Friday, June 30, 2006

Cerita tentang kisah di media...

Hari ni tak banyak yang abah nak mengepek, cuma nak komen tentang cerita2 dalam akhbar kebelakangan ni.

Kisah pertama tentang Dr. Mahathir yang kebelakangan ini agak lantang juga mengomen tentang kerajaan sekarang. Dan abah perhatikan, ramai juga yang menyokong apa yang dikomen. Tak tahulah menyokong sebab ikhlas menyokong, atau sekadar menangguk diair keruh, atau memang sokong tapi tak tahu apa-apa. Orang kata ya dia kata ya, orang kata tak dia kata tak.

Pada abah la secara peribadi, perbuatan Dr. M yg dapat liputan meluas media, pasti akan menjejaskan imej kerajaan Malaysia sekarang dimata negara lain. Memang la kita tidak seteruk Timor Leste, tapi kalau dia berterusan bising macam itu, susah la. Cakap sekali sudah la, tak perlu nak beria-ia menegakkan pandangannya. Abah setuju dengan pandangan Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa Dr.M berbuat begitu atas sebab kepentingan peribadinya. Bukan sebab kepentingan rakyat atau Malaysia. Kalau betul Dr. M ikhlas buat untuk kebaikan rakyat, dia tidak akan bising yang melampau, komen itu dan ini. Zaman dia pun banyak benda yang orang komen, tapi tak pulak dibesar2kan. Teringatkan zaman Anwar Ibrahim dipecat hari tu pun dah buat abah tak berkenan dengan sikap Dr. M yang satu nih, apatah lagi bila dok dengar cerita2 tentang Proton dan GLC2 lain. Kebanyakan ceritanya memang menyakitkan hati.

Ok, tutup bab Dr. M.

Kisah kedua tentang Siti Nurhaliza(Siti lagi). Hehe, maaflah, abah nak komen juga tentang Siti. Heboh satu Malaya cerita tentang Siti Nurhaliza nak kahwin, baik akhbar, tv, radio, majalah2 murahan, semualah. Dan Siti pulak cuma berdiam diri saja. Hehe. Abah pelik la. Apa sangat la kisah Siti nak kahwin tu? Siapa sangat la Siti tu, sampai hal dia nak kawin pun mesti kecoh satu Malaya? Biarlah dia nak kahwin dengan sapa, dan bila. Itu hak dia. Dia pun manusia juga. Sampai masa dia kahwin, semua orang akan tahulah nanti. Tak payah nak kecoh2 sebab nak lariskan jualan akhbar atau majalah. Itu semua cerita sampah yang tak perlu nak ditulis panjang2 dalam akhbar atau diulas dalam berita TV. Itu baru Siti berdiam diri, bayangkan kalau Siti bagi komen dan beritahu sesuatu, abah takkan rasa reporter ni akan diam saja, confirm akan heboh lagi dengan pelbagai persoalan lain. Sekadar nak lalaikan bangsa Malaysia yang memang dah lali dan lalok sikit skrg nih dengan kisah2 picisan macam itu.

Dan semalam tertengok cerita Dunia Baru (ke apa ntah) kat TV3. Aduhaiiiii, kenapalah cerita macam itu ditayangkan kat TV. Kisah tentang budak universiti, tapi sepanjang abah tengok semalam, balik2 cerita cinta sesama pelajar, ko minat aku, aku suka dia. Belum cerita tentang pakaian pelajar yang mengalahkan penari kelab malam agaknya. Memang la orang akan kata itu realiti kehidupan sekarang, tapi kenapa nak ditonjolkan dalam TV sampai tahap macam itu. Megah sangat ke kita dengan budak2 melayu yang melakonkan watak pelajar universiti, yang pada abah, tak layak masuk universiti pun. Percakapan, rupa, agenda mereka seolah2 macam hidup ni sekadar hari ini dan esok saja.

Tapi itulah kan, dah penonton suka cerita2 macam itu, TV nak buat macamana. Tayang cerita2 serius kang, orang tak tengok. So, baik tayang cerita yang orang suka tengok, walaupun cerita tu memang 'insulting' minda orang-orang yang menonton, cuma mereka tak sedar.

Hehehe, oklah, banyak lak berleter pagi Jumaat nih. Abah pun banyak kerja nak disiapkan. Nanti kalau ada masa, abah berleter lagi dalam diari Internet abah ni.

Tuesday, June 27, 2006

Cerita tentang hujung minggu...

