Thursday, July 26, 2007

Cerita tentang iktiraf, dan dakwah...

Petang ni abah nak mengadu sikit kat blog ni, bukan mengadu apapun, sekadar nak menghilangkan rasa lara dihati.

Laranya hanya kerana 'appraisal' kerja. Baru kejap tadi boss abah panggil, dan sejarah tahun lalu berulang semula, abah keluar dari bilik boss dengan satu rasa terkilan amat sangat.

Bukan abah pertikaikan penilaian boss, tapi gaya boss membaca dan menilai apa pencapaian abah sepanjang tahun lepas buat abah kecil hati betul. Boss seolah2 sedang membaca dan mengisi borang kemasukan ketadika untuk anaknya sewaktu menilai borang appraisal abah.

Abah tidak harap boss akan kata abah cemerlang, tapi sekurang2nya boss beri 'acknowledgement' apa kerja keras abah selama ni. Dan perkara yang paling mengejutkan abah:-

Abah: "Boss, rating yang boss bagi ni dah final ke? maksud saya, pihak HR akan ambil kira rating ni ke nanti [untuk increment dan bonus]?"

Boss: "Eh, taklah. Kalau saya bagi 'commendable', pihak HR akan jadikan 'meet requirement'".

Abah: "Ohh, pihak HR memang akan downgrade rating yang boss bagi la."

Boss: "A'ah, memang diaorang akan buat macam itu".

Dan bila melihat rating yang boss abah bagi untuk abah, abah jadi kelu, dan malas nak bersuara lagi. Masa itu juga rasa kecewa datang dalam hati.

Kejadian yg sama juga menimpa rakan2 sekerja abah yang lain hari ini.

Tak apalah, adalah tu hikmah kenapa abah dapat macam itu. Apapun, kerja tetap kerja, kerana abah diberi gaji setiap bulan, dan semoga kerja2 abah selama ini, dan akan datang, adalah kerja yang "kerana Allah", insyaAllah.

Tutup bab itu.

Sekarang nak sentuh sikit bab "mendidik diri, keluarga, dan masyarakat." Seperti yang dikatakan Hilmi, kita kena sebarkan Islam pada semua orang, paling tidak pun orang yang didalam "area of influence" kita. Abah setuju dengan kata-kata Hilmi. Dan abah faham apa yang Hilmi maksudkan.

Memang betul, kerja menyebarkan Islam dan berdakwah pada orang lain, adalah tanggungjawab setiap muslim. Tidak salah berdakwah walaupun diri kita dan keluarga kita tidak seperti yang kita dakwahkan, kerana berdakwah itu perlu.

Cuma pada abah, dalam kita berdakwah dan menyampaikan ajaran Allah ini, lebih baik kalau diri kita dan keluarga kita didakwahkan dulu, baru pergi kepada orang lain. Diri kita baik, diri keluarga kita baik, maka dakwah kita pada orang lain, insyaAllah akan lebih baik.

Kenapa abah kata macam itu? Abah kata, sebab pada penilaian abah, masyarakat kita adalah masyarakat yang menilai. Menilai peribadi orang lain. Anda bayangkan ada seorang perokok datang bagitahu anda "Janganlah merokok, bahaya untuk kesihatan" sedangkan dia sendiri tengah berkepul2 asap rokoknya, adakah anda akan mendengar dan patuh pada nasihat dia? Mungkin ya, sebab orang kata "Dengar apa yang dikata, bukan siapa yang mengatakannya". Tapi abah yakin majoriti akan tidak berapa hiraukan nasihat itu walaupun mereka tak nafikan nasihat itu betul. Kerana apa? Kerana sipenasihat tidak menunjukkan apa yang sepatutnya, atau kata org muda, "Cakap tak serupa bikin".

Sama juga macam berdakwah. Kalau abah didatangi orang yang menyeru abah supaya memastikan keluarga abah menutup aurat, abah takkan kata seruannya itu salah. Tapi abah mungkin tidak berapa nak hirau sekiranya abah tengok ahli keluarga orang itupun tidak tutup aurat dengan betul.

Sebab itu abah kata dulu, berdakwah memang perlu, tapi dakwah diri kita dulu, kemudian dakwah pada ahli keluarga kita, dan seterusnya dakwah pada orang lain. Jika kita dah berdakwah pada ahli keluarga dan mereka mungkar juga, itu cerita lain.

Teringat kata2 seorang saudara baru satu ketika dulu dalam video yg abah tonton. Katanya, "Saya tidak nampak keindahan Islam, kerana orang2 Islam disekitar saya sama saja tingkahlakunya dengan orang bukan Islam". Dan abah setuju dengan apa yang dikata.

Kalau dibaca kisah2 saudara baru pun, ramai yang tertarik dengan Islam, bila melihat akhlak pekerti muslim mukmin lain yang mengikut ajaran Allah dengan baik. Dari situ, mereka mendekati Islam dan mempelajari keindahan Islam. Abah tak yakin rakan2 bukan Islam kita akan tertarik dengan dakwah kita kalau dia lihat kita sebagai muslim ini sendiri tidak ada pekerti yang menunjukkan keindahan Islam.

