Thursday, January 26, 2006

Cerita tentang sikap...

Sejak akhir-akhir ni, abah selalu sampai lewat dipejabat. Abah keluar rumah macam biasa, tapi sebab jalanraya sesak, lambatlah sampai. Dulu masa cuti sekolah tak rasa sangat, tapi sekarang ni terasa juga. Kawasan perumahan tempat abah tinggal pun sesak jalannya.

Dan bercerita tentang sesak dijalanraya ni, abah nak sentuh sikit tentang cerita orang kita, orang Islam melayu. Abah tak tahu orang bangsa dan agama lain, tapi abah kenal sikit-sikit orang yang agama dan bangsanya sama dengan abah.

Mula-mula cerita bab jalanraya. Anda pun dah lali agaknya dengar cerita potong-Q. Hari2 terjadi, kadang depan mata kita, dan kadang kita sendiri yang buat. Hehe. Abah tak faham dengan pemandu yg suka potong Q. Nak kata dia nak cepat kepejabat, orang lain pun nak cepat juga. Nak kata dia sorang je bayar cukai jalan, orang lain bayar juga. Nak kata dia seorang je terer bawak kereta, orang lain pun terer juga. Tapi masih nak potong-Q.


Yang suka buang sampah dari kereta pun sama. Kadang terkejut juga kita dibelakang bila tiba2 nampak puntung rokok yang keluarkan bunga2 api bila dibuang atas jalan oleh driver kereta depan kita. Buang tisu tu dah jadi kebiasaan abah tengok. Kulit buah rambutan pun ada. Cuma kulit buah durian je abah tak tengok lagi terbang keluar dari kereta.

Yang bawak slow dilorong laju pun sama juga. Jalan 110km/j pun bawak 50 dilorong laju. Mungkin dia nak pergi berkelah, tapi tak fikir ke orang dibelakangnya nak pergi kerja atau hantar anak ke sekolah.

Kenapa jadi kes2 macam itu? Tak sekolahkah orang kita ni? Sekolah, sampai ke universiti lagi. Mana abah tahu? Sebab kat belakang keretanya bertampal macam jenis sticker universiti. UM lah, UKM lah, U luar negara lah. Tapi driver yang lulusan U itu juga yang potong Q, yang buang sampah, walaupun bukan semua.

Tak tahu hukum agama ke? Tahu. Sebab ada sticker Maahad itu Maahad ini, sticker PAS la, sticker Membangun bersama Islam la, sticker Islam is the way of life la, Little Khalifah on board la. Abah fikir itu semua orang2 yang tahu hukum2 asas Islam, paling tidaknya. Tapi driver-driver itu juga yang potong-Q, yang buang sampah.

Kenapa abah kaitkan kelulusan pendidikan dan pengetahuan agama? Sebab abah fikir, orang lulusan universiti patutnya tahu etika, patutnya tahu fikir apa baik apa buruk. Abah tahu mereka tahu potong-Q itu tidak patut dibuat. Abah juga tahu yg mereka tahu buang sampah merata itu tidak beretika.

Dan orang Islam yang tahu hukum asas pun patut tahu Islam itu sangat pentingkan kebersihan dan timbangrasa. Memang la keretanya bersih, dirinya bersih, sebab semua sampah dalam kereta dibuang ke luar sambil memandu. Bila orang2 ini memotong-Q, abah fikir mereka ini tidak amalkan konsep timbangrasa pada orang lain. Orang lain beratur sekian lama atas jalan sebab jem, kita tiba-tiba meluru dari belakang, terus nak masuk depan orang2 yang dah lama beratur tu. Kalau kes urgent abah faham, tapi ramai yang potong-Q sebab nak diri sendiri sampai cepat ke ofis. Orang yang dipotong Q nya itu, tak dipedulikan pun kalau mereka lambat.

Dan dengan berbuat benda2 yang tidak patut itu juga pada abah, mungkin berdosa. Hehe, ada ke hukum Islam atas kes2 potong Q dan buang sampah dari kereta ni? Abah tak tahu.

Tapi abah fikir, paling tidak pun, dengan kita potong Q, kita buang puntung rokok keluar dari kereta, kita secara tidak langsung akan membuka satu ruang untuk orang lain berbuat dosa, dan mungkin kita turut sama berdosa, sebab kita membuka ruang itu. Faham maksud abah? Maksudnya macam ini, kalau anda potong Q, anda fikir orang yg dok Q tu akan terima macam itu saja ke? Mungkin ada yang terima, tapi kebanyakan yg Q itu dah tentu menyumpah seranah dalam hati, atau terus keluar dimulut. Sumpah siapa, seranah siapa? Kita la, org yg potong Q. Sumpah seranah orang itu berdosa. Memang. Tapi siapa yg buka ruang utk org lain buat dosa, kita! Kita buka ruang untuk orang mencela, menyumpah, menyeranah kita sebab kita potong Q, kita buang sampah atas jalan.

Abah tak nak cakap orang la, abah sendiri pun selalu akan terlintas dalam hati "Bangang punya driver, suka hati mak bapak dia je potong Q", ataupun "Cilakak punya driver, selamba je buang puntung rokok atas jalan, terkejut aku!". Abah tahu abah berdosa bila cakap macam itu, tapi kalau depa tak buat macam itu, abah tak rasa abah akan menyumpah sampai macam itu.

Dan bercakap tentang ini, abah rasa kita manusia ni secara sedar banyak kali membuka ruang untuk manusia lain buat dosa. Dosa menyumpah seranah, dosa mengumpat, dosa memfitnah dsbnya. Kita berkepit dgn bukan muhrim kehulu kehilir, mengundang kpd jiran2 mengumpat dan mengata, which is berdosa la kan. Kita bercakap kuat2 dalam komuter atau bas, mengundang pada penumpang lain akan berfikiran negatif pada kita, which is also berdosa. Kita parking kereta sesuka hati, sehingga menyusahkan pemandu lain, dan mengundang kepada makian orang pada kita. Banyak lagilah contoh-contohnya. Memang org yg merokok kata, "Alah, aku nak hisap rokok aku punya suka, bukan pakai duit korang nak beli rokok". memang betul, tapi imagine kalau perokok tu buang puntung rokok yg masih menyala atas jalan, dan kat belakang nya jenis driver yg cepat terkejut, tak ke haru bila dia tetiba nampak percikan bara api atas jalan? Ini belum cerita driver yang meludah sesuka hati masa tgh memandu. hehehe.