Hari Sabtu lepas abah ke Mentakab sebab ada kerja sikit. Bukan kerja apa pun, abah pergi hadiri sesi interview 25 calon tenaga pengajar sambilan untuk syarikat abah. Abah bertolak pukul 6.45 pagi, sebab depa kata dalam 2 jam gak drive ke sana. Abah pun tak pernah sampai lagi ke Mentakab. Alhamdulillah dalam 2 jam, abah selamat sampai ke tempat yang dituju. Dan proses temuduga berjalan lancar.

Lancar sebab kebanyakan yang datang temuduga adalah mereka yang memang berpengalaman, dan menepati ciri2 yang kami cari. Tapi ada juga beberapa calon yang masih muda dan belum berpengalaman. Walaupun jawapan depa ini banyak yang tidak meyakinkan, tapi abah rekomen juga nama mereka untuk diambil, sebab abah fikir, depa ini perlu diberi pengalaman dan pendedahan. Sebabnya depa pun tunjukkan kesungguhan untuk belajar dan menyumbang tenaga.

Habis interview abah terus balik rumah. Hehehe, rindukan ummi dan muizz punya pasal. Abah pergi tadipun, Muizz masih tidur.

Tengah drive, abah call Ummi tanya tentang lunch, sebab abah memang lapar giler masa tuh. Sebab ummi nak makan nasi ayam, abah singgah beli nasi ayam kat Taman Melawati. Sedappppp. Tapi sementara nak merasa sedap nasi ayam tu, tahan la kaki tekan clutch, sebab jalan kat Sri Damansara jem teruk.

Belah malam, abah bawak Ummi dan Muizz pergi tengok Cars kat GSC 1-Utama. Ok jugalah ceritanya, tapi Muizz macam tak seronok sikit tengok cerita tu, agaknya sebab tak banyak action. Lawaknya pun, lawak dengan ayat, yang Muizz pun tak berapa faham sangat apa yang depa kata. Abah la pulak yang terlebih enjoy tengok cerita tu.

Itu je la dulu update abah pada diari internet abah ni. Sebab tengah banyak kerja nak disiapkan.

Friday, June 23, 2006

Cerita tentang graduan, dan kerja...

Dah dua tiga hari tak menulis, banyak hal la pulak nak kena selesaikan. Baik hal kerja dan juga hal keluarga.

Semalam abah ke Telekom Kelana Jaya, melawat pelajar abah yang sedang buat Latihan Industri di sana. Sebelum ke sana, sempat jugalah abah singgah jenguk kawan2 lama di ofis lama abah kat area situ juga. Seronok juga sesekali berjumpa kawan2 lama nih.

Balik pada lawatan tadi, lepas sesi pembentangan dan perbincangan, abah sempat jugalah borak-borak dengan supervisor pelajar tersebut, sambil-sambil pekena teh tarik. Dan topik perbincangan kami - kemampuan graduan universiti dalam melaksanakan tugas. Sebelum ini pun abah dah banyak kali dengar komen yang lebih kurang serupa, tapi kali ini, abah memilih untuk menulis. Sebab abah tahu, ada juga pelajar universiti yang baca blog abah. Hehe.

Beliau komen tentang keupayaan pelajar dan graduan ini yang agak mengecewakan. Masakan tidak kecewa, banyak tugasan yang diberi tidak berjaya dilaksanakan dengan baik. Antara alasan yang selalu diberikan, "Susah la Encik", "Kami tak belajar la benda ni dulu", "Saya tak minat la buat benda2 macam ini". Aduihhhh. Itu dalam bab buat kerja, belum masuk pada bab human relation. Fail. Nak karang laporan untuk boss pun terkial-kial, belum lagi kisah tak reti nak berkomunikasi dengan pelanggan bila boss mintak depa buat. Dan alasannya, "Tak reti la", "Susah la".

Bila kena tegur, merajuk, atau lagi best, menangis kat bilik pantri. Dua tiga kali kena tegur, mula la karang surat nak berhenti kerja. Itu kalau kerja, kena yg praktikal. Nak tak nak, kena gak habiskan. Tapi sayang la kalau 6 bulan waktu praktikal dihabisakan dengan tidak belajar apa-apa.

Ada graduan yang CGPA cukup cemerlang, tapi gagal masa interview. Lulusan IT, CGPA hampir 4.00, tapi tidak mampu nak terangkan apa itu "Relational Database". Ada yang CGPA cukup-cukup makan, tapi excellent masa interview. Tapi tak dapat juga, sebab kebanyakan syarikat sekarang ini lebih pandang CGPA.