Tapi tidaklah hingga nak menunggu kita dan keluarga kita jadi manusia sempurna baru nak berdakwah pada orang lain. Tidak. Manusia memang tidak akan sempurna. Allah saja yang Maha Lengkap dan Sempurna. Pandai2lah timbangkan keadaan diri kita dan keluarga, kemudian berdakwah. Siapa tahu hanya dengan meihat akhlak kita saja, orang lain boleh tertarik untuk mendekati Islam, tanpa kita perlu buka mulut pun mengajak dia kearah Islam?

Untuk Hilmi, terima kasih kerana beri maklumbalas, dan abah sangat hargai pandangan Hilmi. Semoga Hilmi, isteri dan sicomel buahhati Hilmi itu akan sentiasa dalam limpah dan rahmat kasihsayang Allah selalu.

Cerita tentang silap...

Hari ni nak berkongsi dengan anda satu lagi artikel berguna yang abah baca dari akhbar Berita Harian minggu lepas. Dan abah rasa kita semua patut baca hasil tulisan Dr Hafidzi tersebut.

Berikut adalah keseluruhan artikel tersebut yang abah ambil dari laman web BH, yang abah rasa penting untuk dibaca dan difahami. Abah tak nak ulas apa2, kerana segala apa yang ditulis, abah setuju sepenuhnya.

Jendela Hikmah: Sikap ibu bapa antara punca anak lupa agama
Oleh Dr Hafidzi Mohd Noor

SEORANG wanita mengajukan persoalan yang bermaksud kebanyakan wanita zaman sekarang lupa kepada agama. Adakah masalah itu berpunca daripada sikap ibu bapa? Saya lebih suka frasakan pernyataan itu kepada 'sebilangan umat Islam hari ini sudah lupa pada agama' kerana ia lebih saksama dan menggambarkan realiti sebenar.

Hakikatnya, bukan wanita saja yang lupa pada agama. Lelaki juga bahkan tanggungjawab mereka sebenarnya lebih berat kerana Allah meletakkan kelebihan kepada lelaki sehingga mereka menjadi pelindung kepada wanita.

Jika ramai wanita hari ini melupakan agama, sebahagiannya berpunca daripada lelaki yang juga meninggalkan agama sehingga mereka gagal melindungi wanita mereka daripada melanggar hukum agama.

Apakah gejala lupa kepada agama berpunca daripada kurangnya pendidikan ibu bapa? Pernyataan itu sebenarnya menggambarkan apa yang disebut Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikan ia Yahudi, Majusi dan Nasrani.”

Hadis ini menunjukkan jika anak membesar dengan corak akhlak atau pegangan hidup yang tertentu, ia boleh dikesan kepada pendidikan yang diterima daripada ibu bapa.

Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Sebelum anak dihantar ke institusi pendidikan formal bermula dari tadika, sekolah dan peringkat lebih tinggi, anak mempelajari asas pembentukan pandangan hidup (akidah) dan sahsiah (keperibadian dan akhlak) daripada ibu bapa mereka. Inilah objektif pendidikan sebenar.

Pendidikan ialah menurunkan nilai sehingga lahir insan mempunyai pegangan hidup yang mantap dan jitu. Bagi umat Islam, nilai itu ialah nilai Islam yang berteraskan tauhid. Asas tauhid yang mantap menatijahkan tingkah laku, tutur kata dan tindakan didasarkan tuntutan syariat Islam.

Jika hari ini kita melihat anak perempuan dan lelaki mendedahkan aurat, bergaul bebas tanpa batas, terbabit dengan pelbagai gejala sosial, maka itu adalah natijah daripada pendidikan yang mereka terima di rumah - pastinya tidak menepati apa yang dikehendaki Islam.

Mereka mungkin terpelajar dan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik, tetapi itu bukan matlamat pendidikan. Pendidikan Islam bukan sekadar menguasai bidang teknikal dan akademik, tetapi lebih menjurus pemupukan nilai dan pembentukan akhlak.

Ia tidak bermakna Islam mengetepikan akademik kerana ia adalah bahagian penting daripada pembinaan kebudayaan dan tamadun, tetapi mesti diasaskan atas pendidikan tauhid yang mantap.

Beberapa kajian menunjukkan kesilapan mendidik anak pada peringkat awal (antara umur tiga hingga tujuh tahun) menyebabkan kecelaruan nilai dan keruntuhan akhlak pada peringkat umur 13 hingga 20 tahun.

Berdasarkan penilaian ini, masalah yang berlaku pada kelompok umur remaja sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal pendidikan. Siapakah yang bertanggungjawab pada peringkat umur di bawah tujuh tahun kalau bukan ibu bapa. Boleh kita simpulkan di sini ibu bapa menjadi satu daripada punca kepada sikap umat Islam yang melupakan agama mereka hari ini.

Pendidikan awal penting dan Rasulullah SAW berpesan kepada ibu bapa supaya menyuruh anak mendirikan sembahyang pada usia tujuh tahun. Ia bermakna pada umur itu anak tadi sudah patut menerima dan mematuhi suruhan agama.

Ia juga bermakna anak sudah terbiasa dengan suasana ibu bapa dan keluarga yang mendirikan dan mementingkan ibadat solat di rumah. Jika mereka tidak terbiasa melihat ibu bapa dan seisi keluarga mendirikan solat, bagaimana mungkin anak boleh meniru dan melakukan perbuatan sama.