Oklah tu, cukuplah abah merapu hari ni.

Nanti abah sambung lagi.

Wednesday, January 25, 2006

Cerita tentang pengorbanan dan balasan...

Semalam masa abah lawat blog Am, terbaca kisah tentang anak dan mak ayah. Kebetulan petang semalam juga abah terbaca satu emel tentang kisah pengorbanan ibu untk anak2. Dan abah rasa nak berkongsi artikel tersebut dengan anda. Artikel ini panjang sikit, kalau rajin, bacalah hingga kehujungnya.

Erti kasih dan pengorbanan seorang ibu
Tuesday, January 17 @ 11:45:40 MYT


Oleh SAIDATUL AMANI

SELURUH umat dunia baru sahaja menempuh tahun baru manakala umat Islam dunia dihidangkan pula dengan Hari Raya Aidiladha atau lebih popular dengan raya korban. Apabila disebut raya korban semua orang akan terkenang semula sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya, Ismail.

Di corong-corong radio, tv, masjid, surau, para ustaz dan ustazah tak jemu mengimbas sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya, Ismail. Ismail tidak membantah untuk dikorbankan. Sejarah manis itulah yang terus melekat di fikiran dan hati umat Islam dunia.

Penulis tidak berhajat untuk meneruskan kisah tentang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya, Ismail. Namun, penulis mahu menyampaikan luahan hati seorang ibu tunggal selama 29 tahun yang mempunyai 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.

Suami yang dikasihi telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1979. Seorang anak lelakinya terpaksa bekerja kontrak, seorang anak perempuan bekerja guru dan tujuh lagi masih bersekolah. Pencen yang diperolehi daripada arwah suaminya sebanyak RM500 memang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

Bagi meneruskan hidupnya bersama 10 orang anak beliau terpaksa menoreh getah yang berada di sebelah rumah. Ini kerana tiga daripada tujuh orang anaknya yang bersekolah tinggal di asrama luar daripada daerah tempat tinggalnya. Sudah tentu perbelanjaan lebih daripada yang sepatutnya.

Kegigihan ibu itu bekerja tidak mengenal erti panas, penat, pening yang penting baginya; anak-anak tujuh orang itu perlu diberi pelajaran dan makan yang cukup. Setiap bulan beliau akan bercuti menoreh untuk mengambil wang pencen di pejabat pos (ketika itu).

Masa inilah ibu muda (ketika itu umur beliau 45 tahun) belanja besar beli ayam, daging untuk menjamu anak-anaknya. Segala kesusahan membesarkan anak-anak, ibu muda itu tanggung sendirian. Walaupun dua orang anaknya sudah bekerja tetapi gaji kontrak dan guru (ketika itu) berapa sangat. Lepas duit baju dan makan mereka bolehla.

Keperitan dan kesusahan ibu tunggal itu terbalas apabila sembilan orang anak-anaknya berjaya menamatkan persekolahan masing-masing. Walaupun ada sebahagiannya tidak dapat meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), namum mereka mendapat pekerjaan dengan jabatan kerajaan dan swasta. Inilah yang dapat membanggakan ibu tunggal tersebut.

Lebih menggembirakan apabila ibu tunggal itu dapat mengerjakan haji pada tahun 1985. Kegembiraan terserlah dan beliau bangga dengan kejayaan anak-anaknya. Namun, `langit tidak selalu cerah'. Kegembiraan dan kebahagiaan yang dikecapi bersama 10 orang anak-anak itu tidak bertahan.

Sepuluh orang anak-anaknya telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak-anak. Ibu tunggal itu kini tinggal bersendirian di rumah usang peninggalan arwah suaminya ditemani anak sulung perempuan yang kurang pendengaran dan tidak berkahwin.

Apa yang menyedihkan empat orang anak lelakinya yang menjadi kebanggaan suatu ketika dahulu; telah lupa akan tanggungjawab untuk menjaga dan menghormati ibu tunggal itu. Empat orang anak-anak lelakinya lebih mengutamakan isteri dan mentua masing-masing.

Lebih memeranjatkan apabila anak sulung lelakinya seolah-olah menanti `saat terhentinya' nadi ibu tunggal mulia ini. Penulis terkejut apabila mendengar luahan anak sulungnya; `Bila mak aku mati aku yang akan mewarisi kebun ini'.

Penulis dapat menyelami kekecewaan hati ibu tua itu sekiranya ucapan kasar dan biadap anak sulung lelaki itu didengari ibu tersebut. Anak menantu perempuan yang lain pula sanggup menuduh, menghina ibu tua itu dan mahu pembahagian tanah diserahkan kepada suaminya (anak ibu tunggal ini).

Nasib ibu tunggal itu ibarat `Sudah jatuh ditimpa tangga'. Empat anak lelaki tidak kisah ibunya manakala isteri mereka pula menjadi `batu api' supaya seluruh ahli keluarga itu kucar kacir.

Hanya anak bongsu lelaki yang tinggal di sebelah rumah menjadi harapan ketika beliau mahu ke hospital, bank dan sebagainya.

Ibu tunggal itu telah dua kali menjalani pembedahan kanser tekak. Sekali kakinya terpaksa disimen kerana jatuh dan kini beliau terlalu lemah tidak boleh berjalan seperti biasa. Beliau memerlukan tongkat untuk berjalan. Nafsu makan terhenti. Hanya bubur, susu dan roti menjadi alas perut sementara nafas dikandung badan.

Empat orang anak lelaki beliau apabila mengetahui ibunya sakit hanya tahu mengarah adik bongsunya; `Hantar emak pergi hospital, mak makan ubat ini...mak tak boleh makan lebih protin, lebih karbohidrat dan sebagainya...hanya itulah yang mereka tahu'.

Mereka tidak pernah cuba menyelami hati ibu tua ini. Mereka jarang membelai ibu tua ini. Yang mereka belai hanya isteri-isteri mereka. Kejam!

Kini ibu tunggal yang dahulunya gagah dan tidak pernah kenal erti penat dan panas, hanya mampu tersenyum `tawar', apabila mendengar gelak ketawa cucu-cucu daripada (anak perempuannya) yang datang dua hari sekali. Manakala tiga orang cucu daripada anak lelaki bongsunya sentiasa berada di rumahnya setiap hari.