Bila ditanya "Apa yang awak tahu tentang syarikat ini?" masa interview. Tahu apa depa jawab, "Entah". Aduihhhh. Memang la bukan semua, tapi kebanyakannya macam itu.

Apa yang abah tulis ni bukan abah yang kata ya, ini semua feedbacks yang abah terima dari supervisor2 pelajar abah yang abah jumpa setiap kali abah kena melawat pelajar praktikal. Bukan seroang cakap macam itu, hampir kesemuanya.

Mereka sampai pada persoalkan, apa yang budak2 ni belajar masa kat U dulu. Mintak kerja, tapi bila ditanya, macam tak tahu satu apa pun. Dan ada yang directly menyebut graduan dari IPT mana yang bermasaalah.

Pada abah la, sebagai seorang tenaga pengajar. Masalah sebegini memerlukan kedua-dua pihak pelajar dan universiti mencari dan melaksanakan langkah penyelesaian.

Universiti perlu pastikan pelajar yang keluar betul2 mempunyai kemahiran yang mereka perlu ada. Bukan setakat kemahiran teknikal dan pengetahuan, tapi juga kemahiran2 lembut yang lain. hehehhe, soft skills. Seperti kemahiran berkomunikasi, menulis laporan. Dan yang paling penting, hendaklah ada keinginan untuk majukan diri, yang tinggi. Dalam pekerjaan, akan ada benda yang kita tak pernah belajar masa di U, tapi jangan jadikan itu alasan untuk tidak boleh buat. belajar la, bertanya la, menelaah la. Gunakan sumber-sumber yang ada untuk laksanakan satu tugas baru.

Bila nak pergi minta kerja mana-mana, kajilah sedikit tentang syarikat tu. Apa core businessnya, siapa orang2 penting didalamnya, apa misi, visi depa. Itu semua penting untuk dapatkan pekerjaan. Orang bukan nak cari calon yang perfect pun, tapi depa nak cari calon yang memenuhi keperluan, dan ada keinginan yang tinggi untuk majukan diri dan juga syarikat.

Kalau rasa kemahiran-kemahiran tersebut belum ada, persiapkanlah diri anda. Masa belajar adalah masa menyiapkan diri sebaiknya untuk alam pekerjaan. Bukan masa untuk berpeleseran dan berseronok-seronok. Takde pernah lagi syarikat yang tanya "Awak ada kekasih tak masa belajar?". "Berapa lama awak bercouple, dan apa yang anda pelajari dari bercouple itu?". Tak ada. Yang dia tanya "Kalau anda dapat kerja ini, apa yang anda rasa boleh buat untuk majukan lagi syarikat".

Tapi kalau anda ada 'kabel' yang kuat, ignore saja pesanan abah tadi. Banyak kes syarikat terpaksa hire orang yang tidak patut, hanya kerana calon itu guna kabel. Hehehe. Tapi abah boleh cakap la sikit, kalau anda guna kabel pun, pastikan anda betul2 layak. Sebab kalau tidak, anda sendiri yang akan mintak berhenti kerja nanti.

Cukuplah abah mengepek hari ni. Petang nanti nak ke Shah Alam lagi, nak melawat pelajar praktikal abah yang lain. Dan awal pagi esok, abah kena pergi Mentakab, sebab abah kena interview 25 calon untuk jadi tenaga pengajar sambilan di sana.

Dan pertengahan Julai nanti, abah mungkin kena pergi Kuching selama 3 minggu, sebab ada kerja. Aduihhhhhhh. Tapi tak apa, kerja.

Tuesday, June 20, 2006

Cerita tentang bahasa...

Petang semalam ada sorang rakan sekerja abah panggil abah kebiliknya. Ingatkan apa, rupanya dia nak ajak abah berbincang tentang bangsa melayu dan agama Islam[rakan abah itu Cina kristian]. Hahaha, abah pun tak la tahu sgt-sgt tentang orang melayu, tapi boleh la bercerita sikit-sikit. Tetapi abah agak terkilan sedikit semalam, bukan terkilan dengan siapa pun, cuma terkilan dengan diri abah sendiri.

Kenapa terkilan? Sebab kekurangan abah, abah tidak begitu berjaya untuk menyampaikan idea dan pandangan abah pada kawan tadi. Banyak persoalan yang ditanya, dan banyak yang abah tidak dapat jawab dengan baik, hanya kerana abah terkial-kial mencari perkataan dalam Bahasa Inggeris untuk abah terangkan pada dia apa yang abah fikir dan tahu.