Sebenarnya, ini juga satu isyarat bahawa pendidikan yang sebenar ialah dengan amal. Pendidikan hanya akan berlaku apabila pengajaran berlaku dalam bentuk amal, bukan dalam bentuk kata-kata. Ia juga menunjukkan hanya ibu bapa yang terdidik dengan kehidupan Islam mampu mendidik anak dalam acuan dikehendaki agama.

Kemudian kita lihat Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa memukul anak yang masih meninggalkan solat ketika berusia 10 tahun. Pengajarannya ialah apabila anak sudah berusia 10 tahun, nilai kehidupan sepatutnya sudah mewarnai jiwanya sehingga dia akan melakukan suruhan agama dan meninggalkan larangannya tanpa disuruh.

Jika masih meninggalkan solat pada usia itu, ia satu petanda nilai belum terbina dengan baik sehingga hukuman perlu digunakan bagi memperbetulkan keadaan.

Apabila anak memasuki umur baligh keadaan menjadi lebih sukar jika jiwa mereka tidak dipupuk dengan nilai yang berlandaskan syariat Islam.

Wednesday, July 25, 2007

Cerita tentang rumahtangga...

Ada beberapa artikel dalam akhbar dan majalah sejak 3-4 hari kebelakangan ini yang menarik minat abah untuk kongsikannya dengan anda. Tapi abah kena tulis satu-satu topik la dulu, ikut 'mood' abah nak sentuh topik mana.

Ada beberapa artikel dalam Mingguan Wanita yang abah belikan untuk Ummi sewaktu diwad UMSC hari tu yang menarik pada abah. Ditambah pula dengan laporan akhbar dan emel yang di'forward' oleh bang long satu ketika dulu. Kisah tentang perkahwinan. Hehe, ini untuk orang dah berkahwin je la, tapi yg baru nak kahwin cam Zamdee pun boleh baca juga.

Emel yang di'forward' oleh bang long bercerita tentang satu soalan iaitu "Did I marry the right person?". Ini bukan soalan pelik pun, walaupun mungkin tidak ramai orang yang berkahwin terlintas soalan-soalan macam ini. Kalau terlintas pun, mungkin kerana diri rasa tidak bahagia atau mungkin bila dah kahwin, diperhatikan bahawa pasangan yang dikahwini bukan apa yang dia idam-idamkan. Untuk anda yang dah berkahwin, dan jika terlintas soalan sebegitu dalam minda anda, abah fikir, jawapan kepada soalan itu perlu difikir betul-betul, dan perlu dipertimbangkan banyak perkara sebelum anda memutuskan apakah jawapannya.

Dalam NST, dilaporkan pula "More women are now cheating on their husbands". Ini bukan kes menipu ambil duit dalam dompet suami dan tak cakap, tapi ini kes ada hubungan sulit dengan lelaki lain diluar pengetahuan suami. Agak memeranjatkan juga bila abah baca, sebab kebiasaannya, lelaki yang sering ada hubungan sulit tanpa pengetahuan isteri. Ada beberapa sebab diberi hasil kajian dan temuramah yang dijalankan oleh dua pemberita NST itu, antaranya isteri rasa tidak bahagia hidup dgn suami, isteri itu pernah ditipu suami, isteri didera suami dan beberapa sebab lagi.

Dr. Tuah pula dalam satu artikelnya di MW, kata, "menangislah kerana Tuhan, bukan kerana jantan." Kenapa Dr. Tuah kata macam itu? Kerana beliau dalam masa beberapa bulan sahaja telah menerima hampir 9000 sms yang mengadu ttg masalah hidup, dan rata-ratanya adalah wanita a.k.a isteri yang tidak bahagia, kerana perbuatan suami. Lebih malang adalah pada isteri yang merupakan saudara baru, yang sanggup meninggalkan banyak perkara dalam hidupnya, tiba-tiba tidak dihiraukan lagi akan dirinya, lantara suami ada kisah lain.

Abah pun bukanlah lama sangat bergelar suami orang, dan abah tak berani nak kata yang perkara yang berlaku pada orang lain tidak akan berlaku pada rumahtangga abah, tapi seperti mana kita disuruh berusaha, abah fikir, banyak perkara yang berlaku dalam hidup adalah hasil pilihan dan tindakan kita sendiri, dengan izin Allah. Kita tidak boleh salahkan takdir sepenuh-penuhnya atas apa yang terjadi.

Isteri tidak seperti yang kita harapkan, atau suami kita bukan 'prince charming' yang kita dok mimpikan selalu itu, bukanlah satu alasan untuk meletakkan kesalahan pada takdir semata. Kita dan tindakan kita ada juga saham yang perlu dikongsi apabila soal kesalahan itu ingin diletakkan.

Balik pada soalan, "Did I marry the right person?", abah fikir, ianya bukanlah soal pasangan kita itu orang yang betul atau tidak, tapi kita perlu fokus kepada apa yang boleh kita buat, 'to make it right'. Bila anda berkahwin, walaupun bukan dengan rela hati, terimalah bahawa ianya adalah takdir hidup anda yang telah ditetapkan Allah. Dan kalau betulpun pasangan itu bukan yang anda idam-idamkan, ada banyak perkara yang boleh dilakukan selain dari memikirkan betapa malangnya anda kerana tidak bahagia hidup dgn orang yang tidak dicintai.