Inilah penawar yang boleh melupakan seketika kekecewaan, kesedihan, kesayuan, kehampaan serta penderitaan yang ditanggung oleh ibu tua ini.

Pengorbanan selama 75 tahun melahirkan, mendidik, membesarkan anak-anak tidak pernah diharapkan balasan. Namun, sebagai anak-anak tidak pernah terlintaskah di hati mereka bahawa `Ibu merupakan permata bagi setiap insan'.

Jika ibu tidak wujud di dunia ini apakah kita semua boleh berada di tempat masing-masing sekarang ini. Bagi penulis, tidak seorang ibu yang mahu dibalas dengan longgokan emas, berlian, intan, kebun, rumah besar dan duit yang menggunung.

Seorang ibu hanya mahu perhatian, kasih sayang dan belaian daripada anak-anak. Apa ertinya anak jika tidak pernah mengenang jasa? Apa ertinya kekayaan jika kekayaan itu tidak dapat memberikan sedikit kasih sayang kepada ibu tua yang tinggal sepi di pondok usang.

Kalian! Hidup kita ibarat roda. Adakala kita berada di atas dan tiba masanya kita berada di bawah. Pengorbanan seorang ibu tidak ada tolok bandingnya.

Apakah erti pengorbanan seorang anak kepada keluarganya jika tidak mendapat reda daripada Allah SWT. Dan bukankah reda Allah itu datang daripada reda ayah dan ibu.

Fikirkanlah.

Dan kebetulan masa abah balik beraya haji di Paka hari tu, terjumpa dengan seorang pakcik. Kebetulan dia jiran abah masa abah kecik-kecik dulu. Abah tak la tanya dia, tapi abah tanya la mak abah tentang keluarga dia. Mak kata, orang tua itu rindukan anak-anak dia yang masing2 tidak hiraukan hal-ehwal ayahnya. Semenjak isterinya meninggal 30 tahun++ yang lalu, dia tidak berkahwin, dengan alasan, dia mampu besarkan anak-anak. Dan memang ya, dia mampu besarkan. Salah seorang anak lelakinya adalah antara jurutera yang terlibat dalam pembangunan Proton waktu Saga dulu. Tapi sayang, anak jurutera yang cerdik pandai itu, tidak pulang menjenguk ayah yg tua itu. Abah tak tahu apa kisahnya, cuma pada abah, andai ayah ada silapnya, jangan dihukum dia sebegitu. Dia ada hak untuk dikasihi, untuk dijaga oleh anak-anak, sebagaimana dia menunaikan hak anak2 untuk dikasihi dan dijaga masa mereka kecil dulu.

Dan ini kisah orang yg abang kenal juga. Sudah arwah pun. Arwah dua beradik membesarkan anak saudara, kerana mereka tak berkahwin. Anak saudara ini alhamdulillah, berjaya belajar hingga ke luar negeri, dan pulang menjadi Jurutera Petronas. Tapi sayang, jurutera yang seorang ini juga lupa untuk balik menjenguk dua ibu saudara malang ini yang sekian lama membesarkan dia. Bukan duit dan harta benda yang mereka mohon, cuma sedikit rasa kasih sayang seorang anak saudara yang selama ini dijaga sebaiknya. Dan dengar khabar, sampai kedua-dua makcik itu meninggal, keadaan masih macam itu. Sedih juga abah dengan arwah dua orang makcik itu. Susah sungguh hidup mereka. Abah tengok rumah depa pun jadi sayu.

Inilah hidup...moga-moga kita semua akan ditetapkan hati dan iman, supaya kita tidak akan lupa mak ayah walau macam mana keadaan sekalipun. Jangan kita lupa, kita ada anak. Dan teringat pesan seorang kawan pada abah, "Kalau ko nak anak ko jadi anak yang baik pada ko, ko sendiri mestilah jadi anak yang baik pada mak ayah ko". Lebih kurang macam itulah bunyinya.

Selamat bekerja untuk yg bekerja, jangan surf Internet lama sangat, sebab dalam The Sun hari ni, kerajaan Johor dah komplen, ramai staf mereka habiskan banyak masa bekerja dengan melayari Internet: donlod lagu(kata budak2 skrg), main game online, dan tengok gambar porno.

Tuesday, January 24, 2006

Cerita tentang berita...

Hari ni tak ada cerita baru yang abah nak cerita, cuma nak lahirkan rasa syukur abah. Syukur kerana semalam masa temankan ummi jumpa dentist, abah tengok Buletin Utama kat klinik tu. Berita yang buat abah gembira: Majlis Fatwa Kebangsaan telah menjatuhkan hukum HARAM pada Black Metal. Alhamdulillah. Itu satu langkah permulaan yang sangat baik. Dan langkah seterusnya; banteras gejala itu kerana ia masih berleluasa. Selamatkanlah anak2 melayu Islam kita dari terus hanyut. Banteras bukan untuk menjatuhkan, tapi banteras untuk menyelamatkan. Mungkin mereka lalai, mungkin mereka alpa dengan dunia, dan mungkin salah kita juga tidak mendidik mereka sebaiknya, sehingga mereka terjerumus dengan gejala Black Metal ini, atau mungkin sebab kita sendiri menggalakkannya.

Dan semalam juga ada cerita tentang kes Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza. SA dilepas tapi tidak dibebas. Apa tu? Macam orang kena gantung tak bertali je bunyinya. Apapun, abah fikir, kes ini adalah satu daripada kes yang membazir. Bazirkan masa mahkamah mengendalikannya, sedangkan banyak kes2 lain lagi yang boleh diadili. Dua-dua orang kaya dan ternama, setakat kena fitnah dah bawak pergi mahkamah, apa hal. Bukannnya isu fitnah ni benda luarbiasa, makcik2 kat kampung pun selalu kena fitnah dengan jiran2 dan saudara mara. Orang diofis pun selalu difitnah rakan sekerja, apa lagi musuh sekerja. Abah tak rasa populariti Siti merosot sebab fitnah ini. Tapi itulah kata Ummi, "Inilah penangan orang ternama". Alangkah baik kalau duit yang depa guna untuk bayar lawyer tu, depa pi sedekahkan kat orang2 susah di Baling sana nun, atau mana-mana tempat ke.