Dan abah tak boleh bercakap BM sebab dia pun tak berapa faham sangat BM. Kalau dia faham BM dengan baik, mungkin abah boleh sampaikan pada dia apa yang dia tanya, sebab abah rasa dia tak berapa faham akan konsep melayu dan islam. Tapi sebab penguasaan BI abah yang agak teruk itu, abah kurang berjaya. Betul la kata orang, BI perlu dikuasai sepenuhnya. Bukan untuk berlagak, bukan untuk menunjuk yang kita hebat bila boleh berbahasa inggeris, tapi ia adalah satu keperluan untuk kita hidup sekarang ini.

Tak mati pun kalau tak reti cakap omputeh, tapi kalau reti, lagi bagus. Macam kes abah tadi la, kalaulah penguasaan BI abah bagus, abah rasa banyak benda yang dia akan dapat dari abah(hehe, perasan la pulak abah ni!).

Abah dah berangan(berangan je dulu) nak ambik kursus BI. Abah kena juga kuasai bahasa yang satu ini sebaiknya, supaya satu hari, bila masa abah perlu gunakannya, abah akan gunakan sebaik mungkin, untuk tujuan yang baik. Kursus kat British Council nampak menarik, tapi mahal juga. Kat UiTM pun abah rasa ok, cuma nak kena survey dulu. Kalau sesiapa kawan2 blog yang tahu kursus dan tempat yang baik untuk belajar BI, sudi2kanlah inform abah.

Anda pun, kalau rasa-rasa penguasaan bahasa inggeris kurang mantap, jom la ikut abah sama2 kita tingkatkan penguasaan BI kita. Moga dengan penguasaan bahasa inter-nasional itu, kita akan boleh jadi hamba Allah yang lebih baik.

Monday, June 19, 2006

Cerita tentang hujung minggu...

Hari Sabtu lepas Ummi keluar awal pagi lagi sebab Ummi ada sukan syarikat kat UiTM Shah Alam. So, tinggal la dua jejaka hensem(sorang je sebenarnya yang hensem, ekekeke) kat rumah tu je. Dah dua2 lelaki, apa nak buat kalau bukan meronda2. Pagi, abah bawak Muizz pergi makan laksam kegemarannya digerai Kak Mah. Lepas tu abah bawak dia pergi Showroom Perodua, sebab abah ingat nak tukar Myvi abah tu ke yang auto, tapi kira punya kira, banyak la pulak nak kena tambah, jadi abah lupakan dulu la niat tu. Keluar dari showroom Perodua, nampak ada ramai orang kat depan showroom Proton. Abah pun ajak la Muizz pergi situ. Ohh, Satria Neo tengah display rupanya. Hmmm, cantik gak Satria Neo nih, walaupun ada sesetengah benda tu patut diperbaiki lagi. Berkenan ngan kaler putih silver tu. Muizz pun suka, sebab dia kata macam Gen.2. Muizz kalau tengok Gen2, macam abah tengok Wish la lagaknya. "Cantik la keta tuh...".
Balik dari tengok kereta, abah bawak dia pergi ambik parcel kat Pusat Poslaju. Abi ada kirimkan abah barang2 sikit. Muizz tengok kotak dah seronok dia, sebab dia ingat dalam tu ada kereta remote control, sebab abi bungkus dalam kotak kereta rc. Sampai je rumah, dia cepat2 suruh abah bukak kotak tu, dan bila abah buka isi kandungannya, terus muka dia berubah, pastu mandom on the spot. Hehe, kesian anak abah nih. Bila abah janji nak belikan dia kereta remote control, baru dia ok sikit.

Petang abah bawak Muizz pergi main2 kat taman di Kota Damansara. Lepas main kat taman, abah bawak dia pergi pasar malam, tapi sampai je kat pasar malam, dia boleh cakap, "Ahmad tak nak keluar, nanti kat luar panas sebab takde aircon, ahmad nak duduk dalam kereta je, abah pergi la pasar malam sorang-sorang." Aduihhhhh, anak...anak. Camna la abah nak tinggal dia dalam kereta sorang2. Tak jadilah gi pasar malam, tapi lepas tu menangis juga la dia, sebab abah tetiba naik suara. Maaf la abang, abah pun naik hot juga abang buat macam itu.