Perkahwinan itu satu tanggungjawab, samada kita sedar atau tidak. Untuk lelaki, anda mengambilalih tanggungjawab itu dari ibubapa isteri anda, dan untuk isteri, anda bertanggungjawab pada rumahtangga anda. Salah satu dari tanggungjawab itu ialah mencipta kebahagiaan dalam rumahtangga. Kebahagiaan itu bukan benda yang akan datang tanpa usaha. Cinta yang tidak pernah wujud dalam hati terhadap pasangan pun, tidak mustahil boleh berputik selepas anda berumahtangga, dengan syarat anda mencuba. Kedua-duanya perlu mencuba. Jika anda telah ada kekasih hati sebelum berkahwin, lupakan dia. Tidak ada gunanya mengingati sedangkan hakikatnya, hidup anda dikongsi dengan orang lain. Untuk mereka yang mengalami keadaan ini, abah rasa mereka kena terima hakikat, bahawa perkahwinan juga bukan sepenuhnya pilihan hati kita. Daripada asyik teringat kekasih lama, lebih baik anda belajar mencintai dan menyayangi orang yang anda kahwini.

Merujuk pada kes hubungan sulit diluar perkahwinan, rasanya jika kedua2 suami isteri tahu akan hak masing-masing, perkara ini tidak perlu terjadi. Suami ada hak yang perlu dipenuhi isteri, dan sebaliknya. Masalah sering terjadi bila masing2 hanya menuntut supaya pasangan memenuhi hak mereka, sedangkan mereka sendiri lupa untuk memenuhi hak pasangan. Anda mahu dicintai, maka anda mesti menyintai. Itu hak suami dan juga isteri. Jangan kita asyik menuntut hak kita tanpa mengambilkira hak orang lain. Dr.Tuah tulis, katanya, Nabi bersabda, "Ingatlah bahawasanya untukmu ada hak atas isteri-isterimu dan bagi isterimu, juga ada hak atas kamu...".

Untuk mereka yang rumahtangganya diuji, samada dipihak suami atau isteri, jika anda boleh berusaha, berusahalah. Dan dalam masa yang sama, bersabarlah dengan ujian Allah. Dan ingatlah, pasangan anda yang anda kahwini, samada secara sukarela atau terpaksa, dia didatangkan oleh Allah kepada anda untuk melengkapkan hidup anda dalam menjalankan tanggungjawab dan menyempurnakan misi hidup anda. Lihatlah disebalik apa yang anda lihat secara zahirnya pada pasangan anda. Dia disisi anda bukan kebetulan, dia disitu untuk menyempurnakan anda. Jika baik dirinya, bersyukurlah pada Allah, dan jika buruk dirinya, renunglah apa yang perlu anda pelajari dan berusaha dalam menyempurnakan diri anda.

Jika dia tidak ditakdirkan bersama anda lagi, maka Allah akan mengambil dia daripada anda samada hidup atau mati. Hidup bukan hanya untuk mengecapi kebahagiaan hidup semata-mata, tanpa berusaha mengabdikan diri pada Allah. Diri kita bukan hak kita, diri pasangan pun bukan hak kita. Sekiranya kita sedar itu, maka terimalah pasangan kita sebagai satu anugerah dari Allah dalam hidup kita. Anda beruntung diberi pasangan, kerana ada orang yang Allah takdirkan tidak akan ada pasangan hidup didunia ini dalam menyempurnakan dirinya.

Moga kita akan senantisa diberi rahmat kasihsayang oleh Allah. Moga sinar kebahagiaan yang kita cari bisa kita kecapi dalam hidup ini, dan akan menambahkan lagi rasa syukur kita pada Allah s.w.t.

Rujukan:
1. Adultery on the rise as women look for 'love' - NST.
2. Mingguan Wanita, 20-26 Julai 2007.
3. An email forwarded by bang long entitled - DID I MARRY THE RIGHT PERSON?.

Tuesday, July 24, 2007

Cerita tentang kami...

Sudah banyak hari abah tak dapat menulis a.k.a mengepek disini. Bukan mengepek sajalah, menjenguk kesini pun baru hari ni ada kesempatan.

Sibuk? Sibuklah sikit dengan urusan kerja. Tapi ada urusan lain yang buat abah tak sempat nak mengepek.

Hari rabu yang lepas, Ummi terpaksa masuk wad. Bukan sakit teruk pun, tapi sebab Ummi disahkan hamil, dan kebetulan sebab Ummi ada sikit masalah kesihatan, maka doktor terpaksa tahan Ummi selama 2 hari untuk pastikan semuanya OK.

Dan alhamdulillah, hari Jumaat malam tu, Ummi dibenarkan balik. Selama ummi diwad, selama itulah juga abah dan muizz duduk disitu. Ok juga duduk kat hospital ni. Cuma boring sikit bila tak ada apa nak dibuat. Apapun, abah pandang itu sebagai satu kewajipan untuk abah. Ummi diuji Allah dengan ujian kesihatan, dan abah perlu ada setiap ketika untuk Ummi.