Semalam abah kena hadiri satu meeting, dan hasilnya, abah dilantik menjadi AJK untuk satu program yang akan diadakan bulan Ogos nanti. Walaupun ia bermakna kerja abah akan makin bertambah, tapi abah syukur. Sebagai orang baru, diberi tugas sebegitu adalah satu penghormatan bagi abah, dan satu cara untuk abah menggunakan apa yang ada untuk buat yang terbaik, InsyaAllah.

Monday, January 23, 2006

Cerita tentang hubungan...

Abah ada juga masuk beberapa grup Yahoogroups, salah satunya Relexjap. Dan semalam abah terima satu emel dari grup tersebut. Emel tu menarik perhatian abah, kerana apa yang ditulis ada juga tempiasnya kena pada abah. Abah letak sikit excerpt emel tu untuk anda baca.

Assalamualaikum wrt

Saya tanya dalam kelas - dalam kereta jika kita lihat driver pandang ke kanan dan seorang wanita di sebelahnya memandang ke kiri ...mereka dah kahwin ke belum... mereka menjawab sudahhhhhh.

Jika anda lihat driver dan wanita sebelahnya itu sembang sakan .. mereka dah kahwin ke belum ..... mereka menjawab belummmmmmm

"Pandaiiii. Tapi saya terkecuali tau... sebab saya sembang sakan dengan isteri ketika memandu ...."

Saya pun hairan juga bila mendengar ada isteri yang tak bersembang langsung dengan suami ketika memandu. Agaknya dah tak ada perkara yang menarik perhatian mereka bersama. Suami nak bincang mengenai tempat kerja - si isteri tak tahu. Si isteri nak cerita mengenai masalah kerenah dalam rumah - si suami tak berapa nak ambil tahu. Ye tak ye... diam ajelah.

Ada suami bila balik kerja anak menikus naik atas - takut dengan bapa ... bapa rupanya bukan jenis sembang sembang dengan anak.

Yang menghairankannya si suami yang keras dengan isteri, garang dengan anak - di pejabat lain pula dengan setiausaha dan rakan sekerja ... beliau rupanya seorang peramah - rajin bersembang dan seumpamanya - walaupun di sana ada yang "consisten" - memang jenis garang dan non-approachable di pejabat mahupun di rumah.

Agaknya apa yang dikatakan "kebahgiaan" itu tidak dapat dikecapi semasa berada di rumah. Rumah bukan lagi bayangan seperti mana yang mula-mula diimpikan sebelum berumah tangga. Si suami jangan salahkan isteri atau sebaliknya. Setiap pihak kena mulakan langkah.

Bagi para suami - seharusnya meneliti amalan yang dibawa oleh Rasulullah bukan amalan yang diwarisi dari datuk nenek moyang mereka:

"Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku."

"Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

"Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."

"Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Wassalam
Dr Hishamuddin Alham

Abah tak nak komen banyak apa yang Dr Hishamuddin kata, tapi betul la apa dia kata. Abah pun selalu macam itu. Dengan kawan2 dan orang luar, boleh cakap baik2 dan elok2, tapi kadang dengan Ummi dan Muizz, macam petir suara. Ummi selalu juga beri komen yang macam ini kat abah. Entahlah, abah pun tak faham sebenarnya diri abah. Tapi yang abah tahu, benda itu kena diubah. Walaupun susah, akan abah cuba juga untuk ubah, sebab Ummi dan Muizz itu sajalah buah hati dan pengarang jantung abah yang perlu abah layani, jaga dan hormati sebaiknya.

InsyaAllah Ummi, abah akan berubah juga satu hari nanti, moga Ummi dan Muizz sabar menunggu, insyaAllah...

Friday, January 20, 2006

Cerita tentang video...

Semalam abah dapat satu video pendek dari seorang rakan, dan pagi ini, abah dapat satu video lagi dari seorang rakan juga yang menetap di Miyazaki. Video yang pertama agak sinis, campur kelakar sikit-sikit. Video yang kedua, buat abah rasa cukup takut dan sedih.

Video yg pertama adalah sikit petikan dari rancangan talkshow Tanya Linda, isu perbincangannya "Hantu". Video yg ini sikit sebanyak memberitahu abah, "jangan sekali-kali kita rasa diri dah bagus". Hehe, anda mungkin tak faham kenapa abah cakap macam itu, tapi kalau anda nak tengok video tu, abah boleh bagi. Bukan dengan niat nak burukkan sesiapa, cuma harap2 kita boleh belajar sesuatu dari situ.

Video yang kedua, kisah tentang pengakuan seorang pelajar melayu Malaysia di US yang telah bertukar agama ke Kristian. Abah rasa cerita tentang dia ini telah lama berlegar2 diInternet, cuma kali ini abah baru dapat tengok videonya. Nauzubillah. Takut abah dengar kata-katanya, dan sedih abah dengan dirinya. Sedih kerana akal yang bagus yang Allah kurniakan pada dia digunakan untuk menentang Allah semula. Sedih juga kerana dia boleh bertukar agama hanya atas sebab2 yang berjuta-juta manusia lain pun alami - kemiskinan dan kesukaran hidup. Benarlah kata orang, bila kita rasa diri kita susah, kitalah orang yang paling susah dan malang sekali, seolah2 tidak ada orang lain yang lebih susah dari kita. Hanya sebab masa kecilnya susah, dia boleh tukar agama bila berpeluang ke US. Bayangkan orang2 kebuluran di Somalia, orang2 kesusahan di Pakistan dan tempat2 lain. Abah tak fikir mereka sanggup tukar agama, hanya sekadar kesusahan yang Allah timpakan sekadar untuk menguji itu.

Kalau betul la video yang abah tengok itu adalah video yang tulen, abah tak tahu la berapa ramai lagi orang2 seperti itu didunia ini, tapi abah rasa ramai. Semalam pun di Berita harian, abah terbaca kes seorang perempuan yg memohon menukar agama, tapi ditolak Mahkamah Tinggi.

Oklah, abah nak sambung kerja. Nak cerita ttg Muizz pun tiada perkembangan terbaru, cuma abah sikit risau bila tengok Muizz macam asyik sangat dengan Playhouse Disney, Disney Channel dan Cartoon Networknya. Abah suggest kat Ummi untuk keluarkan kad Astro dari decodernya. Ummi kata OK, dengan syarat, abah kena layan Muizz sampai dia tidur. Tolong dia buat homework, main dengan dia, dan tidurkan dia. :-) Yang tu berat sikit la abah nak buat, sebab abah jenis impatient kalau mengajar anak atau anak2 buah sendiri. Kalau anak orang lain, boleh pulak. Nantilah, abah akan slow2 cuba alihkan Muizz dari rancangan2 kartunnya.