Malam ummi balik dalam pukul 8, dan yg best, ummi belikan lamb chop kat Big Plate. Hehehe, kenyangggggg. Thanks Ummi.

Dan hari ahad semalam, sempena hari bapa, ummi belanja abah makan kat Secret Recipe 1-Utama. Kenapa 1-Utama?? Itu tempat faveret Muizz. Ummi order TomYam Koong ngan brownies, mak aih, sedapnya makan. Hehehe, terima kasih yam leaf Ummi. Nanti kalau murah rezeki, abah belanja Ummi makan lak.

Banyak la pulak merapu, abah nak buat kerja lak. Hari ni sampai lambat sikit kat opis, sebab trafik agak sesak, hari2 macam ini, habis la abah. Hehe.

Thursday, June 15, 2006

Cerita tentang kawan...

Cerita tentang kawan 1

Ada sesuatu yang tak berapa elok berlaku antara abah dengan kawan ini. Abah buat keputusan untuk putuskan tali persahabatan dengan kawan ini. Sebabnya: Hati dan fikiran abah kata ini adalah keputusan yang terbaik buat kedua-dua belah pihak. Tindakan abah memang nampak kejam sikit, sebab kawan tadi dah berkali-kali telefon dan sms abah bertalu-talu, sebab nak mintak maaf. Bukan abah tak maafkan, abah dah lebih dari maafkan segala kesalahan dia pada abah, dan abah juga mohon maaf atas kesalahan abah pada dia. Abah harap kawan ini boleh terima hakikat yang dia dah kehilangan seorang kawan, yang mungkin tidak ada apa2 makna pun untuk dia. Dan abah mohon, kawan ini janganlah salahkan diri sendiri, salahkan abah, ataupun salahkan keadaan, ini semua takdir Allah untuk kita berdua. Tutup cerita.

Cerita tentang kawan 2

Abah baru saja lepas makan tengahari dengan kawan ini tadi, dan agak terkejut jugalah bila dia kata, "Saya dah mula rasa tak percaya pada awak". Abah cuba juga nak tahu kenapa, dan hasilnya, memang patut pun dia kata macam itu. Memang abah silap. Cuma abah harap kesalahan abah ini tidak sampai abah dicop sebagai kawan yang tidak boleh dipercayai. Abah tak harapkan kawan sanjung abah, cuma abah harap kawan ini terima abah seadanya abah, sekadar seorang manusia yang cuba untuk jadi hamba Allah yang lebih baik, tapi dalam masa sama, akan senantiasa lalai dan berbuat silap.

Cerita tentang kawan 3

Semalam abah keluar makan dengan kawan ini. Alhamdulillah, abah dah mula rasa selesa untuk berkawan dan bergurau mana yang patut dengan kawan ini. Tapi abah masih tetap akan berhati-hati, takut kawan yang satu ini pun juga akan terluka dengan kata-kata dan tindakan abah. Susah juga sebenarnya nak menjaga hati kawan2, tapi itulah harganya yang perlu dibayar bila kita dah decide untuk berkawan dengan orang itu. Abah terima dia sebagai kawan, maknanya abah kena terima jugalah hakikat yang abah perlu menjaga perasaan kawan ini.

Cerita tentang kawan 4

Kawan ini hari ni beritahu abah, "Dalam mencari kawan, pilih yg boleh di'guna', kalau setakat nak sembang je x yah ler". Abah pun tak tahu nak komen apa.


Cerita tentang kawan 5, 6, 7 dan seterusnya...

Hehe, takde cerita pun, sebab hubungan abah dan kawan2 ini alhamdulillah masih baik seperti biasa. Dan abah harap akan terus-terusan baik, hingga selamanya. Abah terima kawan2 sebagai kawan abah seadanya, dan abah harap juga kawan2 terima abah seadanya. Kita semua tidak sempurna. Mana yang kurang atau terlebih, tegurlah. Abah sangat hargai teguran dari kawan2, asalkan teguran yang tidak menyungkurkan abah. Dan abah juga sangat harapkan sokongan dari kawan2, asalkan sokongan kawan itu tidak membuat abah rebah.

Dan abah nak berkongsi dengan kawan2 semua satu lagu yang baru abah tahu kewujudannya, yang abah rasa abah suka dengar. Bunyinya leweh dan jiwang sikit la.


P/S: Esok abah cuti sebab ada beberapa perkara nak diuruskan. Dan hari Ahad ni [18 Jun 2006], genap setahun blog abah bernyawa. Hehe, tahniah untuk diri sendiri sebab berjaya hidupkan blog ni untuk setahun. InsyaAllah, tahun kedua akan lebih bermakna kandungannya. Hehe.