Untuk pengetahuan rakan2 pembaca blog abah, yang rata-ratanya kenal abah secara peribadi, tulisan kali ini bukan untuk mengadu nasib, jauh sekali menagih simpati. Ini semata-mata untuk pengetahuan anda semua akan keadaan yang kami alami. Sekurang-kurangnya anda tahu letak duduknya. Jika dahulu abah dan ummi kadangkala naik jemu juga mendengarkan pertanyaan, "Bila nak dapat baby baru?", dan kali ini, kami tak mahu jelik lagi mendengar persoalan2 lain. Abah faham, orang bertanya sebab mereka kurang info. Dan info dalam post kali ini moga2 dapat berikan anda sikit idea tentang keadaan kami.

Malam ummi melahirkan Muizz hampir 6 tahun lepas, Ummi mendapat pre-eklampsia. Dan selepas dari tarikh itu, darah tinggi sudah tidak boleh dipisahkan dari hidup Ummi. Memakan ubat darah tinggi setiap hari sudah jadi rutin. Berjumpa doktor selang beberapa bulan sekali pun sudah jadi kebiasaan. Bukan tidak mencuba perubatan lain, cuba juga, dan alhamdulillah membantu, dengan izin Allah. Tapi nampaknya, darah tinggi Ummi masih juga tidak mahu pulih sepenuhnya.

Pakar jantung yang kami temui menasihatkan untuk tidak mengandung, untuk kebaikan ummi. Tapi kuasa Allah, entah macamana, 2 bulan lepas, pakar jantung itu beri kebenaran untuk kami berusaha untuk dapatkan seorang lagi anak. Dan alhamdulillah, Allah yang Maha Pemurah berikan kami peluang. Dan Ummi hamil 7 minggu setakat hari ini. Apabila telah hamil, banyak ubat-ubatan yang dimakan perlu ditukar dengan ubat lain.

Masuk wad baru-baru inipun, sebab doktor ingin ummi menukar ubat diabetes, daripada ubat makan kepada suntikan insulin. Dan dua hari diwad, ummi berjaya belajar untuk menyuntik insulin ke badan. Dan sekarang, Ummi perlu menyuntik insulin ke badan 4 kali sehari. Alhamdulillah, setakat ini, tidak ada apa2 masalah kesihatan yang teruk selain dari alahan yang biasa dihadapi oleh ibu hamil.

Apapun ujian Allah, kami yakin, ianya adalah untuk menguji atau memberi peringatan. Ada hikmahnya Allah berikan semua kenikmatan dan dugaan pada kita. Cuma kita kena lebih redha dan yakin akan janji-janji Allah.

Setakat ini, abah bersyukur, ujian2 dan kurniaan yang Allah beri pada kami, mampu beri abah sedikit kesedaran untuk lebih menghargai pengorbanan dan kasih sayang ummi sebagai isteri abah, juga beri abah lebih kebijaksanaan dalam mengemudi rumahtangga kami, dan juga buat abah lebih sabar dalam mendidik keluarga, walaupun kadangkala kesabaran abah tergugat.

Untuk rakan2 abah, abah berharap agar kesejahteraan kami sekeluarga akan termasuk dalam doa anda. Semoga semuanya akan berjalan dgn baik dan lancar untuk kita semua dalam meneruskan hidup dimuka bumi Allah ini.

Thursday, July 12, 2007

Cerita tentang robot...


Malam tadi abah berkesempatan bawa Ummi dan Muizz menonton Transformers, setelah sekian lama Muizz ajak, dan setelah sekian lama abah berhajat nak tonton. Abah tak nak ulas panjang-panjang, sebab kalau nak tahu, anda kena tonton sendiri. Tapi kalau anda peminat setia Transformers, movie ini satu kemestian.

Komen kami

Abah: Superb!

Muizz: Hebat!

Ummi: Kenapa watak perempuan dalam cerita tu semua tak cantik?

Anda? Hehe...

Opss, lupa nak cakap, pada yang nak recall semula atau pada yang baru nak tahu apa ceritanya Transformers ni, rujuk sini.

Wednesday, July 11, 2007

Cerita tentang pengorbanan ibu...

Tadi, Ummi emelkan abah satu video yang menunjukkan proses bersalin seorang ibu secara pembedahan. Itulah pertama kalinya abah lihat keadaan sebegitu, dan melihatnya, memang layaknya 'syurga itu ditelapak kaki ibu'.



Sewaktu Ummi bersalinkan Muizz dulu, abah memang tak boleh tengok langsung prosesnya, dan abah bersyukur tidak tengok. Sebab kalau abah tengok, rasanya abah sendiri yang mintak nak keluar dari dewan bedah tu. Kelaur bukan sebab abah takut darah, tidak. Tapi keluar sebab abah takkan tahan tengok Ummi dibedah semacam itu.

Untuk Ummi, dan semua ibu yang telah melalui jerit perih melahirkan anak, terima kasih banyak-banyak. Sesungguhnya ibu sangat layak untuk dikasihi, disayangi, dijaga hingga keakhir hayatnya. Bukan sikit pergorbanan dan jasa ibu. Saat bersalin pun dah diuji Allah dengan seribu macam keperihan, membesarkan dan mendidik anak lagilah hebat.