Satu yang paling best skrg ni, Muizz suka sangat nak peluk abah. Dan alhamdulillah, bagus juga dia buat macam itu, sebab setiap kali abah peluk dia, abah rasa tenang, abah rasa lapang, dan yang penting, abah rasa yg abah sangat kasihkan Muizz. Masa peluk itulah masa untuk abah beri dia nasihat yang perlu, yang mana dia pun dah hafal apa yang abah selalu cakap: Ahmad kena jadi anak yang baik, Ahmad kena sekolah rajin2, belajar rajin2, nanti dah besar kena banyak tolong orang. Ahmad jangan suka marah2. Dengar cakap abah dgn Ummi. Nanti dah besar kena sembahyang, kena mengaji. Abah sayang sangat kat Ahmad... Dan dia suka menambah pesanan abah pada dia, yang selalunya: Nanti Ahmad dah besar ahmad boleh beli robot. Hehehe, abang...abang. Abah doakan moga abang faham apa yang abah cakap tiap kali abah peluk abang.

Wednesday, January 18, 2006

Cerita tentang Black Metal dan kesesatan...

Semalam abah dapat satu emel dari seorang adik, minta abah komen tentang satu benda. Abah memang dah lama nak komen, cuma abah terlupa.Isunya ialah tentang apa yg hangat diceritakan disuratkhabar skrg ni: Black Metal. Berita di akhbar dan TV kata Black Metal, Mastika kata JIT(Jangan Ikut Tuhan). Dua nama, tapi abah rasa apa yg diutarakan adalah cerita yang sama.

Ada orang kata ini cuma agenda politik kerajaan dan PAS, saja nak menakut-nakutkan umat Islam Malaysia. Mungkin betul. Mungkin tidak.

Pada abah, abah tak pandang ini dari sudut politik atau apa, abah cuma pandang dari sudut kesucian agama Islam, dan juga pembangunan bangsa melayu. Kenapa Islam, kenapa Melayu? Sebab rata-rata budak2 yang terlibat dalam isu ini adalah remaja melayu Islam.

Koyak Quran, kencing atas Quran, sembelih kambing hitam, minum darah kambing atau darah sendiri, berzina atas Quran etc. Nauzubillah. Pelik ke? Memang pelik. Mustahil ke? Tak mustahil. Memang betul berlaku ke? Wallahualam.

Tapi berdasarkan pembacaan abah sikit2, abah percaya ia berlaku. Dan bila semua akhbar ceritakan kisah itu, semua orang macam terkejut dan semua orang nak beri pendapat masing-masing.

Rata-rata orang akan menentang perkara sebegini, dan dalam masa yang sama, ada juga yang seolah-olah membela diri. Kenapa perlu membela diri? Sebab tuduhan banyak tertumpu pada muzik metal. Kes-kes pelik yg abah sebut tadi ada kaitan dengan muzik black metal. Dan peminat2 metal ini sudah tentu rasa terpanggil untuk menyatakan pandangan mereka bagi menepis tanggapan orang yang muzik metal itu menyesatkan.

Abah tidak kata orangramai salah, peminat/pejuang metal betul atau sebaliknya, tapi abah nak komen sikit apa fikiran abah tentang ini.

Pernah abah tengok satu rancangan talk show di TV3 yang membahaskan isu ini. Peminat dan pejuang muzik metal menyalahkan remaja kita yang kata mereka tidak pandai menghayati muzik, dan tidak boleh membezakan muzik dengan budaya. Pada abah pula, abah sendiri pun tidak pernah tahu menilai seninya muzik itu, baik jazz, klasik, rock, hatta metal, walaupun abah minat dengar. Dan alhamdulillah, walaupun tidak pandai menilai muzik, abah tidak pula terjebak dengan benda-benda pelik, dan abah rasa majoriti anda pun macam itu.

Dan kalau dilihat remaja2 yang terlibat dengan kes-kes pelik diatas - siapa mereka itu? Mereka bukan orang terpelajar yang boleh berfikir dengan baik. Memang abah akui ramai peminat metal yang berjaya dalam kerjaya dan hidup, jadi orang hebat2. Tapi mereka itu siapa? Yang jadi masalah kita ini siapa? Abah tak fikir kita boleh menyuruh budak-budak itu supaya berfikir dan menilai muzik metal itu, dan perlakuan2 pelik tadi akan terhapus dengan sendiri.

Bandi dari kumpulan Amuk yang ada dalam talk show tersebut kerapkali mengatakan bahawa metal sebenarnya membawa mesej yang baik-baik dalam liriknya. Abah tak tahu, sebab abah tak faham satu apapun lirik2 lagu metal ni, bila abah cuba dengar sekali dua. Dan ada penonton yang call tanya Bandi, "kalau betul nak bawa mesej yang baik, kenapa penampilan mesti macam itu?". Betul juga kata dia. Abah tak fikir pemuzik2 metal sekarang ini baik penampilannya. Dengan topeng, berambut panjang, berjeans ketat, berpakaian hitam etc. Abah tak nampak apa mesej kebaikan yang cuba ditampilkan. Abah tidak salahkan muzik metal. Anda jangan salah faham.

Cuma abah fikir, tidak cacatnya kalau Siti Nurhaliza menyanyikan Ya Maulai dengan berpakaian seperti Waheeda, dan tidak akan cacat juga lagu-lagu Amuk andainya Bandi dan kawan-kawannya berpakaian seperti Raihan. Tak salah kalau imej dan penampilan metal malaysia diubah sedikit dari metal barat, dengan menampilkan pemuzik metal yang bersih dan kemas penampilannya. Ini mungkin satu usaha yang boleh diambil, putihkan sikit black metal itu.

Kesian juga kat Metal, sebab kali ini dia jadi mangsa, (walaupun abah fikir, ada faktor juga metal itu penyebabnya). Dulu-dulupun ada juga kes pelik2 berkaitan muzik. Kalau anda ingat Main Puteri di Kelantan dan Kuda Kepang di Johor juga satu ketika pernah melibatkan makhluk halus dan semangat2 yang boleh menjadikan manusia syirik.
Tapi kes itu tidak ketara kerana yg terlibat rata-ratanya orang tua, dan tidak ada ritual yang menghina agama.