Cerita tentang marah...

Baru sekejap ni abah baca satu tulisan menarik dalam The Sun. Lauren Lim menulis tentang diri dia, tapi bila abah baca, ia sebenarnya merujuk pada setiap orang. Kenapa abah tiba2 baca? Sebab tajuknya menarik perhatian: Who is the problem - others or myself? Abah rasa itu antara persoalan yang kita semua patut tanya diri kita dulu sebelum kita lakukan sesuatu yang tidak berapa elok. Memang mudah nak kata apa kesilapan yang berlaku adalah sebab salah orang lain. Siapa nak mengaku salah sendiri dak? Abah pun kekadang tak nak juga admit silap sendiri.

Pernah marah? Hehe, sapa la kat dunia ni tak reti nak marah. Hampir semua orang pernah marah, terutamanya marah orang lain. Yang marah diri sendiri pun ada juga, macam abah la. Hehehe, selalu juga marah diri sendiri. Salah ke nak marah? Tak salah. Cuma bila marah itu disalurkan dengan cara yang tak sepatutnya yang akan buat benda tu jadi salah. Ambil contoh senang, kalau kita marah driver lain atas jalan, kita salurkan dengan sumpah seranah dan kata makian. Silap haribulan, boleh tunjuk tanda F lagi. Sebabnya, mungkin orang tu salah, dan mungkin juga dia terpaksa buat salah. Macam kata Lauren "Some people are who they are due to circumstances which they had no control of.".

Terpulang pada diri kita sebenarnya macamana kita nak react bila kita marah. Ada banyak cara sebenarnya, tapi kita saja yang lebih memilih untuk react cara yang silap, yang pada kita, "puas hati aku". Isteri buat silap kita marah, anak buat silap kita marah, kawan2 buat silap kita marah. Ada yang marah dan pendam (yang pada abah tak elok untuk kesihatan, hehehe), ada yang marah dengan perkataan ("Awak tak reti-reti ke kalau saya kata saya tak suka awak buat macam itu"...), ada juga yang marah dengan perbuatan (pukul, hempas barang, sepak benda).

Nantilah kalau abah lapang, abah akan baca sedikit tentang Anger Management, baik dari pandangan barat, dan Islam. Abah akan cuba kumpulkan dan tulis satu hari nanti, InsyaAllah. Abah fikir kita semua yang jenis pemarah ni perlu belajar sesuatu yang boleh membuatkan kita react secara positif terhadap rasa marah yang kita ada.

Dua hari lepas, rakan sepejabat abah bagi abah satu kertas kerja yang ditulis oleh rakannya, yang berkisar tentang filem melayu. Dia nak mintak pendapat abah sebagai seorang melayu dan muslim. Banyak benda yang ditulis menyentuh tentang agama dan bangsa. Tapi abah tak salahkan dia juga, sebab apa yang ditulis adalah persoalan2 dia tentang apa yang dia nampak dan faham. Abah tak tonton Sepet dan Gubra, mahupun Lelaki Komunis Terakhir, sebab itu abah tak mahu komen banyak-banyak. Dan abah tak berminat sangat kalau isu melayu itu dikaitkan dengan Islam dalam bentuk yang negatif. Melayu itu Islam dan Islam itu melayu tidak boleh digunapakai dalam banyak konteks. Biarlah Islam itu Islam dan Melayu itu Melayu, sebab banyak benda tentang orang melayu yang tidak bagus, dan jika dikaitkan dengan Islam, akan buat orang bukan Islam simpulkan, Islam itu juga tidak bagus.

Dan bercerita tentang bangsa dan agama ni, abah tertarik juga dengan satu kisah di Utusan Malaysia - Nor Aiman sedih dianggap mualaf kelas dua. Anda bacalah ceritanya, dan ketahuilah, itu antara benda2 kecik yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini. Kecik pada kita, tapi besar pada orang2 yang menghadapinya.

Tuesday, June 13, 2006

Cerita tentang Kian...

Lama betul abah tak update. Tak sempat. Hari Khamis lepas abah ke Pelabuhan Dickson, sebab ada kursus untuk kakitangan baru. Tahan jugalah sampai hari Sabtu. Penat, tapi abah puas hati la dengan kursus tersebut. Walaupun niat syarikat untuk berkongsi apa pengharapan mereka dari staf baru, tapi pada abah, secara tak langsung, abah rasa macam terhibur dengan kursus tersebut, rasa macam release je tension abah yg abah dok simpan.

