadiran bapa yang terbatas dalam keluarga merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan anak lelaki cenderung kepada tingkah laku wanita atau ‘mak nyah’, kata pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia, Dr Zulkifli al-Bakri."

Yang ini pun abah risau, bukan risau apa. Sebab abah berkemungkinan akan terpaksa berjauhan dari keluarga nanti, mungkin untuk satu tempoh yang lama. Apapun, moga2 Allah lindungi anak lelaki abah yang seorang itu (dan mungkin yang akan datang ini, insyaAllah) daripada menjadi 'mak nyah', hanya kerana abah tidak selalu ada disamping mereka nanti.

Itu sajalah kot, nak berkongsi kerisauan abah dgn anda. Selamat berhujung minggu untuk anda semua. Semoga hujung minggu ini adalah yang menggembirakan anda, insyaAllah.

Monday, September 03, 2007

Cerita tentang 31 Ogos 2007...

Hari ni dah 3 September, tapi abah masih nak mengepek tentang 31 Ogos. Boleh kan? :-)

31 Ogos, tarikh yang rata2 warga Malaysia akan tahu apa harinya. Budak-budak pun dah pandai dok melaung2kan Merdeka, walaupun depa tak faham sangat apa maknanya merdeka. Tapi tak banyak bezanya dengan orang2 tua pun. Ramai juga warga2 dewasa Malaysia yang sangat pandai laungkan kata Merdeka, walhal depa pun tak tahu apa itu maknanya perkataan itu. Hanya sebab orang sebut, kita sebut. Hanya sebab orang raikan, kita sama raikan. Atau paling hebat, hanya kerana hari itu cuti dari bekerja, maka kita sambut gembira "cuti merdeka".

Berbalik pada makna merdeka, apakah maknanya pada anda? Abah yakin anda rakan2 blog abah mesti ada pengertian merdeka itu dalam hati anda, samada terluahkan atau tidak. Dan abah pun ada pemahaman dan pengertian sendiri pada merdeka - yang mungkin sama, mungkin tidak sama dengan anda.

Kata abah, merdeka itu perjuangan. Perjuangan yang bukan sekadar menuntut kemerdekaan tanah tumpah darah, tapi perjuangan memastikan minda dan jiwa kita juga bebas. Merdeka itu perjuangan memastikan kehidupan kita akan kekal baik, dan akan bertambah cemerlang. Merdeka bukan sekadar mengenang kisah2 pejuang2 kemerdekaan 50 tahun lebih yang lepas. Sejarah hanya sebahagian dari kemerdekaan, yang tidak boleh kita lupa, tapi tidak perlu kita terlalu fokus padanya. Cukup sekadar anak bangsa mengenang erti perjuangan mereka. Yang lebih penting, adalah untuk anak bangsa meyambung cita2 dan impian sejarahwan2 merdeka itu. Abah sangat yakin Tunku Abdul Rahman dan mereka lain yang berjuang untuk kemerdekaan punya cita2 dan pengharapan yang lebih dari itu. Bak kata salah satu iklan kemerdekaan, "Mampukah apa yang kita bina hari ini membawa kita kehadapan?". Mesej yang cuba disampaikan oleh Petronas mungkin pada setengah kita hanya sekadar memenuhi komitmen mengeluarkan iklan. Tapi pada abah, maknanya lebih dari itu. Itulah satu benda yang perlu kita jawab, seikhlasnya, dalam menentukan hala tuju negara merdeka kita ini.

Apa yang abah nampak hari ini bukanlah satu jawapan yang baik pada persoalan itu. Kita boleh kata kita merdeka, tapi hakikatnya banyak perkara yang kita belum merdeka. Atau untuk sedapkan kata, kita boleh kata kita merdeka dengan cara kita sendiri. Contoh paling baik, adalah sewaktu abah ke Pantai Irama, Bachok hari sabtu itu hari. Sampah sarap merata2 tempat. Bukan kucing atau kambing yang buat sampah itu, tapi manusia2 merdeka diMalaysialah yang membuang sampah2 itu. Semalam juga waktu abah memandu balik ke KL, kereta agak sesak. Dan disebalik ramai yang sabar menanti giliran bila tiba kesesesakan waktu lampu trafik merah, ramai juga lagi warga merdeka yang memilih untuk memotong barisan. Agaknya itulah antara contoh yang ingin kita tunjukkan pada dunia, bahawa kita adalah rakyat merdeka. Hahaha, mungkin tak nampak kaitannya antara sikap dengan kemerdekaan, tapi percayalah, ia lebih dari berkait. Warga merdeka adalah warga yang berpekerti sikapnya. Atau mungkin itulah antara sikap warga merdeka pada kita.

Oklah, tutup bab erti merdeka. Abah nak kongsi dengan anda 2 iklan TV sewaktu merdeka baru2 ini yang abah suka. Banyak sebenarnya iklan yang abah suka, kerana mesej dan keunikannya, tapi dua ini yang abah paling suka. Iklan TM adalah kerana mesej yang ingin dibawa, yang pada abah, tak ramai yang nampak perkara itu. Dan iklan kedua dari Petronas, ada juga makna yang nak dibawa, walaupun ia mungkin jadi kontroversi pada setengah kita. Tapi pada abah, iklan itu 'cute'.






Dan untuk kami sekeluarga, 31 Ogos setiap tahun bermula 2000, bukan sekadar sambutan merdeka semata. Kerana 31 Ogos adalah hari ulangtahun perkahwinan abah dan ummi, yang alhamdulillah telah masuk tahun ke-7. Dan kali ini, agak istimewa sikit, kerana ummi dan abah dapat meraikannya bersama2 dengan sebahagian adik beradik dan anak2 buah yang ramai itu dikampung. Untuk Ummi, 31 Ogos 2007 adalah tarikh genapnya 7 tahun masihi abah mengecap erti bahagia hidup berumahtangga. Terima kasih atas segala-galanya yang Ummi berikan pada abah - kasih sayang, kesetiaan, kejujuran, kelembutan, doa harapan, anak jantan kesayangan dan hasil air tangan - yang tidak pernah jemu menikmatinya.

Dan abah tujukan satu lagu baru dari Anuar Zain untuk Ummi, sempena tahun ke-7[nombor kegemaran abah ni!] ini. Ini bukanlah lagu terbaik Anuar, tapi tak kisahlah itu, yang penting liriknya yang ingin abah tujukan pada Ummi, dan izinkan abah untaikan sedikit kandungan lirik yang bermakna itu...


Lelaki ini yang selalu mencintamu
Selalu, tanpa ragu
Lelaki ini yang selalu memuja
Hanya dirimu
Yang bertakhta dalam sanubariku
Sanubari ku
Aku yang mencintakan mu
Hanya dirimu…

Karena cintaku, tak berbatas waktu
Karena cintaku, tak mengenal jenuh hatimu
Hatimu…

p/s: Abah juga nak ucapkan Selamat menyambut ulangtahun kelahiran ke-50, buat seorang sahabat dan abang yang sangat abah kasihi dan hormati. Banglong, abah tahu tahun ini adalah tahun penuh makna untuk abang, dan semoga tahun2 kehadapan akan lebih gemilang buat banglong, insyaAllah.