Entahlah, abah pun tak tahu apa yang dah terjadi dan bakal terjadi. Tapi masalah sudah ada, dan perlu dicari jalan penyelesaiannya. Camna nak selesaikan? Abah tak ada idea. Abah fikir mereka yang bijak pandai didalam kabinet dan ditempat2 yang ada kuasa tu, boleh fikirkan sesuatu. Sesuatu yang boleh menyelesaikan walaupun sikit masalah yang melanda remaja melayu Islam kita skrg ini.

Anda fikir macamana? Tulislah komen, supaya abah dan kawan2 blog abah boleh baca pendapat anda.

Oklah, abah tak nak cerita panjang lagi, abah nak gi breakfast sat.

Monday, January 16, 2006

Cerita tentang kawan dan Zhulian...

Dua tiga hari lepas abah ada borak dengan Ummi. Ummi cerita la tentang kehadiran seorang kawan dipejabatnya pada satu hari. Ummi pun terkejut jugalah sebab tiba-tiba saja kawan tersebut muncul dipejabat Ummi. Nak kata rapat sangat, tak juga, tapi abah pun kenal la kawan ummi tu, sebab kami semua sama belajar dulu.

Ummi layan macam biasa la, tapi selepas beberapa ketika, perbualan bertukar pada isu jualan langsung. Zhulian kalau tak silap. Kesian Ummi, dah la tak minta benda-benda macam ini, terpaksa lak layan.

Abah nak komen sikit la tentang benda macam ini, yang pada abah menjadi satu sebab kawan jauhkan diri dari kawan. Abah pun pernah kena macam itu, dan abah rasa anda pun munkin pernah alami benda yang sama. Yang kita ni rasa seronok bila kawan lama contact kita semula, ajak keluar minum etc, dan tak sampai 10 minit berborak, tadaaaaa... agenda sebenar keluar. Nak promote MLM atau insuran, atau apa saja benda yang depa join.

Abah faham la depa buat tu sebab itu cara depa cari makan, tapi jangan la sampai kawan2 naik takut nak angkat call atau nak jumpa depa. Kalau kawan dah bagi hint tak berapa selesa tu, faham2 sajalah yang orang tu tak minat. Tak payah la dok bercerita lagi ttg MLM depa. Tak salah nak promote, cuma jangan lebih-lebih la.

Tak semua orang minat nak jadi kaya cara MLM, insuran dan sebagainya. Sebab kalau semua berminat, semua orang jadi ejen MLM dan insuran, takde orang nak jadi client lagi dah la.

Hehe, tutup cerita MLM.

Petang semalam abah ajak Muizz pergi joging kat tasik belakang rumah. Abah ingat budak kecik ni sure tak larat, tapi sangkaan abah meleset. Kudrat sikecik abah ni hampir sama dengan abah. Abah habis 2 round, dia pun habis 2 round. Siap lari laju2 lagi dan mintak abah kejar dia. Hahaha, kuat juga anak abah ni ya!

Next week nak ajak Muizz ke tasik lagi la, teman abah joging, walaupun masa on the way balik semalam Muizz cakap "Nanti abang tak nak ikut abah joging lagi tau! Penat la, habis peluh badan ahmad". :-)

Friday, January 13, 2006

Cerita tentang pontianak harum...

Hari ni abah cuti. Entah kenapa rasa malas nak pergi kerja.

Balik dari solat jumaat tadi, abah layan cerita Pontianak HSM 2 yang Ummi beli hari tu. OK juga ceritanya, walaupun sikit keliru. Bila tengok ceritanya barulah abah faham apa yang Cik Mek Kelate pujaan abah nyanyikan dalam Ku Seru. Kalau Pulangkan dulu dialog antara Meriam dan Mursani, Ku Seru pulak adalah dialog antara Meriam dan Maria.

Sedih sebenarnya cerita PHSM ni, campur seram sikit-sikit. Untuk cerita melayu yang abah jarang2 tengok, abah tabik jugalah dgn PHSM ni. Harap2 cerita melayu akan jadi lagi hebat lagi dimasa mendatang. Jangan buat cerita macam Puteri kat TV3 tu dah la, mak abah kat kampung yang tak sekolah tinggi itupun boleh komen "Citer ni bodoh la", komen yang sama dengan abah satu ketika dulu.

Malam ni abah nak layan The Wig pulak. Hehe. Nampak cam seram jek.


Ku Membayangi…Jiwa Hatimu
Tapi Perpisahan Menunggu
Ku Ingin Membelaimu
Namun Kasihku Tiada Restu

Diri Begini…Kerna Selama
Ditinggalkan Marah Sengsara
Hingga Hilang Terlupa
Siapa Aku Sebenarnya Sayang…

Oh..Dengarlah Sayu Tangisanku
Mengapa Degupanmu Ku Seru
Kerna Kesepian nan Terlalu
Kembalikan Hidup Yang Ku Rindu

Oh..Dengarlah Sunyi Tangisanku
Kau Tahu Ku Amat Menyayangimu
Oh Pergilah Kau Bukan Milikku
Pulang Pada Yang Mengasihi… Dirimu…
( Kau Ku Seru…Kesepian Berlalu…Maafkan Daku )

Sampai Disini
Ku Lepas Kau Pergi
Biar Ku Damai Bersemadi
Lukamu Ku Mengerti
Kan Ku Hilangkan Derita…Ini…


Thursday, January 12, 2006

Cerita tentang 'nilai diri'...

Abah dapat 'tulisan' ni dari seorang kawan. Memandangkan takde apa yg boleh abah cerita hari ni, abah letak ini saja.

Self Worth

[Don't try to be what you are not. Be yourself.]

Do not undermine your worth
By comparing yourself with others.
It is because we are different
That each of us is special.

Do not set your goals
By what other people deem important.
Only you know what is best for you.

Do not take for granted
The things closest to your heart.
Cling to them as you would your life.
For without them, life is meaningless.

Do not let your life slip through your fingers
By living in the past nor for the future.
By living your life one day at a time,
You live all the days of your life.

Do not give up
When you still have something to give.
Nothing is really over
Until the moment you stop trying.
It is a fragile thread
That binds us to each other.

Do not be afraid to encounter risks.
It is by taking chances
That we learn to be brave.

Do not shut love out of your life
By saying it is impossible to find.
The quickest way to receive love is to give love;
The fastest way to lose love is to hold it too tightly.