Mahu tak release, game punya lah banyak. Dan gara-gara game lah, abih sakit satu badan. Hehe, apa pun, abah berterima kasih pada syarikat untuk kursus yg dianjurkan itu.

Ini ada satu gambar menarik yang dirakan jurukamera syarikat abah di pantai PD.

Balik dari PD, abah naik bas pulak ke Paka. Kali ni balik sorang je, sebab bulan lepas, Ummi dan Muizz dah ikut. Abah balik sebab nak bersama2 keluarga menghantar ayah ke airport, sebab ayah abah nak ke mekah menunaikan umrah. Tengahari semalam, abah naik bas balik KL.

Sepanjang 5 hari kursus dan balik Paka, banyak perkara yg abah nak tulis, tapi bila abah masuk blog ni, semua benda yg abah nak tulis tu hilang entah ke mana, mengulor la pulak depa time kita nak depa nih.

Apapun, ini lagu kegemaran Ummi, dan juga abah lately ni. Simple je lagunya, tapi abah rasa dalam juga liriknya, pada orang yang memahami.


Kian jauh
Kian hilang
Kasih antara kita

Nampak tenang
Pada zahirnya
Tapi batin terseksa

Yang terguris tak nampak dimata
Yang terhiris terluka
Sesekali terbit air mata
Tahan sebak didada

Ke manakah..nak dibawa
Resah kian melanda

Di manakah
Hendak ku khabar
Pilu di dalam dada

Bila kasih di hujungnya nyawa
Rasa ingin dimanja
Perasaan pun kian tersentuh
Bila rindu ini berlabuh

Apakah yang dikejar dalam hidupmu
Berkali ku kata padamu
Kita singgah di dunia yang sementara
Penuh tipu daya

Yang kekal
Disana
Biarlah..kita bersama

Usahlah
Hanyut terus terlena
Kerana dunia

Pada aku masih ada
Kasih belum terhakis
Sebenarnya..sudah lama
Ku sungguh berkecil hati

Monday, June 05, 2006

Cerita tentang rezeki dan takdir...

Hari Sabtu hari tu, abah ada hari Keluarga di Taman Wetland Putrajaya. Walaupun hari keluarga, tapi abah pergi sorang saja, sebab Ummi ada bowling company buat di 1-Utama. Dan Muizz, dengar je 1-Utama, terus nak ikut ummi. Dan tak larat la juga nak menjawab soalan kawan2 ofis "Mana family?". Hehe, tapi tak salah pun depa tanya, sebab nama lagi family day. OK juga Taman Wetland tu, itu ka pertama kali abah sampai situ. InsyaAllah, kalau berkesempatan, abah nak bawak juga Ummi dan Muizz ke situ naik bot nanti. Balik dari Wetland, abah kerumah keluarga angkat abah diKajang. Lepas mandi, sembahyang, dan makan, abah telan panadol, terus terlelap sampai petang. Entah kenapa rasa macam tak larat je petang tu. Lepas maghrib, baru abah balik Sungai Buloh.

Dan semalam, abah ada bengkel di Serdang. Tahan jugalah sampai pukul 1, cuma yg tak tahan, pukul 7.30 dah kena keluar rumah. Lepas bengkel, abah ke rumah rakan baru abah di Semenyih. Sebabnya: dia nak belanja abah makan nasi ayam. Hehehe. Abah ok je la, walaupun abah tak sangka jalan ke Semenyih akan jem. Itulah kali pertama abah jejak kaki ke Semenyih. Lepas makan, abah lepak kat rumah dia, dan kebetulan masa abah nak balik, adik kepada kawan abah tadi sampai ke rumah tu. Borak punya borak, rupanya junior abah masa matrik dulu. Tapi kami tak kenal pun masa dulu, biasalakan, abah ni manusia yg orang susah nak kenal, sebab suka duduk bawah tempurung. Hehe.

Seronok jugalah bersembang ngan junior satu tempat belajar ni. Dan dalam borak2 tu keluar juga la isu tentang rezeki dan takdir masing2. Yelah, bila dah keluar U ni, dan sesekali jumpa, nak gak tahu apa yang jadi kat depa semua. Kerja apa, duduk mana, anak dah berapa, etc. etc. Dari situlah abah dapat cerita tentang kawan2 yang dah cukup berjaya dalam karier, orang besar situ, orang besar sini, pegawai itu, pegawai ini. Hehe, abah pun orang besar juga - besar perut. Ekekekeke. Dan ada ramai juga yang berjaya dalam karier tu, adalah kawan2 yang agak sederhana masa belajar dulu. Yang excellent masa degree dulu pun, ada yang biasa2 saja kerjayanya.