Untuk anak-anak yang rasa kasih sayang telah tidak ada, ataupun berkurang, terhadap ibu, fikir2lah semula. Renung2kanlah jasa dan pengorbanan ibu. Walaupun anda boleh kata, memang dah itu tanggungjawab ibu, tapi jangan nafikan kesusahan dan kerja keras mereka membesarkan anda. Setiap kali rasa kecil hari dengan ibu, lihatlah video ini, dan ingatlah, kecik hati anda itu tidak ada tandingannya dengan seksanya ibu melahirkan anda.

Dan untuk ayah-ayah seperti abah, ini salah satu sebab untuk berterima kasih dan menghargai isteri sepenuhnya. Demi melahirkan zuriat penyambung keturunan keluarga, isteri bersabung nyawa melahirkan. Hargailah mereka sebaiknya. Sebab kalau diberi tugas melahirkan anak itu pada kita, abah sangat pasti, majoriti akan hanya melahirkan seorang anak sahaja. Tak semua lelaki sekuat wanita sekiranya diuji sebegitu.

Untuk Ummi khususnya, terima kasih kerana melahirkan Muizz. Walaupun abah tahu, soal anak adalah kerja Allah, namun Ummi juga berusaha sebaiknya melahirkan Muizz dengan kekuatan yang ada. Abah minta maaf kalau selama ni abah gagal menghargai jasa dan pengorbanan Ummi yang satu ini.

Dan abah sangat2 berharap pada Allah, moga sejarah sama tidak akan berulang lagi kali ini, insyaAllah. Moga Allah berikan sikit kemudahan pada kita nanti.

Friday, July 06, 2007

Cerita tentang ayah...

Ayah aku meninggal 5/8/2002..3. 25pm. Apa yang aku tuliskan sini adalah untuk mereka yang masih lagi ada orang tersayang, untuk terus menyayangi dan berjasa sebelum menyesal.

Kematian abah amat meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi meninggalkan mak yang kesorangan. Anak-anak semua dah besar. kerja semua jejauh. Hidup ini seolah tiada erti....selama nie setiap suka duka.... pasti telefon dan maklumkan pada mak dan abah. Kalau naik gaji... dapat keputusan bagus dll...pasti telefon mereka sepuya mereka gembira. Kalau boleh mahu terus berada di perak menemani mak yang terus menangis.

Syukur, abah mati dipelukan mak yang mengucap dua kalimah syahadah...ditelinga kirinya...dan aku ketika itu mengucap ditelinga kanannya.... .. ini adalah kali pertama aku melihat kematian.... masih terbayang... abah memandang jauh kehadapan dan mata nya ke atas.... sambil mengucap dan memejamkan mata. Sungguh cepat dan tenang...semoga roh abah ditempatkan digolongan yang beriman. Syukur sembahyang jemaah abah lebih dari seratus orang...syukur abah dikebumikan dengan selamat.

Sejam sebelum kematian .....

sempat berbual dengan abah. Abah kata kalau nak belikereta tunggulah 2005. Bila time AFTA nanti kereta honda jatuh harga.Boleh lah bawak mak berjalan. Waktu tu abah dah sihat... dah selera makan.

Pastu...

abah suruh esok pergi buat kad pengenalan baru. Sebab abah dan Mak baru ambil kelmarin. Abah kata sehari jer buat. Tak payah ambik gambar kat kedai gambar. Diorang guna digital kamera kat office jer. Tapi abah kata jangan pakai baju putih. Nanti gambar tak clear. Tapi tak sangka esok nyer aku pergi sana bukannya utk buat kad pengenalan aku, sebaliknya buat sijil kematian abah.

Apabila Izrail datang mengambil nyawa....kita tak boleh mencepat atau mengajak walau sesaat. Sampai sekarang masih terbayang keadaan abah masa tu.Tapi macam tak sangka. Abah hanya tengok atas dan tutup mata. Badan tidak bergoyang walau seinci. Abah cuma nak baring. Sambil mulut mengucap dua kalimah syahadah.

Pertama kali.... pergi ke rumah mayat jenazah.

Pertama kali.... naik van jenazah,

pertama kali.... buat sijil kematian,

pertama kali.... tak tidur 2 hari,

pertama kali.... asyik menangis,

pertama kali.... menimbus kubur,

pertama kali.... menjirus air mawar,

semuanya pertama kali........ ....

Dan pertama kali.... juga takkan jumpa abah lagi.

Aku memandikan abah......memasangk an kain ihram sebagai kain kapan. Ketika ditutup muka abah, aku mencium dahi....pipi kanan.... pipi kiri.....dan bangun....tetiba hati aku ingin terus mencium lagi... aku membongkokkan kaki dan mencium dahi nya semula. Ciuman ini adalah ciuman terakhir. Semasa kecil aku salu cium abah.Tetapi apabila dah besar sudah lama tidak mencium pipinya.

Ya Allah..tuhan segala alam...

aku dan abang mengangkat jenazahnya... dan mengebumikannya.hati ini sayu mengenangkan pemergian abah yang tercinta.

Mak hanya memandang dengan air mata sayu....penglihatannya kosong...... setelah 36 tahun hidup bersama abah......kini tinggal seorang.

Selaku seorang anak.....aku tahu bagaimana kasih seorang abah. Abah seorang pendiam..... . sabar.. dan alim.... Jemaah masjid...bendahari masjid.....dan pelbagai amanah kebajikan dilakukannya.