In addition,
The best way to keep love is to give it wings.
Do not dismiss your dreams.
To be without dreams is to be without hope,
To be without hope is to be without purpose.

Do not run through life
So fast that you forget not only where you have been
But also where you are going.
Life is not a race but a journey
To be savored each step of the way.

So smile.... and let the sun shine through.
For there's someone, somewhere, watching over you.

Wednesday, January 11, 2006

Cerita tentang pemergian...

Baru sekejap tadi, abah terima emel dari seorang sahabat baik abah, memaklumkan akan pemergian ke rahmatullah, bekas supervisor projek sarjana kami, PM Dr. Nurhayati Abdul Mukti. Beliau adalah pensyarah di FTSM, UKM.

Sedih juga rasa hati abah. Walaupun dah hampir 5 tahun abah tak jumpa dengan arwah, tapi segala jasa baik arwah membantu abah dalam menyiapkan projek abah dulu, akan abah ingat hingga ke akhir hayat.

Itulah janji Allah pada kita semua, bila tiba masa, kembalilah kita menghadapNya.

Moga roh arwah akan senantiasa dicucuri rahmat Allah.

Al-Fatihah

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Amin.

Cerita tentang raya...

Selamat Hari Raya AidilAdha untuk semua. Harap2 tak terlambat la abah bagi ucapan ni.

Semalam pukul 12 malam baru sampai KL. Beraya punya pasal, sampai lupa nak balik KL. Hehehe, bertolak pun dah lewat petang.

Seronok juga raya haji kali ni. Abah dapat makan banyak makanan yg best2. Mak spt biasa la, nasi minyak tak pernah miss. Tambah pulak dengan laksa trg, sate, lemang, perghhhhhhh, sendat jugalah perut abah semalam. Pergi rumah sedara, dapat lak makan singgang tulang (sebab depa buat korban). Mak Su pulak bekalkan perut lembu rebus, hehehe, malam ni boleh la Ummi buat perut air asam.

Oklah, puashati la abah balik kg, walaupun sekejap. Muizz macam biasa la, main tak henti2. Habis kucing, monyet, ikan peliharaan dibuat main. Abah takut mati je binatang2 tu, macam yang selalu berlaku. Dulu pernah sekali dipijaknya anak ayam Tok Chu, nyawa2 ikan anak ayam tu. Belum lagi cerita anak ayam Tok Mek di Kelantan, mati diramasnya dua ekor. Abang..abang...abah dulupun tak sebrutal itu. Nasib Muizz tak berapa baik kali ni, sebab tak boleh pergi mandi pantai. Sebabnya: Hujan sepanjang hari, dan ombak pun bergelora kuat. Tak berani nak bawak Muizz dan anak2 buah pergi pantai.

Tutup cerita bab raya dan cuti abah. Kali ni nak mengepek sikit tentang apa yg abah nampak dan dengar dan tahu sepanjang berada di kampung.

1. ADUN yang baru dikawasan abah dah bina satu banglo besar. Abah fikir cecah jutaan ringgit juga kosnya.Abah tengok banglonya, memang cantik dan besar. Dan yang paling best, org kata susah betul nak tengok muka ADUN baru ni, masa kempen pilihanraya dulu je hampir setiap hari boleh tengok muka dia. Berbeza dengan ADUN yang dahulu, baik majlis keraian, ataupun kematian, mesti ada, siap imamkan solat jenazah lagi. ADUN baru???? Tak nak komen lebih-lebih.

2. Minah2 tudung dikampung abah memang macam apa dalam lagu Minah Tudung yang abah ceritakan hari tu. Nama aje kampung, tapi anak2 daranya.....sama hebat dgn orang bandar. Anak2 teruna??? Tak nak komen lebih-lebih...

Itu sajalah dulu. Dan semalam, masa abah ke rumah kakak abah, Muizz buat satu benda yang buat Ummi tersenyum lebar. Dalam masa kami dok bersembang, Muizz dgn sepupunya keluar main kat luar rumah. Dalam 10 minit lepas tu, muizz datang semula, bawak satu jambak bunga lalang, dan dia serahkan kat Ummi. Ummi pun apa lagi, meleret la senyum. Manakan tidak, anak jantannya pergi petik bunga untuk umminya, walaupun bunga lalang. Hehehe, bila abah tanya, "Untuk abah takde ke?". Muizz kata, "Abah kan lelaki, tak baik bagi bunga". Hahaha, abang...abang. Romantik juga ya! Abah pun tak seromantik itu.

Friday, January 06, 2006

Cerita tentang mesej...

Abah dapat emel dari seorang kawan kejap tadi. Emel yg ada mesej yang menarik. Dan sebelum abah bercuti lama untuk raya haji ni, abah letakkan mesej tersebut disini, untuk anda semua, kawan2 yang senantiasa dihati abah...

What would you do if every time you fell in love with someone you had to say good-bye?

What would you do if every time you wanted someone they would never be there?

What would you do if for every moment you were truly happy, there would be 10 moments of sadness?

What would you do if your best friend died tomorrow and you never got to tell them how you felt?

What would you do if you loved someone more than anything else and you could never have them?

Some people live and some people die.

But I want to tell you that I love you

That I will always be here for you when and if you need me...

If I died tomorrow, you would be in my heart forever. Would I be in yours?

We might be best friends one year, pretty good friends the next year, don't talk that often the next year, and don't want to talk at all the year after that.

So, I just wanted to say, even if I never talk to you again in my life, you are special to me and you have made a difference in my life.

I truly cherish you.

Tell this to all your friends, no matter how often you talk, or how close you are, and tell it to the person who told you.

Let old friends know you haven't forgotten them, and tell new friends you never will.

Remember, everyone needs a friend; someday you might feel like you have NO FRIENDS at all, just remember this message and take comfort in knowing somebody out there cares about you and always will.

Cerita tentang kerja...

Hari ni ada perhimpunan staff. So, pepagi lagi dah kena nyanyi Negaraku dan Jalur Gemilang. Ok juga buat perhimpunan macam ini, boleh la abah praktis nyanyi dengan suara serak2 katak puru ni. Harap2 orang sebelah tadi tak la phobia lagi nak beratur sebelah abah untuk perhimpunan seterusnya.