Itu yang kami simpulkan, itu semua rezeki dan takdir hidup masing2. Cemerlang atau tidak masa belajar bukan kayu pengukur sangat akan kejayaan masa hadapan. Tapi itu bukan bermakna tak perlu nak usaha untuk cemerlang. Cuma jangan jadikan kecemerlangan masa belajar itu jaminan untuk kerjaya yang cemerlang, walaupun pada hakikatnya, ramai yg cemerlang ini yang bagus juga dalam kariernya. Tapi faktor rezeki dan takdir ni lebih kuat.

Apa-apapun, abah bersyukur dengan keadaan abah hari ini, walaupun masih belum berpuashati. InsyaAllah, kalau dilapangkan masa, dan dimudahkan Allah, abah nak juga ubah sedikit kehidupan abah sekarang ini, kepada kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan, baik kehidupan untuk dunia, dan juga kehidupan untuk akhirat. Anda doakanlah abah. :-)

Friday, June 02, 2006

Cerita tentang kahwin misyar...lagi

Sejak kebelakangan ini, abah rasa macam takde idea je nak mengepek kat blog nih. Nak melaporkan aktiviti pun tak ada sangat. Sabarlah Sue, moga2 abah akan diberi idea untuk mengepek yang bermakna sikit nanti, insyaAllah.

Terlanjur menulis ni, abah nak komen sikit la ttg kahwin misyar, sambungan hari tu.

Menurut Sheikh al-Azhar Mesir, Prof Dr Muhammad Sayyed Tantawi yang sering menjadi rujukan kerajaan Malaysia ketika beliau berada di Kuala Lumpur baru-baru ini:

Perkahwinan misyar mengikut syarak adalah sah. Semua syarat syarak seperti ijab dan kabul, mas kahwin dan pengisytiharan kepada umum terdapat dalam perkahwinan ini dan tidak ada paksaan oleh mana-mana pihak. Kalau kedua-dua pihak bersetuju untuk menolak haknya jadi kedua-dua pihak dapat hidup dengan aman dan sempurna.

Tidak timbul soal penganiayaan kepada wanita kerana ia dibuat dengan persetujuan bersama tetapi dari segi lain. Mereka yang berkahwin misyar ini sebabnya ada wanita yang mungkin sudah bercerai atau suaminya meninggal dunia tetapi wanita itu ingin hidup dalam keadaan bersih (terpelihara daripada maksiat) dan kebahagiaan (mendapat kasih sayang dan nafkah batin dari suami).

Lelaki yang mengamalkan perkahwinan misyar ini pula kebanyakannya sudah berumahtangga dan memang menjadi amalan di kebanyakan negara di Asia Barat.

Wanita akan bersetuju untuk tidak mendapat nafkah zahir kerana wanita itu sendiri mungkin mampu menyara hidupnya tetapi menuntut supaya suami menjenguk sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Suami pula tidak boleh memaksa wanita itu pindah ke rumah isteri pertama malah terpaksa membenarkan isteri yang dikahwini secara misyar itu duduk bersama keluarga atau di rumah milik beliau sendiri.

Pada abah, kalau dah agama benarkan benda itu, tak payahlah ada pihak nak menentang sungguh2 lagi benda yg halal. Kalau betul pun nak menonjolkan diri dalam politik supaya dipandang oleh seseorang, carilah isu lain yang betul2 perlukan kerja kuat mereka. Kalau betul Rosmah, Shahrizat dan Noraini serta SIS dan siapa2 yg menentang tu, nak berbakti pada wanita, buat la benda lain yang lebih bermakna. Tak payah la dok komen sana komen sini sekadar nak tunjukkan penentangan tentang kahwin misyar, kononnya demi maruah orang perempuan.

Bendanya senang saja, kalau kita tak nak buat kahwin misyar, jangan buat. Tapi jangan sampai menghalang orang lain kalau depa nak buat, sebab benda itu sah. Jangan berlagak seolah2 nak menyelamatkan maruah kaum wanita sedangkan kita semua tak berada ditempat orang yang nak buat benda tu.

Harap2 takdelah pulak yang menempelak abah sebab cakap macam ini. :-)