Aku selama ini tidak pernah meluahkan kasih kepada abah secara terus terang.Memang sayang abah... cuma... dengan abah saya hormat dan memendam kasih saya.....Lainnya pula dengan emak...yang sentiasa berterus terang.... seringkali tidur di peha.

Kelmarin,

aku baca dairi abah.Tak sangka abah pun tulis diari. Tiada apa yang ada dalam dairi itu melainkan perkara anak-anak nya. Semuanya berkisar tentang anak-anaknya. Aku sendiri tak ingat bila aku beli kereta.

Tapi abah catat..18 February..rizal beli kereta satria hijau 1.6..... abah catat setiap kali anak nya telefon beserta waktunya. Sekali tu jam 1.00 pagi aku telefon dari KL.....abah pun catat. Semuanya abah catat berkenaan anaknya.

Abah catat rizal balik jam 2.00 tengahari bawa keropok. dll....... Abah catat Kak Se keguguran... Abah catat Shaifol (abang sulung) ke KL......menangis kami semua bila baca dairi tue....

Abah sayang anaknya..... tak pernah tunjuk...

sebab abah lebih suka mendiam dan tidak bercakap pasal orang. Begitu juga dengan orang lain ayah hanya banyak cakap pasal ilmu agama dan berkenaan anak-anaknya sahaja.

Ada kawan kampung abah baru nie cakap "Abah kamu masa hidup salu cakap pasal anaknye. Sorang keje sana sorang keje sini. Dia bangga ada macam korang".

Tapi jauh di sudut hati aku, aku masih terkilan sebab aku selalu fikir... aku...bukan anak yang baik.

Abah memang suka tulis. Kalau fail atau dokumen pasal kereta, rumah, bil,kedai dll memang semua tersusun.. Aku terjumpa buku nota kuliah subuh abah yang terbaru..... catatan terakhir yang abah tulis "hati orang beriman sentiasa ingat kubur"...

abah gariskan perkataan ingat kubur.... dan kami bersyukur bahawa abah sememangnya telah bersiap sedia untuk meninggal.

Dan menyerahkan kepada Allah untuk melepaskan seksaan di kubur dan api neraka. Abah memang suka budak kecik..pantang anak saper pasti dia dukung... bawak berjalan.... .. cucu-cucunya setiap kali balik pasti nak tidur sama. Kini semuanya tiada.

YaALLAH....

aku tak tahu bagaimana kehidupan utk diteruskan... tanpa Abah......baru bercadang nak balik dan bertekad bonus tahun nie nak kasi abah seribu mak seribu... tapi Allah lebih menyayangginya... abah meninggal 5hb..tidak sempat merasai bonus pertama anaknya yang baru masuk 10hb Ogos 2002.Kali nie tak sangka bonus banyak digunakan untuk majlis tahlil dan batu nisan untuk abah.

Tok Imam ada cakap kat kami....

"kubur ayah dikorek... pastu ditanam... tanahnya masih penuh kat tepi.... terlebih tandanya seorang yang pemurah.... sedangkan ada sesetengah kubur dikorek pastu ditimbus semula masih tak cukup tanah."

"abah kamu wajahnya senyumnyer walau pun dah meninggal"

"Abah kamu waktu dimandikan dah bersih...tak der kotor najis pun takder"...

perkara itulah menyedapkan hati kami.... untuk jadi seperti abah....

Sembahyang Jumaat minggu sudah di Masjid..... aku memulangkan semula duit masjid dan buku akaun yang abah pegang selaku bendahari. Sambil mengira kutipan Jumaat hari itu tok imam dan bilal turut menangis....

"Dulu abah kau yang tolong kira pastu tulis kat white board tu".........

Ini semua membuat aku rasa terpanggil untuk kembali ke kampung walau kerja apa sekali pun....

YaAllah...

sesungguhnya kematian ini memberi hidayah pada aku ..... Talkin buat abah masih segar... "Wahai Hj Badzri Bin Hajah Habsah...ketahuilah kamu bahawa mati itu benar, kiamat itu benar, Allah itu benar"

dan,

kita yang hidup akan pergi juga....

Lelaki berat tanggungjawabnya....

suami menanggung dosa isteri dan anak-anak....

isyaAllah selaku anak-anak kami telah dibekalkan ilmu agama.

Cuma...

aku kini telah lupa untuk mengamalkannya sejak mula bekerja setelah terlupa dgn nikmat Allah.. Mak juga seorang yang solehah.... saya yakin Allah maha pengampun dan maha bijak sana dalam menentukan Al -Mizan..

Dulu mak dan abah tiap waktu ke Masjid dekat rumah berdua.... tapi sekarang nie mak kata mak takut nak ke masjid seorang diri takut tak tenang hati teringat abah.

Inilah perasaan aku sekarang. Buat korang yang masih ada.... jadikan iktibar..... Cium pipi ayah sebelum ciuman terakhir.

Dan curahkan kasih sayang tanpa selindung.

Tunjukkan....

Di atas itu adalah kandungan satu emel yang abah terima dari seorang sahabat pagi tadi. Satu cerita tentang kematian, yang biasa kita baca. Namun bukan cerita itu yang penting, mesej yang disampaikan itu yang perlu diberi perhatian.