Boss besar bagi sikit amanat dan pesanan. Walaupun bunyinya lembut dengan bahasa yang berlapik, tapi hakikatnya, itu satu mesej yang jelas, kalau boleh abah terjemahkan apa kata Boss besar tadi: "Kalau staff yg bermasalah rasa tak boleh nak bekerja dengan baik, baik berhenti saja, dan cari kerja lain".

Abah rasa kritikal la tu sampai tahap Boss besar warning macam itu. Dan abah sokong pun boss cakap macam itu. Bukan apa, sekurang2nya sapa yang terasa tu boleh berubah sikit. Kalau abah jadi boss, abah pun akan cakap macam itu. Kalau rasa nak kerja, kerja betul-betul. Kalau rasa nak kerja sambil makan angin, baik hantar surat berhenti saja. Duit gaji masuk hujung bulan, tapi kerja tak cukup sebulan pun. Datang kerja sehari, tapi buat kerjanya cuma setengah hari. Hehehe, abah pun sama la, time kerja pun sempat membebel dalam blog ni lagi.

Oklah, abah stop sini dulu. Esok nak balik Trg lagi, Ummi ajak beraya kat Trg kali ni. Hehe, penat balik hujung minggu lepas pun tak hilang lagi. hehe, takpe, kali ni abah nak minta tolong Ummi lak drive utk balik kampung. Boleh kan Ummi?

Wednesday, January 04, 2006

Cerita tentang tahun baru...

Hari ni abah bercuti. Tapi dalam cuti pun padat juga aktivitinya. Pagi tadi hajatnya nak gi hantar Ummi ketempat kerja, tapi baru sekerat jalan, bila abah cuba call klinik, dan klinik bagitahu suruh bawak mak mertua abah untuk treatment ozon pukul 9, abah pun terpaksa la bagi ummi drive sendiri ke tempat kerja. Teruk pulak jem kat KL pagi ni. Abah sampai klinik pun dah pukul 9.40. Mak punya treatment habis dalam pukul 11.30. Abah berkejar pulak balik rumah, sebab pukul 12 kena hantar Muizz ke tadikanya.

Abah dah agak benda ini akan terjadi, dan memang terjadi pun: Muizz menangis tak henti2 bila abah tinggalkan dia kat tadika. Meraung2 dia panggil abah. Abah terpaksa buat donno saja sebab abah tahu, ini untuk kebaikan Muizz. Lepas abah tinggal tadi, tak tahulah apa jadi. Harap2 Muizz dah reda.

Nanti pukul 3 abah nak pergi ambil Muizz lagi, then berkejar ke KLIA pulak untuk hantar mak mertua abah balik ke Kelantan. Hajat hati nak siapkan sikit kerja ofis yg dah tergendala, tapi bila bukak laptop ni, menulis blog pulak jadinya. :-)

Tadi masa pergi klinik, abah parking dekat dalam kawasan bangunan Pekeliling tu sebab mak dah tak larat nak berjalan jauh. Bila abah nak keluar dari parking, atendan tu kata, "RM9". Abah terdiam sekejap, then abah cakap , "Dua jam je kan saya parking". Si akak tu terus kira masa, dan katanya abah terlebih seminit, so, yang seminit tu dia caj kadar sejam juga. Abah hulur ajelah duit, sebab malas nak cakap apa. Dan minta maaf la pada kakak parking tu, abah tak ucap pun Terima Kasih, sptmana abah selalu ucap pada orang(walaupun abah tahu abah yang bagi duit kat depa). Abah pun tak tahu kenapa abah macam itu hari ni, abah cuma buat muka tak puashati, ambik baki duit, then terus jalan. Lain kali abah tak parking dah la kat situ.

Dan ingat bab parking ni, abah teringat pulak kat budak lelaki yg jaga parking di Sogo. Pernah abah keluar lewat 5 minit, dia tak caj pun extra 5 minit tuh. :-)

Ops, sebelum abah terlupa: Selamat tahun baru 2006 untuk rakan2 semua. Sekejap je masa berjalan, dan abah, umur dah bertambah jadi 33. Dalam diri rasa muda lagi, rupanya umur dah menginjak kedepan. Abah harap dan doakan, moga 2006 akan memberikan kita kesempatan untuk mencapai apa saja yang impian yg kita nak capai dalam tahun ini, tak kisah la impian apa, asalkan yang baik2. Nak tukar kerja ke, nak tukar kereta ke, nak sambung belajar ke, nak tambah ahli keluarga ke, apa saja lah. Selagi nama kita manusia, impian tu tetap akan ada.

Apa azam abah? Haha, abah tak ada azam tahun baru. Dan abah dah bertahun2 tak pasang azam pun. Abah cuma pasang impian dan angan2 dan kehendak: Nak baby girl, nak sambung study, nak setelkan hutang piutang yang ada, nak kerapkan diri ke rumah Allah, nak mula jaga kesihatan, nak pergi gym, nak belajar berenang, nak belajar English, nak buang sifat2 yang tak elok pada diri, nak bantu manusia2 lain, nak itu, nak ini, nak .............

Moga2 Allah permudahkan diri abah untuk mencapai segala impian abah, dan anda juga.

Tuesday, January 03, 2006

Cerita tentang 3hb Satu Dua Ribu Enam

Hari ni kalut sikit. Dengan Muizz demam, hari pertama sekolah(yg ada kaitan dgn trafic jem), abah terkalut sikit. Semalam pukul 5 ptg abah sampai KL dari kampung. 2,3 hari di Trg, tak kemana pun abah, sebab hujan hampir sepanjang hari. Cuma berkesempatan test drive Honda City kakak abah, hehe, dengan alasan nak tengok best ke tidak. Abah kata best, Ummi kata tak.

Muizz pulak seronok sangat jumpa sepupu2 dan main hujan, terus demam. Hari ni sepatutnya first day Muizz di tadika, tapi dah demam, nampak gayanya kena tunggu dia OK dulu la. Abah risau juga ni sebab suhu badan Muizz agak tinggi juga. Dah bawa ke klinik, tapi nampaknya ubat klinik lain tak berapa sesuai dgn dia. Kalau dia demam juga lagi, petang karang kena bawa ke klinik Dr. Cheng la agaknya. Itu doktor kesayangan Muizz.

Hari ni juga ada meeting sat lagi. Dengan kerja yang banyak nak kena siapkan, abah mengepek setakat ini sajalah pagi ni, karang kalau abah free, abah sambung lagi.