Walaupun cerita itu kisah 5 tahun lalu, namun abah yakin, tika ini, kisah seperti itu masih berlaku, dan akan tetap berlaku, sekiranya kita sekadar baca, dan kemudian rasa insaf, seterusnya berazam dalam hati akan lebih menyayangi ayah serta berbakti kepada ayah. Tapi bila kita berdepan dengan ayah nanti, episod sama akan berlaku. Kita cuma cium tangan ayah, bercakap sekadarnya dengan ayah, dan kemudian kita sibuk mencari mak.

Apa yang kita insafkan, apa yang kita azamkan - tidak terluahkan. Bukan sebab kita ego, tidak, tapi sebab kita sudah terlalu biasa berhubungan dengan ayah sekadar itu.

Bukan kita tak sayang ayah, kita sangat sayang. Tapi kasih sayang kita hanya dengan menghormati ayah saja. Kita tidak ucapkan kata2 sayang pada ayah, kita tidak tunjukkan kasih sayang itu pada ayah. Abah tahu sukar sungguh untuk berbuat macam itu, sebab abah pun dikedudukan yang sama.

Abah sangat sayang ayah, tapi abah sukar nak tunjukkan.

Jika kita ayah, abah fikir, kita ubahlah sikit cara kita sayang anak2 kita. Kita rapati mereka, kita cakap pada anak-anak yang kita sayang mereka, kita tunjukkan yang kita sayang mereka. Abah rasa anak2 manapun, mesti ingin sangat mendengar dan merasa kasih sayang ayah pada diri mereka. Tidak cukup dengan menyediakan tempat tinggal, menanggung belanja keluarga - seorang ayah kena beri lebih dari itu. Tidak kiralah sebesar mana pun anak itu. Abah sendiri pun pada usia ini sangat ingin mendengar kata2 dari ayah abah yang dia sangat sayangkan abah.

Jika kita anak, kita ubahlah cara kita sayang ayah kita. Kita tunjukkan, kita luahkan yang kita sayang ayah. Tidak cukup sekadar duit yang dihulur bulan2 itu sebagai tanda sayang kita pada ayah. Tidak cukup sekadar menghormati ayah sebagai tanda kita sayang pada dia. Ayah macam manapun, abah yakin juga sangat ingin dengar kata2 sayang dari anak2, hatta dari anak2 yang telah besar panjang.

Sangat malang sekali kiranya kasih sayang dalam diri cuma wujud dalam hati dan sekadar tercatat dalam diari.

Ya Allah, Engkau bantulah kami. Berikanlah kami kekuatan untuk menjadi ayah dan ibu yang lebih baik pada anak2 kami, ayah dan ibu yang menyayangi dan mampu meluahkan kasih sayang pada anak2 kami. Engkau berikanlah juga kami kekuatan untuk menjadi anak yang baik, anak yang mampu mengasihi menyayangi ayah dan ibunya lahir dan batin. Engkau rahmatilah hidup ayah dan ibu kami, dan anak2 kami.

Untuk yang sudah tiada ayah, ingatlah bahawa tidak putus amalan seorang hamba Allah melainkan 3 perkara, antaranta, doa-doa dari anak yang soleh. Moga kita sama-sama berusaha menjadi anak yang soleh, bukan sekadar untuk kita dan generasi kehadapan kita, tapi juga untuk ayah kita – sebagai bukti tidak putusnya kasih sayang kita pada dia.

Thursday, July 05, 2007

Cerita tentang perancangan dan takdir...



Semalam adalah hari yang buat abah frust sungguh. Hehehehe, bukan frust apa sangat pun.

Kisahnya macam ini. abah dah beli tiket wayang untuk tengok Transformers, selepas Muizz asyik dok ajak tengok, dan sememangnya abah sentiasa teruja dengan cerita macam itu. Dalam abah dok berangan dapat tengok cerita tu, apatah lagi pagi semalam, kawan baik abah dok provoke abah supaya tengok kerana menurutnya, cerita tu memang hebat, dan pasti abah akan suka - akhirnya memang betul apa kata orang, manusia hanya merancang, Allah juga yang menentukan.

Hasilnya, abah tidak tengok cerita tu semalam. Kenapa? Sebabnya, abah berlegar2 cari tempat parking, naik turun level, pusing sana sini, tapi dah Allah kata tidak ada rezeki kami, maka dengan berat hati, abah terpaksa juga keluar dari bangunan 1 Utama itu untuk balik. Haha, waktu itu, rasanya abah sangat frust, ekeke, kalau boleh diukur, lagi frust dari putus cinta. Haha, pernah putus cinta ke abah???

Bukan abah saja yang kecewa, anak jantan abah pun turut sama kecewa. Abah tahu dia nak sangat tengok cerita tu. kalaulah dia tahu yang abahnya pun terlebih2 lagilah nak sangat tengok, hehe, pasti dia akan ketawa besar.

Tapi tak apalah, ada sebab Allah kata tidak boleh tengok malam tadi. InsyaAllah, kalau ada masa lapang lagi, abah akan bawa juga Muizz dan Ummi tonton cerita tu sebelum ia dikeluarkan dari senarai tayangan dipawagam nanti.

Tetapi, dalam kecewa2 itupun, abah sebenarnya sangat bahagia skrg ini. Sejenis rasa bahagia yang sudah lama abah tidak kecapi. Alhamdulillah, syukur pada Allah.